Saturday, December 29, 2007
119. Benazir dibunuh
Bekas Perdana Menteri Pakistan Benazir Bhutto terbunuh dalam satu serangan berani mati yang turut mengorbankan kira-kira 20 penyokongnya selepas menyampaikan ceramah kempen pilihan raya di Rawalpindi hari ini.
‘‘Beliau meninggal dunia pada pukul 5.25 petang (8.25 malam waktu Malaysia) di Hospital Umum Rawalpindi,” kata jurucakap Parti Rakyat Pakistan (PPP), Rehman Malik.
Dalam kejadian itu, Benazir, 54, dilaporkan ditembak di leher dan dada ketika sedang memasuki kenderaannya.
Beliau, ketika itu baru sahaja selesai menyampaikan ceramah kepada beribu-ribu penyokongnya dan sedang berjalan ke arah kenderaannya apabila seorang lelaki menghampirinya dan melepaskan tembakan sebelum meletupkan dirinya.
‘‘Lelaki berkenaan menembak ke arah kereta Benazir ketika beliau tunduk dan lelaki itu kemudian meletupkan dirinya,” kata seorang pegawai polis, Mohammad Shahid.
Pembunuhan itu yang berlaku dua bulan selepas Benazir, yang pernah menjadi Perdana Menteri Pakistan sebanyak dua kali dan merupakan wanita pertama negara itu memegang jawatan tersebut, kembali ke Pakistan untuk bergiat semula dalam politik.
Ini merupakan serangan kedua ke atas Benazir sejak pulang dari tinggal dalam buangan di Britain, Oktober lalu. Pada serangan 19 Oktober lalu, lebih 138 orang terbunuh ketika berarak menyambut kepulangannya.
Sekurang-kurangnya 20 orang yang terkorban dan 56 cedera hari ini terdiri daripada penyokong Benazir dan anggota polis.
‘‘Benazir dan beberapa pemimpin parti PPP dalam perjalanan keluar dari tempat ceramah apabila seorang lelaki tiba-tiba menghampiri mereka sebelum melepaskan tembakan,” kata Yaseen seorang anggota polis yang berada di tempat kejadian.
Ceramah itu diadakan sebagai kempen pilihan raya Pakistan yang akan diadakan pada 8 Januari ini.
Menurut jurucakap Benazir, Farahtullah Babar, beliau baru saja melintasi pagar ketika dalam perjalanan ke keretanya yang terletak 50 meter dari tempat kejadian apabila tiba-tiba satu letupan berlaku.
‘‘Tindakan ini dilakukan oleh mereka yang ingin melihat keadaan di Pakistan huru-hara kerana beliau adalah simbol penyatuan di sini.
‘‘Mereka telah memusnahkan keluarga Bhutto dan merupakan musuh Pakistan,” kata Farahtullah.
Presiden Pakistan Pervez Musharraf telah dimaklumkan secara peribadi mengenai kematian Benazir.
Kejadian ini mengulangi sejarah bapanya, Zulfikar Ali Bhutto yang mati ketika menjadi Perdana Menteri apabila dihukum gantung oleh pihak tentera selepas satu rampasan kuasa.
Sementara itu, bekas Perdana Menteri dan juga pemimpin pembangkang Nawaz Sharif yang kelihatan terkejut ketika bercakap di luar Hospital Umum Rawalpindi, tempat Benazir meninggal dunia, berkata, dia bersumpah akan meneruskan perjuangan wanita itu.
‘‘Saya berikan jaminan akan meneruskan perjuangan anda mulai sekarang,’’ kata beliau kepada para penyokong Benazir yang menangis dan meraung di luar hospital berkenaan.
‘‘Saya berkongsi kesedihan anda dan juga seluruh negara,’’ kata beliau lagi.
Sementara itu, keadaan di luar hospital itu tegang dengan kebanyakan penyokong Benazir menangis malah ada yang bertindak ganas dengan memecahkan cermin serta menuduh Presiden Pervez Musharraf sebagai dalang dalam kejadian ini.
– Agensi 28/12/07
Sejarah hidup Benazir Bhutto
PEMIMPIN pembangkang yang terkemuka Pakistan Benazir Bhutto terbunuh dalam satu serangan bersenjata dan bom selepas satu perhimpunan awam menjelang pilihan raya di bandar Rawalpindi semalam.
Berikut adalah fakta tentang Benazir:
Benazir Bhutto dilahirkan pada 21 Jun 1953 dalam keluarga berada. Bapanya, Zulfikar Ali Bhutto, merupakan pengasas Parti Rakyat Pakistan (PPP) dan menjadi Presiden dan kemudiannya Perdana Menteri Pakistan dari tahun 1971 hingga 1977.
* Selepas memperoleh ijazah dari Universiti Harvard dan Oxford, beliau pulang ke Pakistan pada 1977, sebelum tentera negara itu merampas kuasa daripada bapanya. Beliau mewarisi kepimpinan dalam PPP selepas bapanya dihukum mati pada 1979 di bawah pemerintahan Jeneral Mohammad Zia-ul-Haq.
* Beliau dilantik sebagai perdana menteri wanita pertama pada 1988 tetapi kemudiannya dipecat oleh presiden ketika itu atas tuduhan rasuah pada tahun 1990. Benazir kembali berkuasa semula pada 1993 selepas pengganti beliau Nawaz Sharif terpaksa meletak jawatan selepas bertelagah dengan Presiden. Beliau kurang menyerlah ketika kali kedua menjadi perdana menteri dan Nawaz kembali berkuasa pada 1996.
* Pada 1999, Benazir dan juga suaminya Asif Ali Zardari, telah dipenjara lima tahun dan didenda $8.6 juta (RM28.38 juta) selepas didakwa menerima rasuah daripada sebuah syarikat asing yang lantik untuk menangani penyelewengan kastam. Mahkamah kemudiannya mengubah keputusan bersalah itu yang disifatkan sebagai berat sebelah. Benazir yang melantik suaminya sebagai menteri pelaburan ketika berkuasa dari tahun 1993 hingga 1996, berada di luar negara ketika beliau disabitkan kesalahan dan beliau memilih untuk tidak pulang ke Pakistan.
* Pada 2006 beliau menyertai Pakatan Pemulihan Demokrasi dengan musuh ketatnya, Nawaz tetapi kedua-duanya bercanggah tentang strategi untuk menangani Presiden tentera Pervez Musharraf. Benazir memutuskan untuk berunding dengan Pervez manakala Nawaz enggan berbuat demikian.
Benazir kembali ke Pakistan pada bulan Oktober 2007 selepas lapan tahun tinggal dalam buangan apabila Musharraf yang telah ditemui untuk membincang peralihan Pakistan ke pemerintahan awam yang demokrasi, memberikan jaminan perlindungan kepada bekas perdana menteri itu daripada dikenakan tindakan bagi kes-kes rasuah yang lalu.
* Pada masa kepulangan beliau melalui Karachi, seorang penyerang berani mati telah meletupkan dirinya mengorbankan lebih 138 nyawa termasuk penyokongnya.
Pada 26 Disember lalu, Benazir bersumpah untuk memperjuangkan hak pekerja ketika mengadakan kempennya bagai pilihan raya umum Januari.
Bapa Benazir, Zulfikar yang dihukum mati oleh kerajaan Jeneral Zia ul-Haq atas tuduhan membunuh pada 1979, dikebumikan di makam itu.
Adik lelaki Benazir, Murtaza dan Shahnawaz yang juga terkorban akibat keganasan turut dikebumikan di makam dengan kubah putih itu yang dibina atas arahan Benazir.
Benazir adalah anak sulung hasil perkahwinan Zulfikar yang berasal dari Sindh dengan Begum Nusrat Bhutto, warga Pakistan yang berketurunan Iran-Kurdis.
Datuk kepada Benazir Sir Shah Nawaz Bhutto, berhijrah ke Sindh dari kampung asalnya di Bhatto Kalan, di negeri Haryana, India sebelum pemisahan kedua negara itu 60 tahun lalu.
– Reuters
28/12/07
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment