SIDANG Kemuncak Perubahan Iklim Antarabangsa di Bali selama lebih 10 hari berakhir semalam.
Mesyuarat itu yang dihadiri oleh 192 buah negara menjadi medan perbahasan hangat sepertimana isu pemanasan global yang dialami di seluruh dunia sekarang.
Bagaimanapun setakat kelmarin belum ada tanda atau kesepakatan satu keputusan atau deklarasi bersama daripada negara peserta.
Negara-negara maju yang didakwa menyebabkan pemanasan global diminta memberikan pampasan atau ganti rugi kepada negara sedang membangun dan negara mundur kerana mereka terpaksa berkorban untuk pembangunan.
Indonesia, umpamanya mahu negara perindustrian membayar pampasan kerana negara-negara maju turut mendapat manfaat daripada peraturan yang dikenakan kepada negara ini bagi melindungi hutan.
Pada persidangan itu, negara maju dituding hanya mementingkan kekayaan ekonomi dan perniagaan, tetapi enggan membantu negara yang membangun dan miskin yang tidak memiliki dana dan teknologi untuk melindungi alam sekitarnya.
Indonesia yang menjadi penyelaras persidangan itu bagaimanapun menafikan dengan keras bahawa persidangan anjuran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu gagal mencapai tujuannya.
Ada pihak yang mendakwa mesyuarat itu seperti sebuah ‘bangunan kertas’ yang mudah terbongkar dan ada yang menyarankan supaya hari persidangan di Bali itu dilanjutkan lagi.
Presiden Susilo Bambang Yudhoyono bagaimanapun menyatakan komitmennya supaya persidangan itu dimanfaatkan sebaik mungkin untuk kepentingan semua negara.
Namun apa yang menarik, persidangan itu telah mengangkat bekas Naib Presiden Amerika Syarikat, Al Gore sebagai ‘hero’ kerana beliau turut membidas negaranya sendiri kerana dikatakan menjadi ‘penghalang’ kepada kemajuan persidangan itu.
Al Gore yang baru sahaja memenangi Hadiah Nobel Kedamaian kerana memperjuangkan kesan pemanasan dunia, menuduh Amerika Syarikat telah menyekat perjalanan mesyuarat.
Sementara negara Kesatuan Eropah pula dilaporkan mengancam untuk menarik diri daripada mengambil bahagian pada persidangan iklim yang dianjurkan oleh Amerika Syarikat sekiranya negara itu sendiri enggan berkompromi dalam mengurangi pelepasan gas dan karbon. Amerika telah mengundang 16 buah negara Eropah selain China, Jepun, dan India untuk menyertai persidangan tentang iklim bulan depan.
Kenyataan pedas Al Gore di Bali bagaimanapun dilihat sebagai ‘serangan balas’ terhadap Presiden George W. Bush. Beliau juga dilihat memulakan ‘kempen’ politik bagi pilihan raya Presiden negara itu yang dijangka pada penghujung tahun depan.
Al Gore dilaporkan menyarankan kepada para perwakilan yang menyertai persidangan itu untuk mengambil tindakan segera bagi mengatasi pemanasan global. Beliau membayangkan kepada mereka kemungkinan Presiden Amerika yang akan dipilih kelak (pengganti Bush) akan memberikan kerjasama terhadap masalah perubahan iklim yang dihadapi oleh dunia sekarang.
“Negara saya sendiri bertanggungjawab sebagai penghalang utama pada mesyuarat di Bali ini,” tegas Al Gore.
Perlu disebut Amerika dilaporkan menjadi penyumbang terbesar kepada pencemaran udara (kadar pelepasan gas rumah hijau) dan satu-satunya negara perindustrian yang menentang perjanjian perubahan iklim di Kyoto yang disepakati bersama pada 1997.
Bush menolak perjanjian itu kerana bimbang akan menjejaskan ekonomi Amerika Syarikat. Sebaliknya beliau mahu negara yang sedang pesat berkembang dalam sektor industri seperti China dan India mengurangkan had pelepasan gas dan karbon.
Bagaimanapun Kristen Hellmer, seorang perwakilan Amerika ke persidangan itu menafikan tudingan yang dibuat oleh Al Gore.
Delegasi Amerika itu tetap mempertahankan peranan negaranya yang dikatakan turut menyingsing lengan bersama negara lain untuk merangka pakatan baru menggantikan Protokol Kyoto yang dijadual tamat pada tahun 2010.
Negara-negara maju seperti Amerika dan Jepun dilaporkan enggan menyetujui beberapa aspek dalam draf cadangan di Bali yang meminta negara-negara perindustrian mengurangkan perlepasan pencemaran gas dari industri menjelang tahun 2020.
Al Gore menyarankan para delegasi persidangan itu mencari kata sepakat untuk menyelesaikan permasalahan walaupun tanpa sokongan Amerika Syarikat.
Ia bukan masalah politik dan perniagaan, tetapi masa depan generasi akan datang, kata Al Gore.
Ketika perbahasan di peringkat menteri sama ada perlu atau tidak negara maju dikenakan peraturan mengehadkan pembebasan gas, Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon turut merayu tindakan yang lebih segera diambil untuk ‘menyelamatkan Bumi’.
Bagaimanapun hanya enam negara bersetuju dengan saranan itu dan menyatakan sokongan terhadap rangka peraturan asas bagi melaksanakan rundingan selanjutnya ke arah merealisasikan satu pakatan baru tentang perubahan iklim dunia.
Saturday, December 15, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment