BUMI umpama rumah besar bagi segala hidupan bukan sahaja manusia tetapi serangga, haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Bezanya manusia dan hidupan-hidupan lain ialah kita dianugerahkan akal dan kebijaksanaan.
Namun akal dan kebijaksanaan itu sering disalahgunakan. Mungkin dari satu segi, ia tidak nampak salah, tetapi kita harus sedar bahawa setiap tindakan yang diambil perlu memikirkan kesan baik dan buruk kepada hidupan lain juga.
Inilah sebenarnya fungsi manusia. Memberi yang terbaik kepada seluruh hidupan bumi agar sama-sama dapat berasa nikmat yang lebih sempurna. Tindakan memusnahkan alam sewenang- wenangnya jelas bukan tindakan bijak.
Malangnya, peranan ini sering jatuh ke tempat terakhir selagi kesan itu tidak dirasai sendiri. Lihat sahaja di rumah- rumah kita betapa tenaga elektrik secara lumrahnya dibazirkan begitu sahaja. Lampu yang dipasang tidak setakat penuh di dalam rumah tetapi juga melimpah ruah ke luar rumah. Penggunaan pendingin udara tanpa kawalan terus menjadi penyumbang utama kepada penipisan ozon akibat pengeluaran gas chlorofluorocarbon (CFC).
Itu belum termasuk faktor kenderaan. Di ibu negara dan bandar-bandar besar lain, isu kesesakan lalu lintas seolah-olah telah menjadi perkara biasa. Natijahnya ialah semakin banyak karbon dioksida yang dilepaskan.
Lapisan ozon di stratosfera yang semakin nipis membolehkan sinaran ultra ungu sampai ke permukaan bumi lalu menyebabkan suhu meningkat. Selain pendingin udara, CFC juga dihasilkan oleh penyembur aerosol, penggunaan baja organik berterusan dalam pertanian (menghasilkan nitrogen oksida), pembakaran bahan api fosil (nitrogen dioksida), ujian senjata nuklear, peperangan yang menggunakan bahan letupan dan penggunaan jet supersonik
Keadaan ini bukan sahaja mempengaruhi perubahan iklim, tetapi juga penyakit seperti katarak mata dan kanser kulit, mengurangkan proses fotosintesis tumbuh-tumbuhan, memusnahkan sel mikro organisma pada tumbuh-tumbuhan dan binatang, membunuh sistem pelalian manusia dan binatang serta banyak lagi kesan negatif.
Peningkatan suhu menyebabkan pencairan ais atau glasier seterusnya menyaksikan peningkatan aras laut berikutan isi padu air laut yang bertambah. Apabila air laut bertambah, kawasan-kawasan rendah akan mengalami banjir. Bermakna banjir tidak lagi berlaku di negara-negara yang sering dilanda banjir sahaja tetapi juga tempat-tempat lain.
Dan apa yang kita saksikan hari ini adalah fenomena yang terhasil daripada sikap dan tindakan manusia itu sendiri. Jika kesedaran ini muncul sejak lama dulu, apa yang dialami mungkin dapat dielakkan atau kesannya dikurangkan. Perubahan mendadak ini menyedarkan manusia betapa perlunya kita bersama-sama menjaga alam sekitar.
Malah dalam satu undian yang dilakukan di Switzerland baru-baru ini mendapati lebih 80 peratus rakyat negara itu bersedia mengurangkan penggunaan kereta masing-masing sebagai alternatif pencegahan perubahan cuaca ketara.
Undian yang dibuat menerusi akhbar Sonntagsblick itu mendapati 67 peratus pengundi percaya manusia hanya tahu menyalahkan apa yang berlaku dan 63 peratus bersetuju bahawa perubahan cuaca mengancam survival manusia.
Secara keseluruhan, 88 peratus berkata, mereka bersedia menyumbang secara peribadi untuk mengurangkan pengeluaran gas karbon dioksida yang merupakan punca utama pemanasan atmosfera bumi dan merosakkan iklim.
Undian juga mendedahkan sebahagian besar rakyat Swiss mahu pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya. Mereka mendapati kerajaan hanya mengambil langkah yang terlalu sedikit bagi menangani masalah itu setakat ini.
Lebih 80 peratus juga menyokong lebih banyak cukai kenderaan dikenakan ke atas kenderaan yang boleh menampung jumlah minyak yang lebih banyak, begitu juga ke atas pengangkutan awam dan mempertingkatkan kemampuan kenderaan lama agar lebih mesra alam sebagaimana pemulihan yang dilakukan terhadap bangunan.
Dua pertiga daripada tinjauan yang dibuat oleh Institut Isomar membabitkan 1,001 orang antara 31 Januari hingga 3 Februari lalu itu juga mahu pihak berkuasa mewajibkan penjimatan tenaga ke atas lampu dan peralatan elektrik lain.
Minggu lalu, saintis Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah memberi amaran berkaitan peningkatan pemanasan global dan bagaimana manusia perlu memainkan peranan mereka bagi mengurangkan perubahan iklim.
Pencairan ais luar biasa dan salji kering yang berlaku di Alps beberapa bulan lalu menimbulkan keadaan panik dan ketakutan di Switzerland kesan daripada perubahan cuaca yang ketara kebelakangan ini.
Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon berkata, negara-negara yang kurang mengambil berat tentang kesan pemanasan global yang sedang melanda dunia bakal menerima kesan yang lebih besar berbanding negara lain.
Tidak menentu
‘‘Tahap pemanasan persekitaran global semakin tidak menentu dan kesan disebabkan perubahan cuaca kian dirasai melangkaui seluruh dunia,” kata Ki- moon dalam satu kenyataan yang dikeluarkan baru-baru ini sebagai amaran bahawa manusia adalah pihak yang patut dipersalahkan terhadap pemanasan global dan perubahan iklim.
Tambah Ki-moon lagi, semua negara patut melihat kesan perubahan cuaca sebagai perkara merugikan mereka. Beliau menyifatkan dunia berada di ‘‘tahap kritikal’' dan jika tiada tindakan, keadaan akan bertambah lebih buruk.
‘‘Agak menyedihkan apabila di negara- negara miskin seperti Afrika dan negara- negara pulau kecil terpaksa menerima kesan teruk walaupun mereka bukan penyumbang utama kepada pemanasan global,” jelas beliau lagi.
Ki-moon menjadi harapan agensi alam sekitar PBB untuk memainkan peranan lebih penting bagi menjayakan Protokol Kyoto iaitu perjanjian dalam usaha mengurangkan kesan rumah hijau yang akan tamat pada 2012.
Sebagai pengguna, kita juga mempunyai pilihan sama ada mahu melihat masa depan bumi lebih sihat atau sebaliknya. Seperti ditegaskan Ki-moon, semua negara perlu bertindak. Rakyat Switzerland telah mengambil langkah dengan mengatakan kesediaan mereka mengurangkan kesan pemanasan global walau dengan apa cara sekalipun. Kita?
Tuesday, December 11, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment