PERGERAKAN pengguna berkenderaan untuk pulang ke kampung masing-masing bagi menyambut Aidilfitri kini mencapai tahap maksimum. Lebuh raya di Utara, Selatan dan Timur, jalan Persekutuan, jalan negeri dan perbandaran dipenuhi kenderaan mereka yang ingin pulang ke kampung halaman masing-masing. Kesibukan Kuala Lumpur yang sebelum ini mencatat kesesakan trafik bertukar ke bandar atau pekan kecil di seluruh negara dengan peningkatan kenderaan luar biasa, termasuk mereka yang membuat persiapan terakhir untuk merayakannya. Kesesakan dan pertambahan mendadak kenderaan, terutama di kawasan bandar kecil turut mengundang kemalangan jalan raya dan terbaru 10 pengguna jalan raya maut untuk hari keempat Ops Sikap XVII dilancarkan menjadikan sejumlah 45 kematian sehingga kini. Ternyata jumlah itu bakal meningkat, terutama kemalangan di kawasan jalan perbandaran dan negeri apabila tumpuan masyarakat menyambut perayaan di daerah dan bandar kecil.
Sehingga kini didapati penunggang dan pembonceng motosikal menjadi penyumbang utama kematian akibat kemalangan manakala jalan perbandaran, negeri dan Persekutuan menjadi lokasi tertinggi kejadian kemalangan. Kita melihat kadar kemalangan di lebuh raya berkurang sebelum Aidilfitri, namun sekiranya sikap pengguna jalan raya tidak berubah seperti tahun sebelumnya, kadarnya akan kembali meningkat apabila ramai yang pulang selepas Aidilfitri. Bagi kita bukan penguatkuasaan undang-undang sebenarnya yang boleh menurunkan kadar kemalangan jalan raya, namun sikap pengguna sendiri yang boleh memastikan Ops Sikap kali ini mencapai matlamatnya. Jika dilihat latar belakang kemalangan di semua jalan raya di negara ini, sebahagian besarnya berpunca dari sikap pemandu baik kenderaan awam, persendirian atau motosikal yang gagal mematuhi peraturan asas.
Dalam pada itu, keadaan fizikal jalan terutama di laluan Pantai Timur membabitkan Kelantan, Terengganu dan Pahang turut mengundang bahaya apabila kadar pertambahan kenderaan mendadak dalam tempoh singkat. Seperti tahun sebelum ini, kita dapati pihak berkuasa bertindak awal untuk memastikan perjalanan pulang berhari raya tahun ini, berjalan lancar dan kita dapati belum ada lagi laporan mengenai pengguna terkandas di perhentian bas. Dalam pada itu, tindakan awal pihak berkuasa mengesan pemandu bas ekspres mengambil dadah ketika memandu amat dialu-alukan dan sehingga kini tiga pemandu ditahan kerana positif dadah. Sebagai pengguna kita memandang serius masalah pengambilan dadah di kalangan pemandu, terutama bas ekspres kerana ia membabitkan ramai penumpang. Sekiranya berlaku kemalangan, ia tentu sesuatu yang tidak dapat kita bayangkan.
Pemandu di bawah pengaruh dadah inilah yang sering bermaharajalela dan berlumba di jalan raya, yang bukan saja mengancam nyawa penumpang, malah kenderaan lain di jalan raya. Kita berharap, pihak berkuasa meneruskan tindakan ini, termasuk mengadakan pemeriksaan terhadap pemandu bas ekspres di kawasan rawat dan rehat secara rawak bagi mengesan kemungkinan mengambil dadah. Bagaimanapun, semua pihak perlu mengambil tanggungjawab sendiri untuk memastikan Aidilfitri tahun ini tidak mencatatkan peristiwa duka dalam kehidupan sama ada ketika beraya atau pulang ke ibu kota.
Monday, September 29, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment