ETIAP orang pasti berhadapan dengan masalah membawa wang tunai yang banyak terutama ketika mahu membeli-belah, membuat sesuatu pembayaran seperti pendahuluan membeli rumah atau kereta atau melunaskan bil-bil tertunggak.
Begitu juga bagi mereka yang sering berkunjung ke luar negara baik untuk melancong atau bertugas, membawa wang tunai bukan pilihan yang bijak kerana terdedah kepada bahaya yang tidak diduga – silap-silap hari bulan boleh menjejaskan keselamatan diri sendiri.
Namun apa pilihan yang kita ada selain menggunakan cek kembara (yang tidak diterima secara meluas dan kadangkala menimbulkan banyak masalah) atau kad kredit yang semestinya tidak digemari kerana ia sama seperti kita berhutang.
Lebih-lebih lagi cek kembara dan kad kredit tidak boleh digunakan untuk membeli barangan kecil – kredit kad contohnya mempunyai had minimum tertentu untuk melayakkan seseorang membuat pembelian.
Penggunaan kad kredit tanpa disiplin serta seliaan yang betul juga boleh memupuk budaya berhutang di kalangan kita, malah ia boleh saja menjerumuskan seseorang itu kepada kebankrapan kerana gagal menjelaskan hutang tertunggak berserta kadar faedahnya sekali.
Untuk mengatasi masalah tersebut dan memudahkan orang ramai menguruskan wang tunai masing-masing, terutama ketika membeli-belah, satu gaya hidup baru diperkenalkan iaitu kad debit.
Kad debit adalah kad plastik yang menyediakan kaedah pembayaran alternatif kepada wang tunai ketika melakukan urus niaga. Secara fizikalnya kad debit menyerupai kad kredit, namun dari segi fungsinya ia lebih menyamai menulis sekeping cek.
Bagi pengguna, perbezaan antara kad debit dan kad kredit ialah pembayaran menggunakan debit kad dipotong terus daripada baki akaun simpanan manakala kad kredit pula memberi kebebasan bersyarat kepada pengguna untuk menggunakan wang yang sebenarnya bukan milik mereka.
Saya sendiri mengetahui (mungkin agak lewat) mengenai kad debit ketika bertugas di luar negara apabila salah seorang rakan bertanya bagaimana saya menjelaskan bayaran hotel serta menyempurnakan lain- lain urusan berkaitan kewangan.
Ternyata beliau terkejut apabila diberitahu yang saya membuat pembayaran secara tunai dan membawa bersama wang tunai yang banyak sepanjang kira-kira tiga minggu menyempurnakan tugasan di luar negara.
Saya kemudian diperkenalkan dengan kad debit dan sekembali ke tanah air, tanpa berlengah mengambil kesempatan meninjau perihal kad debit dan mendapati antara bank yang menawarkan kemudahan tersebut ialah AffinBank yang bekerjasama dengan MasterCard untuk menyediakan kemudahan kewangan terbaru ini.
Selepas seminggu menggunakan kad tersebut, sememangnya diakui ia mudah, selamat dan boleh digunakan di mana-mana sahaja hatta untuk membeli bertih jagung sebelum menonton wayang sekalipun.
Konsepnya amat ringkas. Setiap perbelanjaan akan dipotong daripada baki yang terdapat di dalam akaun simpanan atau akaun semasa bank yang mengeluarkan kad debit. Ini bermakna sebanyak mana wang dalam akaun kita sebanyak itulah wang yang boleh dibelanjakan menggunakan kad debit.
Misalnya, saya menggunakan AffinBank Debit MasterCard, setiap kali membuat pembelian, jumlah pembayaran akan dipotong secara automatik daripada akaun simpanan AffinBank saya.
Dengan cara itu, pemegang kad tidak perlu lagi membawa wang tunai yang banyak sebaliknya hanya pastikan akaun anda mempunyai baki yang mencukupi untuk memastikan semua urusan berjalan lancar.
Penggunaan kad ini juga amat meluas. Anda boleh menggunakannya untuk mengisi minyak, membeli sebotol air mineral malah ia juga boleh berfungsi sebagai kad Touch ‘n Go.
Apabila nilai dalam kad di bawah RM50, penambahan nilai akan berlaku secara automatik, oleh itu kita tidak perlu risau tentang baki dalam kad yang tidak mencukupi terutama ketika hendak berjalan jauh.
Begitu juga pemegang kad debit boleh menikmati secawan Latte di Starbuck walaupun tiada wang tunai di dalam poket serta membeli senaskhah surat khabar – kerana kad debit tiada had minimum – sesuatu yang amat berbaloi jika menggunakan kad tersebut.
Menariknya tentang kad ini ialah kita juga tidak perlu bimbang tentang ketiadaan mesin pengeluaran wang tunai kerana semua urusan boleh diselesaikan dengan hanya sekeping kad. Malah untuk AffinBank Debit MasterCard, ia boleh digunakan di mana-mana kaunter yang terpapar logo MasterCard di seluruh dunia.
Selain itu, kad debit ini juga boleh berfungsi sebagai kad ATM – membolehkan pemegang kad tersebut mengeluarkan wang tunai, memindahkan wang dan berurus niaga menerusi Internet.
Selain itu, pemegang kad debit AffinBank MasterCard juga akan menikmati rebat sebanyak 0.5 peratus bagi setiap urus niaga tunggal dan wang itu akan dikreditkan ke dalam akaun scara automatik setiap bulan.
Oleh itu kad debit membolehkan kita mengawal penggunaan wang sendiri. Pemegang kad boleh merancang perbelanjaan bulanan dan menentukan sendiri had perbelanjaan.
Saturday, December 29, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment