Friday, November 14, 2008

Kekalkan ISA demi keamanan negara

SEJAK akhir-akhir ini semakin banyak pihak yang mempertikaikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Apakah pihak-pihak yang membantah ISA ini tahu dan faham tujuan dan maksud akta ini diadakan?

ISA adalah bertujuan untuk mencegah mana-mana pihak, kumpulan atau individu di negara ini daripada melakukan perbuatan yang boleh menjejaskan keselamatan negara.

Negara kita merupakan negara yang rakyatnya berbilang kaum. Api persengketaan akan mudah menyala dan merebak kalau tidak dicegah lebih awal.

Memang pada awalnya ISA digubal untuk mengawal kegiatan komunis dan unsur subversif tetapi situasi negara kita masih lagi memerlukan akta ini.

Tambahan pula sejak akhir-akhir ini terlalu banyak pihak yang menyentuh tentang hak-hak istimewa orang Melayu, DEB, kontrak sosial, bahasa Melayu dan juga agama Islam itu sendiri.

Saya sama sekali tidak menyokong ISA dihapuskan tetapi menyokong ISA dipinda supaya perkara-perkara atau perbuatan yang boleh memudaratkan keselamatan negara diperincikan lagi agar mana-mana pihak tidak boleh mempersoalkannya apabila dikenakan tindakan ISA.

Bagi saya, pihak-pihak yang mahukan ISA dihapuskan adalah mereka yang tidak mahu melihat keamanan dan keharmonian hidup di negara ini berterusan pada masa akan datang.

Mereka ini sebenarnya seolah-seolah mahu membuat eksperimen dan melihat apakah benar suatu hari nanti akan berlaku keadaan huru-hara jika ISA dihapuskan?

Sedarkah mereka jika ISA dihapuskan, kita sebenarnya memperjudikan soal keselamatan negara.

Dalam Islam ada menganjurkan umatnya membuat langkah pencegahan terlebih dahulu bagi mengelakkan sesuatu perkara itu menjadi mudarat. Terdapat sebuah hadis yang bermaksud 'mencegah lebih baik daripada mengubati'. Saranan hadis tersebut bukan hanya sesuai untuk mencegah penyakit sahaja tetapi sesuai untuk semua aspek kehidupan manusia.

Kita mesti sedar bahawa jika berlaku huru-hara, keganasan dan perbalahan antara kaum, masalah ini tidak boleh diselesaikan dan diubati dalam jangka masa yang singkat apatah lagi apabila melibatkan banyak kematian, kemusnahan dan kezaliman yang berlaku kepada sesuatu pihak.

Saya menyeru kepada rakyat yang cintakan keamanan dan kesejahteraan hidup supaya tidak terpengaruh dengan desakan pelbagai pihak yang berkepentingan tertentu termasuklah pihak pembangkang.

Kita kena ingat bahawa jika benar-benar berlaku keadaan huru-hara dan keganasan, pihak yang terpaksa menanggung risiko, menyelesaikan masalah dan mengawal keadaan supaya kembali aman ialah pihak kerajaan yang memerintah.

Pihak pembangkang tidak akan bertanggungjawab dan tidak akan dapat melakukan apa-apa kerana mereka bukan kerajaan yang berkuasa. Kesannya rakyat yang menanggung akibatnya.

Rakyat mesti sedar mengapakah pembangkang mahukan ISA dihapuskan? Oleh sebab desakan politik untuk meraih sokongan segolongan rakyat tertentu, mereka sanggup mengetepikan perkara pokok dalam sesebuah negara iaitu soal keselamatan dan keamanan.

Bagi pihak pembangkang, apa-apa perkara yang membawa keuntungan politik seperti sokongan rakyat kepada mereka akan mereka sokong termasuklah menghapuskan ISA walaupun terpaksa menggadai dan memperjudikan keselamatan dan keamanan negara.

Ingatlah pesan pepatah Melayu 'jangan sudah terhantuk baru tengadah', 'sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada berguna', 'ikut hati mati, ikut rasa binasa', dan jangan menunggu 'nasi menjadi bubur'. Renung-renungkanlah.

No comments: