Tuesday, May 27, 2008

Elemen kekuasaan negara

PADA awal tahun 1990-an, dengan perpecahan bekas Kesatuan Soviet, ramai berpendapat situasi keselamatan global akan bertambah baik.
Sebaliknya, perkembangan satu setengah dekad itu menyedarkan pelbagai pihak bahawa dunia kini berhadapan cabaran keselamatan yang lebih kompleks berbanding konfrontasi politik dan ketenteraan antara Amerika Syarikat (AS)-Soviet (Rusia) semasa era Perang Dingin.
Namun, cabaran keselamatan tersebut bukanlah sesuatu yang baru.
Pada era pasca Perang Dingin, perlumbaan senjata sebagai contoh, telah membentuk perkembangan ketenteraan secara kualitatif.
Selain dari Rusia dan AS, yang telah mengaplikasikan keupayaan teknologi tinggi bagi mempertingkatkan kecanggihan dan ketepatan sistem persenjataan, negara seperti Jepun, India, China, Korea Selatan dan negara-negara ASEAN sendiri juga memperuntukkan sebahagian besar bajet untuk pembangunan senjata berteknologi tinggi.
Pada masa sama, terdapat peningkatan ketara dalam isu-isu membabitkan perebutan wilayah dan sumber, konflik etnik dan agama, persaingan strategik maritim dan ancaman keganasan.
Peningkatan insiden membabitkan konflik etnik telah menyumbang kepada kemunculan pemikir nasionalis dan pejuang pemisah.
Perjuangan pemikir nasionalis radikal yang memperjuangkan pembentukan sebuah negara etnik 'homogenous' telah mengheret banyak negara ke dalam kancah pergolakan politik dan perang saudara.
Konflik keagamaan selalu dikaitkan dengan pertembungan kefahaman antara agama yang universal membabitkan isu kepercayaan dan politik atau konfrontasi antara agama dengan fahaman sekular.
Persaingan strategik maritim masa kini pula tertumpu pada kedaulatan wilayah, juridiksi perundangan maritim, sumber maritim dan penguasaan jalur perdagangan strategik.
Ancaman keganasan merupakan cabaran keselamatan paling utama selepas insiden 11 September 2001 di AS.
Kesukaran dalam meramalkan bentuk aktiviti pihak pengganas dan merangka langkah-langkah pencegahan keganasan yang efektif menyebabkan masyarakat terus dihambat perasaan tidak selamat.
Sejak permulaan abad ke-21, terdapat peningkatan secara konsensus di kalangan negara bahawa ciri keselamatan paling dinamik pada era masa kini ialah persaingan untuk mencapai pembentukan kuasa nasional menyeluruh.
Faktor paling penting dalam pembentukan kuasa nasional ialah revolusi teknologi tinggi yang berterusan.
Banyak negara terutamanya negara kuasa besar dunia, mengeksploitasi teknologi tinggi baru ini dengan menggabungkan pembangunan ekonomi dan ketenteraan.
Kesan paling ketara dalam persaingan pembentukan kuasa nasional menyeluruh antara negara bergantung sepenuhnya pada impak yang dihasilkan melalui order strategik antarabangsanya.
Secara tradisi, elemen kekuatan sesebuah negara mencakupi keupayaan penguasaan wilayah kedaulatan, pemilikan sumber alam, penduduk, ekonomi dan kekuatan tentera.
Wilayah kedaulatan negara merangkumi penguasaan unsur maritim dan daratan, kepulauan serta pesisir pantai.
Kelebihan faktor geografi ke atas wilayah sesebuah negara merupakan teras terpenting yang menyumbang kepada kekuasaan dan kekuatan ekonomi sesebuah negara.
Keupayaan ketenteraan pula telah lama dianggap sebagai petunjuk terpenting dalam menentukan pembentukan kuasa nasional menyeluruh sesebuah negara.
Dari sudut keupayaan strategik dan konvensional ketenteraan, ia dinilai menerusi saiz dan kualiti sesebuah angkatan tentera, kekuatan strategik, sistem kepimpinan, infrastruktur ketenteraan dan sistem logistik angkatan tentera negara tersebut.
Unsur terpentingKekuatan ekonomi pula dilihat sebagai unsur terpenting kepada pembangunan kuasa ketenteraan. Namun kekuatan ekonomi tidak mudah untuk ditukarkan kepada kekuatan tentera sesebuah negara.
Elemen pembentukan kuasa nasional sesebuah negara di atas merupakan faktor tersurat yang dapat diukur dengan jelas.
Namun, faktor tersirat yang membentuk elemen-elemen kekuasaan sebuah negara terkandung dalam kekuatan politik, terutamanya kerajaan, rakyat negara, perpaduan, ketahanan serta semangat kenegaraan mereka.
Kerajaan hanya merupakan salah satu dari elemen perlembagaan sesebuah negara. Namun, kerajaan merupakan tunjang kepada sesebuah negara kerana tanpa kerajaan, sesebuah negara itu tidak akan dapat berfungsi.
Kualiti sesebuah kerajaan bakal menentukan sama ada lain-lain elemen yang membentuk kuasa nasional menjadi satu institusi yang efisien.
Sebuah kerajaan yang berkualiti tinggi boleh menggerakkan lain-lain elemen yang membentuk kuasa nasional untuk mempromosikan pembangunannya dalam sistem negara global menerusi polisi luar dan domestiknya.
Bagaimanapun, sumber yang terhad memaksa kerajaan meneliti keutamaan dalam merangka pelan pembangunan negara dan menetapkan polisi umum yang bersesuaian bagi menyokong strategi tersebut.
Perlu diketahui bahawa pembentukan kuasa nasional hanya boleh berlaku sejajar dengan kestabilan politik sesebuah negara.
Terdapat banyak bukti bahawa kestabilan politik sesebuah negara dibentuk berdasarkan keutuhan sistem kepimpinan negara dan untuk membolehkan negara tersebut mengekalkan kestabilan, kewujudan sistem pimpinan berpusat diperlukan. Namun, limitasi perlu ditetapkan ke atas had kuasa pemimpin sistem berpusat tersebut.
Selain sistem kepimpinan, usaha mempromosi kestabilan politik juga perlu merangkumi langkah-langkah penting kepada kesejahteraan hidup rakyat.
Pertama, sesebuah negara perlu membentuk sistem pengurusan fleksibel dan cekap bertujuan menarik tumpuan golongan berbakat ke dalam persekitaran kerja kondusif.
Sehubungan ini, pembentukan satu sistem latihan kepimpinan jangka panjang diwujudkan untuk menggalakkan persaingan sihat antara mereka yang berpotensi.
Kedua, negara perlu melihat ancaman rasuah yang boleh meranapkan kestabilan politik negara.
Rasuah adalah faktor penting yang menentukan kredibiliti sistem kepimpinan negara dan kestabilan sesebuah rejim. Usaha menghalang atau menghapuskan rasuah, dilihat sebagai satu inisiatif positif mempromosikan minat masyarakat terhadap politik negara.
Ketiga, membantu masyarakat mengadaptasi perubahan sosial hasil daripada pembangunan masyarakat berinformasi.
Ini kerana maklumat dilihat akan menggantikan kepentingan wang sebagai sumber utama kekuasaan sesebuah masyarakat.
Mereka yang berkeupayaan mengawal informasi akan muncul sebagai masyarakat berpengaruh.
Keempat, untuk memuaskan keperluan material manusia dalam konteks pembangunan ekonomi yang berterusan.
Kelima, untuk mewujudkan satu situasi mampan bagi membolehkan masyarakat pelbagai etnik memelihara dan mengembangkan budaya masing-masing.
Elemen ketidakstabilan dalam etnik dan bangsa boleh dihindari sekiranya kita dapat mengekalkan keharmonian politik dalam mempromosikan budaya saling menghormati dan kerjasama ekonomi.
KeteganganKeenam, meningkatkan tahap pendidikan masyarakat untuk menyatukan persamaan pemikiran demi mengurangkan ketegangan terhadap isu-isu yang berkemungkinan membangkitkan perasaan tidak puas hati dan ketegangan kaum.
Sebagai usaha pengukuhan ke arah mendidik masyarakat yang stabil dari sudut ekonomi dan sosial, adalah wajar bagi kerajaan melancarkan kempen propaganda untuk menyedarkan masyarakat bahawa polisi negara yang dibentuk secara asasnya adalah berkhidmat untuk kepentingan mereka.
Sementara itu, perdebatan akademik tidak berasas berkaitan isu nasional perlu dielakkan, terutama yang tidak relevan dengan polisi yang bakal diimplementasi serta berkisar sekitar kumpulan pengacau.
Bagi negara majmuk seperti Malaysia, tugas yang diamanahkan kepada kerajaan adalah lebih mencabar. Setiap kumpulan etnik mempunyai kepentingan tersendiri dan untuk bermuafakat, jauh dari berpuas hati, tuntutan yang bercanggah daripada pelbagai kumpulan etnik telah membebankan sumber negara yang terhad.
Pilihan raya umum yang lalu telah mewujudkan apa yang dilihat sebagai Kerajaan Persekutuan yang lemah.
Bagaimanapun, ia telah menonjolkan ciri-ciri positif yang konstruktif. Ia telah membuka kepada perdebatan umum terhadap persoalan 'apakah Malaysia yang kita ingini' dan pihak kerajaan atau pembangkang boleh menilai semula visi nasional Malaysia serta meneroka cara yang lebih praktikal dalam merealisasikannya.
Bagaimanapun, adalah amat mengecewakan apabila isu-isu politik dan sosial yang boleh memecahbelahkan masyarakat serta memberi implikasi terhadap keselamatan negara ditimbulkan secara berterusan.
Ini boleh memburukkan lagi keadaan, di samping mewujudkan ketegangan kaum dalam masyarakat majmuk negara ini.
Kita perlu peka akan akibat yang sedang ditanggung oleh beberapa negara luar ekoran kegagalan mereka menangani konflik antara kaum secara berkesan.
Malaysia yakin, melalui interaksi konstruktif antara pelbagai kumpulan etnik dalam negara ini, bakal memperkukuhkan lagi ketahanan nasional serta berupaya menghasilkan satu model integrasi nasional yang boleh dijadikan contoh oleh negara-negara lain.

No comments: