ADA yang merungut tentang kenaikan harga barang-barang keperluan sekolah sebelum sesi persekolahan bermula tidak lama lagi. Contoh yang paling jelas ialah pakaian dan peralatan sekolah yang lain.
Setelah Kementerian Pelajaran mengumumkan pemberian buku teks percuma kepada semua pelajar bermula tahun depan, ditambah pula dengan pemansuhan yuran peperiksaan, para penjaga dibebani pula masalah baru iaitu kenaikan harga barang keperluan bermusim.
Mungkin bagi yang berpendapatan tinggi dan tidak mempunyai ramai anak yang bersekolah, mereka tidak akan berasa bebanannya. Bagi yang bekerja sendiri dan mempunyai anak yang ramai, tentu akan terasa keistimewaan yang diberikan oleh kementerian itu ditarik balik oleh segelintir peniaga yang menangguk di air yang keruh.
Sesetengah peniaga pula menaikkan harga barang keperluan sekolah setelah mengikuti perkembangan semasa. Bermula dengan kenaikan gaji kakitangan kerajaan Julai lepas, maka tidak kira barang apa sekalipun mengalami kenaikan harga. Yang menjadi mangsa ialah pengguna terutamanya mereka yang berpendapatan rendah, sederhana dan bekerja sendiri.
Tugas ibu bapa dalam soal ini ialah memastikan perbelanjaan yang dilakukan mengikut kemampuan. Ibu bapa juga mesti membuat perbandingan harga dengan harapan dapat menjimatkan belanja di samping mendidik peniaga agar tidak mudah menindas atau menekan pengguna.
Berbelanja dengan cara berhemah dan tidak boros dituntut dalam agama Islam. Dalam surah al-Isra’ ayat ke-26 dan ke-27 Allah berfirman: “Dan janganlah engkau pemboros dengan berlebihan. Sesungguhnya orang yang pemboros itu saudara syaitan, sedang syaitan sangat ingkar kepada Tuhannya.”
Ayat tersebut antara lain menyarankan kita agar berhati-hati dalam membelanjakan wang. Walaupun sesetengah orang itu murah rezeki dan mempunyai wang yang banyak, tidak sepatutnya mereka berbelanja dengan cara yang boros.
Allah juga menyarankan agar mereka yang berkemampuan menoleh kepada mereka yang tidak bernasib baik: “Berikanlah kepada kerabat-kerabat haknya, kepada orang-orang miskin dan orang-orang yang dalam perjalanan.”
Jelaslah di sini bahawa rezeki yang datang dari Allah tidak sepatutnya kita belanjakan dengan sewenang-wenangnya. Seperti kita sedia maklum, sikap boros berbelanja akan mengundang masalah baru seperti terpaksa menanggung hutang dan sebagainya.
Kesimpulannya, kita dituntut supaya bersederhana dalam segenap aspek termasuk dalam soal-soal perbelanjaan. Bersederhana sangat-sangat dituntut dalam Islam kerana kita akan dapat menyelamatkan diri, institusi keluarga, masyarakat, bangsa dan juga negara.
Saturday, December 29, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment