SEMUANYA bermula dengan media. Kerana dua tiga ayat berkaitan isu 'pendatang' dan 'keturunan pendatang' maka hebohlah seluruh Malaysia.
Secara fakta sejarah dan berdasarkan cara kita menguruskan hubungan etnik di negara ini sama ada dasar pendidikan, agihan kuasa politik atau agihan ekonomi, sukar untuk kita melihat konsep bangsa Malaysia yang sebenar-benarnya wujud dalam tempoh lima puluh tahun akan datang.
Penulis mengikuti dengan teliti tulisan oleh Dr. Hassan Ahmad dan Prof Dr. Zainal Kling baru-baru ini berkaitan etnisiti. Kedua-duanya menunjukkan nada yang sama, iaitu kecewa dengan sikap 'keturunan pendatang' di negara ini.
Sikap beramaran yang ditunjukkan oleh mereka tentunya akan meningkatkan rasa jengkel bukan Melayu kepada masyarakat Melayu. Tetapi apa yang ditulis oleh mereka adalah jelas dan telah dinyatakan dengan tertib dan penuh ilmiah. Tinggal lagi bolehkah 'keturunan pendatang' dapat menerima pandangan tersebut dan melupakan apa yang telah berlaku semasa kempen pilihan raya yang lalu?
Cakap-cakap orang ramai berkaitan pergolakan hubungan etnik bermula selepas berakhirnya pilihan raya awal tahun ini. Sememangnya bahang panasnya telah mula dirasai sekarang apabila timbulnya pelbagai tuntutan di kalangan masyarakat bukan Melayu kepada pihak pemerintah.
Persoalan keistimewaan orang Melayu, hal ehwal Islam dan kuasa raja-raja Melayu mula dipertikaikan. Semakin banyak tulisan di blog-blog serta laman web membincangkan hal ini. Tuntutan yang menjejaskan hubungan etnik ini dikaitkan dengan kelemahan sokongan yang diperolehi parti pemerintah dalam pilihan raya lalu.
Secara lebih khusus, kepincangan hubungan etnik ini timbul berasaskan kepada empat faktor utama iaitu kehilangan sokongan di pihak parti pemerintah khususnya UMNO yang berasaskan kaum dan bertambah sokongan kepada parti pembangkang yang multietnik.
Kedua, pergolakan dalam UMNO dan kesatuan Pakatan Rakyat yang semakin 'menjadi'. Ketiga, persaingan menyediakan ganjaran dan memenuhi tuntutan kumpulan minoriti oleh parti Melayu untuk meraih sokongan di kalangan bukan Melayu (anugerah tanah untuk sekolah persendirian Cina di Perak adalah contoh yang terbaru).
Keempatnya, didorong oleh sikap keterbukaan sebahagian orang Melayu khususnya di bandar yang menolak parti berasaskan kaum dan tidak lagi kisah dengan usaha mempertahankan keistimewaan dan ketuanan Melayu.
Gabungan faktor ini telah mewujudkan kelemahan yang kumulatif kepada kepimpinan Barisan Nasional khususnya UMNO.
Oleh itu, pihak kerajaan perlu segera memperbaiki hubungan etnik ini secara serius. Sama ada suka atau tidak, kontrak sosial mestilah disosialisasi di dalam pendidikan kita. Anak-anak Melayu, Cina dan India khususnya perlu dididik untuk memahami serta menghormati kontrak sosial.
Bukan kerana agenda ketuanan Melayu tetapi kerana kontrak sosial ini adalah asas untuk membina sebuah bangsa Malaysia. Kontrak sosial yang telah berevolusi selama 50 tahun walaupun belum berupaya membina satu bangsa Malaysia tetapi terbukti berjaya mempertahankan keharmonian etnik di negara ini.
Kontrak ini sudah jelas maksudnya tidak pernah menghasilkan etnik yang tertindas. Misalnya, walaupun orang Melayu adalah majoriti dari segi bilangannya tetapi tidak langsung memberikan isyarat untuk memonopoli ekonomi negara.
Faktanya, lebih ramai orang Melayu yang berada di dalam kumpulan status sosial ekonomi bawahan berbanding orang Cina dan India. Malah bilangan profesional dan peniaga di kalangan etnik Cina dan India lebih ramai berbanding orang Melayu.
Secara politik, walaupun orang Melayu dan bumiputera merupakan 62 peratus penduduk negara ini, perwakilan di DUN dan Parlimen menunjukkan agihan kerusi pilihan raya tidak pernah menguntungkan orang Melayu.
Malah ahli Yang Berhormat yang terpilih untuk berbincang dan meluluskan keputusan dan dasar negara bukanlah diasaskan kepada perwakilan kaum tetapi atas dasar kebersamaan di kalangan parti komponen.
Secara nisbah orang Cina dan India mempunyai perwakilan yang lebih daripada orang Melayu untuk mewakili etnik masing-masing.
Sejarahnya, orang Melayu memang telah banyak berkorban dan menyumbang kepada pembangunan negara ini, kaum Cina dan India juga tidak kurang pentingnya, turut memberikan sumbangan yang besar. Maka, tindakan menuding jari dan memperkecilkan sumbangan kaum lain bukanlah sesuatu tindakan yang bijak dan terhormat.
Oleh itu pengajaran yang sangat besar daripada peristiwa selepas pilihan raya umum ke-12 ialah perlunya pendidikan multibudaya (multicultural education) dikembang di sekolah-sekolah kita.
Sangat penting untuk anak-anak kita mengenali secara dekat budaya etnik lain supaya mereka akan lebih serasi dan selesa berinteraksi khususnya selepas zaman persekolahan.
Sistem pendidikan vernakular sudah ketinggalan zaman dan ternyata gagal menguruskan kehidupan majmuk rakyat negara ini. Sampai bila konsep pecah perintah perlu dipertahankan atas nama mempertahankan identiti etnik sehingga menimbulkan rasa perkauman yang semakin menebal dan sukar dipulihkan lagi.
Soal siapa tuan dan siapa 'keturunan pendatang' akan terus-menerus diadudombakan dalam masyarakat di negara ini.
Hari ini generasi yang belajar dalam sistem pendidikan vernakular mengungkit-ungkit soal ketuanan dan 'keturunan pendatang', maka jika sistem pendidikan vernakular ini dikekalkan maka anak cucu kita juga akan mengungkit-ungkit perkara yang sama pada masa depan. Sedih rasanya jika kita mewariskan kepada generasi masa depan yang akan terus menerus mengulangi kesilapan kita.
Tak berbaloi rasanya kita berjaya sampai ke bulan, kalau sesama kita bertelagah dan bercakaran tentang perkara yang telah dipersetujui sebaik sahaja kita merdeka dulu, lima puluh tahun dulu. Kembalilah kepada semangat dan iltizam pejuang bangsa terdahulu, hormati perjanjian yang telah mereka bina bersama demi mempertahankan keamanan, keharmonian dan kestabilan hidup di bumi bertuah ini, bumi Malaysia.
Wednesday, September 10, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment