Wednesday, September 10, 2008

Pelihara ketenteraman

RAKYAT Malaysia tentu tidak lupa tanggal 2 September 1998. Pada tarikh tersebut sepuluh tahun lalu Datuk Seri Anwar Ibrahim dilucutkan jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

Selepas daripada tarikh itu landskap politik Malaysia berubah. Wujud kumpulan yang menggelarkan diri mereka reformasi kononnya memperjuangkan keadilan demi seorang pemimpin yang tidak pernah bersalah di mata mereka.

Manakala satu kumpulan rakyat meneruskan taat setia menyokong kepimpinan sedia ada sehingga kerajaan yang dibentuk sejak 51 tahun lalu masih mampu mengekalkan kedudukan serta fungsinya sehingga sekarang ini.

Tidak kurang pentingnya, selepas daripada tarikh itu perjalanan hidup rakyat Malaysia diganggu dan terganggu oleh kerenah penyokong Anwar yang membuat onar sehingga menimbulkan kesulitan kepada pelbagai pihak.

Tidak mempedulikan kesejahteraan rakyat dan ketenteraman awam, kumpulan itu tanpa mengenal erti lelah jauh sekali jemu berdemonstrasi, mencaci, memaki hamun dan menghentam kerajaan serta barisan pemimpin yang dikategorikan sebagai zalim.

Dan sejak tarikh itu, kehidupan di bandar raya Kuala Lumpur tidak pernah tenteram, ada sahaja onar yang dilakukan oleh kumpulan reformasi sehingga menuntut pasukan keselamatan melaksanakan langkah-langkah yang secara tidak langsung menjejaskan kelancaran hidup warga kota.

Sekatan jalan raya, gerakan antirusuhan membabitkan pasukan polis dan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) terpaksa dijalankan sehingga mengakibatkan kesesakan jalan raya selain menimbulkan rasa bimbang orang ramai untuk keluar menjalani urusan seharian.

Tindakan Anwar menjalankan siri jelajah serata negara sambil mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang sarat dengan unsur provokasi membakar semangat penyokongnya yang ketika itu menutup mata, telinga dan hati untuk apa juga saranan supaya ketenteraman awam dipelihara.

Rakyat tentu tidak lupa ada peniaga yang terpaksa menanggung kerugian gara-gara siri demonstrasi dan rusuhan yang jika tidak ditangani secara bijak ketika itu boleh sahaja memusnahkan negara.

Apabila pertuduhan rasuah ke atas Anwar dibicarakan di mahkamah, kumpulan ini membuat hal lagi, mereka berdemonstrasi sambil mengeji sistem keadilan di negara ini dengan pelbagai kata nista.

Anwar dibawa ke mahkamah dari Penjara Sungai Buloh sambil penyokongnya berhimpun di luar mahkamah dan senario seumpama itu kekal biar pun jumlah peserta reformasi semakin menyusut dari semasa ke semasa sehingga kes rasuah dan kes liwat selesaikan dibicarakan.

Genap enam tahun Anwar dipecat daripada Kabinet dan menjalani hukuman penjara, beliau dibebaskan selepas Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuannya terhadap sabitan bagi kesalahan liwat.

Timbul lagi kekecohan apabila Anwar menggalakkan penampilannya dengan status Penasihat Parti Keadilan dan pertuduhan kes liwat kali kedua melibatkan pembantu peribadinya pula.
Keadaan di Kuala Lumpur kembali tidak selesa apabila ada sahaja sekatan jalan raya dibuat termasuk pada hujung minggu sehingga menimbulkan kemarahan orang ramai.

Selepas sepuluh tahun daripada tarikh beliau dipecat, hari ini Anwar dibawa ke mahkamah untuk ke sekian kalinya bagi membolehkan pertuduhan beliau meliwat bekas pembantunya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan disebut semula selepas Anwar mengaku tidak bersalah pada Jun lalu.

Semestinya dalam keadaan Ahli Parlimen Permatang Pauh itu baru sahaja diraikan kerana menang besar dalam pilihan raya kecil baru-baru ini, tumpuan berlebihan ke atas beliau tidak boleh diketepikan begitu sahaja.

Tahap kepercayaan dan keyakinan para pengikutnya pasti semakin meningkat dan dalam keadaan seperti ini semangat serta keghairahan untuk memastikan pemimpin mereka tidak disumbat dalam penjara sekali lagi mewajarkan segala tindakan biar pun di luar rasional.

Apatah lagi kali ini kehadiran Anwar bukan bermula dari Penjara Sungai Buloh yang menggunakan kenderaan khas sambil diiringi pegawai penjara dan anggota polis.

Bermakna ketika itu para penyokong Anwar hanya berpeluang berhimpun di perkarangan mahkamah bagi memberikan sokongan selain merendah-rendahkan imej negara dan bukannya sangat untuk mengikuti kes yang sedang dibicarakan.

Kali ini perjalanan Ketua Pembangkang itu pasti bermula di kediamannya di Bukit Segambut. Di situ penyokong-penyokong Anwar yang sedang bersemangat menunggu tertubuhnya kerajaan baru pada 16 September ini tidak boleh tidak akan memenuhi setiap ruang yang ada.

Sokongan padu terhadap Perdana Menteri impian mereka mesti ditunjukkan dan dalam menyatakan sokongan itu adalah menjadi harapan seluruh rakyat Malaysia terutama warga kota supaya jangan ada timbul provokasi sehingga menimbulkan suasana yang tidak tenteram sekali lagi.

Kesempatan berada dalam lingkungan penyokong kuat Anwar memberi gambaran yang amat jelas bahawa di pemikiran mereka tiada siapa yang dapat menandingi kehebatannya.

Bagi mereka, Anwar selayaknya menjadi Perdana Menteri kerana imejnya yang Islamik selain pertuturannya tidak lekang menyebut istilah-istilah hebat serta kisah perjuangan tokoh-tokoh terkemuka dunia. Anwar dilihat seorang pemimpin ideal yang tiada cacat cela.

Bagi penyokong Ahli Parlimen Permatang Pauh itu, penjara hanya akan memusnahkan harapan serta impian untuk melihat Anwar merintis jalan ke Putrajaya. Dan bagi mereka Anwar pemimpin agung yang tidak selayaknya disumbat di penjara apatah lagi untuk kesalahan yang mereka sendiri percaya dan yakin bahawa Anwar sama sekali tidak akan dan tidak pernah melakukannya.

Justeru adalah menjadi harapan insan-insan yang mempunyai urusan harian untuk dibereskan serta warga kerja yang memerlukan perjalanan ke tempat kerja tanpa sebarang sekatan, agar penyokong-penyokong Anwar bersikap rasional dan menghormati undang-undang.

Sebutan semula pertuduhan kes liwat itu bukan bermakna Anwar secara automatik meniti hari di dalam lokap. Lagi pun Anwar belum didapati bersalah. Akan ada tarikh lain yang diputuskan hari ini untuk membolehkan kes tersebut dibicarakan. Reaksi keterlaluan serta tindakan mengiringi 'hero' secara beramai-ramai hanya akan mengusutkan keadaan dan menimbulkan kesulitan di kalangan orang ramai.

Lebih penting jangan ada pihak yang menangguk di air keruh, sehingga bukan sahaja mengganggu kelancaran kes yang disebut semula malah menimbulkan kemarahan orang ramai gara-gara urusan harian mereka terjejas.

Patuhi arahan pihak berkuasa yang berperanan memastikan ketenteraman awam di seluruh negara terpelihara.

Perlu diingatkan bahawa negara kita mengamalkan sistem demokrasi dengan kerajaan yang memerintah terbentuk melalui pilihan raya atau melalui peti undi. Kita tidak dapat menerima cara atau kaedah mencapai sesuatu itu melalui tunjuk perasaan di jalan-jalan raya apatah lagi bagi menuntut keadilan.

Oleh itu jangan sesekali cuba mengganggu perjalanan kes Anwar dengan pelbagai spekulasi dan tindak-tanduk.

No comments: