Friday, December 28, 2007

113. Membudaya ilmu niaga di IPT

Langkah agresif kementerian boleh atasi masalah siswa menganggur

BIDANG perniagaan sudah menjadi semakin penting dan pesat berkembang sebagai satu pengajian. Selaras dengan dasar kerajaan, peningkatan tahap kemajuan negara menyediakan banyak peluang untuk penerokaan perniagaan.

Perniagaan adalah teras kepada pembangunan keusahawanan. Kini subjek keusahawanan sudah menjadi satu subjek penting pelajar pada semua peringkat, bermula pada peringkat sekolah rendah sehingga ke peringkat universiti.

Sejak 2007, Kementerian Pengajian Tinggi mewajibkan kursus Asas Pembudayaan Keusahawanan untuk diikuti mahasiswa daripada semua disiplin pengajian. Ini memberi petunjuk bahawa semua pelajar di institusi pengajian tinggi diwajib belajar ilmu berniaga, malah lebih daripada itu ia sebagai isyarat bahawa graduan universiti perlu mampu berdikari selepas tamat pengajian – mesti pandai berniaga, tidak mengharapkan kerja daripada kerajaan atau swasta.

Sekali imbas program yang dirancang dan dimulakan oleh Kementerian Pengajian Tinggi ini ada pertindihan dengan usaha yang dilaksanakan lebih awal oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MeCD).

MeCD sudah memulakan usaha pembudayaan keusahawanan daripada kalangan mahasiswa universiti seawal 1998 lagi. Walaupun bermula dengan beberapa buah universiti, kini kementerian itu boleh berbangga dengan pencapaian yang diraih setakat ini.

Semakin ramai graduan dibudayakan ke arah perniagaan, dan semakin ramai yang sudah membabitkan diri dengan perniagaan selepas tamat pengajian. Ini dikatakan berbaloi dengan jumlah wang yang dibelanjakan untuk setiap universiti yang mengikuti program pembudayaan keusahawanan anjuran MeCD.

Setiap universiti yang mengikuti program pembudayaan keusahawanan di kalangan mahasiswa ini diberi peruntukan antara RM100,000 hingga RM200,000 setahun oleh MeCD bergantung kepada perancangan program yang hendak dilaksanakan serta bilangan pelajar yang mengikuti program berkenaan.

Lebih daripada itu, MeCD sanggup berbelanja dengan jumlah yang banyak lagi dalam membiayai acara kemuncak pertandingan keusahawanan di dalam pesta atau karnival yang dipanggil Karniawan untuk mahasiswa pada setiap tahun.

Pesta Karniawan dianjur secara bergilir-gilir oleh universiti yang terbabit. Karniawan 2006 dianjurkan oleh Universiti Sains Malaysia Pulau Pinang, dan untuk tahun ini dianjurkan oleh Universiti Malaya, Kuala Lumpur.

Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) memaparkan iklan di dada akhbar bahawa mereka sudah berjaya melahirkan usahawan berpotensi seperti Kang Zaid dan Fadzillah selepas tamat pengajian. Tidak silap sekiranya ini adalah sebahagian hasil daripada program MeCD pada peringkat universiti.

Tentu ramai lagi yang berpotensi daripada universiti lain dan yang sudah berjaya hasil daripada program itu, tetapi masih berdiam diri, namun terus mengorak langkah.

Kini Kementerian Pengajian Tinggi pula memberi penekanan lebih agresif. Perbezaan yang nyata daripada MeCD ialah Kementerian Pengajian Tinggi sebagai pihak yang berkuasa terhadap universiti boleh menguatkuasakan pembelajaran secara berstruktur dan mewajibkan peperiksaan ke atas semua pelajar.

MeCD hanya mampu menggalak dan melobi pelajar yang berminat saja. Bantuan dan pembudayaan MeCD dikhususkan kepada pelajar Bumiputera, memandangkan golongan inilah yang perlu dibudayakan kerana bilangan yang masih terlalu kurang membabitkan diri di dalam perniagaan.

Kementerian Pengajian Tinggi pula membuat secara menyeluruh tanpa mengira bangsa, keusahawanan dijadikan subjek kursus yang mesti diambil oleh semua pelajar. Kementerian meletakkan harapan agar setiap mahasiswa yang dilahirkan nanti berpotensi mewujudkan organisasi perniagaan dan secara tidak langsung mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.

Pembabitan di dalam bidang perniagaan memerlukan pengetahuan dan kemahiran tertentu untuk bersaing dan berdaya maju. Selaras dengan perkembangan ini, kursus di dalam bidang perniagaan wajar ditawarkan kepada semua pelajar pada semua peringkat.

Sebelum menerjunkan diri ke dalam dunia perniagaan, seseorang perlu mempelajari segala selok belok perniagaan. Sukatan pelajaran pengajian perniagaan bertujuan membolehkan pelajar mengetahui, memahami dan menguasai asas ilmu pada tahap awal pengajian mereka.

Di samping itu, ia juga membolehkan pelajar melanjutkan pengajian di dalam bidang ini ke peringkat lebih tinggi atau terus menceburkan diri di dalam perniagaan, mencapai kemahiran amali.

Wajar atau tidak keputusan Kementerian Pengajian Tinggi mewajibkan pengajian pembudayaan keusahawanan kepada semua pelajar tanpa mengira disiplin pengajian adalah satu perkara lain. Permasalahan itu bukannya untuk dibincang di sini.

Kewajaran pada peringkat kerajaan ialah bagaimana perlu diselesaikan masalah graduan menganggur. Sebaik saja mereka menamatkan pengajian, mereka terkapai tanpa pekerjaan – maka alternatif terbaik yang dicadangkan ialah dengan bekerja sendiri, iaitu memulakan perniagaan mereka sendiri.

Satu perkara lagi mungkin yang terbaik untuk difikirkan ialah mengenai impak daripada usaha pembudayaan keusahawanan pada peringkat sekolah dan universiti seperti yang sudah dimulakan. Banyak kemungkinan yang boleh berlaku. Dulu kita sibuk membincangkan mengenai graduan yang dihasilkan oleh universiti sebagai tidak berwibawa, kurang berkebolehan dan tidak boleh berbahasa Inggeris dengan baik.

Faktor itu dikatakan sebagai punca utama mereka menjadi penganggur. Lantas keputusan yang dibuat ialah dengan menggesa pihak universiti agar menyediakan pelbagai kursus seperti kemahiran insaniah serta meningkatkan kemahiran pelajar di dalam bidang mereka menurut keperluan industri.

Matematik dan sains mesti diajar di dalam bahasa Inggeris. Namun pengangguran di kalangan graduan terus meningkat.

Rasanya semua orang tahu bahawa punca utama pengangguran di kalangan graduan adalah kerana pasaran kerja yang sedikit, sedangkan pasaran buruh terutama di kalangan lulusan universiti semakin bertambah dengan kehadiran beratus institusi pengajian tinggi tempatan sama ada awam atau swasta.

Mereka yang tidak berupaya menjadi pekerja kepada majikan terpaksa berdepan dengan suasana pahit kerana tidak mempunyai kemahiran untuk bekerja sendiri. Mungkin di atas dasar ini, graduan digesa mencipta pekerjaan sendiri dengan berniaga. Satu-satunya kemahiran yang boleh diberi dengan agak mudah ketika mereka sedang menuntut di universiti.

Kehadiran mereka yang bijak dan hebat sebagai peniaga nanti akan membawa kepada persaingan perniagaan yang tentunya sengit dan mungkin boleh berakhir kepada satu lagi siri kecelaruan etika di dalam perniagaan seperti yang kita biasa tempuhi pada awal tahun 70-an, di penghujung 80-an dan 90-an.

Namun, impak paling besar yang mungkin akan dihadapi masyarakat dan negara ialah kepada sistem perundangan dan sistem nilai. Kedua-duanya adalah perubahan yang pasti akan berlaku hasil daripada pembudayaan keusahawanan.

Melihat daripada perspektif positif pula, pembudayaan keusahawanan akan menjana lebih banyak perusahaan atau organisasi perniagaan. Organisasi perniagaan yang banyak ini akan mencipta lebih banyak pekerjaan yang pada suatu hari nanti, negara kita sekali lagi akan mengalami kekurangan eksekutif profesional serta tenaga mahir yang diperlukan.

Oleh Sabri Hussin
Penulis ialah pensyarah di Fakulti Perniagaan dan Perakaunan, Universiti Malaya.

No comments: