Wednesday, January 9, 2008

Dalang sorok, seludup minyak masak perlu dihukum

KEKURANGAN bekalan minyak masak di pasaran menimbulkan keresahan kepada pengguna terutama di beberapa negeri di Semenanjung hingga memaksa kerajaan menambah stok bagi memastikan bekalan mencukupi. Kekurangan minyak yang mula dikesan sejak beberapa minggu lalu di Kedah, Pahang, Melaka dan Kelantan, sebelum merebak ke Lembah Klang, memberi kesan kepada golongan berpendapatan rendah dan peniaga kecil untuk kegunaan harian. Masalah itu, bagaimanapun tidak menjejaskan penduduk di Sabah dan Sarawak kerana bekalan minyak berkenaan sehingga kini dilaporkan mencukupi dan stabil. Apa pun, tindakan proaktif kerajaan dengan memberi jaminan bekalan mencukupi serta tiada berlaku kenaikan harga minyak masak, turut melegakan semua pihak termasuk pengusaha perusahaan kecil dan sederhana yang dilaporkan terjejas berikutan ketiadaan minyak bersubsidi di pasaran. Dilaporkan, pengusaha makanan termasuk industri kecil terpaksa mengurangkan pengeluaran, malah memberi cuti kepada pekerja masing-masing berikutan kekurangan minyak masak. Malah media turut menyiarkan gambar peniaga kacang putih di Perak terpaksa menghentikan operasi berikutan krisis itu, adalah contoh klasik kegawatan berkenaan.

Bagaimanapun, timbul persoalan, setiap kali berlaku kekurangan bekalan, kerajaan terpaksa menambah bekalan minyak masak bersubsidi. Kali ini kerajaan meningkatkan stok kepada 70,000 tan, berbanding hanya 55,000 tan tahun lalu selain RM800 juta subsidi diperuntukkan kerajaan bagi memenuhi keperluan berkenaan. Dengan menambah keluaran bekalan sebanyak 15,000 tan, bekalan minyak dijangka mencukupi. Namun memandangkan jumlah pertambahan itu besar, pihak berkuasa terutama kakitangan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) perlu lebih agresif membuat pemantauan bagi memastikan kekurangan bekalan dan perbuatan menyorok bekalan untuk tujuan menyeludup ke negara jiran tidak berulang. Kita tidak mahu usaha menambah pengeluaran minyak masak hanya menguntungkan sesetengah pihak, sedangkan orang ramai yang memerlukan dan mengguna minyak masak, dinafikan hak mereka. Malah tidak mustahil apabila timbul spekulasi kemungkinan kenaikan harga minyak masak pada masa depan, masalah dihadapi sekarang mungkin berulang.

Sebenarnya, bekalan minyak masak di negara ini lebih daripada mencukupi. Bagaimanapun berlaku ketirisan ketika pengagihan termasuk kegiatan menyeludup ke negara jiran menyebabkan rakyat menghadapi kesukaran sehingga terpaksa berebut-rebut di pasar raya tempatan untuk membeli minyak berkenaan. Ternyata kemelut yang berlaku kini disebabkan kegiatan penyeludupan di kawasan sempadan, berikutan harga minyak masak di negara jiran lebih mahal kerana dijual tanpa subsidi, tidak seperti yang dinikmati rakyat negara ini. Kegiatan tidak bertanggungjawab itu, nampaknya sekali lagi memberi kesan buruk kepada kehidupan masyarakat di negara ini, selepas episod panjang kegiatan penyeludupan minyak diesel subsidi, yang sehingga kini masih berlaku dan merugikan negara. Justeru, langkah KPDNHEP dan pihak berkuasa berkaitan menempatkan lebih banyak petugas penguat kuasa di pintu masuk sempadan, amat dialu-alukan untuk memantau dan bertindak tegas terhadap kegiatan penyeludupan bagi memastikan masalah ini dapat diselesaikan. Dalang yang dikenal pasti perlu ditahan, dikenakan kompaun atau dihadapkan ke mahkamah untuk memberi pengajaran kepada pihak lain.

No comments: