Monday, December 31, 2007

Bekas tahanan Guantanamo bersembunyi

ADELAIDE: David Hicks, orang pertama yang disabitkan bersalah oleh tribunal tentera Amerika Syarikat di Teluk Guantanamo menghabiskan hari kedua kebebasan beliau dengan bersembunyi semalam, selepas dibebaskan dari sebuah penjara Australia. Hicks, bekas koboi Outback dan menyertai tentera Taliban dibebaskan kelmarin dari penjara Yatala di South Australia selepas menjalani hukuman selama sembilan bulan berikutan ditahan selama lima tahun setengah tanpa perbicaraan di penjara Amerika Syarikat di Cuba.

Bapa kepada dua anak berusia 32 tahun itu dibawa dari penjara ke sebuah lokasi rahsia di mana saudaranya berkata bahawa beliau cuba untuk menyesuaikan dengan kehidupan di luar tembok penjara.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan peguamnya, Hick memohon maaf kerana mengelak dari media yang menunggu beliau di luar penjara untuk kenyataan berikutan beliau mengakui menjadi penyokong kepada kumpulan militan terbabit. Hicks yang berjanji untuk tidak bercakap kepada media sebelum Mac 2008 berkata, beliau tidak mahu melakukan sesuatu yang boleh membawa dia pulang semula ke Cuba. “Saya meminta anda menghormati hak peribadi saya kerana saya perlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan masyarakat dan mendapatkan penjagaan perubatan berikutan lima setengah tahun berada di Guantanamo Bay,” kata Hicks.

Beliau ditangkap kerana berjuang bersama Taliban ketika serangan Amerika Syarikat terhadap Afghanistan lewat 2001 dan mengaku bersalah menyediakan bantuan material kepada al-Qaeda. Berdasarkan syarat pembebasan, Hicks bersetuju untuk terus diam mengenai sebarang dakwaan penderaan yang dialami beliau ketika di Guantanamo. - AP

No comments: