Wednesday, May 28, 2008

Menguruskan subsidi secara bijak

DALAM sejarah ekonomi, dunia pernah dikejutkan dengan beberapa siri kegawatan dan krisis yang serius disebabkan oleh beberapa serangan ke atas ekonomi antarabangsa.
Antaranya krisis ekonomi yang berlaku pada awal 1920-an ekoran merudumnya pasaran saham serta peningkatan harga minyak mendadak pada 80-an sehingga menyebabkan beberapa negara muflis.
Malah, Malaysia sendiri hampir rebah ketika krisis ekonomi pada 90-an disebabkan spekulasi mata wang yang menyaksikan beberapa negara terutamanya di rantau ini sehingga kini masih terjerat dengan hutang dan inflasi yang tinggi.
Hakikatnya, bahang kegawatan ekonomi sekali lagi dirasai dunia ketika ini dan apa yang lebih membimbangkan, ia diramal oleh penganalisis bakal meninggalkan kesan yang lebih dahsyat kepada seluruh negara berbanding krisis ekonomi yang pernah berlaku sebelum ini.
Ini kerana ketidaktentuan ekonomi kini dipengaruhi oleh dua faktor utama iaitu harga minyak mentah yang terus melambung serta bekalan bahan makanan global yang semakin menyusut.
Dalam situasi sebegitu, baik negara miskin atau maju yang kaya raya, krisis ekonomi tidak dapat dielakkan dan semakin memburuk apabila rakyat yang kelaparan merusuh di jalanan seperti yang berlaku di Argentina dan Chile.
Negara juga tidak terkecuali daripada menerima kesan kemelesetan ekonomi dunia ketika ini namun dalam memastikan rakyat tidak menerima tekanannya secara langsung, kerajaan tampil dengan pelbagai insentif termasuk pemberian subsidi.
Bagaimanapun sejak kebelakangan ini, timbul persoalan mengenai pengurusan dan pengagihan subsidi yang dikatakan turut menguntungkan golongan berpendapatan tinggi, malah lebih teruk turut dinikmati oleh warga asing.
Keadaan itu pastinya satu kerugian buat negara yang memperuntukkan kira-kira RM56 bilion setahun bagi pemberian subsidi kepada rakyat apabila kelebihan itu turut digunakan oleh pihak yang tidak layak.
Malah dalam sesetengah kes, kumpulan sasar iaitu golongan berpendapatan rendah pula tercicir dalam pengagihan subsidi berkenaan disebabkan beberapa faktor.
Justeru, sudah tiba masanya kerajaan membentuk satu mekanisme yang lebih sistematik dalam pengurusan pemberian subsidi kepada rakyat bagi memastikan hanya kumpulan yang layak sahaja berhak menikmati bantuan tersebut.
Mekanisme itu seperti yang dijelaskan oleh Pensyarah Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Mohammad Noorizzuddin Nooh, boleh dilaksanakan dengan membina pangkalan data bagi memudahkan kerajaan mengenalpasti golongan yang layak untuk diberikan subsidi seterusnya menikmatinya secara langsung.
Pangkalan data itu jelas beliau, dibina berdasarkan maklumat penduduk terutamanya mengenai pendapatan dan jumlah tanggungan isi rumah yang diperoleh daripada setiap agensi di bawah kementerian.
LayakSelain dapat mengenalpasti kumpulan yang layak diberikan subsidi ujarnya, pangkalan data itu juga dapat memastikan kerajaan mengurus dan memantau pemberian subsidi dengan lebih cepat dan berkesan.
''Bagaimanapun pembinaan pangkalan data ini memerlukan kajian terperinci dan menyeluruh daripada kerajaan kerana ia mungkin akan mencetuskan polemik pada masa depan berhubung kerahsiaan maklumat peribadi individu," katanya.
Dalam mengurus perbelanjaan subsidi negara juga, Dekan Fakulti Ekonomi dan Perniagaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Mohd. Fauzi Mohd. Jani berkata, langkah yang boleh diambil kerajaan adalah dengan memberikan keutamaan kepada barang kawalan yang diberikan subsidi.
Mengambil contoh barang kawalan dalam kategori makanan, kerajaan katanya, boleh mengurangkan 10 bahan makanan yang diberikan subsidi kepada hanya tiga atau empat bahan makanan mengikut keutamaan keperluan di kalangan pengguna.
Bahan makanan utama itu antaranya susu, minyak masak dan beras manakala bahan makanan lain seperti gula, garam, ikan, padi, roti dan ayam ditentukan harganya secara pasaran terbuka.
Ketiga-tiga bahan makanan itu jelas beliau, mempunyai kaitan yang sangat rapat (emotional attachment) dengan rakyat dan meskipun terdapat beberapa pihak yang mencadangkan bahan makanan lain seperti ubi bagi menggantikan beras, ia memerlukan tempoh penyesuaian yang panjang
''Seperti gula dan garam misalnya, penggunaan kedua-dua bahan makanan ini di kalangan rakyat sudah melebihi daripada keperluan dan kerajaan boleh mengurangkan subsidi ke atas bahan makanan tersebut.
''Tetapi mekanismenya tidak boleh dilakukan secara keterlaluan sehingga menimbulkan kejutan di kalangan rakyat kerana ia masih lagi merupakan bahan keperluan," katanya.
Selain memberikan keutamaan subsidi kepada bahan makanan mengikut keperluan, kerajaan tambah Mohd. Fauzi, boleh mengurus pemberian subsidi dengan membezakan bahan makanan itu sama ada untuk keperluan harian di rumah atau bagi tujuan kegunaan perniagaan.
Apa yang berlaku ketika ini, pengguna biasa dan pengusaha komersial seperti pengusaha restoran membeli barangan kawalan pada harga yang sama sekali gus tidak membezakan subsidi untuk kumpulan yang lebih memerlukan.
Namun, dalam membezakan barang kawalan kepada kategori pengguna itu, ia dibimbangi menimbulkan implikasi lain kepada pengguna apabila bahan makanan siap berasaskan barangan kawalan itu dijual pada harga yang lebih tinggi.
Justeru bagi mengelak situasi itu, kerajaan perlu mengawal harga barangan kawalan tersebut di peringkat-peringkat tertentu seperti pengeluaran di ladang, pemborong sehinggalah peruncit.
Kawalan harga itu boleh dijalankan oleh jawatankuasa yang dibentuk khas bagi menentukan tingkat-tingkat harga yang dibenarkan setiap minggu dan memastikan setiap peringkat tidak melebihi harga siling yang ditetapkan.
''Selain memastikan harga untuk pengguna kekal murah, kaedah ini dapat memastikan semua pihak terlibat tidak teraniaya dan mendapat keuntungan yang cukup bagi insentif ekonomi yang dikeluarkan," katanya.
Mengambil contoh mekanisme pengawalan kekurangan beras, langkah berkesan, katanya, tidak hanya menyuntik subsidi yang besar dengan mengimport beras yang semakin mahal, sebaliknya mengawal harga bahan makanan itu di pasaran tempatan dengan bijak.
Apa yang berlaku ketika ini, kerajaan hanya mengawal harga Beras Super Special Tempatan (SST) 15 peratus hancur yang dibeli oleh golongan berpendapatan rendah dan sederhana sebaliknya tidak mengawal harga SST 10 dan lima peratus hancur.
Akibatnya, harga beras SST 10 dan lima peratus hancur melambung hampir sekali ganda menyebabkan golongan berpendapatan tinggi beralih kepada beras SST 15 peratus hancur sekali gus mewujudkan tekanan permintaan yang tinggi di kalangan pengguna.
''Dalam keadaan ini, kerajaan terpaksa berbelanja lebih untuk mengimport beras SST 15 peratus hancur daripada Thailand sedangkan bentuk subsidi itu tidak diperlukan sekiranya kerajaan turut mengawal harga beras SST 10 dan lima peratus hancur," katanya.
Dalam mengurus pemberian subsidi secara langsung kepada kumpulan yang lebih berhak pula, Mohd. Fauzi mencadangkan, kerajaan menggunakan kaedah pemberian kupon seperti yang dilaksanakan di Amerika Syarikat dan Indonesia.
Kupon atau baucer itu katanya, boleh diagihkan menerusi pejabat-pejabat daerah setelah mengenalpasti golongan yang benar-benar layak dan boleh ditukar di kedai-kedai runcit.
''Kaedah pemberian kupon ini sebenarnya lebih menjimatkan berbanding memindahkan subsidi kepada barangan kawalan tertentu atau membiarkan harga bahan makanan seperti beras SST10 dan 5 tanpa kawalan," ujarnya.
Menyentuh mengenai langkah kerajaan melarang penjualan petrol dan diesel kepada kenderaan asing di sempadan Thailand dan Singapura, beliau berpendapat, adalah lebih baik jika bahan bakar itu dijual mengikut harga pasaran.

No comments: