Wednesday, September 24, 2008

AS menuju era kemuflisan?

KIRA-KIRA 11 tahun lalu ketika negara-negara Asia seperti Thailand, Indonesia, Korea dan Malaysia dilanda kegawatan ekonomi, Amerika Syarikat (AS) yang merupakan pendokong sistem kapitalis menentang sebarang campur tangan kerajaan dalam membantu syarikat-syarikat yang bermasalah.
Pada AS segala-galanya perlu ditentukan oleh pasaran. Jika sesuatu ekonomi jatuh maka ia tidak boleh dihalang. Syarikat-syarikat berkepentingan nasional tidak boleh diselamatkan oleh kerajaan.
Sebaliknya biar pasaran yang menentukan termasuk membiarkan syarikat terbabit ditelan oleh gergasi luar terutama dari AS.
Ketika itu nasihat atau lebih dibaca sebagai amaran oleh AS kepada negara terbabit termasuk Malaysia ialah biar pasaran yang tentukan caranya, kerajaan jangan masuk campur.
Walaupun negara-negara itu terpaksa berhadapan dengan pelbagai kesukaran seperti kadar pengangguran yang tinggi, kemiskinan meningkat dan keadaan politik menjadi kucar kacir AS tetap bertegas mempertahankan sistem pasaran bebasnya.
Malah, negara kuasa besar itu juga dengan sewenang-wenang menggelar negara-negara terbabit sebagai muflis atau bankrap kerana terpaksa berhutang untuk mengatasi kegawatan ekonomi selain berhadapan dengan belanjawan defisit berbilion dolar.
Malaysia juga tidak terlepas, apabila ia ekonominya dikatakan sebagai bermasalah ekoran belanjawan defisit.
Tetapi hari ini di sebalik segala kebongkakan AS 11 tahun lalu, negara itu terpaksa berhadapan dengan realiti pasaran bebas yang diagung-agungkannya.
AS kini berhadapan dengan krisis kewangan antara yang terburuk dalam sejarahnya yang boleh mengheret kuasa ekonomi itu ke arah kemuflisan.
Walaupun pentadbiran Bush masih lagi mempertahankan ego kononnya ekonomi mereka masih baik, dan krisis yang membabitkan institusi kewangannya terkawal, tetapi hakikatnya ekonomi AS sedang berhadapan dengan masalah besar.
Pada hari ini syarikat-syarikat kapitalis gergasi yang menjadi kebanggaan AS dan ada antaranya berusia lebih 100 tahun tersungkur kerana pentadbiran dan pengurusan pelaburan yang tidak betul.
Firma sekuriti keempat terbesar di AS, Lehman Brothers yang pejabatnya gah tersergam di Time Square, New York kini muflis.
Sebelum itu AS terpaksa mengingkari peraturan ciptaannya sendiri apabila kerajaan mengambil alih syarikat insuransnya yang terbesar, American International Group Inc. (AIG) dengan memberikan pinjaman AS$85 bilion (RM289.9 bilion).
Krisis itu tidak berhenti begitu sahaja. Sejak dua minggu lalu kerajaan AS telah mengambil alih dua syarikat pembiaya pinjaman hartanah terbesar, Fannie Mae dan Freddie Mac. Sementara firma pelaburan terkenal Merrill Lynch telah dipaksa supaya dijual kepada Bank of America kerana diancam kemuflisan.
Kini hampir keseluruhan institusi kewangan di AS terutama yang terbabit dengan pembiayaan pembelian hartanah lumpuh dan pasaran kreditnya kini beku. Antara puncanya ialah pengurusan hutang dan pinjaman yang tidak terkawal hingga membebankan sektor kewangan negara itu.
Atas nama kepentingan rakyat dan demi memastikan rakyat AS terus mempunyai kediaman maka pentadbiran Bush telah meminta Kongres memperuntukan wang pembayar cukai sebanyak AS$700 bilion untuk membeli semua hutang dalam sektor hartanah bagi membolehkan institusi- institusi kewangan terbabit kembali bernafas dan pasaran kreditnya boleh dicairkan semula.
Peruntukan AS$700 bilion itu merupakan usaha kerajaan AS untuk menyelamat atau bailout institusi-institusi kewangannya yang nazak. Langkah itu pernah ditentang oleh AS 11 tahun lalu apabila kerajaan Malaysia mahu membantu syarikat-syarikat berkepentingan nasional menghadapi gelombang krisis ekonomi supaya ia tidak terlepas ke tangan kapitalis luar.
Jika 11 tahun lalu AS lantang menentang, tetapi hari ini itulah langkah yang diambilnya dengan alasan untuk kepentingan rakyat. Itulah alasan yang diberikan oleh Bush dalam memujuk Kongres meluluskan peruntukan AS$700 bilion itu. Sedang kerajaan Malaysia ketika melaksanakan langkah yang sama 11 tahun lalu juga demi kepentingan rakyat.
Tindakan AS itu ibarat meludah ke langit yang mana akhirnya ia jatuh ke muka sendiri. Jumlah AS$700 bilion itu merupakan angka yang cukup besar yang boleh mengheret negara kuasa besar itu ke kancah hutang yang terbesar dalam sejarahnya.
Jika sebelum ini AS melabelkan negara kecil yang berhadapan dengan beban hutang luar dan bajet defisit sebagai negara yang muflis, kini jika faktor dan kriteria itu diambil kira kuasa besar itu juga kini di ambang kemuflisan.
Pada masa kini AS mengalami belanjawan defisit kira-kira AS$3 trilion (RM2,386.98 bilion) setahun. Malah AS$700 juta yang diminta supaya diluluskan segera oleh Kongres dalam usaha untuk menyelamatkan institusi kewangannya turut menekan lagi kedudukan ekonominya secara keseluruhan.
Bersandiwara
Tetapi, sebagai kuasa besar AS tetap angkuh. Pentadbiran Bush tetap bersandiwara. Dalam keadaan ekonomi yang hampir runtuh itu, Bush tetap mendakwa kedudukan ekonomi mereka masih stabil dan mantap.
Jika bajet defisit itu diambil kira ditambah pula dengan kadar pengangguran mencecah tujuh peratus setahun dan disertai dengan krisis yang melanda institusi kewangannya kini, ekonomi AS sebenarnya cukup parah. Krisis itu ibarat meletakkan garam pada luka yang menjadikan ia lebih pedih dan berbisa.
Jika AS$700 bilion itu tidak diluluskan oleh Kongres, sektor hartanah di negara itu akan lumpuh kerana institusi terbabit tidak mampu lagi untuk memberikan pinjaman.
Untuk itu, penggubal dasar di AS kini bersengkang mata mencari penyelesaian kepada krisis itu.
Keadaan bertambah rumit apabila rakyat mempersoalkan hasrat pentadbiran Bush untuk menggunakan wang cukai mereka bagi mengambil alih hutang-hutang institusi kewangan terbabit.
Tetapi apa pilihan yang kerajaan AS ada? Yang penting sistem kewangannya perlu diselamatkan. Institusi ini perlu dipastikan dapat bergerak seperti biasa dan mampu berfungsi sewajarnya.
Caranya ialah dengan membebaskan mereka daripada hutang-hutang lapuk. Untuk itu kerajaan akan menggunakan AS$700 bilion wang rakyat untuk 'membeli' hutang-hutang tersebut.
Tetapi hakikat yang mungkin ramai tidak tahu ialah, cadangan kepada usaha menyelamat itu akan menyebabkan hutang yang ditanggung AS meningkat daripada AS$10.6 trilion (RM36.15 trilion) kepada AS$11.3 trilion (RM38.54 trilion).
Sebab itu para penganalisis menggelar usaha yang dilakukan oleh Washington itu sebagai ibu kepada segala usaha menyelamat atau mother of all bailouts dalam dunia ini.
Kebimbangan yang wujud ialah adakah AS$700 bilion (RM36.25 trilion) itu akan digunakan sewajar dan turut memberi manfaat kepada rakyat. Adakah betul jika AS$700 bilion itu diagih-agihkan pasaran kredit negara kembali cair dan institusi kewangannya pula mampu pulih.
Sebab itu, ahli-ahli Kongres pula mahukan jaminan agar peruntukan itu turut digunakan untuk membantu rakyat dengan istilah yang digunakan 'Main Street' di samping institusi kewangan gergasi di Wall Street yang hilang berbilion dolar kepada keputusan pelaburan yang dangkal.
Rancangan utama pelan menyelamat AS$700 bilion itu ialah untuk mengeluarkan hutang tidak berbayar daripada buku akaun institusi kewangan terbabit dengan harapan mereka dapat meneruskan operasi pinjaman.
Mother of all bailouts ini jika dicampur dengan kos kerajaan mengambil alih Fennie, Freddie dan AIG sebenarnya mencecah AS$1 trilio (RM3.41 trilion).
Apakah maknanya semua itu? Ia boleh ditafsirkan bahawa AS kini sedang menuju ke arah muflis kerana terpaksa menanggung hutang puluhan trilion dolar akibat pengurusan dan pelaburan oleh institusi kewangannya yang tidak cekap.
Kesimpulan ini dibuat berdasarkan kriteria yang digunakan oleh AS sendiri apabila dengan sewenang-wenang melabelkan negara kecil seperti Malaysia sebagai muflis ketika berhadapan dengan krisis kewangan.
Kini AS dikatakan sedang meninjau bantuan daripada Jepun dan China untuk membantunya.
Ia menggarapkan dua negara gergasi Asia itu dapat membeli aset dan menyuntik modal dalam institusi kewangannya supaya kembali bernafas dan seterusnya menggerakkan kembali sistem kewangannya yang hampir lumpuh.

No comments: