Tuesday, September 9, 2008

Patrioktik : Kanak-kanak lebih patriotik



Peranan keluarga penting untuk membentuk masyarakat bersatu padu RAMAI yang berpendapat kanak-kanak lebih bersatu berbanding orang dewasa kerana mereka tidak membataskan rakan menerusi pengkelasan warna kulit, kaum, agama dan latar belakang keluarga. Pensyarah Jabatan Pembangunan Manusia dan Pengajian Keluarga, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Rozumah Baharudin, berkata kanak-kanak lebih cenderung untuk bergaul mesra kerana pergaulan itu berlandaskan aktiviti seperti bermain dan permainan yang mereka sukai.

Oleh itu, katanya kanak-kanak dilihat lebih bersatu, walaupun pada hakikatnya penyatuan itu berlaku kerana mereka mempunyai minat yang sama. Beliau menjelaskan kanak-kanak adalah naif dan tidak memihak kepada mana-mana kumpulan atau adil, malah membuat penilaian tidak berdasarkan nilai dan persepsi seperti orang dewasa.

“Persepsi dan nilai yang dipegang orang dewasa banyak mempengaruhi tingkah laku mereka. Orang dewasa juga banyak dipengaruhi sosialisasi dan pengalaman hidup dalam membentuk nilai dan persepsi. Oleh itu, penting pada peringkat awal lagi, setiap individu disosialisasi oleh keluarga dan masyarakat dengan nilai yang positif seperti bekerjasama, hormat menghormati, baik sangka dan nilai murni yang lain,” katanya.

Prof Rozumah berkata, orang dewasa terdorong untuk memperjuangkan fokus dan minat masing-masing dan andaian yang menyatakan kanak-kanak lebih bersatu berbanding orang dewasa adalah tidak tepat.

“Orang dewasa lebih memfokuskan dalam tumpuan hidup dan kerjaya serta cenderung melaksanakan dan memperjuangkan hanya apa yang bermakna bagi mereka, seolah-olah mereka kurang bersatu,” katanya.

Persoalannya bagaimana hendak menyatukan kepelbagaian yang tidak dapat dielakkan dalam kalangan orang dewasa? Jawapannya, banyak bergantung kepada siapa yang ‘mentadbir dan mengurus’ mereka sama ada dalam masyarakat, atau mana-mana organisasi. Prof Rozumah berkata, mengikut kajian sosial peranan keluarga sangat penting untuk memupuk perpaduan di kalangan kanak-kanak dan membentuk masyarakat yang bersatu padu.


“Ketika ini, memang ada keluarga di Malaysia yang mensosialisasikan ahli keluarganya ke arah perpaduan kerana mereka faham bahawa keluarga adalah asas pembentukan masyarakat dan negara. Langkah pertama untuk perpaduan perlu bermula dalam keluarga.

“Tidak dinafikan kadangkala wujud sikap ‘xenophobia’ atau sikap benci kepada orang asing disebabkan asuhan keluarga,” katanya.

Beliau menjelaskan selain keluarga, institusi dan ejen sosialisasi yang lain seperti sekolah dan media perlu sentiasa memupuk semangat perpaduan dan nilai murni. Usaha berkenaan perlu dilakukan secara konsisten dan bukan bermusim. Beliau menyatakan pembangunan manusia atau kanak-kanak dipengaruhi dua unsur besar iaitu sistem mikro dan makro yang memainkan peranan utama dalam pembinaan peribadi terutama di peringkat awal usia individu.

“Jika sistem ini diabaikan pada peringkat awal maka sukar menangani gejala negatif yang ‘mewarnai’ individu itu ketika dewasa. Di peringkat mikro, elemen yang paling berpengaruh untuk pembentuk peribadi adalah keluarga manakala di peringkat makro, ini adalah tanggungjawab kerajaan dan pembuat polisi. Maka perlu ada ‘blue print’ untuk membudayakan cara hidup perpaduan dan nilai murni.

“Pengaruh sistem makro untuk pembentuk peribadi sangat kuat dan ia juga mempengaruhi bagaimana sistem mikro perlu bertindak. Tabika Perpaduan dan sekolah campur adalah elemen dalam sistem makro yang dijangka mampu memupuk semangat perpaduan dan penerimaan kepelbagaian cara hidup warga Malaysia,” katanya.

Di peringkat kanak-kanak, jika semangat perpaduan itu dipupuk dan disemai oleh ibu bapa dan guru, maka lebih mudah untuk membentuk mereka menjadi insan yang mudah menjalinkan kerjasama serta bersatu dengan orang lain. Sebenarnya, tanpa pengajaran formal pun, kanak-kanak dapat menterjemahkan perpaduan itu menerusi perilaku dan kelakuan yang mereka lihat daripada orang dewasa.

Contohnya, jika kita berjiran dengan bangsa lain, ibu bapa tidak memusuhi jiran, saling hormat menghormati dan mengambil berat hal ehwal tetangga, perkara ini akan diikuti oleh generasi muda. Sementara itu, penulis berkesempatan menghabiskan masa bersama kanak-kanak di Tabika Perpaduan Happy Garden, Jalan Kuchai Lama meraikan kempen kibar Jalur Gemilang. Uniknya, Tabika ini mengumpulkan anak-anak daripada pelbagai kaum, Melayu, Cina, India, Iban dan Bidayuh. Malah ada beberapa kanak-kanak daripada perkahwinan campur, bapanya Cina dan ibunya India, bapa Melayu dan ibunya Cina.

Guru yang mengajar kanak-kanak di situ adalah orang Melayu manakala pembantunya Cina manakala majoriti jawatankuasa Tabika itu adalah masyarakat Cina. Perpaduan kaum juga jelas dilihat apabila ibu bapa dan beberapa ahli jawatankuasa Tabika turut hadir memeriahkan kempen kibarkan Jalur Gemilang. Seramai 34 kanak-kanak mengambil bahagian dan apabila ditanya mengenai perpaduan, kebanyakannya tidak mengerti walaupun hakikatnya mereka memang bersatu padu dan bekerjasama menjayakan kempen kibar Jalur Gemilang itu.

Bermakna perkataan “Perpaduan’ itu bukan pengukur kepada kerjasama dan kesefahaman atau apa yang dipraktikkan mereka. Terfikir juga, kenapa orang dewasa yang lebih berupaya berfikir dengan kritis, selalu terlupa mengenai semangat perpaduan dan lebih menekankan isu perkauman sehingga mencetuskan kemarahan dan lebih teruk lagi konflik serta rusuhan yang menggugat keamanan negara.

Wednesday, September 3, 2008

Padah di sebalik 'kenikmatan sementara' merokok

Suheimy Idris dari Kampung No 6, Kuching memasukkan 16 rokok ke dalam mulutnya sebagai simbolik untuk berhenti membeli rokok selepas mendengar ucapan Bajet 2009.

Kekuatan semangat boleh membantu penagih menjalani kehidupan lebih sempurna tanpa kepulan asap SEORANG kawan pergi membuat pemeriksaan biasa di sebuah klinik di ibu negara minggu lalu dan diberitahu oleh doktor: "Jika anda terus merokok, anda mempunyai 10 peratus peluang menghidap serangan jantung dalam tempoh 10 tahun akan datang. "Tetapi jika anda berhenti merokok, anda boleh mengurangkan risiko serangan jantung itu kepada tujuh peratus," kata doktor itu.

Sebenarnya, ramai daripada kita kelihatan sihat tetapi tidak tahu bahawa kita sudah meracuni sistem dalam badan kita sejak bertahun-tahun, kerana merokok. Kita hanya mengetahui sesuatu yang tidak betul berlaku, apabila kita jatuh sakit dengan teruk. Sebab itu, pemeriksaan perubatan dari masa ke masa boleh membantu.

Tetapi berapa ramai daripada kita semua berbuat demikian? Bajet 2009 yang dibentangkan Jumaat lalu, antara lain menyaksikan cukai sekotak rokok 20 batang meningkat 60 sen. Apakah ia mampu mengurangkan tabiat merokok?

"Saya sudah mula menghisap rokok, ketika sekotak 20 batang cuma berharga RM1.20. Itu 20 tahun lalu, sekarang harganya dah RM8.80," kata seorang lagi rakan yang mengakui sukar berhenti merokok walau berapa banyak kenaikan cukai dikenakan.

Tidak keterlaluan dikatakan bahawa 99 peratus perokok tahu merokok berbahaya kepada kesihatan dan membuang duit. Tetapi kenapa mereka terus merokok? Ini mungkin ada kaitan dengan tahap nikotin dalam rokok sehingga menyebabkan seseorang ketagih dan sukar berhenti jika keinginan tidak kuat untuk berbuat demikian. Itulah sebabnya, jika ada yang kata bulan puasa adalah masa terbaik untuk berhenti merokok, sukar diterima perokok tegar.

Bagi golongan ini, selepas saja berbuka, sambung menyambung rokoknya seolah-olah sebagai gantian kerana tidak merokok pada siang hari. Tokoh kewartawanan negara, Tan Sri Abdul Samad Ismail yang kini dirawat di Pusat Perubatan Pantai di ibu negara, memang dikenali kuat merokok.

Tetapi menurut anaknya, Nuraina, Pak Samad, 84, masih lagi merokok sehingga kira-kira sebulan lalu. Apabila Datuk Seri Najib Razak melawat Pak Samad kelmarin, kata Nuraina, Timbalan Perdana Menteri itu antara lain berkata: "Beliau masih merokok?" sambil menggelengkan kepala. "Saya percaya jika bapak mendengar perbualan itu, dia mungkin..... ya, dia orang tua yang degil," kata Nuraina dalam blognya. Malah, ada yang kata isu rokok ini agak sensitif dan sebarang langkah secara agresif untuk membendungnya, boleh menyebabkan perokok marah.

Bekas Presiden Pas, Allahyarham Datuk Fadzil Noor pernah menegur Dr Lo' Lo' Mohd Ghazali, kini Ahli Parlimen Titiwangsa, kerana menghentam ahli Pas yang menghisap rokok dalam ceramahnya. Ini menyebabkan ada orang Pas meninggalkan majlis kerana tidak bersetuju dengan Dr Lo' Lo'.

"Dalam muktamar sebelum ini pun memang saya bangkitkan hal merokok di kalangan orang Pas.

Bagi saya, orang Pas tidak sepatutnya merokok, malah kalau seseorang itu memakai kopiah putih dan menghisap rokok, ia tidak selari dengan apa yang diperjuangkan parti. "Ustaz Fadzil bisik pada saya, 'jangan keras sangat mengenai hisap rokok'. Saya ingat lagi beliau berkata, orang Pas ini sanggup tinggal Pas daripada tinggal rokok," kata Dr Lo' Lo' dalam keluaran terbaru Harakah.

Menurut Nuraina pula, Tun Dr Mahathir Mohamad yang turut melawat Pak Samad, juga menekankan soal rokok, kerana bekas Perdana Menteri itu tidak pernah menghisap rokok. Dr Mahathir ketika masih lagi menyandang jawatan Perdana Menteri pernah menegur seorang juru kamera sebuah stesen televisyen tempatan yang sedang memasang mikrofon pada bajunya sebelum sidang akhbar dimulakan.

Apabila terhidu bau rokok, Dr Mahathir terus bertanya: 'awak hisap rokok ye?', menyebabkan krew itu tersipu-sipu. Dr Mahathir memang tidak menghisap rokok dan beliau pernah memberitahu satu majlis dialog dengan pelajar Malaysia ketika lawatan ke Seoul, Korea Selatan beberapa tahun lalu bahawa beliau cuma pernah sekali cuba hisap rokok 'dan tak sedap pun'.

Jawapan itu adalah sebagai menjawab pertanyaan seorang pelajar mengenai rahsia beliau kelihatan jauh lebih muda daripada usia sebenar.

"Saya tahu ramai orang ingin tahu pil apa yang saya makan. Saya makan pil vitamin jika itulah orang nak tahu. Tetapi lebih daripada itu ialah cara hidup yang sihat. Saya tak hisap rokok.

"Saya tidak pernah suka rokok walaupun pada zaman muda saya dulu orang asyik hisap (jenama) 'Craven A' dan 'Rough Rider'. Merokok bukan saja tidak sihat malah boleh menyebabkan paru-paru rosak, tetapi ramai juga hisap rokok tanpa menghiraukan kesannya.

"Dalam Kabinet saya, ada yang suka hisap rokok. Mereka ini mengambil masa lama dalam tandas ketika pertengahan mesyuarat Kabinet kerana menghisap rokok dan mereka fikir saya tidak tahu," katanya menyebabkan hadirin tak kering gusi.

Perunding Psikiatrik Ketagihan, Universiti Malaya, Prof Hussain Habil pernah dipetik sebagai berkata bahawa beliau tidak terkejut sekiranya perokok menyatakan gagal atau sukar menghentikan tabiat berkenaan kerana itulah tujuan rokok dihasilkan.

Kononnya bermula sebagai `pleasure' akhirnya perokok mendapati mereka perlu berterusan bergantung kepada rokok.

Katanya, cukup menyedihkan sepanjang pengalamannya sebagai perunding, bukan saja ada pesakit yang pernah melalui serangan strok tetapi masih meneruskan tabiat merokok sebaliknya ada pesakit yang gagal, mengambil keputusan membunuh diri, hasil kesan sampingan berhenti merokok yang menyebabkan pesakit berasakan dirinya 'sakit'.

"Individu yang ingin berhenti merokok, bukan tidak mahu bertindak sedemikian, tetapi kerap kali mereka tidak mampu berdepan kesan sampingan berhenti merokok. Mereka dapati apabila berhenti, kehidupan menjadi teruk, motivasi mereka hancur dan rasa sakit seluruh tubuh," katanya mengulas mengenai aspek psikologi perokok yang gagal berhenti.

Maklumat terkini menunjukkan negara mempunyai kira-kira 2.73 juta perokok dengan bilangan perokok Melayu paling tinggi iaitu 1.66 juta atau 60.9 peratus berbanding paling sedikit di kalangan masyarakat India dengan jumlah 150,000 perokok atau 13.7 peratus saja.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan penggunaan tembakau mungkin menyebabkan lebih satu bilion kematian sepanjang abad ini, dengan China dan India masing-masing menganggarkan hampir satu juta rakyat mereka maut akibat tembakau setiap tahun.

Abad ke-20 mencatatkan 100 juta kematian akibat tembakau dan dijangka meningkat 10 kali ganda abad jika tindakan berkesan tidak diambil dengan segera.

Penulis ialah Pengarang Rencana & Laporan Khas, Berita Harian

Semangat nasionalisme kaum bukan Melayu

TULISAN saya minggu lalu bertajuk 'Semangat nasionalisme pencetus kemerdekaan negara' mendapat reaksi daripada salah seorang pembaca.

Melalui e-mel yang dikirim, pembaca berkenaan menanyakan tidakkah wujud semangat nasionalisme di kalangan bukan Melayu yang turut menyumbang kepada kemerdekaan negara. Ia satu soalan yang baik untuk difahami warga Malaysia, terutama generasi muda.

Memang tulisan saya minggu lalu menyentuh secara ringkas semangat nasionalisme Melayu sehingga terkuburnya Malayan Union (1946). Reaksi tegas yang ditunjukkan oleh orang Melayu menyebabkan British menarik balik Malayan Union dan menggantikannya dengan Persekutuan Tanah Melayu (1948) melalui perjanjian Persekutuan Tanah Melayu pada 1 Februari 1948.

Melalui perjanjian itu, konsep Persekutuan Tanah Melayu dengan sebuah Kerajaan Pusat, konsep Raja Berperlembagaan dan ciri demokrasi diperkenalkan dan dilaksanakan. Perubahan ini merintis ke arah kemerdekaan tanah air. Perjanjian Persekutuan 1957 yang ditandatangani pada 15 Ogos 1957 melahirkan Perlembagaan Tanah Melayu dan kemudiannya kemerdekaan dicapai pada 31 Ogos 1957. Tokoh berbilang kaum seperti Tunku Abdul Rahman Putra, Tun Abdul Razak Hussein, Tan Cheng Lock, Tun H S Lee dan Tun V T Sambanthan adalah tokoh kemerdekaan negara yang dikenang sehingga kini. Tokoh pelbagai kaum ini jugalah bersama-sama bersetuju dengan ‘kontrak sosial’ yang dirangka sebagai elemen penting membina dan menyatu padukan rakyat.

Hari ini, apa yang dipersetujui itu mula dipersoal oleh segolongan generasi muda yang bongkak lagi buta sejarah. Beberapa sarjana seperti Profesor Cheah Boon Kheng melihat selepas perang muncul satu bentuk semangat nasionalisme baru yang dikenali sebagai nasionalisme Malaya.

Ia dicetuskan oleh gabungan Putera-AMCJA (1947). Putera ialah singkatan untuk Pusat Tenaga Rakyat yang dipimpin Ahmad Boestamam sementara AMCJA singkatan untuk Majlis Tindakan Bersama Seluruh Malaya pimpinan Tan Cheng Lock. Gabungan ini bermula melalui penubuhan Jawatankuasa Bertindak 1946 yang diketuai Tan Cheng Lock sebagai Presidennya. Yang perlu difahami ialah gabungan ini terdiri daripada parti berhaluan kiri.

Bahkan sebahagian ahli AMCJA sendiri dipengaruhi oleh Parti Komunis Malaya. Namun, seperti pendapat Prof Cheah bahawa gabungan itu adalah satu usaha awal perjuangan parti politik berlainan kaum dalam satu gabungan atau pakatan. Gabungan itu cuba menghalang perisytiharan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1948. Bagi mereka, Perlembagaan terbabit tidak menggambarkan sifat demokratik serta masih bercirikan penjajahan. Pakatan itu mengusulkan satu cadangan Perlembagaan dikenali sebagai Perlembagaan Rakyat.

Banyak perkara kontroversi berbangkit dalam Perlembagaan Rakyat. Di antaranya ialah kompromi AMCJA menerima cadangan supaya istilah ‘Melayu’ diterima sebagai satu bentuk kerakyatan untuk semua penduduk Tanah Melayu tanpa mengira etnik atau kaum.

Cadangan ini diterima baik oleh Putera tetapi mendapat tentangan kaum Cina dan India yang menganggap ia akan menghapuskan identiti mereka. Selain itu, walaupun gabungan terbabit menerima kedudukan Raja Melayu dan keistimewaan orang Melayu, dalam cadangan Perlembagaan Rakyat tidak langsung disentuh perkara berkenaan.

Ia sudah tentu menjadi keraguan kepada orang Melayu. Walaupun gabungan itu cuba membawa satu dimensi baru dalam politik tanah air ketika itu tetapi ia dilihat tidak sesuai. Perjuangan mereka gagal dan Persekutuan Tanah Melayu yang dipersetujui British dan Umno diisytiharkan pada 1948. Saya amat bersetuju dengan pandangan seorang sarjana bernama James Ongkili yang melihat nasionalisme Malaya yang berkembang secara beransur-ansur pada awal 1950-an membawa kepada terbinanya kerjasama Umno, MCA dan MIC. Justeru, Ongkili menolak gabungan Putera-AMCJA sebagai pengasas kepada nasionalisme Malaya.

Apa pun, bagi saya nasionalisme Melayu harus dipandang sebagai teras nasionalisme Malaya dan perjuangan kemerdekaan. Mengapa? Pertama, secara akar umbinya warisan politik dan budaya Melayu adalah wajah keseluruhan Tanah Melayu berabad lamanya. Kedua, selama lebih 500 tahun orang Melayu dijajah dan orang Melayu yang bangkit menentang penjajah dengan penuh tenaga dan upaya.

Ia lahir daripada semangat cintakan tanah air, bangsa dan agama. Ketiga, sayugia dimengerti sebelum terkuburnya Malayan Union orang bukan Melayu masih berorientasikan kepada negara asal mereka. Sebahagian kaum bukan Melayu mula menunjukkan semangat nasionalisme apabila negara mula mengorak langkah ke arah kemerdekaan yang menjanjikan hak kerakyatan kepada mereka.

Ingin saya menyokong hujah di atas dengan merujuk kepada tulisan James Ongkili bertajuk The British and Malayan Nationalism, 1946-1957 (dalam JEBAT bil.1,1971/72) yang menyifatkan nasionalisme Malaya adalah kesinambungan daripada semangat nasionalisme Melayu 1946.

Oleh Mohd Ayop Abd Razidayop_60@yahoo.com
Penulis ialah Pegawai Perhubungan Awam di Jabatan Hal Ehwal Khas, Kementerian Penerangan

Tuesday, August 19, 2008

Teguhkan nasionalisme

Mendiang J.F. Kennedy pernah berkata: "Jangan tanya apa sumbangan negara pada anda sebaliknya tanya apa yang telah anda sumbangkan untuk negara." Ne- gara adalah pelindung, sempadan yang mencirikan identiti individu. Negara punyai kedaulatan, rakyat, kerajaan pemerintah dan kewujudannya diiktiraf di arena antarabangsa.

Sebab itu, Malaysia merupakan antara negara bertuah. Nikmat aman, stabil, kepimpinan yang peka pada rakyat selain masyarakatnya yang berdisiplin merupakan antara ramuan yang telah memastikan kelangsungan negara ini semenjak mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.

Daripada konsep Semenanjung Tanah Melayu kemudiannya dilebarkan melalui gagasan Malaysia pada 16 September 1963 merangkumi Sabah dan Sarawak.

Konsep negara Persekutuan yang lahir kemudian memperlihatkan era pembangunan, kemajuan ekonomi dan integrasi antara rakyat berbilang kaum menjadi makin rencam.

Siapa pun tidak boleh menafikan hakikat bahawa idealisme kepimpinan yang dimulai Almarhum Tunku Abdul Rahman telah membolehkan negara menikmati kemerdekaan tanpa pertumpahan darah.

Labelkanlah apa sahaja sama ada kemerdekaan diperolehi dalam dulang emas atau perak, realitinya, jutaan nyawa dapat diselamatkan hasil muafakat dengan penjajah British.

Dalam masa yang sama juga lebih dua juta imigran beroleh hak kewarganegaraan sebaik sahaja negara merdeka berkat konsensus kontrak sosial antara Almarhum Tunku, Tun Sambanthan dan Tun Tan Siew Sin.

Dengan pampasan jaminan hak istimewa Melayu, kedaulatan Raja Melayu, serta Islam sebagai agama Persekutuan sebagai tukaran. Inilah semangat dan kerangka Perlembagaan Persekutuan yang menjadi nadi kepada pengekalan keamanan dan kelangsungan selain mencorakkan sejarah negara ini.

Hanya mereka yang buta sejarah, ego dengan tafsiran perundangan yang sempit dan lupa asal-usul sahaja masih cuba berkonfrantasi dengan apa yang telah tersurat dan tersirat.

Satu tindakan yang jelas mengkhianati sejarah dan menafikan muafakat pimpinan berbilang kaum terdahulu.

Sebab itu bukalah, telitilah mana-mana catatan buku sejarah atau kajian ilmiah, tidak dapat dinafikan bahawa asas nasionalisme negara dibangunkan atas puin-puin nasionalisme Melayu (mengambil kata-kata Allahyarham Rustam A. Sani).

Sistem politik dan pemerintahan terawal di Tanah Melayu jika mahu diambil Empayar Melaka sebagai asasnya (1403-1511) adalah sistem beraja mutlak (absolute monarchy). Sebab itu pengertian kerajaan yang diguna pakai sehingga ke hari ini menunjukkan hakikat wujudnya keadaan beraja.

Bezanya tindak-tanduk raja selepas merdeka diregulasikan oleh Perlembagaan, Raja sebagai simbol kedaulatan, perpaduan, selain menjalankan tugas-tugas asasi sebagai Ketua agama Islam dan pelindung adat-istiadat Melayu dan hak istimewa Melayu.

Timbulnya hak istimewa Melayu bukanlah satu tanda diskriminasi, atau bermatlamat mendiskriminasikan hak kaum lain. Akan tetapi berupa satu penegasan hak lantaran Melayu adalah pribumi, penduduk asal yang membangun, mendiami dan mencorakkan landskap sosiopolitik negara ini.

Kemudiannya dengan perkembangan peluasan tanah jajahan dan pengaruh ekonomi kapitalis, penjajah silih berganti. Bermula dari Portugis (1511-1641), Belanda (1641- 1824), British (1786-1957), Jepun (1942- 1945), Bintang Tiga (1945) selain kuasa Siam dan beberapa buah kuasa Eropah lain yang menduduki wilayah dalam Semenanjung Tanah Melayu secara yang terhad, misalnya Jerman di Langkawi.

Jika diamati dalam konteks penjajah British, yang paling lama menakluk negara, jaminan hak istimewa Melayu ini diakui sebagai misalan melalui pengenalan Undang-Undang Tanah Simpanan Melayu yang berkuat kuasa di Negeri-Negeri Melayu Bersekutu mulai 25 November 1913.

Satu bukti bahawa penjajah sendiri mengakui pentingnya dilindungi hak dan kepentingan Melayu sebagai teras kestabilan politik yang makin diancam akibat perkembangan ekonomi dagang, sistem kapitalis dan himpitan daripada kaum imigran yang semakin ramai mencari rezeki di Tanah Melayu.

Kepercayaan

Justeru, apabila negara mencapai kemerdekaan, apa yang dilakukan oleh pimpinan ialah memulangkan semula jaminan hak yang selama ini dipunyai oleh kaum Melayu. Dalam masa yang sama sebagai menghargai sumbangan kaum pendatang dalam perkembangan sosioekonomi negara, maka hak-hak kaum lain dari sudut beragama, berbudaya, pendidikan, malah berpolitik dibiarkan terus dominan.

Lantaran itu, sebagai memahami realiti masyarakat majmuk yang ada, dan bagi memenuhi kehendak serta aspirasi pelbagai maka diwujudkan konsep perkongsian kuasa melalui perikatan badan siasah dan politik. Ia ditandai pada 1952, gabungan UMNO dan MCA dalam Pilihan Raya Majlis Bandaran Kuala Lumpur.

Formula yang ternyata baik ini kemudian dilanjutkan pada Pilihan Raya Umum Majlis Perundangan Persekutuan 1955, yang menyaksikan barisan kabinet pertama Tanah Melayu telah dibentuk.

Politik permuafakatan inilah menjadi landasan kepada gabungan parti politik secara besar-besaran menerusi Barisan Nasional pada tahun 1974, setelah terlampau banyak unsur politiking berlaku dalam kemelut kempen Pilihan Raya Umum 1969 sehingga menyebabkan timbulnya Tragedi 13 Mei.

Secara konsisten BN terus diberi mandat sehingga Pilihan Raya Umum Ke-12, 8 Mac 2008 sungguhpun tewas di lima buah negeri. Akan tetapi pentadbiran Kerajaan Persekutuan masih diberikan kepercayaan kepada BN atas faktor pengalaman dan keupayaan mentadbir yang telah dibuktikan selama ini.

Rencah, suka duka, pengalaman pahit manis terbentuknya gagasan negara bangsa ini sewajarnya diinsafi. Dari sudut kepimpinan, kita punyai konsistensi dari sudut dasar, keterbukaan dan matlamat mengutamakan kepentingan nasional.

Pimpinan negara semenjak dari zaman Almarhum Tunku melakukan sedaya mungkin usaha terbaik dengan meletakkan sesuatu pada tempatnya.

Pimpinan kita bukan diktator. Tidak juga autoritarian yang menjadikan jawatan sebagai pewarisan.

Pimpinan kita juga bukannya gemar berkonflik ataupun berusaha meluaskan hegemoni wilayah seperti mana tangan- tangan berdarah yang dipusakai oleh keluarga Bush di Amerika Syarikat.
Pemimpin kita adalah nasionalis sejati, yang meletakkan keutamaan nasional sebagai tanda aras utama untuk diperjuangkan.

Masyarakat negara ini amat cintakan keamanan. Penyumbang utama kestabilan negara, kemakmuran ekonomi sejati. Mudah mengikut arahan pimpinan, tidak banyak merungut, bekerja kuat, berdisiplin, mengatur hidup dalam suasana kemajmukan masyarakat mengikut apa yang telah ditetapkan oleh Perlembagaan negara. Kuat amalan agamanya, toleran, menghormati antara satu sama lain.

Birokrat negara pula merupakan jentera pentadbiran yang cukup efisien, bersistematik dan menjadi antara nadi utama dalam proses pembangunan negara.

Ekonomi negara ini pula yang dilimpahi dengan hasil dari hutan, laut, perut bumi, dan pelbagai pengayaan barangan lain hasil kreativiti dan kepakaran rakyat tempatan. Semua ini menjadikan Malaysia antara negara perdagangan yang paling kompetitif dan cergas di dunia.

Tarikan pelaburan dan perhatian pelbagai syarikat multinasional. Hak beragama dijamin, kebebasan bersuara makin meluas, apatah lagi melalui medium siber yang menjadi antara pentas terkini dalam dasar langit terbuka.

Hak berpersatuan, mengeluarkan pendapat juga adalah yang terbaik meskipun masih banyak ruang yang boleh diperbaiki. Kepelbagaian budaya, ragam, sehingga juadah makanan menjadikan negara ini unik, lalu terbentuklah gagasan 'kesatuan dalam kepelbagaian.'

Keamanan

Namun, era semasa menyaksikan, keharmonian dan kerukunan hidup dan usaha membina jati diri bangsa Malaysia makin terhakis. Suasana politik selepas PRU ke- 12, menularnya fahaman hak asasi manusia yang melampau, adanya cabaran dan agenda pihak tertentu yang terselindung atas nama hak dan perundangan makin menjerumuskan kekuatan bangsa ini ke lembah kacau-bilau.

Tuntutan yang dibuat mula melampaui semangat kontrak sosial yang telah terpatri kukuh sekian lama. Himpitan ekonomi menyebabkan masyarakat makin celaru. Persaingan merebut kuasa menyebabkan fitnah besar dan kecil bermaharajalela.

Lantas timbul tuduhan 'saya benar, anda salah.' Api perkauman, sentimen keagamaan ditiupkan, golongan subversif mula mengambil tempat. Atas nama perjuangan dan didokongi sentimen primordial, hak dan perasaan kaum majoriti mula diapi- apikan.

Ironinya bagi golongan ini, keadilan hanya wujud apabila semua hak yang telah pun dijamin untuk kelompok majoriti berjaya direbut dengan apa cara sekalipun.

Menyedari hakikat itulah, sebelum bara dan api kekacauan mula merebak, sambutan Kemerdekaan kali ke-51 yang bakal disambut pada 31 Ogos ini harus menjadi satu hari untuk seluruh rakyat bermuhasabah diri.

Mana yang lebih penting, keamanan berkekalan atau kacau-bilau buatan sendiri akibat sentimen perkauman? Mana lebih utama, keharmonian dan kerukunan hidup antara Ali, Muthu, Ah Kaw, Joseph, dan Awang dengan pergaduhan sesama bangsa akibat salah sangka dan prejudis yang menebal?

Mana lebih penting antara kebebasan beragama yang dinikmati sekarang dengan rumah ibadatnya, kelonggaran menjalankan ritual dan upacara budaya mengikut anutan agama masing-masing dengan krisis antara agama seperti mana di Ambon, Indonesia, Myanmar dan Ayodha di India sedikit masa dahulu?

Pilihan di tangan kita, umumnya majoriti rakyat Malaysia tidak sanggup mengulangi episod duka dan hitam yang telah merencatkan pembinaan tamadun negara bangsa suatu ketika dahulu.
Umumnya rakyat Malaysia masa kini lebih matang, bijak, rasional dan menolak secara menyeluruh faham perkauman sempit, politik agama dan pergeseran kaum yang tidak menguntungkan.

Lantaran itu sambutan hari kemerdekaan kali ke-51 tahun ini harus dijadikan suatu gerak kerja untuk kembali memperkasa dan memperteguh nasionalisme bangsa.

Dengan matlamatnya memastikan Malaysia sebuah negara berdaulat, terus aman, makmur, kekal harmoni untuk diwarisi oleh generasi akan datang.

Wednesday, August 6, 2008

Dirotan kerana berbahasa Melayu

PADA 31 Julai 2008 lalu Sekolah Menengah King Edward VII Taiping menyambut ulang tahun ke-125. Penulis adalah antara ribuan bekas pelajar sekolah tersebut yang terkenal dengan nama singkatan KE.

Januari 1960 penulis menjejakkan kaki buat pertama kalinya ke Sekolah KE untuk memulakan pengajian di dalam kelas peralihan (remove class). Sebahagian besar daripada lebih kurang 30 pelajar kelas peralihan adalah anak-anak Melayu berasal dari sekolah Melayu dari jajahan Larut, Matang dan Selama.

Kumpulan kedua terbesar ialah anak-anak kaum India bekas pelajar Sekolah Tamil dan berasal dari beberapa buah estet dari jajahan yang sama. Sementara dua orang pelajar Cina berasal dari bandar Taiping kalau tidak silap penulis bekas pelajar sekolah Chung Hwa.


Kini setelah 48 tahun kenangan semasa di KE khususnya kelas peralihan masih jelas dalam ingatan. Paling geli hati ialah ketika mengenangkan jerit pekik para pelajar ketika dirotan oleh guru kelas yang terkenal dengan garangnya. Nama guru keturunan Ceylonese (Sri Lanka) ini tidak perlulah ditulis di sini.

Tetapi tidak ada antara kami yang ambil hati mengenai perkara itu. Bahkan ketika bertemu dengan kawan-kawan lama dan apabila peristiwa tersebut ditimbulkan ia menjadi bahan ketawa.
Namun jasa guru ini tidak ada tolak bandingnya. Tanpa sikapnya yang garang sudah pasti ramai yang tidak boleh maju dalam pelajaran khususnya pemahaman bahasa inggeris. Maklumlah pelajar-pelajar dari sekolah Melayu dan Tamil mempunyai keupayaan bahasa inggeris yang amat rendah.

Hari pertama tiba di KE dengan ayah. Guru ini bertanya penulis tujuan datang ke sekolah. Dalam keadaan takut penulis menjawab "nak mengaji cikgu" dalam bahasa Melayu. Ayah mengambil kesempatan memberitahu guru supaya melakukan apa sahaja asalkan anaknya jadi pandai.

Ayah nampaknya tidak dapat membezakan antara guru sekolah biasa dengan guru sekolah agama. Ketika menghantar anak-anak untuk belajar Quran ibu bapa ketika itu melafazkan kata-kata keramat iaitu guru Quran boleh berbuat apa sahaja terhadap anak-anak mereka asalkan jangan patah atau mati.

Pesanan yang sama diberi oleh ayah kepada guru kelas yang secara kebetulan terkenal dengan garangnya. Oleh kerana di peringkat pemulaan ramai antara kami yang tidak boleh berbahasa inggeris beliau terpaksa bercakap dalam bahasa Melayu dan Tamil. Hinggakan ramai pelajar Melayu yang boleh berbahasa Tamil.

Ketika itu guru-guru masih boleh menggunakan rotan. Malahan pelajar-pelajar yang melakukan kesalahan yang amat berat sering dirotan (public canning) di perhimpunan pagi atau di dalam bilik guru besar.

Sebahagian besar dari para pelajar ketika itu (sebelum bermulanya sekolah menengah Melayu) adalah terdiri dari kaum Cina. Ini tidak dihairankan kerana Cina merupakan kaum majoriti di bandar Taiping.

Sementara sebahagian besar daripada pelajar Melayu berasal dari kampung-kampung. Mereka memulakan pelajaran sama ada sebagai pelajar Kelas Khas Melayu (Special Malay Class- SMC) atau pelajar-pelajar kelas peralihan.

Untuk memasuki SMC para pelajar hendaklah lulus peperiksaan biasanya diambil oleh pelajar-pelajar darjah empat sekolah Melayu. Sementara pelajar-pelajar kelas peralihan pula dikehendaki lulus peperiksaan darjah enam yang dipanggil Peperiksaan Memasuki Sekolah Menengah (Secondary School Entrance Examination).

Di kalangan guru-guru pula boleh dikatakan hampir 80 peratus adalah dari kaum Cina. Selebihnya ialah Melayu dan India. Sementara guru besar ketika itu ialah W.V. Hobson berketurunan Inggeris.

Rata-rata pelajar Melayu dan India adalah dari keluarga miskin. Hinggakan stoking merupakan satu komoditi yang amat berharga.

Penulis sendiri terpaksa mengayuh basikal sejauh tiga batu sebelum menaiki bas sejauh 19 batu. Tambang bulanan bas sebanyak RM19 melebih 20 peratus gaji bulanan ayah. Lantaran itu emak terpaksa menoreh getah untuk menambah pendapatan. Malahan penulis sendiri menoreh getah dihujung minggu dan ketika cuti penggal.

Pernah ayah memohon bantuan tambang bas (tak ingat dari pihak mana) tetapi ditolak dengan alasan ayah mempunyai pendapatan tetap RM70 sebulan. Gaji sebanyak itu dikira lumayan ketika itu. Ini bermakna ramai orang Melayu yang berpendapatan bulanan lebih rendah daripada jumlah tersebut.

Namun penulis amat bangga dengan visi ayah yang mahukan anaknya belajar di sekolah Inggeris walaupun terpaksa bekerja keras untuk mengumpul wang. Seringkali ayah membawa penulis ke pejabat Tanah Taiping ketika beliau menerima gaji. Sebenarnya beliau mahu penulis mendapat inspirasi supaya belajar dengan tekun. Kalau tidak dapat jadi Pegawai Daerah (DO) jadi kerani pun jadilah.

Sebenarnya KE mempunyai jutaan rahsia dalam usianya selama 125 tahun. Meskipun ia pernah menghasilkan ribuan tokoh terkemuka negara, tetapi tidak kurang juga yang terkandas di tengah jalan. Khususnya anak-anak Melayu di awal 60an.

Ketika itu belum ada Dasar Ekonomi Baru (DEB) atau sistem kuota.

Rasanya keadaan sekarang amat berbeza dengan awal 60an dalam berbagai segi. Dari komposisi guru hingga para pelajar dan taraf hidup ibu bapa.

Para pelajar pula rasanya tidak perlu membawa bekal dari rumah ketika menghadiri kelas tengah hari seperti mana yang penulis pernah rasai dulu.

Yang jelas para pelajar tidak lagi dirotan semata-mata kerana bercakap mengguna bahasa Melayu dalam kawasan sekolah.

Selamat jadi keutamaan

DENGAN peranannya sebagai lebuh raya utama yang dilalui oleh ribuan kenderaan saban hari, soal keselamatan di sepanjang Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) seharusnya tidak menjadi satu isu.
Namun keretakan terbaru yang berlaku pada topang tiang 28 berhampiran dengan stesen komuter Kepong, Rabu lalu, meletakkan nyawa pengguna jalan raya pada situasi yang membahayakan.
Sejak peristiwa keretakan dua batang penyokongnya yang berlaku pada 2004, peristiwa terbaru yang berulang dalam tempoh yang singkat itu menimbulkan kehairanan luar biasa di kalangan pengguna jalan raya.
Malah, apa yang lebih membimbangkan, jejambat MRR2 yang ditopang oleh 33 tiang itu sejak peristiwa empat tahun lalu merekodkan kejadian keretakan yang agak kerap, termasuk kejadian pada Februari 2006.
MRR2 bukanlah satu-satunya jejambat lebuh raya yang ada di negara ini, malah ada lebuh raya bertingkat yang lebih tinggi dibina di seluruh negara, tetapi tidak pernah dilaporkan mengalami masalah yang serupa.
Jika boleh dilihat dari sudut kejuruteraan, pembinaan tiang jejambat lebuh raya sememangnya disesuaikan dengan beban trafik yang dijangkakan.
Ini bermaksud jumlah kenderaan yang menggunakan lebuh raya tersebut langsung tidak mempengaruhi ketahanan jejambat lebuh raya yang dibina.
Justeru daripada pemahaman yang mudah, sekiranya beban trafik itu dilayani dengan bahan binaan seperti besi dan simen yang mencukupi serta sewajarnya, maka untuk berlakunya keretakan adalah mustahil sama sekali.
Lalu melihat kepada siri kejadian keretakan di MRR2, bukanlah sesuatu yang sukar untuk menyimpulkan bahawa kerja-kerja pembaikan jejambat MRR2 selepas kejadian pada 2004 dan 2006 lalu tidak dilakukan dengan sempurna.
Lebih jelas seperti yang dinyatakan oleh Ketua Program Pengurusan Persekitaran,
Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia, (UKM), Prof. Dr. Abd. Rahim Md. Nor, pembaikan itu hanya dilakukan pada bahagian luar sahaja dan mengabaikan pemulihan asas strukturnya yang tidak kukuh.
Ibarat ditampal 'plaster' besi pada bahagian luar jejambat, keretakan yang berlaku ujar beliau, tidak mungkin dapat dibaikpulih sepenuhnya dan bahagian jalan raya yang terkopek serta simen yang jatuh akan terus berlaku pada masa depan.
''Hakikatnya, keretakan itu berlaku kerana reka bentuk serta kuantiti dan kualiti bahan binaan yang digunakan pada pembinaan di peringkat awal tidak sesuai. Justeru, kerja-kerja pembaikan perlu dijalankan di peringkat akar umbi, bukan pada bahagian permukaan sahaja," katanya.
Seperkara yang menarik perhatian seperti yang turut disentuh oleh Abd. Rahim ialah kesediaan kerajaan untuk mendedahkan laporan hasil siasatan syarikat perunding, Halcrow Group Limited (Halcrow) ke Parlimen.
Kajian itu yang dijalankan selepas kejadian keretakan MRR2 sebelum ini perlu dikongsi dengan orang ramai bagi menguraikan kesangsian dan tanda tanya mengenai punca sebenar kejadian tersebut.
Paling utama, ia juga dapat dijadikan rujukan dan perbincangan di kalangan pakar serta jurutera mengenai kaedah terbaik dalam mencari penyelesaian membaik pulih tiang jejambat itu berpandukan kajian yang dilakukan oleh sebuah badan profesional.
Abd. Rahim menambah, jika kerajaan dalam menangani isu keretakan di MRR2 itu kekal dengan pendekatan yang diambil ketika ini atau selepas kejadian lalu, maka sebarang usaha membaik pulih keretakan itu tidak mungkin akan berjaya.
Sememangnya apa yang harus dilakukan oleh kerajaan dalam mendepani isu keretakan itu ialah mengkaji punca berlakunya keretakan dan kemudiannya membaiki kerosakan tersebut.
Namun bagi pensyarah Kulliyyah Senibina dan Reka Bentuk Alam Sekitar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Khairusy Syakirin Has-yun Hashim, apa yang perlu benar-benar difahami daripada kajian itu ialah adakah ia disebabkan oleh pembaikan yang dilakukan sebelum ini atau berpunca ekoran kegagalan ketika proses merekabentuk jejambat tersebut dari awal lagi.
''Ini kerana jika keretakan itu berpunca daripada kegagalan daripada reka bentuk yang awal lagi, maka kerja-kerja pembaikan yang dilakukan akan menjadi sia-sia, ibaratnya kita membetulkan sesuatu yang sudah sedia rosak, maka hasilnya akan menjadi lebih rosak lagi," katanya,
Tidak menolak kualiti bahan binaan yang rendah juga boleh menjadi antara faktor kejadian terbaru, namun apa yang paling dibimbangi oleh beliau ialah keretakan itu berpunca daripada kegagalan manusia.
Apa yang cuba dijelaskan ialah apabila pembinaan jejambat jalan raya itu dilaksanakan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab maka sekali gus kerja pembinaan berlangsung secara tidak ikhlas.
Dalam keadaan seperti itu, kerja-kerja pembinaan pastinya menolak kepada kualiti sebaliknya dilakukan hanya sekadar memenuhi kontrak yang diperoleh atau 'janji siap'.
Sekiranya hasil siasatan menemukan faktor kegagalan manusia sebagai punca, ia pastinya sesuatu yang sangat mendukacitakan kerana pembinaan jejambat itu membabitkan nyawa pengguna jalan raya.
Justeru, apa yang diharapkan oleh orang ramai ketika ini, kerajaan tidak hanya berusaha untuk membaik pulih jejambat MRR2 sekadar hanya boleh dilalui dalam tempoh terdekat, tetapi memastikan ia selamat untuk digunakan dalam jangka masa yang panjang.
Malah, sekiranya usaha itu memerlukan pembaikan sehingga menggantikan semula semua struktur tiang yang menopang jejambat MRR2, ia juga bukan satu kompromi bagi mengelak bencana yang lebih dahsyat pada masa depan.

Mewujudkan Melayu minda kelas pertama

MEMPEROLEH peluang belajar di kota London - kota yang dikatakan mempunyai penduduk fikiran kelas pertama - sememangnya merupakan satu peluang keemasan yang dinanti-nantikan. Apabila mula bergaul dengan penduduk setempat, kesempatan pertama yang diambil ialah memerhatikan cara hidup masyarakat London yang begitu dikagumi oleh seluruh pelosok dunia termasuk dari Malaysia.
Apakah rahsia mereka? Adakah disebabkan budaya mereka yang suka berparti di pub-pub semasa hujung minggu? Atau aktiviti bertukar-tukar pasangan yang menjadi sebahagian budaya hidup mereka?
Daripada pemerhatian penulis, apa yang menyebabkan masyarakat di sini begitu pesat membangun adalah budaya membaca yang sudah tertanam di dalam diri mereka.
Mereka membaca pelbagai jenis bacaan, daripada bahan bacaan picisan yang dijual di tepi-tepi jalan kepada bahan bacaan intelektual yang tinggi. Budaya inilah yang menyebabkan penduduk di kota London khasnya dan penduduk England amnya maju dengan begitu pantas.
PemikiranIlmu berkembang begitu pantas dan pemikiran mereka adalah begitu tajam dan kritis disebabkan oleh sikap mereka yang cintakan membaca. Ini amat jauh dari budaya masyarakat Melayu yang lebih suka melepak di surau-surau, di kedai kopi dan kompleks membeli belah.
Amalan ini seolah-olah merupakan satu budaya yang sudah sebati dengan bangsa Melayu, tidak kira umur, daripada tok lebai yang sering ke masjid, ibu-ibu yang tidak bekerja kepada anak anak remaja yang membuang masa di kompleks membeli belah. Justeru, penulis tidak hairan mengapa kita begitu lambat untuk membangun.
Pengalaman yang penulis tidak dapat lupakan adalah apabila melihat penganggur di kota London meminta sedekah sambil membaca buku. Penulis begitu mengagumi sikap mereka. Mereka mengetahui bahawa dengan ilmulah, nasib mereka dapat diubah.
Maka tidak hairanlah jika mereka sering dikaitkan sebagai golongan yang mencipta, dan masyarakat timur hanya dikaitkan dengan golongan yang hanya mampu mengubah atau mengubahsuai bahan yang dicipta dari timur.
Sekali lagi penulis ingin menekankan agar masyarakat Melayu mengubah sikap mereka kepada budaya membaca. Ingatlah, apabila kita membuang masa berborak di kedai-kedai kopi dan di kompleks membeli belah, masyarakat lain sedang sibuk untuk menuntut ilmu, mengembang idea dan menggembleng tenaga untuk mengubah nasib mereka. Jika dibiarkan, kita akan jauh ketinggalan. Masa untuk bekerja dan kurangkan bercakap.

Tolak unsur rugikan Malaysia dalam rundingan FTA

SEJAK rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) Malaysia-Amerika Syarikat dilancarkan pada 8 Mac 2006, sebanyak lapan pusingan rundingan telah diadakan termasuk yang paling terkini pada 14 hingga 18 Julai lalu di Washington.
Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dalam kenyataannya berkata, Malaysia dan AS menggariskan pelan kerja susulan khusus yang disasarkan siap menjelang 1 Oktober ini bagi mempermudahkan lagi siri rundingan pada masa depan.
Aspek rundingan di pihak kerajaan telah menarik perhatian pelbagai pihak daripada rakyat biasa, peserta industri sehinggalah kepada penggubal dasar di Dewan Rakyat.
Mereka mendakwa FTA tersebut hanya akan menguntungkan AS dan boleh mengheret Malaysia ke dalam jerangkap penjajahan ekonomi.
Ahli Parlimen Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed yang merupakan seorang akauntan profesional baru-baru ini turut meminta kerajaan agar membentangkan FTA di antara Malaysia-AS di Parlimen untuk diluluskan.
Beliau mahukan butir-butir rundingan didedahkan kerana ia melibatkan kepentingan orang ramai.
Nur Jazlan menyuarakan kebimbangannya terhadap proses rundingan, meskipun mengetahui kedudukannya sebagai ahli politik Barisan Nasional (BN) akan mudah dilihat serong jika mengkritik kerajaan pada hari ini.
Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili rakyat di peringkat akar umbi seperti Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Sahabat Alam Malaysia (SAM) turut menyuarakan kebimbangan mereka mengenai hala tuju FTA ini.
Menurut CAP, isu-isu khusus yang telah ditolak dalam rundingan WTO telah 'menyelinap balik' menerusi FTA yang disifatkan jauh lebih agresif.
Dalam konteks ini, umum dapat mengerti kegelisahan rakyat berhubung FTA.
Perundingan perjanjian yang begitu penting dan mempunyai kesan besar kepada Dasar Pembangunan dan Sosial Negara telah dijalankan dengan secara sulit dan tidak pernah dibentang kepada Parlimen untuk perbahasan. Keputusan perundingan tersebut hanya diperhalusi dan diluluskan oleh Kabinet.
Sewajarnya kerajaan membentangkan hasil perundingan tersebut di Parlimen dan mendapatkan kelulusan dari Parlimen untuk mencerminkan persetujuan rakyat kepada perjanjian tersebut.
Kerajaan AS juga tertakluk kepada Kongres Amerika untuk kelulusan sebarang rundingan demi menjaga kepentingan rakyat mereka.
Pentingnya untuk kerajaan menilai daripada sudut Malaysia ini digariskan dalam empat perkara berikut: Pertama, kerajaan belum pernah membuat satu analisis kos berbanding manfaat yang berkecuali mengenai sama ada perjanjian ini menguntungkan Malaysia dalam jangka masa panjang atau tidak.
Malaysia perlu belajar dari pengalaman kerajaan Mexico yang bersetuju dengan perjanjian NAFTA , yang pada mulanya rakyat Mexico merasakan NAFTA menguntungkan negara mereka apabila pelaburan asing dalam sektor pembuatan yang masuk mencurah-curah ke Mexico dari AS kerana kelebihan kos operasi di Mexico yang rendah.
Namun apabila kos operasi di Mexico meningkat setelah beberapa tahun, pelabur asing di negara itu telah memindahkan operasi mereka ke negara lain yang lebih murah seperti China dan meninggalkan Mexico dalam keadaan ekonomi yang mundur semula.
Perjanjian NAFTA itu juga mempunyai akibat yang lebih besar iaitu syarikat kewangan dan perkhidmatan AS telah berjaya menguasai sektor-sektor yang penting di Mexico hasil pembukaan sektor pasaran tersebut kepada syarikat-syarikat AS yang merupakan antara intipati syarat perjanjian NAFTA.
Kedua, rundingan FTA Malaysia-AS jelas berat sebelah dan memberikan kelebihan kepada AS. Antara tawaran yang diberikan kepada Malaysia adalah pembukaan pasaran AS kepada produk Malaysia yang memang telah lama dinikmati oleh negara ini.
Tawaran AS untuk mengurangkan tarif perusahaan daripada 3 peratus kepada 0 peratus tidak akan memberikan manfaat yang besar kepada negara ini.
Difahamkan antara sektor tambahan yang akan dibuka kepada syarikat Malaysia dalam FTA ini ialah pertahanan yang bernilai AS$200 bilion.
Malaysia adalah negara pembeli senjata, bukan pembuat senjata. Jadi, bagaimana syarikat Malaysia yang tidak mempunyai kepakaran antarabangsa dalam bidang pertahanan boleh memenangi kontrak untuk membekalkan senjata kepada tentera AS? Inilah contoh tawaran yang tidak bermakna kepada Malaysia.
Niat tersirat AS juga harus dipersoalkan untuk mengenakan sejumlah enam syarat tambahan tetap iaitu 'WTO (Pertubuhan Perdagangan Dunia) campur Enam', dalam perundingan FTA untuk memaksa Malaysia membuka sektor-sektor kritikal seperti perolehan kerajaan, pelaburan tempatan, perkhidmatan kewangan, telekomunikasi, e-perdagangan dan memperkenalkan dasar persaingan adil.
AS masih berkeras untuk mengenakan enam syarat tambahan ini walaupun ia telah dikecualikan daripada rundingan terbaru WTO di Doha beberapa tahun yang lepas. Kesimpulan yang boleh dibuat daripada tindakan AS ini ialah kuasa dunia itu mempunyai kepentingan besar dalam enam sektor industri tersebut.
Ketiga, Perjanjian FTA Malaysia-AS ini boleh memudaratkan dasar kepentingan bumiputera. Dasar liberalisasi penuh yang diamalkan dalam perjanjian FTA ini akan bercanggah dengan dasar membantu bumiputera di Malaysia. Kerajaan akan terpaksa memansuhkan dasar membantu bumiputra dalam sektor-sektor yang berkaitan dalam FTA. Tentunya kerajaan tidak boleh melaksanakan dasar liberalisasi tersebut dan mengabaikan kepentingan bumiputra tanpa menanggung akibat politik yang negatif di kemudian hari.
Keempat, peranan syarikat milik kerajaan atau GLC untuk membangunkan negara juga akan terjejas dengan FTA ini, terutamanya berkenaan dengan perolehan kerajaan, perkhidmatan, pelaburan dan dasar anti-kompetitif.
GLC diberikan perlindungan oleh kerajaan untuk membantu melaksanakan dasar pembangunan negara.
Di samping itu, GLC juga mempunyai tanggungjawab sosial yang penting. Sekiranya GLC dipaksa untuk membuka perniagaan mereka atau dilarang daripada memasuki sektor perniagaan tertentu disebabkan oleh peraturan anti-kompetitif, GLC dikhuatiri tidak akan dapat melaksanakan tanggungjawab mereka.
Dalam konteks ini, kerajaan perlu memiliki azam penuh untuk menolak syarat perjanjian yang tidak menguntungkan negara ini dan membatalkan perjanjian FTA Malaysia-AS sekiranya AS masih tidak mengubah pendirian. Ia hendaklah menguntungkan Malaysia. Bukan AS sahaja.

Saturday, July 26, 2008

SUKAN : Kemenangan adalah segala-galanya

(25/7/2008) TIDAK sampai dua minggu dari sekarang akan berlangsungnya Sukan Olimpik Beijing di mana lebih daripada 10,000 atlet seluruh dunia akan mengadu nasib mempamerkan kehebatan masing-masing. Atlet negara kita tidak ketinggalan berbuat demikian dan ia telah pun dilakukan sejak Sukan Olimpik 1956 di Melbourne, Australia.

Sudah tentu sebilangan atlet bercita-cita untuk memenangi pingat ketika beraksi di Beijing nanti selepas berbulan-bulan berlatih keras, sementara sebilangan atlet pula sekadar mengisi kuota penyertaan dan membantu menyuburkan semangat Charter Olimpik itu sendiri.

Layak ke Olimpik Beijing itu pun sesuatu yang membanggakan apatah lagi jika menang pingat yang dikategorikan sebagai terbaik. Memenangi pingat emas di Olimpik dianggap sebagai aksi cemerlang dan menjadi idaman kebanyakan atlet.

Bagaimanapun, tidak semua atlet mampu melakukannya kerana kemampuan yang berbeza-beza - ada yang unggul dan kurang unggul. Untuk memenangi pingat emas dilihat paling sukar sekali. Sesuatu yang sukar jika dapat diperolehi sudah tentu menjadi kebanggaan atlet yang dapat melakukannya.

Sungguhpun menang bukan dilihat segala-galanya, tetapi pencapaian seumpama itu penting sementelah dalam kehidupan kita juga memerlukan kemenangan dalam banyak aspek. Dalam konteks sukan kemenangan itu penting kerana atlet yang menang akan membawa imej positif kepada dirinya dan negara yang diwakilinya.

Fikirkanlah apabila atlet kita dapat menewaskan atlet hebat yang lain dari negara-negara serata dunia. Suatu ketika dahulu seorang jurulatih sukan berbangsa Amerika Syarikat bernama Vince Lombardi pernah berkata bahawa, 'Kemenangan adalah segala-galanya' (Winning is not everything but it is a thing). Kata-kata hikmat ini mempunyai maknanya yang tersendiri dan mampu merangsang atlet untuk keluar juara.

Bertarung di Olimpik ibarat pergi berperang. Semua atlet yang akan ke sana sudah tentu membuat persiapan rapi untuk menang 'peperangan' yang akan dihadapi. Dalam peperangan tulen, ada pihak yang akan menang dan ada yang kalah. Begitu juga di Olimpik Beijing nanti - ada atlet akan bergembira kerana memperolehi kemenangan dan tidak kurang bersugul kerana tewas. Walaupun tewas, seorang atlet perlu menerimanya dengan hati terbuka dan tidak semua atlet mahu tewas.

Banyak faktor yang menyebabkan seseorang atlet itu keluar juara dalam acara yang diikutinya, bukan hanya bergantung kepada kebolehan atlet semata-mata. Apa-apa boleh berlaku ketika beraksi di Beijing. Dijangka berlaku beberapa upset semasa Olimpik Beijing berlangsung nanti.
Kita lihat Beijing pada bulan depan sebagai medan 'peperangan' oleh para atlet seluruh dunia bagi menewaskan antara satu sama lain. Masing-masing membawa misi dan aspirasi penting untuk mencapai kemenangan.

Kita percaya Ogos ini Beijing akan cuba ditawan oleh para atlet sekelian dan kedatangan mereka adalah dengan matlamat dan semangat juang yang tinggi untuk berjaya. Oleh itu, bersedialah Olimpik Beijing dengan kedatangan para atlet yang akan ke sana membawa misi penting ibarat kata-kata perangsang, 'Veni, Vedi, Vici' (Aku datang, aku lihat dan aku tawan).

Isu bahasa menguji kuasa politik orang Melayu

ORANG Melayu sekali lagi diuji. Seperti biasa bahasa Melayu menjadi titik tolaknya sekali pun bahasa Melayu sewajarnya tidak perlu dipertikaikan lagi oleh mana-mana pihak khususnya oleh kalangan bukan Melayu.

Ini kerana bahasa Melayu telah diletakkan di tempat yang selamat dalam Perlembagaan dan bertaraf bahasa kebangsaan di negara ini. Apabila sesuatu bahasa itu diangkat menjadi bahasa kebangsaan, bahasa-bahasa lain masih boleh digunakan tetapi bukanlah dalam situasi yang rasmi. Tetapi di negara ini, ada pihak yang tanpa rasa bersalah mahu melanggar kedudukan bahasa Melayu dan cuba "memartabatkan" bahasa lain.

Mencabar, menguji atau apa saja istilah yang sama erti dengannya sebenarnya boleh dianggap mencabar kuasa politik orang-orang Melayu.

Perbuatan ini bukanlah kerana kejumudan kefahaman sesuatu pihak tetapi mahu menguji sejauh manakah politik Melayu bangun mempertahankan apabila bahasa Melayu diperlekehkan secara terhormat.

Ini adalah satu yang disengajakan dan tidak dapat dinafikan unsur-unsur kaum terselit bersama-sama isu ini.

Adakah kalangan orang politik Melayu melihat isu perlekeh bahasa Melayu ini melampaui isu bahasa semata-mata? Ini bukan isu bahasa, ini isu politik di mana kuasa politik bukan Melayu menguji politik Melayu yang terkenal dengan ketidakpekaan terhadap kedaulatan bahasa Melayu.

Kalau ditoleh, isu-isu bahasa Melayu sebelum ini tercetus kerana sesetengah kalangan orang politik Melayu memberi ruang untuk bahasa itu dipijak.

Bahasa Melayu tidak diangkat ke persada sewajarnya kerana kuasa politik Melayu tidak bersungguh-sungguh ke arah itu. Malah banyak gejala perlekehan bahasa Melayu dilakukan oleh orang politik Melayu sendiri.

Isu papan tanda di enam jalan di Pulau Pinang yang ditambah dalam tulisan Cina oleh parti Gerakan adalah suatu yang sangat jelas. Rasional menambah tulisan Cina pada papan tanda jalan itu adalah satu kesengajaan, ia bukan satu keperluan sama ada untuk orang tempatan atau pelancong asing.

Orang bukan Melayu di Pulau Pinang semuanya faham bahasa Melayu dan boleh membaca tulisan Rumi bahasa Melayu. Malah generasi bukan Melayu yang tidak dilahirkan di negara ini khususnya di Pulau Pinang hampir sudah tidak ada, kalau generasi ini dijadikan alasan tidak tahu berbahasa Melayu. Jadi orang Cina atau India di Pulau Pinang adalah anak kelahiran negara ini yang tahu berbahasa Melayu.

Maka isu papan tanda itu boleh dianggap provokasi Gerakan sebuah parti politik majoritinya orang Cina. Pulau Pinang antara negeri yang jatuh ke tangan DAP sebuah parti pembangkang yang majoritinya orang Cina. Sebelum ini Pulau Pinang diterajui oleh Gerakan, sebuah parti komponen Barisan Nasional. Apabila papan tanda tulisan Cina dimulakan oleh Gerakan, kita boleh bertanya, apa bezanya idealisme Gerakan dengan DAP khususnya dalam soal ini?

Ternyata Gerakan cuba bermain api dengan orang- orang Melayu Pulau Pinang apabila mereka dilihat tidak ada bezanya dengan DAP yang selalu bangkit dengan isu-isu yang tebal dengan sentimen kaum.

Ada pihak yang berkata, sekiranya DAP yang menaikkan papan tanda tulisan Cina, mereka tidak terkejut. Tetapi semacam tidak percaya apabila Gerakan sendiri yang berbuat begitu apabila Pulau Pinang jatuh ke tangan DAP.

Lalu mereka bertanya lagi, apa muslihat Gerakan dalam konteks kesefahaman dengan kaum-kaum lain di Pulau Pinang dan negara ini? Ternyata menaikkan papan tanda jalan tulisan Cina tidak ada alasan yang jelas kecuali provokasi untuk menguji sensitiviti orang Melayu. Gerakan sepatutnya lebih faham daripada DAP dalam isu bahasa Melayu di negara ini.

Apabila isu bahasa Melayu menjadi isu politik, orang-orang politik Melayu mesti bangkit mempertahankan kedaulatan bahasa Melayu daripada terus dipersendakan seperti ini. Orang politik Melayu perlu lebih menonjol dan memperlihatkan kesungguhan bukan saja dalam konteks isu papan tanda jalan di Pulau Pinang malah isu yang melibatkan bahasa Melayu seluruhnya.

Desakan ini bukanlah menyalakan api perkauman, sebaliknya melaksanakan yang telah dipersetujui bersama dalam Perlembagaan. Isu bahasa Melayu tidak boleh dilihat terpisah dengan perjuangan politik Melayu.

Di negara ini isu bahasa Melayu bukan saja tugas pejuang bahasa. Pejuang bahasa telah memperlihatkan pendirian yang sangat konsisten tentang kedudukan bahasa Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan. Memperjuangkan bahasa Melayu daripada jurus politik sangat penting kerana apa yang berlaku di Pulau Pinang digerakkan oleh pejuang politik.

Walaupun Melayu menjadi majoriti penduduk Pulau Pinang, tetapi mereka tidak mendesak papan tanda jalan dalam tulisan Jawi. Di Kuala Lumpur ada papan tanda bertulisan Jawi. Ini menunjukkan orang Melayu Pulau Pinang sangat toleran kerana hanya menerima tulisan Rumi, sekalipun di negeri lain ada papan tanda tulisan Jawi.

Parti Gerakan sepatutnya melihat perkara ini sebelum ghairah menjulang sesuatu yang berbau kecinaan. Jadi apakah maknanya toleransi orang Melayu apabila Gerakan melancarkan provokasi menaikkan papan tanda tulisan Cina? Apa kena mengena Tapak Warisan Dunia dengan tulisan Cina?

Maka yang jelas tindakan Gerakan ini bermotifkan perkauman dan tidak ada kena mengena dengan beberapa lokasi di Pulau Pinang diiktirafkan sebagai Tapak Warisan Dunia.
Reaksi tokoh budaya dan ahli akademik, Prof Dr. Siti Zainon Ismail mengenai isu papan tanda jalan beberapa hari lalu wajar ditelaah dengan penuh penghayatan oleh orang-orang politik Melayu.

Antara lain kata Dr. Siti Zainon, "Saya hendak tanya, apa orang-orang politik Melayu buat dalam mempertahankan bahasa dan bangsa sendiri? Kami pendidik, sudah memberikan pendidikan yang secukupnya kepada mereka (orang politik Melayu). Tolonglah jangan lupa lagi, jangan sampai tergadai."

Tolak ansur orang Melayu selalu diambil peluang oleh pihak-pihak yang tidak menghargai sikap tolak ansur itu. Akhirnya merekalah yang "menolak" orang Melayu daripada bercakap tentang bahasa dan bangsanya.

Apabila Melayu bersuara, dengan pantas pula dianggap "perkauman" sedangkan tindakan mereka "menolak" Melayu lebih bersifat perkauman. Dalam isu papan tanda jalan di Pulau Pinang ini, Gerakan mesti lebih "sedar diri" , begitu juga orang politik Melayu jangan membiarkan kepala mereka dipijak.

Papan tanda jalan bertulisan Cina adalah isyarat awal dominasi budaya. Kalau ini dianggap api, eloklah dipadam awal-awal lagi daripada merebak dan membakar negeri.

Friday, July 18, 2008

Sejarah : Asal usul Melayu terus dikaji




Pulau Kalumpang dipercayai penempatan pertama manusia prasejarah
MENELUSURI asal usul keturunan Melayu di Nusantara amat menarik tetapi sehingga kini belum ada ketetapan muktamad kerana terlalu banyak teori dan hujah. Merujuk kepada perlembagaan, orang Melayu adalah seorang Muslim, bertutur Bahasa Melayu dan mengamalkan adat istiadat Melayu. Ini bermakna sesiapa saja tanpa kira asal usul bangsanya boleh bergelar Melayu jika memiliki ciri-ciri di atas.

Namun, definisi Melayu di alam Melayu ditakrif sebagai mereka yang mendiami alam Melayu dan bertutur bahasa Austronesia/Melayu-Polinesia. Pengkaji sejarah, ahli arkeologi, pakar bahasa sentiasa mencari bukti kukuh melalui pelbagai kajian sekali gus menyemarakkan usaha mengesan asal usul Melayu.
Wartawan Berita Minggu berpeluang mengikuti satu kajian lapangan oleh pakar arkeologi, Prof Datuk Dr Nik Hassan Shuhaimi Nik Abdul Rahman yang kini mengkaji penemuan tapak arkeologi pra sejarah pertama di dunia yang dihuni manusia di kawasan bakau di Pulau Kalumpang, Perak.

Memang banyak negara yang mempunyai kawasan bakau seperti India, Kemboja dan Afrika tetapi hanya di Malaysia dikesan mempunyai kesan peninggalan penempatan manusia prasejarah. Kerja mencari gali dimulakan pada 1987 selama dua tahun dan dihentikan sebelum dimulakan semula sejak Mei lalu. Hasil kajian pertama, Prof Nik Hassan menemui 11 rangka manusia prasejarah dipercayai dikebumikan di tanah perkuburan di situ.
Manusia prasejarah itu dikatakan menanam mayat di bawah rumah mereka kerana pengkaji menemui tinggalan sisa makanan, tulang manusia, gigi yang dipercayai manusia yang hidup di abad kedua Sebelum Masihi hingga 10 Masihi.
"Kajian ini lebih menjurus kepada mengesan siapa yang sebenarnya tinggal di situ. Kami percaya penempatan ini didiami sekumpulan manusia keturunan Melayu yang hidup di pesisir pantai. Mungkin juga mereka keturunan India, Sumatera atau Orang Laut.

"Mereka lebih terbuka kepada hubungan luar berbanding Melayu yang tinggal di pedalaman. Bukti gigi dengan kesan makanan sirih dan pinang menguatkan hujah kemungkinan mereka orang Melayu dan penemuan serpihan tembikar, manik menunjukkan mereka berhubung dengan dunia luar," katanya.
Menariknya, Pulau Kalumpang yang jaraknya kira-kira 45 minit perjalanan menaiki bot dari jeti Kuala Gula, mempunyai tujuh kawasan penempatan yang mempunyai keluasan dua kilometer.
Pulau itu juga mempunyai banyak pokok buluh yang sememangnya diakui tidak akan tumbuh di kawasan bakau. Pokok buluh itu hidup subur dipercayai ditanam dengan tujuan pelbagai guna untuk membuat rumah, senjata dan alat menangkap ikan.
Selain itu, penemuan kerang pelbagai jenis menunjukkan penduduk di situ sememangnya menjadikan hasil laut sebagai makanan utama. Penduduk tempatan menggelar pulau itu sebagai Pulau Kota Kerang, ada yang memanggilnya Pulau Buluh.
"Berdasarkan penemuan di pelbagai peringkat lapisan tanah, jelas menunjukkan diet makanan mereka juga berubah mengikut zaman. Kami menemui tulang ikan, monyet, burung, kepala babi dan beruk, mereka makan apa saja tetapi pada masa itu, rasanya mereka tidak beragama.
"Persoalannya ialah bagaimana mereka hilang atau berpindah, kami tidak pasti dan sedang mengkaji," katanya. Ketika ini, Prof Nik Hassan dan pasukannya sudah menemui 50 jenis kerang pelbagai saiz yang jelas membezakan perubahan makanan penduduk di situ.
Cara hidup mereka boleh dinilai berdasarkan sisa makanan yang ditemui. Apa yang pasti, pasukannya gigih menjalankan kajian sama ada penempatan di situ mempunyai kaitan langsung dengan orang Melayu yang tinggal berhampiran di Kuala Sepetang, Kuala Gula atau Kuala Kurau dan ia perlu dipastikan melalui ujian Asid Deoksiribonukleik (DNA).
Info: Tapak Arkeologi Pulau Kalumpang Pulau Kelumpang
Mempunyai tujuh kawasan (Pulau Satu hingga Pulau Tujuh) seluas dua kilometer

Pulau Satu hingga Pulau Lima adalah kawasan utama kajian

Pulau Enam dan Pulau Tujuh terletak berdepan Pulau Selinsing

Tapak itu diwartakan sebagai Kawasan Hutan Bernilai Pemeliharaan Tinggi sebagai perkuburan prasejarah pada 15 Julai 2007.

Pemetaan dan sukatan geografi mula dijalankan di situ pada tahun 1988

Sejarah : Kendi kuatkan teori Melayu dari Champa


SALAH satu kendi yang ditemui Sungai Mentakab, Pahang berusia lebih 2,000 tahun.

PENEMUAN kendi berusia ribuan tahun tertanam di kawasan bukit berdekatan sungai di Mentakab, Pahang baru-baru ini menguatkan teori asal usul masyarakat Melayu zaman logam, sekitar 2,000 tahun lalu yang dikatakan dari Vietnam Utara dan Champa.

Kendi atau istilahnya dalam perkataan Sanskrit kundika adalah tempat menyimpan air yang biasanya diperbuat daripada logam seperti gangsa dan tembaga atau seramik. Selain menjadi tempat menyimpan air, kendi yang mempunyai signifikan tersendiri berdasarkan reka bentuk dan lakarannya yang unik turut digunakan bagi menyimpan wangi-wangian, mereneh ubat, upacara keagamaan dan perkahwinan.

Lazimnya, kendi yang diperbuat daripada logam digunakan golongan bangsawan yang dikenali sebagai 'Kendi Diraja' untuk dijadikan tempat mereka meludah dan sebagai tepak sirih yang mesti ada berdekatan. Dalam konteks zaman moden selepas kedatangan Islam, kendi dijadikan tempat menyimpan air suci iaitu air zam-zam dan ketika ini kendi yang diperbuat daripada logam sukar diperoleh berbanding jenis seramik. Pembuat kendi selalunya menjadikan haiwan mengkarung, cicak, buaya sebagai identiti ukiran hiasan kendi yang dihasilkan selain imej burung, kerbau, muka manusia, rebung dan buluh.

Keistimewaan dan keunikan sesebuah kendi itu selalu berdasarkan ukiran serta material yang digunakan dan kedua-dua faktor itu juga melambangkan kemewahan kepada pemiliknya. Penemuan dua lagi artifak sama di Port Dickson dan Terengganu, juga berdekatan kawasan sungai selepas itu mengukuhkan lagi teori kewujudan peradaban Kerajaan Melayu Maritim sezaman dengan Kerajaan Langkasuka, Champa dan Funan. Pengkaji sejarah tamadun alam Melayu, Wan Ahmad Arshad, yang menemui dan memiliki ketiga-tiga artifak itu berkata, zaman logam mula berpengaruh di Nusantara Melayu berdasarkan teori penghijrahan dari Vietnam Utara dan Champa. Kebanyakan institusi peradaban purba mempunyai akar umbi 'riverine maritime' yang kukuh serta strategik dan peradaban awal ini dipercayai berevolusi daripada masyarakat pra sejarah yang hidup secara nomad atau masyarakat pertanian yang terpimpin.

"Berdasarkan sumber bertulis China, seawal milenium pertama sebelum masihi dan selewat-lewatnya kurun ke-2 masihi sudah muncul kerajaan awal di alam Melayu seperti Dong Son, Vietnam Utara; Fu-Nan, Lembah Sungai Mekong; Champa, Vietnam Tengah; dan Langkasuka, Selatan Thailand-Kedah," katanya.

"Antara alasan perpindahan atau penghijrahan itu termasuk mencari tempat baru bagi putera raja atau mencari negeri baru untuk dibuka serta diterokai selepas kalah dalam peperangan. "Komuniti yang berpindah ini umumnya dipimpin seorang raja dan disertai oleh kerabat, menteri, hulu balang, bala tentera dan rakyat. Gambaran ini terdapat dalam sejarah Melayu mengenai pembukaan negeri Melaka itu sendiri," katanya.

Sehubungan itu, katanya, beliau tidak menolak penemuan tiga artifak kendi itu menjadi bukti arkeologi yang kukuh mengenai kewujudan sebuah peradaban Melayu awal setidak-tidaknya pada kurun pertama masihi.

"Berdasarkan reka bentuk kendi yang ditemui di Mentakab yang unik, seperti seekor burung mahawangsa bersayap, berparuh dan berkaki empat, bahagian pemegangnya mempunyai imej haiwan mengkarung dan material gangsa yang digunakan untuk membuatnya, ia jelas menunjukkan ciri-ciri artifak purba zaman logam atau budaya Dong Son.

"Manakala reka bentuk burung mahawangsa berkaki dua dengan tandu di atas badannya yang ditemui di Pasir Panjang, Port Dickson banyak persamaan dengan artifak yang ditemui di Mentakab. "Jadi, saya tidak menolak kemungkinan kedua-dua artifak itu adalah berpasangan sekali gus mengukuhkan lagi teori kewujudan peradaban Melayu zaman logam yang menjadikan kawasan pesisiran perairan sebagai tapak pentadbiran kerajaan," katanya.

Wan Ahmad yang juga pemilik Galeri Pusaka Moyang (GPM) di Senawang, Negeri Sembilan berkata reka bentuk ketiga-tiga artifak itu juga tidak melambangkan reka bentuk lazim artifak di zaman Kesultanan Melaka yang banyak dipengaruhi reka bentuk Arab, China, Indo-China dan Eropah.

"Ini membawa kepada andaian artifak ini berasal dari zaman logam, yang berlaku sekitar milenium pertama sebelum masihi. Zaman logam mula berpengaruh di nusantara Melayu berdasarkan teori penghijrahan dari Vietnam Utara dan Champa di mana lokasi asal artifak zaman logam banyak ditemui," katanya.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan artifak yang ditemui di Mentakab itu mempunyai kaitan dengan dakwaan penemuan kota purba - Kota Gelanggi, di Johor pada 2003.


Tuesday, July 15, 2008

Elak timbulkan masalah

WUJUD kebimbangan di kalangan rakyat kebelakangan ini yang disogokkan dengan siri demonstrasi jalanan atau tunjuk perasaan sebagai wadah melampiaskan rasa tidak puas hati.

Benar sejarah negara ada mencatatkan peristiwa penting yang berlaku lewat kejadian serupa.
Siapa yang boleh melupakan lautan pergerakan manusia di Kedah, Kelantan dan Johor Baharu pada 1946 yang menyaksikan kebangkitan parti-parti Melayu menuntut kemerdekaan dari bangsa penjajah dan berkuburnya gagasan Malayan Union?

Namun perlu difahami, sentimen tunjuk perasaan yang wujud ketika itu sangat besar bezanya dengan demonstrasi yang cuba disuburkan dalam masyarakat akhir-akhir ini.

Tanpa berlandaskan maksud yang jelas, demonstrasi jalanan hari ini sebaliknya dibayangi unsur berkepentingan politik yang boleh mengancam keselamatan dan membawa kepada keadaan tidak stabil dalam negara.

Pihak berkuasa juga pastinya mengambil pengajaran daripada apa yang berlaku dalam memberikan kebenaran kepada perhimpunan lepas yang jelas tidak membawa sebarang faedah.

Ambil sahaja contoh perhimpunan Protes Sejuta Rakyat anjuran parti pembangkang di Kelana Jaya, Selangor, awal minggu lalu yang berkesudahan dengan aksi tidak senonoh dan memualkan.

Apakah terlalu sukar untuk sesiapa sahaja memikirkan kesan daripada demonstrasi seperti itu terhadap budaya dan sosial dalam masyarakat selain impak fizikal seperti kerosakan harta benda dan kesesakan lalu lintas yang terpaksa ditanggung oleh pihak lain yang tidak berkaitan?

Seperti yang dijelaskan oleh pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Sivamurugan Pandian, amalan demokrasi di negara ini tidak pernah menghalang keterbukaan suara dan pendapat di kalangan rakyat termasuklah yang disampaikan menerusi perhimpunan atau demonstrasi.

Namun ia terbatas kepada isu-isu yang bersifat kemanusiaan seperti piket di kalangan pekerja dan sebagainya, dengan kesedaran kebebasan yang dinikmati oleh seluruh rakyat perlu dihormati.

Dalam erti kata lain, mereka yang terbabit baik penganjur atau peserta harus faham kepada perlembagaan, peraturan dan undang-undang negara termasuk yang melibatkan pihak berkuasa atau berwajib.

''Tanpa kesedaran tersebut, bukanlah sukar untuk demonstrasi jalanan bertukar menjadi ancaman kepada keselamatan negara dan dengan sentimen yang wujud hari ini, masyarakat kita masih belum mencapai satu tahap kematangan untuk membincangkan sesuatu isu yang boleh dianggap sensitif secara terbuka termasuk menerusi demonstrasi," katanya.

Menurut Sivamurugan, dalam konteks pelbagai kaum di negara ini juga, terdapat kekangan dan perbezaan tertentu yang perlu difahami dan diterima oleh pihak yang cuba menghidupkan amalan berdemontrasi.

Elemen-elemen sensitif itu selayaknya dihormati dalam memelihara perpaduan yang sudah sedia terbina sejak sekian lama dan menjadi asas kepada pembentukan negara Malaysia berlandaskan amalan demokrasi.

Persoalannya, sejauh mana masyarakat kita bersedia untuk mengenepikan sama sekali daripada membincangkan isu sensitif terutamanya yang berkaitan politik dan kaum secara terbuka?

Mampukah mereka yang terlibat dalam demonstrasi itu menjauhkan elemen emosi dan provokasi sekali gus mengelak kejadian yang tidak diingin sehingga memaksa pihak berkuasa mengambil tindakan?

''Hakikatnya, meskipun bilangan kelas pertengahan dalam masyarakat semakin bertambah, namun masih wujud mereka yang ekstrem, radikal dan sekular yang sukar membendung perasaan terutamanya apabila berdepan dengan isu-isu sensitif.

''Situasi ini pastinya tidak baik kepada keamanan dan perpaduan dalam negara," ujarnya.

Sejak berakhirnya pilihan raya umum lalu, banyak tumpuan yang terpaksa diberikan dalam mengatasi kemelut politik semasa yang secara tidak langsung merencatkan pembangunan negara.

Pastinya sebagai warganegara prihatin yang ingin berjasa kepada negara sekurang-kurangnya mengurangkan beban kemelesetan ekonomi yang berkait dengan keamanan dalam negara, demonstrasi jalanan sewajarnya dijauhi.

Dalam situasi kenaikan harga minyak dan kekurangan bekalan makanan yang menekan rakyat kebanyakan ketika ini, kerajaan perlu menumpukan perhatian sepenuhnya dalam meningkatkan kecekapan tadbir urus negara.

Malangnya, usaha itu boleh terganggu sekiranya kerajaan terpaksa berdepan dengan demonstrasi jalanan yang berterusan sehingga terpaksa memberikan lebih tumpuan terhadap aspek keselamatan.

Lebih memburukkan keadaan, keamanan negara yang menjadi keyakinan utama pelabur asing untuk terus menanam modal selama ini juga akan luntur dan kebimbangan itu sendiri sudah cukup untuk menjejaskan ekonomi negara.

Apa yang menghairankan, pembangkang mempunyai suara hampir seimbang dengan kerajaan dalam Parlimen, justeru kenapa cara yang lebih berdemokrasi, adil dan bermaruah itu tidak digunakan sepenuhnya untuk memanjangkan kegelisahan yang bersarang di hati masyarakat yang diwakili mereka?

Ketika peluang untuk mengadakan sekian banyak mesyuarat, pertemuan empat mata atau perbincangan meja bulat, mengapa perlu memilih hukum rimba yang bukan lagi amalan masyarakat bertamadun untuk menyelesaikan sengketa?

Begitu juga dengan kes-kes perbicaraan atas sebarang tuduhan ke atas individu tertentu, mengapa perlu mendahului undang-undang negara sedangkan diketahui, keadilan yang cuba ditegakkan di jalanan pastinya tidak memberi sebarang makna.

Barangkali kita perlu belajar daripada pengalaman negara jiran seperti Indonesia dan Filipina yang diberikan kebebasan sepenuhnya oleh pemerintah untuk mengadakan tunjuk perasaan dan demonstrasi jalanan.

Bukan berniat untuk merendah-rendahkan keadaan mereka, tetapi jika perbezaan kemajuan negara dan taraf hidup kebanyakan daripada kita dengan penduduk di negara berkenaan boleh dijadikan perbandingan, jelaslah demonstrasi jalanan bukan pendekatan terbaik dalam mengharapkan perubahan.

Terbelenggu dengan demonstrasi jalanan yang berpanjangan memberi tekanan kepada kerajaan sekali gus mengikat usaha menumpukan kepada pembangunan ekonomi. Situasi seperti itulah yang terjadi di negara jiran.

Sudah pasti kita sebagai rakyat Malaysia tidak rela menyaksikan nikmat keamanan dan pembangunan yang dikecapi sejak 50 tahun kemerdekaan lalu, terencat oleh rasa tidak puas hati melampau yang dilontar di jalanan.

Di sebalik cita-cita politik

RAMAI pakar motivasi mengatakan bahawa seseorang individu yang ingin berjaya perlu mempunyai impian yang biasa disebut sebagai matlamat atau cita-cita.

Orang yang sering mempunyai cita-cita biasanya disebut dalam istilah orang putih sebagai ambitious. Dalam semua keadaan iaitu sekiranya kita ingin mencapai kejayaan, maka perlunya cita-cita dalam diri agar ia akan menjadi titik hala tuju atau penentu kepada landasan tindakan bagi mencapainya.

Bagaimanapun, dalam politik, ahli politik agak berbeza dari segi cita-citanya. Kebiasaannya juga apabila seseorang individu terjun dalam bidang politik, maka matlamat atau cita-citanya bukan kerana dia ingin menjadi ketua politik yang kelak akan mendapat nama, pangkat dan kuasa. Acap kali dakwaan yang kedengaran dari mulut kebanyakan orang politik ialah berkhidmat untuk rakyat.

Rupanya sikap ambitious dalam politik begitu berbahaya kerana aura daripada sikap tersebut boleh menimbulkan tekanan yang secara tidak sedar turut mampu meretakkan landasan perjalanan yang kononnya berkhidmat untuk rakyat.

Demikianlah apabila kita melihat mana-mana parti politik dalam negara kita diresapi dengan sikap 'ambitious' ini. Boleh dikatakan hampir kesemua ahli politik ada sikap ambitious yang menghala kepada pencapaian satu tahap di mana pada peringkat tersebut seseorang ada kuasa dan pengaruh. Hanya pengaruh dan kuasa sahaja yang boleh 'menjual' segala apa yang diinginkan untuk membangunkan rakyat dan negara.

Apabila kita kaitkan sikap ambitious ini dengan gelora politik semasa, nampaknya parti-parti politik di negara kita sedang menghidapi sindrom ini.

Jika kita melihat kepada perkembangan terbaru Pakatan Rakyat, parti Pas seakan terperangkap atau tersepit dengan cita-citanya ingin mengurangkan sokongan orang Melayu kepada UMNO. Ini terbukti apabila setelah lebih kurang empat bulan berbulan madu dengan kejayaan semasa pilihan raya lalu, Pas kini merasakan dirinya 'diperbodohkan' oleh parti-parti dalam Pakatan Rakyat.

Parti Keadilan Rakyat (PKR) pula yang terlalu ghairah dengan cita-cita menubuhkan kerajaan kini tertekan dengan pelbagai dakwaan perundangan selain berdepan dengan kehilangan sokongan rakyat akibat janji manifesto yang belum tertunai serta bakal menghadapi keretakan sekiranya Pas benar-benar 'merajuk'.

Sama ada Pas, PKR atau DAP, parti-parti mungkin tidak terlalu kisah dengan keadaan yang berlaku kerana sepanjang lima tahun ini, mereka sudah bergelar pemerintah. Ramai ahli mereka sudah bergelar Yang Berhormat. Pilihan raya akan datang mereka akan bergabung semula.
Di dalam UMNO, bulan Julai sehingga Disember ini merupakan tempoh masa kepada ahli-ahli untuk melakukan perubahan parti. Maka sudah tentu, sikap ambitious di kalangan mereka yang ingin bertanding akan sentiasa membara. Ini biasa berlaku.

Namun, UMNO harus matang dengan mengambil kira pengalaman lampau. Politik wang, ampu-mengampu dan melobi merupakan kesan daripada sikap 'ambitious' yang tidak mampu dikawal ahli. UMNO tidak mempunyai masalah dengan Pas dan PKR kerana rakyat sudah maklum dengan gelagat parti ini yang terlalu mengejar kuasa bukan untuk kepentingan negara.

Apa yang dibimbangkan apabila sikap ambitious di kalangan ahli-ahli akan merosakkan parti UMNO itu sendiri. Disebabkan sikap gelojoh terhadap kedudukan dalam parti jugalah bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir semasa menjadi Presiden UMNO sentiasa mengingatkan ahli bahawa UMNO tidak akan lemah disebabkan kekuatan parti lain tetapi UMNO akan hancur hanya disebabkan oleh sikap ahlinya sendiri.

Oleh itu, menjelang pemilihan Disember ini ahli UMNO perlu tenang dan bijak menentukan masa depan parti dengan melakukan pemilihan tanpa mengikut petunjuk-petunjuk atau apa juga mesej yang diberikan sebelum tempoh pemilihan berlaku. Orang yang ambitious akan memberikan mesej dalam pelbagai bentuk sekiranya ingin melobi undi daripada ahli-ahli. Yang penting juga semua ahli UMNO perlu benar-benar ikhlas dalam diri untuk melakukan perubahan dalaman parti.

Segera kembalikan martabat Negaraku

MENGIKUT sistem persekolahan Amerika Syarikat (AS), Gred 12 merupakan gred tertinggi. Pelajar-pelajar yang berjaya menamatkan Gred 12 menerima diploma masing-masing di majlis konvokesyen yang diadakan di pertengahan Jun setiap tahun.

Menariknya mereka berpakaian jubah dan topi seperti mana di majlis konvokesyen universiti. Walau apa pun, ketika menghadiri majlis tersebut mereka telah pun mendapat tempat di universiti-universiti pilihan masing-masing.

Terdapat perbezaan sistem pelajaran di peringkat universiti antara AS dengan Malaysia bahkan antara California dengan beberapa negeri lain di AS.

Di California tempoh belajar untuk ijazah pertama ialah empat tahun. Bagaimanapun, pelajar-pelajar yang ingin menjadi doktor terpaksa belajar selama lima tahun lagi di sekolah perubatan atau empat tahun di sekolah undang-undang untuk menjadi peguam.

Ketika isu biasiswa kerajaan menjadi polemik hangat di Malaysia, jarang sekali terbaca isu ini di akhbar-akhbar tempatan. Ini adalah kerana pihak universiti menawarkan biasiswa kepada pelajar-pelajar cemerlang dan bantuan kewangan kepada mereka yang memerlukannya.

Lagi pula pelajar-pelajar mempunyai pilihan untuk memasuki universiti negeri (state university) yang yurannya rendah berbanding dengan universiti swasta atau separa swasta. Pelajar-pelajar juga mempunyai pilihan memasuki kolej komuniti selama dua tahun sebelum menghabiskan baki dua tahun di universiti. Cara ini lebih murah.

Malahan tidak kurang pula yang belajar sambil bekerja. Mereka bekerja pada hujung minggu atau sebelum dan sesudah menghadiri kuliah.

Adalah sesuatu yang pelik apabila ada antara para pelajar dari peringkat sekolah tinggi bekerja sedangkan ibu bapa mereka dari kumpulan berada. Mereka membeli kereta (terpakai dan murah) melalui pendapatan sendiri.

Jelas mereka diajar berdikari sejak dari kecil. Lantaran itu jangan pelik kalau kawan-kawan ajak makan di luar tetapi kosnya dibayar masing-masing.

Ini bukan kedekut seperti mana yang sering dilontarkan kepada orang kedekut di Malaysia. Tetapi mereka lebih praktikal dalam hidup. Bukan senang mencari duit.

Sementara itu, yuran universiti untuk pelajar-pelajar tempatan dan pelajar asing adalah berbeza. Yuran untuk pelajar asing hampir-hampir sekali ganda daripada pelajar tempatan.

Pelajar-pelajar cemerlang seringkali mendapat tawaran di universiti-universiti terbaik seperti Harvard, Yale atau University of California Los Angeles (UCLA). Ini termasuklah mereka yang cemerlang dalam sukan.

Untuk memasuki universiti-universiti ini bukanlah mudah. Oleh kerana terlalu ramai yang memperolehi CGPA 4 pihak universiti terpaksa mengadakan kriteria lain umpamanya penyertaan mereka dalam aktiviti luar. Etnik minoriti seperti Afrika Amerika dan lain-lain biasanya diberi keutamaan.

Bagi pelajar-pelajar AS, memasuki universiti-universiti ternama banyak memberi peluang kerjaya dan gaji yang lebih lumayan. Ini kerana pengaruh persatuan alumni yang kuat. Yuran pengajian yang tinggi amat berbaloi dengan gaji yang tinggi.

Sesekali penulis tertanya diri sendiri, apalah ada kepada pelajar-pelajar Malaysia yang berkelulusan dari Harvard umpamanya. Adalah lebih baik menghantar para pelajar ke universiti-universiti yang sederhana dengan yuran lebih murah asalkan lebih ramai pelajar dapat dihantar.

Ketika kita bercakap mengenai penghantaran pelajar-pelajar ke Harvard, Oxford atau Cambridge, kita juga menghantar pelajar perubatan ke universiti-universiti yang beberapa tahun lalu tidak pernah kedengaran seperti di Indonesia dan negara-negara Eropah Timur.

Baru-baru ini penulis berkesempatan menghadiri majlis penyampaian diploma sekolah tinggi di Los Angeles. Seramai 582 pelajar menerima diploma masing-masing.

Majlis ini begitu ringkas dan tamat dalam masa lebih kurang satu jam.

Menarik perhatian ialah program majlis yang diadakan di stadium sekolah dikhususkan dan dikendalikan oleh para pelajar. Ucapan-ucapan guru besar dan pegawai-pegawai berkenaan di peringkat negeri California dan daerah sekolah (school district) tidak sampai dua minit seorang.

Seperkara yang ingin penulis tekankan ialah majlis ini dimulai dengan lagu kebangsaan AS.
Sebenarnya lagu kebangsaan AS sering dinyanyikan di majlis-majlis rasmi atau tidak rasmi. Hinggakan pertandingan akhir bola keranjang dan American Football dan mesyuarat kelab rotary dimulai dengan lagu kebangsaan.

Lalu teringatlah penulis tentang nasib lagu Negaraku. Berdasarkan kepada rungutan yang pernah dibaca di akhbar, lagu kebangsaan Malaysia ini jarang-jarang kedengaran. Malahan ada yang sengaja mempermainkannya dengan niat menghina sebagaimana dilakukan oleh seorang pelajar Malaysia di Taiwan tidak lama dulu.

Kini tibalah masanya Negaraku dinyanyikan di majlis-majlis rasmi dan bukan rasmi. Penulis bimbang kemungkinan Negaraku akan menerima nasib lagu Majulah Singapura. Khabarnya ramai rakyat negara itu tidak tahu erti lagu tersebut kerana mereka tidak memahami bahasa Melayu.

Kerajaan lambang kekuatan rakyat

ANTARA perbezaan rakyat negara Malaysia dengan rakyat di beberapa negara jiran ialah kebergantungan rakyat negara ini kepada pihak kerajaan dalam menjalani urusan kehidupan. Kehidupan rakyat di beberapa negara jiran yang sudah biasa hidup tanpa bantuan kerajaan menyebabkan mereka boleh bersifat mandiri dalam menjalani kehidupan berekonomi dan pendidikan mereka.

Contohnya, bukanlah sesuatu yang asing jika rakyat di negara jiran melanjutkan pelajaran tanpa adanya pinjaman kewangan seperti Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Begitu juga, bukanlah mereka dibiasakan dengan memohon pinjaman untuk menjalankan perniagaan. Pelajar-pelajar cemerlang juga sukar untuk diberikan biasiswa. Negara kita menyediakan biasiswa kepada pelajar cemerlang antara lainnya dari Jabatan Perkhidmatan Awam, Petronas dan Majlis Amanah Rakyat (Mara).

Peluang juga diberikan kepada kaum Bumiputera bergerak untuk mengejar kaum lain dalam bidang pendidikan, sosial dan ekonomi. Kesan penjajah menyebabkan kaum Bumiputera banyak ketinggalan dari pelbagai sudut kehidupan walaupun berada di tanah air sendiri.

Lantaran itu, dasar-dasar seperti Dasar Ekonomi Baru (DEB), Dasar Pembangunan Negara (DBP) dan Dasar Wawasan Negara (DWN) dilaksanakan untuk kesejahteraan rakyat negara ini. Ketiga-tiga dasar ini mencerminkan aspirasi negara yang telah digariskan dalam Wawasan 2020 yang bertujuan untuk mencapai status negara maju menjelang 2020.

Terumbang-ambingBayangkanlah apakah yang akan menimpa nasib rakyat terutama sekali orang Melayu jika kerajaan yang ada terumbang-ambing dari segi kekuatan politik dan ekonominya? Bolehkah rakyat yang sudah biasa diberikan banyak bantuan dapat meneruskan kehidupan mereka jika pemerintahan sangat lemah dan negara berada dalam ketidakstabilan politik?

Mentaliti menerima bantuan dan subsidi bukannya sesuatu yang baik. Ia boleh menyumbang kepada sifat kebergantungan yang tinggi rakyat kepada pihak kerajaan. Rakyat perlu dididik supaya secara beransur-ansur keluar dari kepompong mentaliti subsidi ini.

Pasca PRU-12 menyaksikan banyak ketidaktentuan politik. Ditambah pula dengan senario kenaikan harga minyak yang menyebabkan kerajaan terpaksa mengurangkan harga subsidi minyak. Harga bahan makanan turut naik. Senario politik semakin membimbangkan rakyat di mana banyaknya berlaku fitnah memfitnah dan sama menyaman di kalangan ahli politik. Tunjuk-tunjuk perasaan juga menggusarkan rakyat dan mengakibatkan pelabur luar berfikir banyak kali sebelum datang melabur ke negara ini.

Rakyat sudah menjadi keliru akibat daripada keinginan melampau beberapa pemimpin yang begitu ghairah untuk memegang tampuk kuasa. Apakah keamanan dan kesejahteraan hidup rakyat sudah tidak ada nilainya bagi pemimpin yang begitu sibuk inginkan kuasa tetapi tidak melakukan apa-apa untuk membantu rakyat keluar dari kesengsaraan kehidupan.

Dalam sebuah negara yang mana kerajaan adalah kekuatan rakyat, penting sekali kerajaannya ialah sebuah kerajaan yang kuat. Rasanya, rakyat negara ini yang masih kuat bergantung hidup kepada kerajaan masih belum bersedia sepenuh untuk menjalankan kehidupan secara mandiri. Mungkin, ada rakyat yang mampu berbuat demikian tetapi lebih ramai yang masih mengharapkan agar pihak kerajaan memperuntukkan subsidi dan bantuan.

Sunday, June 29, 2008

Meneruskan agenda RMK-9

SEJAUH mana Malaysia bakal berjaya mencapai matlamatnya menjadi sebuah negara maju hanyalah masa yang akan menentukannya.

Namun begitu, sehingga kini, apa yang jelas negara masih berada di landasan yang betul untuk mengharungi satu perjalanan yang panjang dan banyak cabaran yang bakal dihadapi oleh negara.

Sungguhpun begitu, seperti mana kata orang bijak pandai, permulaan yang dilakukan dengan baik kebiasaannya akan berakhir dengan kebaikan juga.

Selepas kira-kira dua tahun , RMK-9 dilancarkan dan menggariskan hala tuju pembangunan lima tahun pertama negara dalam fasa kedua pelaksanaan Wawasan 2020, sedikit sebanyak usaha yang dilakukan menampakkan tanda-tanda awal terdapat keberhasilannya.

Pengumuman Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Parlimen pada Khamis lalu, memperlihatkan kesungguhan kerajaan untuk benar-benar memastikan kejayaan terhadap apa yang dirancang.

Penilaian itu dibuat untuk memastikan usaha-usaha sebelumnya akan membuahkan hasil dan keutamaan projek pembangunan disusun semula mengikut keperluan ekonomi semasa.

Tidak dinafikan bahawa pastinya akan kedapatan sesetengah pihak yang tetap mempersoalkan pencapaian yang sedia ada sekali gus berusaha menanamkan rasa sangsi pada hati orang ramai tentang pencapaian yang sebenarnya.
Persoalannya adakah wajar, kita ‘menutup mata dan memekakkan telinga’ dan enggan mengakui adanya kejayaan, biarpun cuma sekelumit.

Mungkin kenyataan Perdana Menteri adalah benar ketika membentangkan bahawa pencapaian dalam tempoh masa pelaksanaan RMK-9 bukan hanya terbatas kepada perancangan mahupun retorik semata-mata tetapi telah terjelma dalam pencapaian yang hakiki.

Biarpun belum menjelang tempoh tiga tahun, tempoh kebiasaannya kajian separuh penggal dilakukan, negara telahpun mengekalkan pertumbuhan ekonomi negara pada kadar yang boleh dibanggakan iaitu sebanyak 6.1 peratus setahun.

Pada masa yang sama, beberapa kejayaan lain juga dicapai dalam meningkatkan pendapatan per kapita, pengurangan defisit fiskal, penurunan kadar kemiskinan serta pengurangan jurang ekonomi antara kumpulan etnik, antara wilayah dan antara bandar dan luar bandar.

Sebagai contoh, pendapatan per kapita berdasarkan pariti kuasa membeli meningkat lebih tinggi sebanyak 14.2 peratus kepada RM46,478 pada tahun 2007 yang dicapai dalam suasana harga yang stabil.

Tidak kurang tokoh ekonomi dan perniagaan turut mengakui bahawa kajian separuh penggal RMK-9 berjaya menunjukkan prestasi yang menggalakkan kerana banyak sasaran yang dicapai dan juga pencapaian itu perlu diteruskan.

Kajian itu menunjukkan bahawa kewujudan kelas menengah yang amat penting dalam berperanan memastikan perniagaan domestik terus berkembang terutama dalam sektor peruncitan.

Usaha

Pada masa yang sama, kerajaan terus dilihat memberikan tumpuan kepada pengukuhan kedudukan kewangan kerajaan dan tindakan itu dapat dilihat melalui usaha untuk mengekalkan kadar defisit fiskal pada tahap 3.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2010 selepas berada paras 5.6 peratus pada tahun 2002 dan 3.2 peratus pada 2007.

Sungguhpun begitu, pembentangan kajian separuh penggal RMK-9 tidak harus dilihat sebagai melaksanakan rutin biasa tetapi sebaliknya ini merupakan langkah kerajaan untuk mendepani keadaan yang makin sukar ketika ekonomi AS yang tidak menentu dan juga peningkatan harga minyak dunia yang ternyata memberikan kesan yang besar kepada pertumbuhan negara-negara sejagat termasuk Malaysia.

Sebagai contoh, Presiden Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Minyak (OPEC) , Chakib Khelil, dalam satu pengumuman terbarunya, menjangkakan harga minyak mentah dunia akan berada pada paras AS$150 hingga AS$170 setong dalam tempoh terdekat, sekaligus akan menjejaskan lagi tahap perkembangan ekonomi dunia ketika Barat terus menekan Iran berhubung krisis nuklear.

Maka tidak menghairankan apabila kerajaan bertindak membentangkan kajian lebih awal daripada kebiasaan yang dilakukan pada kajian separuh penggal rancangan lima tahun sebelumnya untuk memastikan langkah-langkah sewajarnya diambil bagi menjamin kesinambungan agenda pembangunan negara terutamanya dalam suasana yang semakin mencabar kini.

Tanpa tindakan yang sewajarnya kenaikan harga minyak terutamanya serta kemelut yang berlanjutan berlaku dalam pasaran kewangan dunia akan menyebabkan ekonomi negara turut menerima tempias dan bakal dilanda masalah.

Berdasarkan jangkaan pertumbuhan ekonomi dunia yang sederhana sebanyak 4.1 peratus setahun bagi tempoh 2008-2010, pertumbuhan Malaysia dijangka mampu berkembang secara purata 6.0 peratus setahun.

Namun begitu, dengan jangkaan kemungkinan berlaku kemelesetan ekonomi dunia, keadaan sebenar yang ada mungkin tidak menyebelahi negara kita.

Hakikatnya negara kini berdepan dengan pelbagai cabaran yang sangat getir akibat daripada faktor luaran yang sememangnya berada di luar kawalan kita. Malah, sesetengah para penganalisis melihat keadaan menjadi lebih mencabar terutamanya pada tempoh 2008 hingga 2009.

Sehubungan itu, kerajaan dikatakan mengambil langkah yang wajar apabila meningkatkan peruntukan perbelanjaan sebanyak RM30 bilion atau 15 peratus untuk menjadikan jumlah keseluruhan kepada RM230 bilion berikutan terdapatnya peningkatan kos projek sedia ada akibat daripada kenaikan harga bahan-bahan binaan selain digunakan untuk tujuan pembangunan koridor ekonomi dan pembangunan bahan makanan yang mencukupi.

Ini akan membolehkan kerajaan melaksanakan fasa kedua dalam RMK-9 supaya benar-benar mampu memastikan agar mutu hidup rakyat terpelihara dan pada masa yang sama pendapatan ditingkatkan, jaring keselamatan sosial terus dilaksanakan dan diperkasakan.

Pelaksanaan ini dilakukan selari dengan pembinaan infrastruktur-infrastruktur, pembangunan insan dan perkembangan sektor pertumbuhan baharu yang akan terus dipacu untuk keperluan jangka panjang pembangunan negara.

Peruntukan tambahan bukan bermakna kerajaan bakal berbelanja sewenang-wenangnya tetapi sebaliknya mempertingkatkan disiplin fiskal dengan memastikan setiap projek yang dilakukan adalah benar-benar membawa manfaat di samping mengurangkan ketirisan serta menggalakkan amalan terbaik dalam pelaksanaan projek.

Bersandarkan hakikat itu juga, kajian separuh penggal dijadikan masa untuk kerajaan mengkaji semula projek-projek yang bakal dilaksanakan dalam RMK-9 supaya hanya projek mesra rakyat diberikan tumpuan. Projek mesra rakyat meliputi penyediaan kemudahaan asas dan memberikan faedah secara langsung kepada rakyat seperti bekalan air, elektrik, kemudahan kesihatan, pendidikan dan pembasmian kemiskinan serta keselamatan awam.

Ini disebabkan oleh projek pembangunan RMK-9 adalah dirancang dan dilaksanakan bagi tujuan meningkatkan kesejahteraan rakyat dan membangunkan negara serta pelaksanaannya bukan hanya dilakukan secara berpilih-pilih tetapi sebaliknya merangkumi seluruh negara tanpa mengambil kira sama ada kerajaan negeri dikuasai oleh parti pembangkang atau sebaliknya.

Kepentingan

Kesungguhan kerajaan dalam mengotakan janji mengutamakan kepentingan rakyat dalam menjayakan RMK-9 dapat dilihat apabila projek-projek yang ‘kurang penting’ dikaji semula pelaksanaannya seperti projek monorel bernilai RM2 bilion di Pulau Pinang, Jalan Lingkaran Luar Pulau Pinang (PORR) RM1.5 bilion dan juga bangunan memorial di bawah Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan serta pusat-pusat pentadbiran negeri.

Pada masa yang sama, kerajaan juga terus memberikan tumpuan ke arah mengukuhkan lagi kedudukan kewangan termasuk memastikan pengagihan diberikan mengikut keutamaan. Selain itu, peruntukan dipastikan mempunyai mobiliti untuk disalurkan kepada keutamaan lain yang memerlukannya.

Namun begitu di sebalik semakan semula yang dilakukan dalam kajian separuh penggal RMK-9, negara masih perlu membuktikan keupayaannya mampu mendepani cabaran terutamanya dalam memastikan kadar defisit fiskal kekal pada purata 3.2 peratus bagi tahun 2006-2010 berbanding sasaran asal RMK-9 sebanyak 3.4 peratus daripada KDNK.

Menurut pakar-pakar ekonomi, kadar defisit fiskal sebanyak 3.2 peratus sukar untuk dipertahankan dalam tempoh 2008 hingga 2010 sekiranya kerajaan tidak mempunyai perbelanjaan yang mencukupi, tambahan pula dengan terdapatnya kemungkinan besar harga minyak dunia yang tidak mudah mengalami penurunan dalam tempoh masa terdekat dan ekonomi global juga pastinya terus malap.

Tambahan pula kadar berkenaan telahpun dikatakan berkembang kepada 4.4 peratus daripada KDNK pada suku pertama 2008. Ini berdasarkan jangkaan keadaan itu boleh diburukkan oleh faktor-faktor seperti isu subsidi bahan api, penangguhan berterusan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan tekanan terhadap perbelanjaan kerajaan.

Ini bermakna kerajaan perlu mencari strategi-strategi lain termasuk pump priming (penjana pertumbuhan) untuk menghadapi sebarang kemungkinan meskipun setelah mengkaji semula pencapaian RMK-9 kerana terdapat projek-projek yang diberikan penekanan seperti koridor ekonomi mengambil masa yang panjang sebelum dapat memberikan hasilnya.

Pada masa yang sama, ketidaktentuan politik selepas pilihan raya umum pada bulan Mac 2008 yang menyaksikan terdapatnya bahaya policy paralysis ketika Perdana Menteri dan parti pemerintah Barisan Nasional mungkin teralih tumpuan akibat kegiatan politiking dan kemelut dalaman sekurang- kurang menjelang enam bulan akan datang sehingga berlangsung Perhimpunan Agung UMNO dan pemilihan parti juga menjadi kebimbangan.

Ketika usaha dilakukan untuk mengatasi kesukaran yang dialami sewajarnya rakyat turut sama berganding bahu untuk membantu kerajaan. Ini bermakna semua pihak perlu tabah dan bersatu hati dalam menangani krisis kenaikan harga minyak dan komoditi.

Tanpa sokongan semua pihak hasrat kerajaan untuk membolehkan Malaysia muncul sebagai negara maju tidak akan tercapai tetapi sebaliknya rakyat pula akan menderita sekiranya apa yang dihasratkan dan dirancang untuk menjayakan RMK-9 gagal dilaksanakan.

Wednesday, June 18, 2008

Pekebun kecil mesti ubah minda selepas hutang lupus

KIRA-kira 33,957 pekebun kecil di seluruh negara pasti gembira dengan langkah Risda melupuskan hutang lapuk mereka berjumlah RM139.64 juta yang tertunggak. Langkah itu bagi membantu pekebun kecil memberi tumpuan kepada kegiatan lain yang boleh meningkatkan taraf hidup.

Menurut Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Tan Sri Muhammad Muhamad Taib, jumlah itu adalah daripada keseluruhan pinjaman RM204.7 juta yang diberikan sejak 1979. Ia bertujuan meringankan beban kewangan pekebun kecil berikutan kenaikan harga barangan dan kos sara hidup disebabkan kenaikan harga bahan api. Pinjaman daripada Kerajaan Persekutuan yang dilupuskan itu meliputi Kredit Sara Hidup, Pinjaman Pengurusan Mini Estet dan Pinjaman Perumahan Mini Estet. Asalnya pinjaman itu adalah untuk membantu kos menanam semula di bawah Kredit Sara Hidup, kos pembangunan Mini Estet di bawah Pinjaman Pengurusan Mini Estet dan pinjaman membina rumah di bawah Skim Pinjaman Perumahan Mini Estet.

Keputusan melupuskan pinjaman itu memang ditunggu-tunggu oleh pekebun kecil dan seperti kata Pengerusi Persatuan Kebangsaan Pekebun Kecil Malaysia (PKPKM), Datuk Aliasak Ambia, sebelum ini sudah banyak permohonan dikemukakan supaya hutang itu dilupuskan. Ini bukan kali pertama kerajaan berbuat demikian kerana pada pertengahan 1980-an, Risda pernah melupuskan hutang sara hidup bernilai RM90 juta, iaitu pinjaman yang dibuat pekebun kecil sementara menunggu tanaman mengeluarkan hasil.

Sebenarnya, tindakan melupuskan hutang lapuk itu adalah tepat kerana sudah lama iaitu sejak 1979 dan jika Risda ingin mengutip balik, ia pasti tidak akan berjaya. Ia membabitkan masa yang sangat lama dan kos yang tinggi untuk berbuat demikian, apatah lagi ada di kalangan penghutang itu dikatakan sudah meninggal dunia dan urusan menjejak waris mereka pula sukar. Namun, ketika pekebun kecil bergembira dengan langkah itu, mereka juga harus bersyukur dan memahami keadaan. Amalan menghapuskan hutang bukan satu langkah yang boleh digalakkan sangat meskipun kita menerima hakikat kesukaran pekebun kecil membayar balik.

Kadang-kala tindakan popular boleh memberi kesan negatif untuk jangka panjang jika tidak ditangani dengan sebaik mungkin. Hukum-hakam akan menyukarkan pemberi pinjaman jika peminjam mempunyai rekod sukar membayar balik. Kita bersimpati dan memahami keadaan hidup pekebun kecil tetapi pada masa sama, kita sedar kehidupan pekebun kecil sudah jauh berubah sejak beberapa tahun kebelakangan ini berikutan lonjakan harga getah dan minyak sawit.

Dalam keadaan sekarang, mungkin pendapatan pekebun kecil lebih banyak berbanding kerani yang tinggal di bandar. Kemiskinan di bandar sebenarnya lebih teruk berbanding orang miskin di luar bandar kerana mereka kini dihimpit pula dengan kenaikan sara hidup berikutan lonjakan harga minyak. Ramai pekebun kecil menikmati kehidupan yang senang-lenang apabila harga minyak sawit terus naik yang akhir Februari lalu misalnya, harga melonjak ke paras tertinggi RM4,400 satu tan. Begitu juga dengan penoreh getah yang ada di antara mereka berpendapatan hingga RM4,000 sebulan.

Kita berharap pekebun kecil mula mengorak langkah untuk lebih berdikari, bersedia untuk menggunakan teknik moden mengusahakan kebun dan menjadikan pinjaman yang diberikan kerajaan untuk menggandakan lagi usaha. Mentaliti mengharapkan bantuan kerajaan semata-mata perlu diubah dan bantuan baja misalnya, hendaklah digunakan sebaik mungkin, bukan untuk dijual semula bagi mengaut keuntungan segera.

Hanya perubahan minda akan membantu mengubah nasib kehidupan mereka bagi jangka panjang.

18.08.2008