BARU dua minggu menduduki kerusi Presiden Pakistan menggantikan Pervez Musharraf, kerajaan Asif Ali Zardari diuji dengan tragedi yang bukan calang-calang - pengeboman berani mati menggunakan trak yang mengorbankan 60 nyawa.
Kejadian pengeboman di Hotel Marriot beberapa minit selepas waktu berbuka lewat petang 21 September lalu itu turut mencederakan lebih 100 orang yang lain, dan meninggalkan kesan kemusnahan yang sangat menakutkan termasuk kawah sedalam 30 meter di hadapan hotel berkenaan.
Kejadian terbaru itu meletakkan pemerintahan Asif Ali ketika ini dalam situasi yang genting dan meninggalkan persoalan yang besar apakah tragedi keganasan seperti itu bakal mewarnai episod pemerintahan suami kepada Benazir Bhutto tersebut.
Ia juga mencetuskan tanda tanya apakah jalan perdamaian sebenar yang diperlukan di bumi Pakistan selepas pemerintahan kerajaan negara itu bersilih ganti dalam selang masa yang singkat.
Menilai tragedi berdarah itu, pensyarah Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Mohamad Faisol Keling berkata, ia merupakan isyarat, mesej dan amaran yang cukup jelas yang ditujukan kepada Asif Ali yang pada hari kejadian dijadualkan turut berbuka puasa di hotel berkenaan.
Isyarat itu biarpun tidak sampai membunuh pemimpin itu, namun meninggalkan peringatan yang jelas bahawa Asif Ali perlu mengambil kira kewujudan dan pengaruh kumpulan militan dan pengganas dalam menjalankan dasar pemerintahan barunya.
Pemimpin tertinggi Parti Rakyat Pakistan (PPP) itu dijadualkan menyampaikan ucapan sulung di Parlimen tidak lama lagi sekali gus melambangkan terlaksananya dasar pemerintahan Asif Ali di Pakistan.
Menurut Mohamad Faisol, realiti kewujudan dan pengaruh militan di Pakistan itu bukanlah sesuatu yang boleh dianggap remeh sebaliknya ia semakin kukuh sebagai entiti dalam persekitaran politik di negara itu.
Kekukuhan pengaruh militan dan pengganas itu dapat dilihat semasa era pemerintahan Benazir Bhutto yang mana pengganas dan militan tempatan menjadi tumpuan utama kerajaan bekas Perdana Menteri itu.
Benazir pada ketika itu terpaksa mengadakan pertemuan dengan pihak militan dalam memastikan dasar pemerintahannya tidak terjejas malah, kehadiran kumpulan pengganas juga dapat dilihat sewaktu kembalinya Benazir dari buangan serta dalam peristiwa pembunuhannya pada 2007.
Penggal pemerintahan Nawaz Shariff juga tidak terkecuali daripada dikaitkan dengan kumpulan ekstremis dan militan yang turut merumitkan lagi kerajaan Nawaz yang ketika itu turut berdepan tentangan daripada pihak tentera.
Malah, peletakan jawatan Pervez pada 18 Ogos lalu juga dilihat ada kaitan dengan kumpulan pengganas dan militan dan bukannya disebabkan oleh tekanan daripada parti pembangkang semata-mata, seperti yang banyak dilihat oleh penganalisis antarabangsa.
Tindakan Pervez yang menyokong 'gerakan memerangi keganasan' iaitu pendekatan keras di bawah payung Amerika Syarikat (AS) misalnya, mempengaruhi pergerakan militan dan pengganas menjadi semakin kukuh.
''Keganasan terbaru ini secara jelas bertujuan menarik perhatian kerajaan Asif Ali dan memberikan petunjuk bahawa kumpulan pengganas dan militan sedang memerhatikan pemerintahan beliau.
''Dengan kata lain, Asif Ali perlu melaksanakan dasar yang lebih baik berbanding dasar yang dilaksanakan oleh para pemimpin terdahulu," katanya.
Menurut Mohamad Faisol, serangan kali ini juga sekiranya dinilai dalam konteks yang lebih luas adalah satu bentuk peringatan kepada perlaksanaan dasar luar Pakistan di bawah kerajaan Asif Ali.
Situasi ini dengan mudah dikaitkan dengan tindakan AS yang melancarkan serangan darat ke atas kumpulan pengganas dan militan Afghanistan pada 11 September lalu, yang mana ia dilancarkan tanpa persetujuan Pakistan sekali gus menjejaskan kedaulatan Pakistan sendiri.
Dasar berpeluk tubuh yang diambil Asif Ali sebagai reaksi daripada serangan di Afghanistan itu dilihat sebagai satu kesilapan dan hanya sesuai sekiranya Pervez masih berkuasa, sebaliknya Asif Ali perlu menjalankan pemerintahan yang bebas daripada kongkongan kuasa Barat.
Ketika ditanya apakah pendekatan terbaik dalam menamatkan keganasan berterusan di Pakistan, Mohamad Faisol berkata, berdepan dengan ancaman pengganas dan militan memerlukan pertimbangan yang besar daripada mana-mana pemimpin dan ia tidak boleh menggunakan kekuatan tentera sepenuhnya.
Beliau mengambil contoh pendekatan 'keras' yang digunakan Pervez sebelum ini yang bukan sahaja gagal mengekang keganasan, malah tidak berjaya membendung pendekatan itu yang semakin menjadi budaya dalam masyarakat.
Dalam situasi seperti itu Pakistan katanya, memerlukan gabungan strategi ketenteraan dan sosial politik termasuk perlu memenangi hati dan kepercayaan rakyat dengan melakukan perubahan dalam pemerintahan, menegakkan undang-undang, memenuhi keperluan rakyat dan mengembalikan demokrasi yang sebenar di negara itu.
Strategi sosial yang mengembalikan keyakinan dan kepercayaan rakyat terhadap sesebuah kerajaan yang memerintah itu akan menghindari penentangan dan pemberontakan daripada rakyat Pakistan itu sendiri.
''Sesuatu yang perlu difahami, konflik di Pakistan tidak boleh diselesaikan dengan segera, sebaliknya ia adalah sesuatu proses yang memerlukan jangka masa yang panjang,'' katanya.
Dalam persekitaran politik semasa di Pakistan, pendekatan ketenteraan masih diperlukan khususnya untuk memastikan tidak lagi wujud aktiviti perjuangan persenjataan oleh kumpulan-kumpulan tertentu.
''Ia perlu bergerak secara selari dengan strategi sosial agar objektif pembendungan dan pembasmian dapat dicapai," katanya.
Bagaimanapun untuk strategi jangka masa pendek, Mohamad Faisol melihat Asif Ali dan rejimnya perlu memulihkan pemerintahan kerajaan agar 'bersih' dan dasar yang digubal juga tidak boleh menjurus kepada dasar autokratik yang mengabaikan kehendak dan suara rakyat.
Pertemuan dua mata dan pendekatan 'lembut' dengan pihak militan dan pengganas tegas beliau, perlu dilaksanakan agar dapat mententeramkan keadaan persekitaran politik Pakistan.
Situasi ini amat diperlukan kerajaan Asif Ali sebelum beliau dapat merangka dan melaksanakan strategi yang seterusnya.
Wednesday, September 24, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment