PERBALAHAN di antara Rumah Putih dan Kremlin mengenai pembangunan perisai peluru berpandu ala Star Wars yang dipelopori oleh Washington tidak menghairankan kerana keduadua kuasa besar ini mempunyai kemampuan dan teknologi untuk merealisasikan sistem pertahanan yang kompleks.
Isu sistem perisai tersebut menjadi bertambah rumit apabila Washington mencadangkan Poland dan republik Czech menjadi markas terbaru sistem Star Wars dengan alasan kononnya penempatan tersebut mampu menangkis serangan peluru berpandu milik Iran.
Moscow pula menempelak cadangan Washington dan menuduh strategis Rumah Putih cuba menggunakan penempatan di Eropah Timur untuk mengancam Rusia.
Malah rantau Asia Timur juga tidak terkecuali bergolak gara-gara Washington yang begitu taksub dengan program Star Wars tersebut. Sekutu kuat AS seperti Jepun, Korea Selatan dan Taiwan masing-masing dengan bijak menggunakan alasan ancaman peluru berpandu Korea Utara untuk membangunkan program Star Wars mengikut acuan dan agenda masing-masing.
Sepertimana Moscow, Beijing juga membantah keras pembangunan perisai di ketiga-tiga negara tersebut kerana China berpendapat sistem tersebut sebenarnya ditujukan kepada Beijing dan ancaman Pyongyang hanyalah alasan untuk menghalalkan pembangunan tersebut.
Walaupun rantau ASEAN masih belum melihat mana-mana negara ahli yang bercita-cita membangunkan sistem perisai Star Wars, tetapi perkembangan di sekeliling begitu membimbangkan. Pembangunan perisai di Jepun, Korea Selatan dan Taiwan sudah memberi alasan yang kukuh untuk China membangunkan sistem pertahanan perisai mereka yang tersendiri. Tidak cukup dengan ancaman perlumbaan senjata peluru berpandu di antara sekutu AS dan China, rantau ASEAN bakal melihat perlumbaan yang serupa tetapi kali ini di antara India dan Pakistan.
India beberapa hari lepas telah mengumumkan kejayaan ujian memusnahkan peluru berpandu di udara dengan menggunakan peluru berpandu yang dinamakan Prithvi II. Kemampuan untuk memusnahkan peluru berpandu yang sedang bergerak di udara adalah salah satu syarat penting untuk menjadikan sistem perisai yang dibangunkan berkesan. Kejayaan yang dicapai oleh India dikatakan memberi erti yang penting kerana tidak semua negara yang mempunyai sistem perisai mampu membangunkan teknologi pemusnahan peluru berpandu di udara. Walaupun Jepun, Korea Selatan dan Taiwan memiliki perisai peluru berpandu, tetapi teknologi memusnahkan peluru berpandu diimport dari AS.
Ketika ini hanya AS, Rusia dan Israel memiliki kemampuan seperti yang telah ditunjukkan oleh India. Malah China yang dikatakan mempunyai beratus peluru berpandu sama ada jarak jauh atau dekat, tidak pernah melakukan ujian pemusnahan peluru berpandu.
Perkembangan terbaru ini dikatakan amat membimbangkan kerana pembangunan perisai peluru berpandu India tidak akan mempunyai kekangan dan mampu berkembang tanpa had. Malah Organisasi Penyelidikan dan Pembangunan Pertahanan (DRDO) India, iaitu agensi yang bertanggungjawab terhadap pembangunan perisai peluru berpandu telah mengisytiharkan India bakal memiliki sistem perisai yang lengkap menjelang tahun 2010.
Berbeza dengan kemampuan perisai yang dimiliki oleh Jepun, Korea Selatan dan Taiwan, pembangunan perisai India tidak bergantung kepada perpindahan teknologi dari AS. New Delhi dengan bijak telah menggunakan gabungan teknologi perisai AS, Rusia dan Israel untuk melahirkan Prithvi II. Sebelum menemui kejayaan membangunkan Prithvi II, India hampir melupakan hasrat membangunkan sistem perisai tersebut ekoran dari kegagalan membangunkan sistem yang sama iaitu Trishul.
Sistem perisai Prithvi II walaupun tidak sehebat sistem yang dimiliki oleh AS, Rusia atau Israel, tetapi masih mempunyai jangkauan jarak sehingga 250 kilometer. Tetapi apa yang membimbangkan ialah Prithvi II mampu membawa peledak sehingga 500kg yang sudah pasti mempunyai kemampuan ledakan yang hebat.
Paling tidak menyenangkan mengenai kejayaan terbaru New Delhi ini adalah ia dilakukan beberapa hari selepas Islamabad mengumumkan kejayaan melancarkan peluru berpandu Babur yang mempunyai kemampuan jarak sehingga 500 kilometer. Sudah menjadi lumrah bagi kedua-dua negara ini saling balas- membalas untuk mengatasi kemampuan ketenteraan masing-masing. Apabila India mengadakan ujian ledakan nuklear pada tahun 1998, Pakistan juga turut melakukan ujian yang serupa.
Begitu juga apabila India mengadakan ujian pelancaran ujian peluru berpandu jarak jauh atau dekat, Pakistan turut akan membalas dengan ujian yang lebih hebat.
Tetapi perkembangan pertunjukan kemampuan ketenteraan India dan Pakistan memasuki fasa terbaru kerana New Delhi telah mengisytiharkan bahawa mereka mempunyai kemampuan perisai peluru berpandu. Islamabad sebelum ini tidak pernah terdengar ura-ura untuk membangunkan sistem perisai yang tersendiri dan sudah pasti Pakistan tidak akan berdiam diri tanpa mengambil tindakan yang sewajarnya.
Sejarah perbalahan di antara India dan Pakistan adalah satu manifestasi yang jelas yang dipanggil perlumbaan senjata. Apabila India membangunkan program nuklear, Pakistan pun mengambil langkah yang serupa sehingga pada hari ini kedua-dua negara tersebut mempunyai kemampuan nuklear.
Begitu juga apabila India melancarkan ujian peluru berpandu jarak jauh, Pakistan juga turut melakukan perkara yang sama. Bukan sahaja kedua-dua negara tersebut mempunyai kemampuan peluru berpandu, malah paling membimbangkan peluru berpandu tersebut sudah mempunyai peledak nuklear.
Tidak mengejutkan jika tidak berapa lama lagi Islamabad mengumumkan kejayaan ujian memusnahkan peluru berpandu di udara untuk menyaingi kemampuan Prithvi II New Delhi. Jika Prithvi II mempunyai kemampuan had jarak 250 kilometer, maka sudah pasti Islamabad akan membangunkan sistem perisai Star Wars yang mempunyai had jarak melebihi apa yang dimiliki oleh Prithvi II.
Tidak cukup dengan masalah Star Wars AS di antara Jepun, Korea Selatan, Taiwan dan China, ASEAN bakal menerima kesan perlumbaan perisai peluru berpandu di antara India dan Pakistan. Adalah dijangkakan perlumbaan pembangunan perisai negara Asia Selatan ini adalah lebih hebat dari Asia Timur kerana New Delhi dan Islamabad bakal membangunkan sistem perisai menggunakan kepakaran dan teknologi yang tersendiri.
Sunday, December 16, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment