Kejayaan dikecapi harus dipertingkat, kelemahan dibendung demi mencipta harapan 2008 lebih gemilangDUA hari lagi, tirai 2007 ditutup iaitu tahun yang melakar pelbagai cerita dan tragedi suka duka.
Dalam sejarah negara yang pasti diingati beberapa generasi akan datang ialah kejayaan melahirkan angkasawan pertama negara. Kegemilangan itu menjadi bualan serta liputan meluas media asing dengan menempatkan nama Malaysia sebaris dengan negara maju, khususnya Amerika Syarikat, Russia, China, Jepun, India, Arab Saudi dan Israel yang lebih awal menghantar rakyatnya ke angkasa.
Kegembiraan kelahiran angkasawan negara dikongsi seluruh rakyat apabila misi Malaysia meneroka industri aeroangkasa menerusi Program Angkasawan Negara terlaksana dengan penghantaran Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha, 35, ke Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) dengan menaiki Soyuz TMA-II, pada 10 Oktober lalu. Sepanjang 11 hari berada di ISS, beliau mengendalikan tiga eksperimen saintifik yang disediakan saintis negara. Eksperimen sains hayat membabitkan kajian ke atas empat jenis sel, termasuk dua sel kanser selain dua jenis bakteria dan penghabluran dua jenis protein yang digunakan dalam pelbagai industri. Media Barat turut melaporkan mengenai isu cara angkasawan Islam beribadat di angkasa lepas. Kejayaan itu dianggap sebagai hadiah paling bernilai sempena kemerdekaan negara ke-50.
Malah, sambutan kemerdekaan negara 31 Ogos lalu diselitkan acara mengimbau serta menggamit detik bersejarah pemimpin negara memperjuangkan kemerdekaan pada zaman Tunku Abdul Rahman sehingga beralih kepemimpinan kepada Tun Abdul Razak Hussein, Tun Hussein Onn, Tun Dr Mahathir Mohamad dan kini, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Malaysia juga gah dalam bidang perubatan dengan mencatat sejarah kali kedua berjaya melakukan pembedahan pemindahan jantung kepada pelajar, Tee Hui Yee, 14, yang terpaksa bergantung kepada jantung mekanikal.
Warna-warni kecemerlangan Malaysia terus menyaksikan kejayaan pelancaran kereta Nasional, kelima Proton, iaitu Persona (bermaksud Wawasan Untuk Kecantikan) yang mempamerkan industri automatif semakin berkembang pesat.
Dalam bidang politik pula, Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Seri Lim Keng Yaik, yang juga Presiden Gerakan untuk tempoh 27 tahun, akhirnya melepaskan jawatan itu kepada timbalannya, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon. Keng Yaik menjadi presiden sejak 1980 selepas mengambil alih daripada Lim Chong Eu.
Karier politik dan sumbangannya dalam parti komponen Barisan Nasional (BN) disifatkan agak lama iaitu mencecah 35 tahun akhirnya terhenti di situ dan terus memegang jawatan di kementerian berkenaan sehingga rombakan Kabinet diumumkan nanti.
Bagaimanapun, suasana tenang negara dicemari dengan sedikit kekecohan berikutan demonstrasi jalanan oleh Barisan Bertindak Hak-hak Hindu (Hindraf) yang mendakwa kerajaan melakukan penindasan, meminggirkan kaum dan penghapusan etnik. Ia menyebabkan lima pemimpin kumpulan itu ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana mengancam keamanan dan keselamatan negara.
Turut dipaparkan ialah mengenai siasatan Suruhanjaya Diraja berhubung rakaman klip video mengandungi perbualan telefon antara seorang peguam dengan hakim kanan yang dikatakan mengatur pelantikan hakim.
Institusi Diraja di negara ini, turut berubah wajah, dengan pertabalan Sultan Terengganu Tuanku Mizan Zainal Abidin secara rasminya memegang tampuk pemerintahan negara sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13. Upacara diadakan penuh gilang gemilang meneruskan tradisi beraja di negara ini. Tuanku Mizan dipilih oleh Raja-Raja Melayu pada mesyuarat khas Majlis Raja-Raja ke-208 di Istana Negara pada 3 November 2006 bagi menggantikan Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail yang tamat tempoh lima tahun baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-12 pada 12 Disember 2006. Istiadat pertabalan Baginda diabadikan dalam dokumentari menarik berjudul Becoming A King , disiarkan di saluran National Geographic, pada 27 Ogos lalu terbitan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dengan kerjasama National Geographic yang turut ditonton 250 juta isi rumah di seluruh dunia.
Dalam melayari saat gembira itu, pelbagai tragedi sedih membabitkan kemalangan jalan raya dan udara, mengisi ruang berita media massa. Rakyat bersedih apabila enam anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) terkorban dalam nahas helikopter Nuri di Gunung Bunga Buah, Genting Highlands, Pahang. Semua mayat pegawai dan anggota TUDM yang hilang bersama helikopter Nuri di kawasan Genting Sempah dekat Bentong untuk tempoh beberapa hari akhirnya dijumpai dalam keadaan menyayat hati. Justeru, kerajaan mengambil keputusan menamatkan perkhidmatan helikopter jenis Sikorsky S61 Sea King atau lebih dikenali sebagai Nuri dalam TUDM selepas digunakan selama 37 tahun. Penggantiannya dilakukan secara berperingkat bermula tahun ini dan diganti sepenuhnya menjelang 2012 dengan pesawat lebih sesuai sejajar tanggungjawab lebih mencabar serta mempunyai spesifikasi lebih moden serta selamat.
Pada 2 Disember menyaksikan satu lagi tragedi menyayat hati apabila tiga anggota Pasukan 10 Briged Para maut selepas penerjunan mereka tersasar dari zon pendaratan di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi akibat tiupan angin kencang ketika menjalani latihan penerjunan sempena pembukaan Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2007 (Lima'07) FAKTA Suka duka sepanjang 2007
2 Disember - tiga anggota Pasukan 10 Briged Para maut selepas penerjunan mereka tersasar akibat angin kencang ketika menjalani latihan penerjunan sempena Lima'07
25 November - Demonstrasi jalanan oleh Hindraf yang mendakwa kerajaan menindas, meminggirkan kaum dan penghapusan etnik.
16 November - Siasatan Suruhanjaya Diraja berhubung rakaman klip video mengandungi perbualan telefon antara seorang peguam dengan hakim kanan yang dikatakan mengatur pelantikan hakim.
10 Oktober - Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha berlepas ke ISS dengan menaiki Soyuz TMA-II.
4 Oktober - Negara mencatat sejarah kali kedua melakukan pembedahan pemindahan jantung kepada pelajar, Tee Hui Yee, 14.
17 September - Pembunuhan kejam Nurin Jazlin Jazimin, 8, kanak-kanak yang dilaporkan hilang ketika ke pasar malam berhampiran rumahnya di Seksyen 1, Wangsa Maju .
31 Ogos - Sambutan kemerdekaan negara diselitkan acara mengimbau serta menggamit detik bersejarah pemimpin negara memperjuangkan kemerdekaan sempena 50 tahun kemerdekaan.
15 Ogos - Pelancaran kereta Nasional, kelima Proton, iaitu Persona.
13 Ogos - 22 penumpang bas Super Express milik SKBG terhumban ke dalam parit sedalam lima meter di Kilometer 229.1 Lebuh Raya Utara-Selatan, Bukit Gantang, Taiping.
13 Julai - Enam anggota TUDM terkorban dalam nahas helikopter Nuri di Gunung Bunga Buah, Genting Highlands, Pahang.
26 April - Pertabalan Sultan Terengganu, Tuanku Mizan Zainal Abidin sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13.
8 April - Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Seri Lim Keng Yaik, yang juga Presiden Gerakan untuk tempoh 27 tahun, melepaskan jawatan itu kepada timbalannya, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon.
Saturday, December 29, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment