SEPARUH abad, jika dinisbahkan kepada manusia melambangkan kematangan dan pengalaman yang mantap dalam kehidupan. Itulah usia negara kita Malaysia, jika diukur dari tarikh kemerdekaan 31 Ogos 1957.
Sejarah mencatatkan terlalu banyak pahit maung yang dilalui untuk mengecap kebebasan yang dinikmati kita, warga Malaysia pada hari ini. Rentetan perjuangan bermandi keringat dan darah, bersulam suka dan duka, menuntut pengorbanan masa, harta, dan nyawa.
British hadir sejak awal abad ke-19 dan membahagikan ‘kek’ Kepulauan Melayu kepada dua bahagian, kawasan utara milik British dan kawasan selatan milik Belanda melalui Perjanjian Inggeris – Belanda 1824. Perjanjian inilah juga yang menjadi prinsip asas persempadanan moden antara Malaysia - Indonesia. Bermula 20 Januari 1874, secara rasminya British membenamkan paku terakhir ke atas keranda kuasa dan maruah masyarakat Melayu dengan termeterainya Perjanjian Pangkor yang mengizinkan penguasaan politik British secara rasmi di negeri-negeri Melayu. Sejak itu, kolonial British membawa masuk imigran dari China dan India bagi mengusahakan kegiatan ekonomi kapitalis bagi menampung keperluan revolusi industri yang meledak di Eropah. Masyarakat majmuk mula terbentuk. Orang Melayu, Cina dan India wujud dalam sempadan geografi yang sama, tetapi tidak berinteraksi dan tidak harmoni. Masing-masing disekat dalam lingkungan fungsi ekonomi yang dicipta British. Melayu, tinggal di luar bandar, mengusahakan pertanian, Cina di bandar, mengusahakan perlombongan, dan India di ladang, mengusahakan perladangan.
Perkembangan yang berlaku menyebabkan British terpaksa menyediakan sistem pendidikan berbeza kepada tiga kaum tersebut. Penyediaan pendidikan bukanlah untuk membentuk masyarakat enlightened tetapi bagi mengesahkan alasan kehadiran British ke Timur adalah untuk mentamadunkan masyarakatnya. Sistem pendidikan berbentuk vernakular dihasilkan dengan mengekalkan setiap kaum dengan identiti bahasa dan negara asal mereka.
Sejarah membuktikan perkembangan pendidikan untuk orang Melayu disekat dan dibantutkan oleh strategi kolonial British bagi mengelakkan pembentukan kesedaran kebangsaan. Ia juga dilakukan bagi memudahkan pengaliran keluar segala hasil kekayaan negeri-negeri Melayu ke Britain tanpa melalui proses ‘audit’ ataupun soal jawab daripada pemilik asal (orang Melayu) hasil kekayaan tersebut. Sekatan pendidikan turut dikenakan terhadap orang India yang menetap di ladang-ladang bagi mengekalkan status quo mereka sebagai ‘anak ladang’. Orang India yang tinggal di bandar-bandar seperti Pulau Pinang dan Melaka, seperti juga orang Melayu, diberi peluang memasuki sekolah Inggeris (Penang Free School dan Malacca Free School) bagi melahirkan segelintir loyal servant kepada pemerintah British. Orang Cina pula memiliki sistem pendidikan tersendiri yang dibiayai oleh pedagang-pedagang dan pelombong Cina. Ia lebih maju daripada pendidikan orang Melayu dan India.
Berdasarkan fakta tersebut, British dilihat membuka peluang sama rata kepada orang Melayu dan India pada zaman kolonial tersebut, walaupun zahirnya ia hanyalah ibarat dilepaskan dalam lingkungan sebuah kandang yang tertutup. Perkara tersebut berlarutan sehinggalah terbentuknya negara merdeka bergelar Persekutuan Malaya. Isu pendidikan vernakular perlu difahami kerana melalui pendidikan inilah terbentuknya polarisasi kaum. Polarisasi ini pula terus- menerus menyalurkan British dengan sumber manusia tanpa sebarang tentangan dan kesulitan dalam kerangka pengkhususan kerja masing-masing. Jika diteliti, pendidikan vernakular pramerdeka ini jugalah yang menjadi asas kepada pembentukan sistem pendidikan moden di negara kita sehingga kini.
Begitulah secara ringkas perjalanan sejarah negara kita sehingga merdeka. Kini setelah 50 tahun kemerdekaan tersebut, muncul segelintir warga Malaysia yang tidak berpuas hati dengan keadaan sosioekonomi yang dibentuk oleh kerajaan, kononnya hak mereka ditindas dan berlakunya gerakan pembersihan etnik. Istilah pembersihan etnik adalah istilah yang terlalu serius dan berat implikasinya. Contoh pembersihan etnik yang sebetulnya adalah seperti yang pernah berlaku di Bosnia-Herzegovina pada awal 1990-an. Satu bangsa manusia dizalimi, ditembak, dirogol dan disembelih tanpa sekatan, tanpa pembelaan dan tanpa justifikasi. Persoalan tuntutan hak terlalu kerdil jika dibandingkan dengan istilah gerakan pembersihan etnik. Tidakkah mereka pernah terfikir yang tindakan menuntut hak dalam lingkungan perkauman dan agama hanya mengundang prejudis daripada kaum-kaum lain yang berada di Malaysia ini? Demonstrasi, walaupun secara perlembagaannya dibenarkan, ia haruslah berada dalam landasan mengemukakan isu-isu yang lebih universal dan jitu, seperti demonstrasi membantah pencerobohan Amerika di Iraq dan pencerobohan Israel di Palestin. Demonstrasi yang dilakukan Bersih misalnya, sesuatu yang bersifat lebih universal isunya. Ia meliputi tuntutan daripada pelbagai kaum dan agama terhadap sistem pengendalian pilihan raya Malaysia. Benar atau tidak kepincangan berlaku, itu persoalan lain.
Justeru warganegara Malaysia seharusnya lebih rasional membangkitkan isu-isu sensitif dengan melihat kepada fakta sejarah yang menunjangi kewujudan dan perpaduan tiga kaum terbesar di Malaysia. Jika British dipersalahkan kerana membawa masuk orang India ke negara ini, apakah orang Melayu turut perlu membantah kepada British kini kerana terpaksa berkongsi kuasa dan sumber ekonomi dengan kaum-kaum lain?
Mungkin rakyat Malaysia wajar merenung kata-kata Mahatma Gandhi: “ I object to violence because when it appears to do good, the good is only temporary, the evil it does is permanent”.
Melalui perbincangan ini, penulis menonjolkan ilmu sejarah sebagai elemen terpenting dalam pembentukan sebuah bangsa yang bersatu padu dan menghargai kebebasan yang dikecapi. Sejarah seperti cermin pandang belakang pada kenderaan, nampak remeh tetapi amat penting dalam pemanduan. Generasi hari ini perlu menyedari sejarah sebagai bidang ilmu yang memandu seluruh bangsa Malaysia. Penyampaian ilmu sejarah di sekolah-sekolah hendaklah menonjolkan inti pati yang tersirat, bukannya menyampaikan fakta dan contoh semata-mata. Pendidikan merupakan fundamental dalam membentuk generasi berkesedaran dan bertamadun.
Pelajar-pelajar sekolah perlu diberitahu apa yang sejarah mampu lakukan dalam konteks semasa. Banyak contoh yang boleh ditonjolkan, antaranya peranan sejarah dalam pembentukan Malaysia iaitu kemasukan Sabah yang didasari oleh fakta sejarah.
* SAHUL HAMID MOHAMED MAIDDIN pensyarah Jabatan Sejarah Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Wednesday, December 12, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment