KENAIKAN harga minyak sehingga melebihi paras AS$135 setong menyebabkan semua orang gelisah. Ia merupakan fenomena global yang dirasai hampir seluruh negara di dunia. Ia juga menjadi isu yang amat sensitif di Malaysia yang juga adalah negara pengeluar minyak.
Sekarang dalam keadaan harga minyak meningkat hampir 50 peratus, penganalisis ekonomi, politik dan penyelidik mulai mencurigai kemampuan Malaysia menanggung subsidi yang diberikan kepada bahan api negara. Mereka menjangka bahawa sudah tiba masanya bagi Malaysia menimbang semula dan bergerak sekali lagi untuk merombak harga minyak sedia ada.
Sebelum jangkaan ini menjadi kenyataan, kita mungkin boleh membuat sedikit analisis tentang kesannya kepada ekonomi dan rakyat secara umum berasaskan apa yang berlaku mutakhir ini.
Pada kali terakhir harga minyak dinaikkan dahulu, kita dapati banyak harga barang lain naik, termasuk harga tambang perkhidmatan awam. Kalau dahulu Perdana Menteri sentiasa mengingatkan para pengusaha supaya tidak menaikkan harga barangan 10 peratus kalau minyak naik 10 peratus, tetapi pada kali terakhir harga minyak dinaikkan kita dapati harga barang lain meningkat tidak menentu. Bahkan ada barangan yang peratus kenaikannya melebihi peratusan kenaikan harga minyak tanpa dapat dikawal.
Industri perumahan pada waktu ini terjejas teruk kerana kenaikan harga besi. Ada ramalan di kalangan para pemaju bahawa sekiranya kerajaan tidak mengawal dengan baik, harga rumah mungkin akan terus melambung sehingga 30 peratus berikutan kenaikan harga besi dan simen.
Ini ditambah lagi dengan kemelut kekurangan beras dan makanan asasi dunia. Sebagaimana yang kita tahu, kenaikan harga beras hampir sekali ganda. Kalau dahulu beras yang biasa kita makan boleh dibeli dengan harga RM20 satu kampit sepuluh kilogram, sekarang ia sudah menjadi RM38. Adalah tidak mustahil sekiranya satu kenaikan lagi diberikan untuk harga minyak di Malaysia, harga sekampit beras yang kita beli RM38 hari ini menjadi RM50. Apa agaknya kesan kepada isi rumah yang berpendapatan RM1,000 sebulan dengan anak yang melebihi dua orang? Ini sudah tentu suatu beban yang amat berat.
Kita boleh bicara mengenai diskriminasi harga dengan hanya memberi subsidi minyak kepada golongan berpendapatan rendah. Tetapi mampukah kita memberi subsidi kepada harga barangan lain yang akan naik berikutan kenaikan harga minyak? Saya percaya hal ini merupakan suatu perkara yang perlu difikirkan secara serius dan cermat. Kalau kita tidak mampu melakukan pengawalan yang berkesan, sudah pasti golongan berpendapatan rendah akan tetap menerima nasib yang lebih buruk kerana inflasi.
Kalau minyak menjadi isu penting kepada parti pembangkang dahulu, kita jangan ingat ia akan mati dengan berakhirnya pilihan raya ke-12 baru-baru ini. Ia akan terus bergelora kerana kita juga adalah pengeluar minyak. Negara pengeluar selalunya mampu menawarkan pada paras harga yang rendah berbanding negara pengimport. Perbandingan ini boleh dibuat dengan negara Brunei dan negara-negara Arab.
Seandainya kita terpaksa membayar lebih apabila mengimport minyak, namun Petronas juga akan menerima pendapatan yang lebih lagi apabila mengeksport minyaknya yang lebih berkualiti. Jika tahun lalu Petronas mendapat untung RM80 bilion, tidak mustahil Petronas akan memperoleh untung RM150 bilion dan mampu membantu meningkatkan pendapatan negara.
Selain itu, harus diingat bahawa ringgit Malaysia semakin kukuh. Jadi, meskipun harga minyak naik pada nilai dolar Amerika Syarikat tetapi Malaysia dapat membelinya pada harga yang lebih baik kerana nilai mata wangnya yang semakin meningkat di akhir-akhir ini. Jika ditambah dengan pelbagai hasil kerajaan daripada perkembangan ekonomi secara keseluruhan, semua ini bermakna kerajaan memang berupaya meneruskan subsidi tanpa mengorbankan pembangunan negara yang mapan.
Kita tidak seperti negara lain yang mana apabila harga minyak dinaikkan boleh membawa kepada rusuhan. Namun wajarlah pakar ekonomi, para penyelidik dan pihak kerajaan berfikir panjang sebelum mengambil apa-apa tindakan.
Apa yang kita harus ingat ialah minyak merupakan ibu bagi segala barangan dan perkhidmatan. Kenaikannya boleh mencetuskan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan lain yang mungkin lebih buruk daripada kesan kenaikan harga minyak semata-mata. Kalau fulus mereka yang berpendapatan rendah tidak mampu ditingkatkan, tindakan menaikkan harga minyak boleh menyukarkan kehidupan mereka, sekalipun ia dibuat dalam bentuk subsidi kepada golongan berpendapatan rendah.
Wednesday, May 28, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment