Tuesday, September 16, 2008

Merenung sejarah di sebalik penubuhan Persekutuan Malaysia

HARI ini, 16 September 2008 genap 45 tahun Persekutuan Malaysia dibentuk dengan gabungan Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Sarawak dan Sabah (Brunei menarik diri pada saat akhir dan tidak menyertai Malaysia, walaupun bersetuju pada mulanya).

Singapura kemudiannya keluar daripada Persekutuan pada Ogos 1965 selepas hampir dua tahun dalam Persekutuan Malaysia. Sejarah pembentukan Persekutuan Malaysia ini seharusnya difahami semua warga negara Malaysia tidak kira apa bangsa dan keturunan, kerana ini adalah sejarah negara. Tanpa memahami sejarah negara, warga akan kurang mengerti apa sudah berlaku dan yang sedang berlaku kini. Apa yang berlaku pada hari ini mempunyai hubungan dengan apa yang berlaku semalam. Setiap warga harus melihat sejarah kerana ia mempunyai banyak pengajaran dan boleh mengelak keburukan berulang.

Malaysia dibentuk bukan dengan mudah dan terpaksa melalui beberapa proses yang agak mencabar. Hubungan di antara pergolakan dan konflik luaran yang berlaku dan masalah dalaman dalam tahun sekitar penubuhan Persekutuan Malaysia perlu difahami. Pembentukan Malaysia adalah dengan restu penjajah British bagi menyelamatkan Singapura daripada jatuh kepada kuasa komunis. Perkembangan politik di Singapura pada awal 1960-an mungkin membawa kebangkitan kuasa komunis di Singapura dan melemah/mengalahkan pengaruh Parti Tindakan Rakyat (PAP). Jika Singapura menjadi sebuah kuasa komunis, ia bukan hanya membawa ancaman kepada kepentingan British dan kuasa Barat lain di Singapura dan Tanah Melayu saja, malah juga kepentingan British dan kuasa Barat lain (khususnya Amerika Syarikat) di seluruh Asia Tenggara.

Atas alasan ini pihak British bersetuju menyerahkan Singapura, menggabungkannya dengan Persekutuan Tanah Melayu. Harus diingat juga bahawa Singapura adalah tanah jajahan British yang amat 'disayangi' di Asia Tenggara. Kalau tidak kerana ancaman komunis dalam politik Singapura yang mula berlaku dengan jelas sejak awal 1961, pihak British tidak mungkin menyerahkan Singapura dan bersetuju dengan pembentukan Persekutuan Malaysia.

Persoalan percaturan kuasa dalam politik antarabangsa dan serantau, mempunyai hubungan rapat dengan pembentukan Malaysia pada 1963. Sekiranya bentuk percaturan dan pola kuasa politik antarabangsa tidak seperti yang berlaku, maka pembentukan Malaysia mungkin berbeza dengan apa yang sudah berlaku. Walaupun ancaman komunis pada peringkat serantau dan domestik mengancam keselamatan, perkiraan kestabilan politik tempatan dan kedudukan politik bangsa Melayu/Bumiputera dalam jangka panjang tidak dipandang remeh oleh Tunku Abdul Rahman.

Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu itu menolak pembentukan sebuah persekutuan yang hanya menggabungkan Tanah Melayu dan Singapura kerana ia akan membentuk sebuah kumpulan dominan yang tidak bersifat dominan Melayu. Orang Melayu tidak lagi akan menjadi kumpulan dominan dalam persekutuan yang akan menggabungkan Tanah Melayu dan Singapura. Ini akan membawa bahaya besar kepada kedudukan masa depan bangsa Melayu dan kestabilan politik negara keseluruhannya.

Dengan hanya gabungan Tanah Melayu dan Singapura akan menyelamatkan pengaruh komunis, tetapi dalam jangka panjang politik orang Melayu dan Malaysia amnya tidak akan stabil dan benar-benar terjamin. Orang Cina akan menjadi kumpulan dominan dan mungkin akan menguasai kuasa politik dalam Persekutuan Malaysia yang dibentuk itu. Inilah perkiraan Tunku bahawa kuasa politik utama dan kumpulan dominan mesti berada dalam tangan orang Melayu.

Perkiraan Tunku ini dalam jangka panjang adalah bagi membentuk sebuah nation-state yang lebih menjurus kepada one state, one nation atau lebih menghampiri kepada ciri-ciri ini iaitu bilangan penduduk Melayu dan Bumiputera lebih besar peratusannya. Ini mempunyai hubungan rapat dengan darjah kestabilan politik. Semakin besar kumpulan dominan Melayu/Bumiputera maka akan lebih besar kestabilan dan semestinya bilangan besar bukan-Melayu akan tidak menjamin kedudukan orang Melayu. Ini juga selaras dengan prinsip dan sejarah perjuangan bapa-bapa pejuang kemerdekaan Tanah Melayu dan kemerdekaan yang baru dicapai pada 1957. Dari sinilah timbulnya perkiraan baru bahawa Persekutuan Malaysia akan dipersetujui oleh Tunku sekiranya British bersetuju menyerahkan semua tanah jajahan British di pulau Borneo iaitu Sabah, Sarawak dan Brunei ke dalam persekutuan baru. Dengan kemasukan wilayah jajahan British di Borneo ini akan menyumbang kepada jumlah penduduk Melayu dan Bumiputera yang lebih ramai dan lebih menjamin kedudukan politik orang Melayu.

Akhirnya selepas melalui satu proses yang agak mencabar, maka Persekutuan Malaysia dibentuk pada 16 September 1963 dengan gabungan Tanah Melayu, Singapura, Sabah dan Sarawak. Singapura meninggalkan Malaysia pada Ogos 1965 kerana beberapa masalah politik dan hubungan dengan isu perkauman yang bercanggah dengan falsafah politik Persekutuan Tanah Melayu pimpinan Tunku. Umno dan PAP tidak boleh bersama dalam banyak hal kerana asas falsafah politik dan sosial yang berkaitan dengan etnik yang sangat berbeza.

Pimpinan Tunku menolak prinsip 'Malaysian-Malaysia' iaitu persamaan hak sama rata tanpa mengambil kira batas kaum dan agama. Pimpinan Tunku menerima prinsip persamaan hak di kalangan rakyat Malaysia, cuma beberapa perkiraan berkaitan dengan asal keturunan dan faktor sosioagama budaya tertentu, diambil kira bagi membentuk keadaan lebih adil dan harmoni. Apa yang termaktub dalam Perlembagaan adalah jelas, misalnya apa yang dinyatakan dalam Perkara 8.

Garis kasar hubungan kaum dijelaskan dalam Perlembagaan Persekutuan yang diterima sebahagian besar rakyat Malaysia. Rakyat Malaysia bebas bersuara dan mengemukakan pendapat dalam hal tertentu, tetapi ada hadnya bagi menjamin keharmonian hidup dalam negara berbilang kaum sebagaimana digariskan dalam perkara 10 (A) misalnya: batasan hak kebebasan bersuara daripada menyentuh kedudukan raja-raja Melayu, agama Islam, hak keistimewaan orang Melayu. Menyambut 45 tahun penubuhan Malaysia, kita sepatutnya merenung rahsia besar yang tersirat, agar kita tidak tersasar daripada falsafah perjuangan asal pejuang silam berjuang, membina dan mengisi kemerdekaan.

Penulis ialah Pensyarah Kanan, Sekolah Sains Sosial, Universiti Malaysia Sabah, Kota Kinabalu

No comments: