DESAS-desus wujudnya perhimpunan bangsa Melayu di Kampung Baru dan orang India di Batu Caves pada Ahad lalu nyata tidak lebih khabar angin semata-mata. Selain itu, ada juga khabar angin yang mendakwa berlaku perhimpunan yang sama di Puchong, Selangor.
Dalam masa yang sama, tokoh tertentu seperti Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dikaitkan pula sebagai penggerak untuk mengumpulkan orang Melayu berbalah dengan kaum lain.
Penyebaran khabar angin atau fitnah yang sebelum ini melalui mulut ke mulut dan surat layang kini telah ‘dinaik taraf’ kepada bentuk khidmat pesanan ringkas (SMS), e-mel dan laman blog. Ternyata, kecanggihan teknologi maklumat dan komunikasi begitu cenderung disalah guna oleh segelintir individu yang tidak bertanggungjawab lantaran demi kepentingan peribadi yang membelakangkan kepentingan dan keselamatan massa.
Golongan oportunis ini ibarat duri dalam daging bagi kestabilan sosial di tanah air ini. Barangkali mereka tidak berasa aman melihat keharmonian masyarakat berbilang kaum selama ini.
Kemunculan satu demi satu fitnah yang berkaitan dengan interaksi kaum di negara ini mengundang beberapa persoalan. Pertama, adakah setelah setengah abad kita merdeka masih wujud sikap saling mencurigai antara satu sama lain?
Sejauh mana gambaran bangsa Malaysia yang dikatakan bersatu-padu seperti yang kita lihat dalam majlis seperti rumah terbuka sempena perayaan benar-benar wujud, berterusan dan kukuh tanpa prasangka antara kaum?
Adakah tahap perpaduan masyarakat kita begitu rapuh sehingga begitu mudah segelintir kelompok kaum di negara ini terpengaruh dengan khabar angin yang berbaur perkauman?
Oleh itu, langkah seperti mengenakan tindakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) terhadap mereka yang mahu mengocakkan keamanan perlu disusuli dengan suatu pelan jangka panjang yang wajar dilaksanakan mulai sekarang.
Usaha jangka panjang yang dimaksudkan tentu sekali ialah pengukuhan kembali ideologi dan dasar-dasar kebangsaan yang mungkin selama ini telah banyak diabaikan. Ini kerana aspek tersebut begitu diberi perhatian oleh negara luar.
Contoh paling nyata ialah kukuhnya semangat perpaduan dan jati diri bangsa Indonesia kepada prinsip Pancasila dan bahasa Indonesia sebagai unsur penyatu warganya sehingga sukar untuk kita membezakan ciri kaum di kalangan bangsa mereka.
Oleh hal yang sedemikian, Dasar Kebudayaan Kebangsaan dan Dasar Pendidikan Kebangsaan perlu benar-benar ikhlas dijiwai semangatnya oleh segenap lapisan kaum di negara ini. Begitu juga pengisian makna di sebalik ideologi kebangsaan yang terkandung di dalam Rukun Negara. Hanya melalui dasar dan ideologi kebangsaan inilah darjah perkongsian dan rasa kebersamaan semua lapisan kaum dalam sosiopolitik, ekonomi dan budaya rakyat negara ini dapat ditingkatkan.
Apabila wujud keadaan ini barulah perpaduan yang diimpikan oleh kita semua akan tercapai dan paling penting kukuh dan kebal daripada mudah tumbang dek kerana khabar angin seperti pada masa sekarang ini.
Sebaliknya, selagi landskap masyarakat kita masih menekankan ciri-ciri kaum mengatasi kepentingan dan ciri nasional selagi itulah kita akan berhadapan dengan gejala-gejala yang tidak membantu perpaduan bangsa Malaysia.
Paling perlu diberi perhatian, adakah kelonggaran membenarkan bidang pendidikan yang pelbagai aliran serta media massa yang terpisah-pisah mengikut kaum pada masa ini punca kepada rapuhnya tingkat persefahaman dan perpaduan antara rakyat Malaysia?
Justeru, setiap daripada kita bertanggungjawab untuk menolak dan tidak melayan atau menyebarkan lagi sebarang khabar angin. Kiriman SMS yang seumpama itu boleh sahaja dibalas dengan mesej sebaliknya seperti usah terpengaruh dengan khabar angin demi kebaikan kita bersama.
Paling penting, akar kestabilan negara ini yang terletak pada ideologi dan dasar bercorak kebangsaan perlu dihayati semula. Pemimpin dan pertubuhan sosial harus menyedarkan anggota masyarakat betapa pentingnya semangat perpaduan dan kepentingan nasional diutamakan berbanding sikap keterlaluan melebihkan kepentingan kaum.
* PENULIS ialah pelajar tahun akhir di Jabatan Sosiobudaya, Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya. UM 18/12/07
Tuesday, December 18, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment