"RAKYAT Malaysia suka berhibur. Semua rancangan hiburan akan ditonton walaupun ia tidak menghiburkan."
Inilah maklum balas seorang teman bila penulis menyuarakan pandangan terbitkanlah apa sahaja rancangan hiburan di Malaysia, pasti akan ada yang meminatinya.
Mungkin ada benarnya pengamatan teman penulis. Semua rancangan hiburan yang diterbit dan disiarkan di televisyen akan mendapat sambutan walaupun kadangkala kita tidak berasa terhibur dengannya.
Benar, naluri untuk berhibur itu adalah salah satu fitrah manusia. Saidina Ali ibn Abi Talib pernah berkata: "Sesungguhnya, hati itu boleh menjadi bosan seperti badan.
Oleh itu, carilah kebijaksanaan demi kepentingan hati. Rehatkanlah hatimu sekadarnya, sebab hati itu, apabila tidak suka, boleh menjadi buta."
Dalam kata-kata lain, hiburan adalah salah satu pengisian untuk tubuh badan kita yang juga memerlukan rehat. Namun, apabila masyarakat juga mahu terhibur ketika menghadiri majlis ilmu, ia merisaukan penulis.
Dalam usaha Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) memberikan kefahaman tentang Islam, institusi ini kerap menganjurkan seminar dan bengkel. Di penghujung majlis ilmu seperti itu, para peserta diminta menilai pengisian serta kemudahan seminar yang telah dihadiri dengan mengisi borang maklum balas pelanggan. Penilaian ini akan menjadi panduan kepada IKIM untuk memperbaiki mutu seminar yang akan dianjurkan di masa akan datang.
Setelah melihat maklum balas para peserta tahun demi tahun, antara maklum balas yang akan ditulis pada hampir setiap seminar tanpa mengira khalayaknya ialah 'penceramah perlu menyelitkan unsur jenaka dalam ceramahnya'. Kegagalan penceramah menyelitkan unsur jenaka ini seringkali juga dijadikan sebab mengapa peserta berasa mengantuk sepanjang seminar tersebut.
Permintaan terhadap penceramah yang boleh berjenaka tidak terhad di Dewan Besar IKIM sahaja. Kita juga dapat menonton aksi mereka di kaca televisyen, di masjid serta mendengar jenaka tersebut di corong-corong radio.
Ini kerana pemilik stesen televisyen dan radio serta penganjur ceramah dan seminar di seluruh negara terpaksa akur dengan permintaan khalayak yang suka kepada penceramah yang boleh berjenaka.
Secara tidak langsung, ini memberi cabaran hebat kepada semua penceramah dan ahli akademik yang ingin memberi ceramah atau membentangkan kertas kerja. Jika dulu, mereka hanya perlu menguasai bidang yang ingin diperkatakan serta mampu bercakap di khalayak ramai.
Kini, mereka juga perlu ada kebolehan untuk berjenaka jika mahu memastikan khalayak tidak tertidur ketika mereka bercakap.
Sesungguhnya, penceramah yang memenuhi ciri-ciri di atas memang wujud. Kemampuan mereka berjenaka (berlawak) memang tidak dapat dinafikan. Malah, ramai yang mengakui sesetengah penceramah itu mampu membuat mereka 'tak kering gusi'.
Namun, apakah matlamat sebenar bila kita berceramah? Memastikan matlamat seminar tercapai atau membuat orang ketawa?
MembosankanPenceramah yang tidak pandai berjenaka mungkin membosankan khalayaknya tetapi sejauh mana kita dapat tentukan bahawa penceramah yang pandai berjenaka dapat memastikan khalayak memahami apa yang diperkatakan serta menterjemahkan kefahaman itu kepada tindakan yang sewajarnya?
Sedangkan Rasulullah SAW sendiri pernah bersabda yang bermaksud: Siapa yang banyak ketawanya akan berkurangan kehebatannya, dan siapa yang suka bergurau, nanti dia akan dipermain-mainkan orang.
Ada yang berasakan bahawa unsur jenaka itu penting untuk mengelakkan bosan dan mengantuk. Ini penulis setuju. Namun, seperti kata Saidina Ali tadi, "rehatkanlah hatimu sekadarnya…". Penulis ulangi, "…sekadarnya", bukan sepanjang masa. Tambah pula, apa yang lebih penting dalam menuntut ilmu ialah usaha yang bersungguh-sungguh (jihad).
Untuk itu, ketika menghadiri majlis ilmu, niat kita perlu betul dan menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan bahawa diri kita berada dalam keadaan yang bersiap siaga tahap tinggi untuk menerima ilmu tersebut sehingga ke akhirnya. Sama ada penceramah pandai berjenaka atau tidak, itu bukan masalahnya. Namanya juga 'penceramah', bukan 'pelawak'.
Sebagai khalayak majlis ilmu, tanggungjawab kita ialah untuk mendapatkan ilmu dan mengamalkannya. Perbuatan menuntut ilmu amat digalakkan oleh agama Islam sehingga ia dijanjikan pahala yang besar di sisi Allah.
Namun, selain mendapatkan ilmu, khalayak juga bertanggungjawab untuk mengamalkan ilmu yang diterima itu. Ini juga adalah satu tanggungjawab yang besar kerana Allah memberi amaran kepada mereka yang tahu tentang sesuatu ilmu atau kebaikan tetapi tidak mengamalkannya. Oleh itu, berhentilah mengharap untuk berhibur di majlis ilmu. Kita ada pentas lain untuk tujuan itu.
Friday, May 9, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment