PA azam tahun baru anda?. Bermacam-macam jawapan yang diberikan, ada yang logik pada pendengaran, tidak kurang pula yang terlalu tinggi dari jangkauan. Semuanya boleh saja diterima, kerana pastinya lain orang, berbeza pula azam baru mereka.
Tetapi jika ditanya adakah azam tahun sebelumnya berjaya dicapai, lihat berapa ramai pula yang boleh memberikan jawapan.
Azam tahun baru ibarat janji pada diri sendiri. Masalahnya dengan kita, janji nan satu inilah yang paling mudah untuk diingkari. Tidak perlu sebarang alasan, tidak mengambil masa yang panjang, jauh sekali rasa berdosa pada sesiapa.
Sebab itu bila hujung tahun tiba, kita sedikit pun tidak ambil peduli di tahap mana pencapaian atau perkembangan azam baru yang ditanam untuk tahun itu. Lebih malang, ada yang terlupa pun apa azam baru mereka itu.
Ramai yang memandang sinis kepada perlunya sebuah azam baru. Ada yang beranggapan ia tidak lebih sekadar angan-angan kosong, hanya hangat-hangat tahi ayam.
Lebih menyedihkan, ada pula yang mentertawakan azam tahun baru orang lain, sedangkan tuan empunya badan tidak pernah ada azam sendiri.
Tidak kurang juga yang menempelak dengan alasan jika kita berkeinginan sesuatu, tidak perlu tunggu tahun baru, maksudnya keinginan itu boleh dibuat pada bila-bila masa – awal, tengah atau hujung tahun.
Namun, berapa ramai pula yang sebegitu? Yang tidak memerlukan faktor atau pendorong tertentu untuk memulakan sedikit perubahan dan mencapai apa yang diinginkan dalam kehidupan?
Lalu, apa salahnya jika kedatangan awal tahun baru 2008 ini yang kebetulan pula menjadi budaya kebanyakan orang untuk bersama-sama ambil peluang dan memasang keinginan.
Tidak perlu impian yang terlalu tinggi, memadai apa yang difikirkan mampu untuk dikecapi dalam tempoh 365 hari.
Jika berkemahuan sesuatu yang besar pula, ukurlah baju di badan sendiri. Tidak salah andai apa yang dihajati itu diperpanjangkan ke tahun-tahun akan datang, asal saja bila sampai masa, ia berada dalam genggaman.
Jangan sesekali menjadi orang yang mudah berasa puas dengan apa yang ada. Atau menuai hasil yang sama seperti apa yang diperoleh pada hari semalamnya.
Dalam dunia yang bergerak sangat pantas ini, sikap itu akan membuatkan kita akan ketinggalan.
Benarlah azam baru itu berbalik kepada diri sendiri. Sejauh mana kita menginginkan sesuatu untuk tahun itu, sejauh itulah ia akan mendorong semangat dan tindakan kita.
Sebab itu azam tahun baru ini adalah fasa terbaik untuk kita menilai dan bermuhasabah diri. Jika azam pada diri sendiri pun tidak mampu untuk kita lunasi, bagaimana pula dengan harapan yang diletakkan oleh orang lain pada diri kita?
Justeru, azam baru nanti janganlah pula hanya untuk kepentingan dan keinginan sendiri. Selitkan juga janji kita untuk semua watak yang kita pegang dalam kehidupan ini, baik di dunia mahupun di akhirat.
Alangkah bertuahnya negara jika kita sama-sama berikrar untuk tidak menyumbang masalah yang boleh menggugat keharmonian negara sepanjang tahun depan.
Saturday, December 29, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment