Friday, December 28, 2007

114. Aspirasi: Agenda perpaduan dan pilihan raya

Sikap tolak ansur semua kaum penentu kestabilan politik, ekonomi negara

DALAM setiap pilihan raya umum di negara ini, apa juga bentuk keputusannya, ia ditentukan oleh faktor perpaduan kaum. Lebih tinggi sikap perpaduan di kalangan kaum di negara ini, lebih tinggilah kemenangan diperoleh oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).

Sebaliknya, jika lebih rendah sikap perpaduan di kalangan rakyat pada sesuatu pilihan raya itu, maka keputusan yang diperoleh oleh kerajaan BN, juga adalah kurang memuaskan.

Walaupun dalam setiap pilihan raya, keputusan mutlak ditentukan pelbagai faktor termasuk politik, ekonomi, sosial, agama, isu setempat, calon dan sebagainya, perpaduan yang wujud di kalangan masyarakat pengundi, menjadi elemen amat penting.

Kepentingan perpaduan di kalangan rakyat dalam pilihan raya bermula sejak kerajaan parti Perikatan lagi. Disebabkan Parti Perikatan yang diasaskan bekas Perdana Menteri, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj mewakili Umno, menyatukan semua kaum utama di negara ini dengan pembabitan MCA dan MIC, parti Perikatan menang besar.

Kegagalan pembangkang selama ini dan selama-lamanya ialah kerana tidak wujud perpaduan di kalangan parti yang berbeza ideologi itu – ibarat langit dan bumi, tidur sebantal tetapi mimpi lain-lain. Pas dengan slogan menegakkan negara Islam, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dengan hala tuju perjuangan yang tidak jelas.

Disebabkan rakyat tidak mengerti maksud pembangkang, BN, sebagai kesinambungan daripada parti Perikatan, terus diberi mandat besar untuk memerintah negara.

Dalam proses pilihan raya di Malaysia, walaupun banyak faktor dikaitkan, perkara paling pokok yang harus diberi perhatian ialah soal perpaduan rakyat. Jika tahap perpaduan rakyat berada pada tahap paling tinggi, BN akan menang pilihan raya dengan mudah.

Soal lain, sama ada cemuhan politik yang cuba disemarakkan oleh pembangkang, isu semasa yang cuba dipergunakan oleh pembangkang untuk mempengaruhi undi dan sebagainya, tidak begitu berkesan.

Kerajaan dengan pelbagai sumber dan pengalamannya, begitu mudah menangkis tohmahan daripada pembangkang. Tetapi, pada saat pilihan raya diadakan sedangkan ketika itu tahap perpaduan rakyat begitu rendah, ia adalah perkara yang amat membimbangkan.

Apa alasan yang diambil oleh kerajaan untuk mengadakan pilihan raya, suasana perpaduan rakyat tetap dijadikan petunjuk sama ada pilihan raya boleh diadakan atau sebaliknya.

Melihat kepada perkembangan semasa, kerajaan sebenarnya sudah bersedia menghadapi pilihan raya pada bila-bila masa. Mungkin Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi belum mendapat ilham untuk membubarkan Parlimen atau beliau mungkin memikirkan banyak lagi perkara yang belum diselesaikan.

Abdullah mungkin mahukan segala-galanya begitu mantap sebelum benar-benar mahu menghadapi rakyat. Pelbagai peristiwa yang berlaku kebelakangan ini, sesungguhnya memberi kelebihan kepada kerajaan BN.

Ini termasuk beberapa kejadian perhimpunan haram oleh pelbagai pihak, termasuk tindakan Barisan Bertindak Hak-Hak Hindu (Hindraf).

Peristiwa itu menyebabkan rakyat bertambah sedar betapa pentingnya perpaduan rakyat. Mereka tahu, sekiranya tidak wujud perpaduan rakyat, sudah pasti negara berada dalam keadaan kucar-kacir.

Pembangkang pula sentiasa mengambil kesempatan menangguk di air keruh. Sememangnya mereka mahukan berlaku kekecohan, apatah lagi jika ia membabitkan soal sensitif yang boleh menyemarakkan lagi api kemarahan.

Rakyat makin menyedari perpaduan dan keharmonian yang dikecapi sepanjang tempoh 50 tahun negara merdeka mesti dipertahankan. Pelbagai peristiwa yang berlaku itu, walaupun pahit untuk ditelan, ada hikmahnya.

Sekarang, rakyat sudah tahu siapakah yang mengambil kesempatan dan mengambil peluang untuk menggugat keamanan negara. Tindakan yang berpaksikan kepada kepentingan politik pihak tertentu itu menyebabkan rakyat sedar kesan buruknya dan akan mengelakkan keadaan ini berulang.

Tindakan mereka itu juga menyedarkan pihak berkuasa bahawa sekiranya ada permohonan untuk menganjurkan demonstrasi pada masa akan datang, sebarang kelulusan hendaklah berasaskan kepada pelbagai aspek – adakah ia boleh mencetuskan perbalahan kaum atau sebaliknya dan lebih buruk jika ia mengancam keselamatan awam.

Hanya permohonan yang diyakini berasaskan kepada semangat demokrasi dengan jaminan seratus peratus tidak berlaku sebarang peristiwa mengancam keselamatan dan memudaratkan, akan dipertimbangkan. Selain daripada itu, tidak perlu dilayan.

Dari aspek perpaduan, Perdana Menteri ketika berucap pada sesi keempat Siri Ceramah Global anjuran Khazanah Malaysia baru-baru ini, menegaskan pentingnya tiga nilai utama dihayati oleh rakyat – keadilan, tanggungjawab dan rasa percaya pada diri sendiri. Baginya, ketiga-tiga nilai itu adalah faktor kritikal yang diinginkan bukan saja untuk diri, keluarga, malah sebagai warga negara dan juga sebagai manusia.

Perpaduan rakyat tidak boleh dibincang secara berasingan dengan isu lain kerana ia turut berkait rapat dengan isu sosial, kemiskinan rakyat dan pendidikan. Faktor berkenaan mempunyai pertalian yang begitu rapat dalam konteks perpaduan.

Itulah sebabnya Dasar Ekonomi Baru (DEB) dirumus dengan matlamat untuk menyusun semula masyarakat dan membasmi kemiskinan.

Sekiranya jurang antara rakyat kaya dan miskin begitu meluas dan kemiskinan rakyat begitu teruk, tidak wujud ketenteraman dan ini menyukarkan wujudnya perpaduan rakyat.

Sudah tentulah dalam menghadapi isu perpaduan, semua pihak perlu mengamalkan sikap bertolak ansur – tidak semua pihak yang mendapat segala-galanya dan tidak ada pihak juga yang ketinggalan segala-galanya.

Ini termasuk soal nilai keadilan politik, ekonomi dan kebudayaan. Keadilan politik di Malaysia sudah teruji dengan amalan perkongsian kuasa. Apa yang cuba dilakukan oleh kerajaan ialah memastikan tiada satu kaum pun dipinggirkan sebaliknya, setiap kumpulan diberi layanan saksama.

Keadilan kebudayaan yang merujuk kepada identiti setiap masyarakat tetap dipelihara dan dilindungi. Dari segi keadilan ekonomi, kerajaan akan memastikan semua pihak mendapat peluang. Antaranya ialah meringankan beban masyarakat miskin dengan menyediakan peluang yang lebih baik menerusi peluang pekerjaan, perniagaan dan pendidikan.

Sebagai rakyat yang hidup dalam sebuah negara majmuk, setiap pihak perlu menghayati nilai tanggungjawab. Sikap ini perlu melewati semua kaum. Jika semua orang memahaminya, tidak timbul soal pertelingkahan kaum.

Perjalanan untuk menegakkan perpaduan rakyat bukanlah boleh dibina dalam masa yang singkat. Banyak cabaran yang terpaksa dilalui – sedangkan lidah lagi tergigit. Cukuplah sekadar setiap rakyat mengamalkan sikap bertanggungjawab terhadap satu sama lain.

Datuk Dr Mohd Radzi Abdul Latif ialah Presiden Yayasan Kajian dan Strategi Melayu (YKSM).

No comments: