Thursday, January 31, 2008
Lindungi penjamin
Apa yang berlaku kepada saya sekarang amat-amatlah mengecewakan dan masa depan saya cukup gelap kerana saya telah diisytiharkan bankrap kerana menjamin seorang peminjam Mara kira-kira 28 tahun lalu.
Saya tidak pernah dimaklumkan, saya tidak pernah dipanggil oleh mana-mana pihak, baik mahkamah atau peguam yang mewakili Mara dalam menyelesaikan hal ini.
Demikian juga dengan si peminjam, saya tidak tahu di mana dia berada sekarang sebab saya mengenali dia pada tahun 1980 semasa saya bertugas di Sungai Buloh, Selangor.
Sekarang saya telah menerima padahnya, Mara telah menuntut pada saya dengan pelbagai tuntutan yang sudah pasti saya tidak mampu membayarnya.
Saya beranggapan apabila saya bersara pada akhir tahun nanti, saya akan menerima sedikit imbuhan, tetapi apa boleh buat segala pampasan yang saya akan peroleh itu akan diambil terus oleh Mara melalui Jabatan Insolvensi. Itulah yang saya difahamkan.
Apakah setelah saya berkhidmat 30 tahun dengan sempurna, ini balasan yang saya terima? Apakah saya akan menjadi peminta sedekah selepas bersara nanti? Itulah yang bermain di kepala saya masa kini. Siapakah akan menanggung anak-anak saya yang masih bersekolah nanti?
Oleh itu, saya berharap kepada kerajaan, carilah jalan penyelesaian dalam masalah ini.
Monday, January 28, 2008
Mengawal kewujudan 'anak jalanan'
Kemiskinan terutama kemiskinan tegar, seharusnya tidak menjadi masalah untuk ibu bapa gagal menghantar anak mereka ke sekolah setelah kerajaan memberikan pelbagai bantuan. Misalnya, mulai tahun ini, Kerajaan Pusat memansuhkan yuran Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau setarafnya dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).
Malah, golongan miskin sebelum ini turut diberi bantuan di sekolah. Persoalannya, di mana silapnya sehingga 'anak jalanan' itu dipaksa menjadi pekerja buruh pada usia kanak-kanak lagi. Apakah gejala itu berikutan sikap ibu bapa sendiri yang mengabaikan tanggungjawab mereka, membiarkan anak berpelesiran, tidak bersekolah? Kerana masalah ini mula kelihatan berleluasa, Jabatan Pelajaran Sabah mahu bertindak terhadap ibu bapa atau penjaga yang mengabaikan pendidikan anak berusia tujuh tahun, mulai tahun ini.
Tindakan akan diambil sejajar dengan keperluan Dasar Pendidikan Wajib mengikut Seksyen 29A Akta Pendidikan 1996 (Akta 550). Pada masa sama, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat memberi kepercayaan kepada Universiti Malaysia Sabah (UMS) membuat kajian mengenai kanak-kanak jalanan tempatan bagi mengenal pasti apa masalah sebenar.
Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Mohd Noh Dalimin, berkata pihaknya berharap kajian yang dimulakan awal tahun ini akan merungkai permasalahan itu dan mencari kaedah terbaik penempatan kanak-kanak di rumah perlindungan di Rumah Perlindungan di kawasan Sekolah Tunas Bakti (STB) Lama, Inanam, dekat Kota Kinabalu.
"Kehidupan kanak-kanak mesti dikembalikan seperti sewajarnya. Pada usia tujuh atau lapan tahun, tempat mereka adalah di sekolah, menimba ilmu bersama rakan sebaya dan bukannya berkeliaran di jalanan atau melakukan kerja di tapak pembinaan," katanya.
Timbalan Pengarah Jabatan Pelajaran negeri, Dr Muhiddin Yusin, pula berkata mulai sesi persekolahan tahun ini, Jabatan Pelajaran Sabah memberi penelitian lebih menyeluruh terhadap kes ibu bapa atau penjaga yang mengabaikan pendidikan anak berusia tujuh tahun. "Pada peringkat awal kita akan memanggil mereka ke Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) atau sekolah berhampiran dan memberi nasihat supaya menyekolahkan anak dan jika ingkar, kita ambil tindakan undang-undang, seiring keperluan Dasar Pendidikan Wajib mengikut Seksyen 29A Akta Pendidikan 1996 (Akta 550).
"Memang ada yang menganggap kemiskinan sebagai penghalang, tetapi kita akan jelaskan mengenai pelbagai kemudahan yang ada. Jika mereka enggan juga menghantar anak ke sekolah, tindakan undang-undang akan dikuatkuasakan," katanya. Muhiddin berkata, kepincangan dari segi pendidikan akan menimbulkan pelbagai kesan sosial termasuk senario buruh kanak-kanak yang secara umumnya akan menjejaskan keseluruhan struktur pembangunan negara.
Selain itu, katanya, ia juga akan mengundang masalah buta huruf yang tidak sepatutnya berlaku di negara yang mempunyai sistem pendidikan komprehensif seperti Malaysia. "Kita tidak boleh biarkan perkara itu berlaku, jadi kita mesti memastikan akar umbi masalah berkenaan ditangani sejak awal sebelum keadaan berlarutan," katanya.
BANYAK KES BABIT ANAK PENDATANG
KAJI selidik Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada Mac 2004 berhubung senario kanak-kanak jalanan di Sabah mendapati semua 21 kanak-kanak yang ditemui berkeliaran di Kota Kinabalu adalah anak pendatang tanpa izin.
Kajian Dzurizah Ibrahim dan Jalihah Md Shah di Kota Kinabalu, Tawau, Semporna, Lahad Datu, Telupid dan Kudat mengesan 21 kanak-kanak jalanan iaitu 18 orang warga Filipina dan seorang (Indonesia). Jalihah yang juga Pensyarah Sosiologi dan Antropologi Sekolah Sains Sosial UMS berkata, kerja yang dilakukan kanak-kanak jalanan itu bergantung kepada umur dan jantina.
Katanya, kanak-kanak perempuan berusia di bawah enam tahun biasanya menjual beg plastik dan rokok, selain menawarkan perkhidmatan mengangkut barangan pelanggan. "Daripada 21 kanak-kanak jalanan yang ditemui, hanya dua bersekolah dan menjadikan kerja menjual beg plastik sebagai kegiatan sampingan ketika hujung minggu dan cuti sekolah. Ketika ditanya kenapa bekerja, mereka menjawab memerlukan wang untuk perbelanjaan sekolah dan membayar yuran. "Tiga responden pernah mengikuti pendidikan formal hingga Tahun Empat manakala dua lagi hingga Tahun Enam," katanya kepada Berita Harian di Kota Kinabalu, baru-baru ini.
Sebahagian besar kanak-kanak itu dilahirkan di Kota Kinabalu iaitu seramai 13 orang, diikuti Semporna (dua) dan masing-masing seorang di Lahad Datu, Telupid dan Kudat, selain Labuan dan Filipina. Sementara itu, ketiadaan kerjasama di kalangan masyarakat menyukarkan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Sabah mengesan kanak-kanak jalanan tempatan yang dijadikan buruh. Pengarahnya, Siti Aishah Mohd Asri, berkata sikap negatif itu banyak mengekang usaha pihaknya menyelamatkan kanak-kanak terbabit dan seterusnya mengambil tindakan ke atas majikan mereka. "Ada pihak menghubungi JTK dan memberi maklumat berhubung kanak-kanak jalanan dijadikan buruh dan bekerja di sektor pembinaan, tetapi mereka enggan memaklumkan lokasi khusus.
"Kami tidak boleh bertindak tanpa maklumat lengkap. Masyarakat sekarang lebih peka terhadap persekitaran mereka, maka kami harap keprihatinan itu akan dijadikan pendorong dalam membantu JTK menyelesaikan isu penggunaan buruh kanak-kanak, terutama dalam sektor pembinaan dan pembuatan. "Segala biodata pemberi maklumat akan dirahsiakan kerana keutamaan kita ialah menyelamatkan anak-anak ini," katanya.
Sementara itu, Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah (JPKAS) bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan keselamatan dalam usaha mengesan serta menahan kanak-kanak jalanan untuk dihantar ke pusat kebajikan. Ia merangkumi Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), majlis perbandaran dan majlis daerah, selain polis dan Pasukan Petugas Khas Persekutuan. Pengarah JPKAS, Datuk Mastor Samin, berkata operasi menahan kanak-kanak itu tertumpu di pusat bandar terutama kawasan pasar, pusat beli-belah dan taman permainan kanak-kanak.
"Selepas disiasat, mereka ditempatkan buat sementara di dewan masyarakat manakala keluarga atau penjaga yang dapat dikesan akan dimaklumkan mengenai penahanan kanak-kanak itu. "Lazimnya, kanak-kanak tempatan akan dituntut ibu bapa mereka manakala anak pendatang tanpa izin dihantar ke Pusat Tahanan Sementara (PTS) Menggatal di Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau. "Operasi menahan kanak-kanak jalanan diadakan sepanjang masa untuk memastikan mereka tidak terabai dan menjadi bebanan Kerajaan Pusat dan negeri serta masyarakat," katanya. Mastor berkata, pusat tahanan sementara kanak-kanak jalanan warga tempatan di Inanam, Kota Kinabalu akan dibina tahun ini untuk memastikan nasib golongan itu terbela dan menerima pendidikan sempurna. "Saya harap ibu bapa tidak membiarkan anak mereka berkeliaran kerana dikhuatiri mereka terjebak dengan kegiatan jenayah seperti mencuri dan menceroboh kawasan pembinaan," katanya.
Stok penimbal kena halang peniaga beli barang subsidi
Kita bersetuju dengan pandangan bahawa kejayaan program ini bergantung kepada sejauh mana keupayaan pihak berkuasa memastikan sistem penyimpanan, pengagihan dan penguat kuasa berada pada tahap terbaik. Kebanyakan barang yang akan dijadikan stok seperti beras dan gula serta terbaru diumumkan minyak masak dan petroleum misalnya, memerlukan pembinaan atau gudang penyimpanan. Ini tentunya membabitkan kos besar, siapakah yang menanggung kos itu, kerajaan atau syarikat pengimport/pengeluar seperti Bernas untuk beras dan Petronas, Shell dan ExxonMobil bagi petroleum. Pengalaman Lembaga Padi Negara (LPN) sebelum diambil alih PadiBeras Nasional Berhad (Bernas), pernah mewujudkan stok padi bagi menstabilkan harga perlu dijadikan teladan berikutan beras dan padi yang disimpan gudang LPN di Kedah, rosak dan berkulat. Ini bermakna kaedah menyimpan dan pengagihan barang ke pasaran perlu cekap bagi memastikan barang yang disimpan sentiasa selamat dimakan. Bagi menyimpan bahan petroleum, kawasan simpanan yang luas dan selamat diperlukan dan ia tentunya membabitkan kos tinggi. Bagaimana pula dengan turun naik harga di pasaran seperti yang berlaku kepada petroleum. Sebagai contoh, jika kita membuat simpanan minyak pada harga AS$100 setong, tetapi selepas itu harganya turun kepada AS$80 setong, apakah harga yang bakal dijual kepada pengguna. Jika harganya meningkat kepada AS$120 setong dan kita boleh menggunakan minyak dalam simpanan untuk dijual kepada pengguna pada harga lebih rendah, apakah kita terpaksa membeli pada harga AS$120 setong bagi mengganti stok itu.
Justeru, beberapa pertimbangan perlu diambil kira sebelum dilaksanakan Stok Penimbal Kebangsaan. Sebelum ini stok penimbal hanya digunakan untuk menstabilkan harga getah membabitkan beberapa negara pengeluar getah dunia, tetapi itu pun berakhir dengan kegagalan. Bernas sehingga kini masih gagal melaksanakan stok penimbal berasnya seperti diminta kerajaan bagi menyimpan sejumlah 92,000 tan setiap masa. Kita percaya kekurangan barang keperluan di pasaran bukan akibat bahan tidak mencukupi, tetapi sikap peniaga tamak. Kerajaan memberi subsidi minyak masak hanya untuk golongan berpendapatan rendah, tetapi pengilang juga boleh mendapatkan bahan itu pada harga sama di pasar raya. Begitu juga dengan gas memasak. Restoran mamak kini tidak lagi menggunakan tabung gas besar, sebaliknya memakai tabung gas kecil yang harganya diberi subsidi sedangkan merekalah yang cepat menaikkan harga makanan setiap kali kerajaan menaikkan harga minyak. Punca sebenar kekurangan barang keperluan ini, yang kita percaya turut disebabkan oleh pembelian barang subsidi pada jumlah besar oleh pengilang/peniaga, perlu ditangani sebelum pelaksanaan stok penimbal.
Sunday, January 27, 2008
Israel rancang 'Holocaust' Gaza
Presiden Amerika Syarikat, George W Bush, bahawa negara Palestin akan terbentuk pada 2008 hanya muslihat semata-mata. Perbuatan penduduk Gaza memasuki sempadan Mesir menunjukkan mereka semakin hilang sabar menahan tekanan dan pelbagai bentuk penindasan rejim Yahudi ke atas mereka yang tinggal di kawasan disifatkan sebagai penjara terbesar dunia. Keseluruhannya, laporan memberi tumpuan kepada keadaan penduduk Gaza yang membeli pelbagai barangan keperluan asas untuk dibawa pulang kerana tindakan Israel menutup semua lintasan sempadan atas alasan mengambil langkah menghentikan serangan roket pejuang Palestin di wilayah itu ke bandar di selatannya.
Umumnya, semua orang tahu bahawa Israel bertindak sejak enam bulan lalu dengan mengehadkan pergerakan penduduk Gaza kerana wilayah itu ditadbir oleh Hamas, kumpulan yang berikrar menghapuskan rejim zionis itu. Sebaliknya, Israel bekerjasama dengan pergerakan Fatah pimpinan Mahmoud Abbas yang menguasai Tebing Barat.
Malang sekali, dasar bekerjasama dengan Fatah itu turut diikuti oleh kuasa besar Barat, khususnya Amerika sendiri dan negara Eropah yang tidak mengiktiraf kerajaan Hamas. Apakah masyarakat antarabangsa menunggu untuk melihat sejauh mana Israel merealisasikan 'Holocaust Palestin'?
Kini, dasar 'menghukum beramai-rama' yang diamalkan oleh Israel dengan melancarkan operasi terhadap pejuang Palestin hingga mengorbankan orang awam di Gaza, sebenarnya menjadi amalan Washington dan negara Eropah yang terkenal kononnya memperjuangkan hak asasi manusia dan keadilan global.
Bagi penduduk Palestin, Israel perlu diperangi kerana menjajah bumi mereka manakala bagi rejim Zioinis, penduduk Palestin perlu diusir dengan apa cara sekalipun untuk mewujudkan negara Israel sebenar. Oleh itu, Israel melancarkan serangan udara bertalu-talu dan memberi pelbagai alasan mewajarkannya sejak dua tahun lalu menyebabkan 810 warga Palestin maut, 19 daripadanya terbunuh dalam tempoh sehari, minggu lalu.
Amalan ini dikecam oleh wartawan Israel sendiri dari akhbar Haaretz, Gideon Levy yang bertanya: "Adakah pembunuhan setiap hari di Gaza berjaya memperbaiki keadaan keselamatan (bagi Israel). Tidak, itu hanya memburukkan lagi keadaan." Malah, katanya lagi, selagi Bush berada di Asia Barat, Israel tidak akan melakukan pembunuhan tetapi apabila pemimpin Amerika itu pulang, Israel membunuh semula.
Kesimpulan beliau ialah 'pembunuhan berterusan di Gaza tidak akan melemahkan semangat Palestin untuk terus memperjuangkan kebebasan selain tidak mewujudkan keamanan seperti diharapkan Israel. Malah, disebabkan operasi tentera Israel, penggali kubur di Gaza sukar mendapat bekalan simen untuk mengebumikan mayat korban serangan Yahudi.
Laporan lain mengatakan, harga makanan dan keperluan lain juga melonjak termasuk coklat, rokok dan minuman botol serta bekalan harian tidak lagi boleh dijamin ada setiap hari manakala hospital pula melaporkan kekurangan ubat dan alat perubatan. Sektor perindustrian Gaza juga musnah tanpa bahan mentah yang diterima untuk diproses dan dihantar keluar. Selain itu, lebih 100,000 warga Gaza hilang kerja sejak enam bulan lalu.
Hanya tinggal sektor makanan yang masih 'sihat' dan tidak menjadi sasaran sekatan oleh Israel. Itupun boleh dipertikaikan kerana ramai di kalangan 1.5 juta penduduk Gaza menerima bantuan keperluan daripada agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Sekatan di sempadan bermakna loji bekalan kuasa di Gaza terpaksa ditutup kerana tidak menerima bahan api mencukupi untuk meneruskan operasi sekali gus menyebabkan banyak tempat terpaksa bergelap.
Ia memaksa Agensi Bantuan dan Kerja PBB untuk Pelarian Palestin (UNRWA) terpaksa memberi sebahagian minyaknya kepada Hospital Shifa dan Hospital Eropah di Khan Yunis untuk menggerakkan jana kuasa pusat perubatan itu. UNRWA menyatakan, ia juga memerlukan beg untuk menghantar makanan seperti nasi dan kacang bagi 870,000 penduduk Gaza.
Jurucakap Kementerian Luar Israel, Aryeh Mekel, menjawab, Israel akan membenarkan penghantaran 2.2 juta liter bahan api industri bagi loji kuasa itu, 500,000 liter diesel untuk penggunaan janakuasa dan bekalan minyak masak termasuk 50 lori makanan dan ubat. Tetapi, katanya, sekatan ke atas petrol diteruskan.
Semua itu, bagaimanapun, tidak lagi penting bagi tiga keluarga Gaza yang meratapi kematian bayi mereka selepas kediaman mereka terputus bekalan elektrik yang menyekat fungsi peralatan oksigen, Khamis lalu. Tidak syak lagi, penduduk Gaza seolah-olah menjadi tebusan politik kerana masalah mereka berpunca daripada permasalahan politik Palestin dan Israel.
Siapa yang boleh mereka harapkan untuk menyelesaikan masalah ini? Fatah dan Hamas bergaduh kerana berbeza pendirian dan kepentingan. Israel sudah jelas bukan sahabat dan Amerika mahupun Eropah mengikut saja kata rejim Zionis. Bush tidak akan mengambil tindakan ketika Amerika dilanda demam pilihan raya bagi membantu calon Republikan dalam pengundian November depan.
Tidak hairanlah, tanpa mengira lagi bahawa Israel adalah penjajah bumi Palestin, media Barat mewajarkan pembunuhan Husam Zahar, anak pegawai kanan Hamas, Mahmoud Zahar, kerana mangsa adalah anggota pergerakan bersenjata kumpulan berkenaan. Sekalipun negara Islam mendesak masyarakat antarabangsa melakukan sesuatu bagi menghalang Israel di Gaza, keputusan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hanya menyuarakan kebimbangan besar atas perkembangan di sana hanya mengulangi kenyataan lalu sambil mendedahkan sikap sebenar Amerika mahupun Bush mengenai isu Palestin.
Ia menyusuli keputusan Majlis Hak Asasi Manusia PBB mengutuk serangan Israel ke atas Gaza dan Tebing Barat tetapi menunjukkan negara Eropah juga memegang pendirian sama apabila 15 utusannya tidak mengundi atas alasan resolusi berkenaan tidak mengambil kira bedilan roket pejuang Palestin ke Israel manakala Kanada membantah sama sekali langkah itu.
Selain rundingan di PBB, satu lagi rundingan akan diberi tumpuan hari ini membabitkan pertemuan antara pemimpin Palestin di Tebing Barat, Mahmoud Abbas dengan Perdana Menteri Israel, Ehud Olmert mengenai penyelesaian isu Gaza. Perbincangan mereka, bagaimanapun, tidak dijangka membawa apa-apa hasil kerana Mahmoud tidak ada pengaruh ke atas apa yang berlaku di Gaza manakala Olmert yang semakin tidak popular di kalangan rakyatnya, bakal menghadapi tekanan lebih hebat apabila laporan mengenai kegagalan kempen perang di Lubnan disiarkan tidak lama lagi. Pun begitu, kenyataan demi kenyataan yang disiarkan oleh pegawai kanan Olmert memberi petunjuk bahawa Israel akan terus melakukan operasi di Gaza. Menteri Pertahanan, Ehud Barak, misalnya, menyatakan kemungkinan tentera Yahudi kembali ke Gaza, manakala Presiden Shimon Peres pula memberi syarat gencatan senjata hanya boleh dipersetujui apabila pejuang Palestin berhenti melancarkan roket ke Israel.
"Mereka tidak akan menghadapi masalah apabila berhenti menyerang (Israel). Gencatan senjata akan bermula sebaik saja mereka berhenti melancarkan roket," kata Peres. Tentera Israel menganggarkan 250 roket dilancarkan seminggu lalu ke selatan Israel. Pada masa sama, ia tidak menyebut bahawa serangan roket itu tidak menyebabkan kematian sedangkan 30 warga Palestin terbunuh kerana serangan udara askar Yahudi dalam tempoh sama.
Jadi, kenyataan Bush bahawa negara Palestin akan dapat dibentuk tahun ini hanya janji kosong ketika beliau ada masa hingga awal 2008 dengan kempen calon presiden Amerika sedang berlangsung menunjukkan calon berkenaan juga menuntut masyarakat antarabangsa menghormati hak Israel. Calon presiden Demokrat, Barack Obama dalam suratnya kepada Majlis Keselamatan PBB berbunyi: "Kita bimbang mengenai kesan sekatan sempadan ke atas keluarga Palestin. Bagaimanapun, kita perlu memahami mengapa Israel terpaksa melakukannya. Israel berhak mengambil tindakan bagi meminimumkan impak ke atas orang awam. "Majlis Keselamatan wajar sebulat suara mengancam serangan roket (ke atas Israel). Jika ia gagal bersetuju dengan langkah ini, saya menggesa anda berdiam diri." Calon presiden Republikan, John McCain pula berkata: "Amerika wajar mengutuk sekeras-kerasnya taktik keganasan Hamas, termasuk serangan roketnya ke atas orang awam Israel. Majlis Keselamatan PBB gagal memikul tanggungjawab dalam menangani keadaan kemanusiaan di Gaza jika tidak mengambil kira keselamatan Israel."
Israel dibentuk pada 1948 selepas melakukan Holocaust pertama dunia membabitkan penduduk Palestin yang mempunyai takrifan sendiri iaitu Nakba apabila 420 perkampungan Palestin dikosongkan daripada penghuninya dan 700,000 penduduk
Palestin hilang tempat tinggal selepas panik dengan lebih 60 kejadian pembunuhan beramai-ramai di bumi Palestin. Holocaust atau Nakba Palestin akan berusia 60 tahun Mei depan dan penduduk Gaza akan terus-terusan bersendirian memikul beban sejarah dan penindasan Yahudi.
Simpati sukarkan ibu bapa cuai kena hukum
BARU-BARU ini seorang bayi berusia 18 bulan maut selepas terperangkap dalam kebakaran di sebuah bilik di rumah kedai Jalan Gadek Off Jalan San Peng, Kuala Lumpur, selepas ibunya keluar bekerja. Selasa lalu, di Melaka seorang kanak-kanak berusia empat tahun meninggal dunia selepas terjatuh dari rumahnya di tingkat empat selepas ditinggalkan ibu bapa yang keluar ke kedai kerana menyangka anaknya tidur. Mengapakah kejadian seperti ini terus berlaku. Wartawan Berita Minggu, Rohaniza Idris menemu bual Naib Presiden Persatuan Perlindungan Kanak-Kanak Malaysia yang juga Pensyarah Kanan, Fakulti Undang-undang Universiti Malaya (UM), Dr Farah Nini Dusuki untuk mendapatkan penjelasan mengenai Seksyen 31 Akta Kanak-Kanak 2001 yang membolehkan ibu bapa atau penjaga yang cuai atau membiarkan anak mereka tanpa pengawasan didakwa. Namun, sehingga hari ini tidak pernah kita dengar ada kes seperti ini diseret ke mahkamah.
APAKAH Akta Kanak-Kanak 2001?
Sebelum ada Akta Kanak-Kanak 2001, kita ada Akta Perlindungan Kanak-Kanak 1994 yang lebih memberi perlindungan kepada kes penderaan ke atas kanak-kanak berikutan kes B Balasundram yang berusia 26 bulan mati akibat didera pada 15 Mei 1990. Akta itu dimansuhkan dan peruntukannya dimasukkan ke dalam Akta Kanak-Kanak 2001 yang menambah kekurangan yang ada kepada Akta Perlindungan Kanak-Kanak 1991.
Selain Akta Perlindungan Kanak-Kanak 1991, Akta Kanak-Kanak 2001 juga menggabungkan Akta Gadis dan Wanita 1973 dan Akta Juvana 1947. Akta Kanak-Kanak 2001 ini juga menjadikan perbuatan aniaya, abai, cuai, buang atau mendedahkan kanak-kanak kepada kemungkinan kecederaan fizikal, mental dan emosi suatu kesalahan. Jika sabit kesalahan boleh dihukum denda maksimum RM20,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya sekali (Seksyen 31).
Akta itu mempunyai lima asas, iaitu menyatukan dan meminda undang-undang yang berhubungan dengan pemeliharaan, perlindungan dan pemulihan kanak-kanak dan untuk mengadakan peruntukan bagi perkara yang berkaitan dan bersangkutan dengannya.
Akta ini mengiktiraf bahawa wawasan negara sebagai negara maju sepenuhnya ialah suatu negara dengan keadilan sosial dan pembangunan moral, etika dan rohani sama pentingnya dengan kemajuan ekonomi dalam mewujudkan masyarakat Malaysia madani yang bersatu padu, progresif, damai, penyayang, adil dan berperikemanusiaan.
Ia juga mengiktiraf bahawa seseorang kanak-kanak bukan saja suatu bahagian penting masyarakat, tetapi juga kunci kehidupan, pembangunan dan kemakmuran masyarakat itu. Dengan akta ini kita mengakui seseorang kanak-kanak, oleh sebab ketidakmatangannya dari segi fizikal, mental dan emosinya, memerlukan perlindungan, pemeliharaan dan bantuan khas, selepas kelahiran untuk membolehkannya turut serta dalam dan menyumbang secara positif ke arah membentuk suatu masyarakat Malaysia madani yang unggul.
Akta itu mengiktiraf bahawa setiap kanak-kanak berhak untuk mendapatkan perlindungan dan bantuan dalam segala hal keadaan tanpa mengira apa-apa jenis perbezaan, seperti ras, warna kulit, jantina, bahasa, agama, asal usul atau kecacatan fizikal, mental atau emosi atau apa-apa status lain.
Bagaimana akta ini memberi perlindungan kepada kanak-kanak?
Akta Kanak-Kanak 2001 diwujudkan untuk seluruh kanak-kanak di Malaysia dan digubal untuk mempertahankan hak mereka. Selain itu, ia bukan hanya untuk menghukum mereka yang bersalah, tetapi mendidik masyarakat mencegah kejadian tidak diingini berlaku terhadap kanak-kanak.
Sebagai ibu bapa sudah tentu mahu yang terbaik untuk anak masing-masing, tetapi kadang-kadang sesuatu berlaku tanpa diduga yang dilihat sebagai pengabaian atau kelalaian pada pihak ibu bapa sendiri. Akta ini turut menyatakan beberapa hak anak yang menjadi tanggungjawab ibu bapa iaitu:
Seksyen 30(1)(a) memperuntukkan mahkamah boleh memerintahkan ibu bapa menyempurnakan suatu bon pemeliharaan dan penjagaan yang betul untuk anak mereka dalam tempoh ditetapkan.
Seksyen 31(1) menyentuh tanggungjawab ibu bapa menjaga kanak-kanak. Ibu bapa boleh dihukum jika gagal menunaikan tanggungjawab mereka terhadap anak yang berada dalam jagaan. Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali. Ibu bapa dianggap cuai jika tidak menyediakan makanan, pakaian, perubatan, perubatan pergigian, tempat tinggal dan jagaan anak yang mencukupi serta menyebabkan kecederaan fizikal dan emosi anak.
Apabila ibu bapa berusaha mengawal anak mereka, tetapi masih gagal, Seksyen 46 menyatakan ibu bapa boleh memohon kepada mahkamah secara bertulis untuk mahkamah menahan anaknya di suatu tempat perlindungan, asrama atau pusat di atas alasan mereka tidak mampu mengawal anak itu.
Seksyen 30(8) dan 40(3) menyebut jika mahkamah membuat perintah untuk ibu bapa menyempurnakan bon mahkamah dengan atau tanpa suriti boleh juga meletakkan syarat tambahan untuk memastikan keselamatan anak terjamin dengan cara ibu bapa dengan diiringi oleh anak hendaklah menghadiri bengkel interaktif di pusat tertentu, jika anak diletakkan di tempat selamat, ibu bapa hendaklah melawatnya seperti ditentukan mahkamah dan jika anak diletakkan di tempat tertentu, maka ibu bapa hendaklah berjumpa dengan guru atau guru besar sekolah untuk berbincang mengenai perkembangan anak mereka sebulan sekali.
Seksyen 88 menyatakan ibu bapa atau penjaga bertanggungjawab hadir ke mahkamah sebelum kes didengar atau ketika prosiding kes membabitkan anak mereka. Kegagalan berbuat demikian jika diperintahkan mahkamah boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau keduanya sekali.
Seksyen 90(11) pula memberi ruang kepada ibu bapa membuat permohonan pengurangan denda (mitigasi) atas hukuman yang dikenakan mahkamah terhadap anak mereka. Ibu bapa atau penjaga boleh merayu kepada mahkamah bagi hukuman yang bakal dijatuhkan itu ringan dan setimpal dengan kesalahan kanak-kanak itu.
Jika mahkamah menjatuhkan hukuman rotan ke atas anak mereka, maka Seksyen 91(1)(g) menyatakan ibu bapa bertanggungjawab hadir ketika anak dirotan. Mereka hendaklah menyaksikan anak mereka ketika dirotan.
Jika seorang kanak-kanak didakwa atas kesalahan yang boleh dihukum dengan denda dan membayar pampasan, kos atau keduanya, Seksyen 94 memperuntukkan mahkamah hendaklah memerintahkan ibu bapa atau penjaga membayar denda, pampasan atau kos atau semuanya, kecuali mahkamah berpuas hati bahawa ibu bapa atau penjaga tidak ada atau tidak ditemui pada masa munasabah dan mereka tidak menyumbang kepada perlakuan kesalahan jenayah itu kerana cuai menjaga anak dengan sempurna.
Apakah yang dimaksudkan dengan kecuaian dan pengabaian?
Kecuaian ataupun pengabaian tidak ditakrifkan secara khusus mengikut akta, tetapi ada dua implikasi yang timbul daripada apa yang boleh kita katakan kecuaian atau pengabaian terhadap kanak-kanak.
Pertama, jika seseorang ibu bapa atau penjaga didapati sudah abai untuk mengadakan pemeliharaan yang mencukupi untuk kanak-kanak maka kanak-kanak itu di bawah Seksyen 17 dikatakan memerlukan perlindungan dan pemeliharaan, maka di dalam keadaan ini pelindung iaitu pegawai kebajikan masyarakat dapat mengambil kanak-kanak berkenaan ke dalam jagaan sementara sehingga mahkamah memutuskan tindakan selanjutnya. Ia memungkinkan pihak berkuasa mengambil alih penjagaan kanak-kanak itu jika mahkamah berpuas hati penjaga tidak berkelayakan untuk menjaga kanak-kanak berkenaan. Jika terbukti mana-mana ibu bapa melakukan pengabaian dan terbukti bersalah ia boleh didenda sehingga RM20,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya. Kategori ini selalunya terpakai dalam kes dengan kanak-kanak terabai hingga tidak mendapat makanan dan minuman serta pendidikan secukupnya.
Kedua, konteks di mana kanak-kanak ditinggalkan tanpa pengawasan yang berpatutan. Seksyen 33 memperuntukkan di mana seseorang ibu bapa atau penjaga yang didapati meninggalkan kanak-kanak tanpa mengadakan persediaan bagi pengawasan yang berpatutan dan selama tempoh tidak berpatutan atau dalam keadaan yang tidak berpatutan mereka dianggap melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya. Kategori inilah yang mungkin diguna pakai bagi kes yang mengakibatkan kejadian tidak diingini seperti kemalangan di rumah dan yang membolehkan kanak-kanak hilang dan sebagainya.
Peruntukan ini sebenarnya bukan untuk menghukum semata-mata, tetapi lebih berbentuk pencegahan, bertujuan memastikan ibu bapa supaya lebih prihatin dengan keadaan semula jadi kanak-kanak yang tidak cukup matang untuk menghadapi keadaan yang mendesak. Bagaimana dengan kes kemalangan membabitkan kanak-kanak seperti ibu bapa tinggalkan anak di rumah dan anaknya jatuh atau kemalangan berlaku ketika anak ke sekolah? Ini adalah soalan dalam dua konteks berbeza.
Pertama - senario kemalangan ketika ketiadaan ibu bapa atau orang dewasa seperti inilah yang ingin kita elakkan dengan adanya peruntukkan Seksyen 33 di atas. Kanak-kanak, disebabkan ketidakmatangannya dari segi fizikal, mental dan emosinya memerlukan pemantauan ibu bapa atau orang dewasa. Oleh itu, kita tidak boleh mengambil mudah dan berserah kepada takdir bahawa anak ditinggalkan di rumah dapat menjaga diri sendiri atau lebih berat lagi, adik yang masih kecil. Di mana kita tidak mampu mengadakan pembantu untuk mengawasi anak, maka bantuan mesti diminta daripada jiran tetangga. Masyarakat sekarang semakin kompleks, tetapi institusi keluarga menjadi semakin nukleus.
Dulu jarang kita dengar kejadian kemalangan di rumah kerana sentiasa ada orang tua di rumah, jika tidak nenek mungkin emak saudara yang menumpang tinggal bersama. Sekarang konsep keluarga luas (extended family) bukanlah suatu yang lazim kita dengar, maka ibu bapa dan apabila terdesak untuk mencari rezeki kedua-duanya sekali akan menghadapi kesukaran dalam mengadakan penjagaan yang sewajarnya untuk anak.
Tetapi dalam kesukaran ini kita tidak boleh mengambil mudah kerana anak disebabkan kematangan mereka yang terhad mungkin terdedah kepada sebarang kemungkinan apabila ditinggalkan seorang diri. Itu perlunya kita menguatkuasakan undang-undang yang ada supaya ibu bapa atau penjaga lebih peka dan prihatin, justeru dapat menghindari tragedi yang kita dengar saban hari.
Konteks kedua � kemalangan berlaku ketika anak ke sekolah. Di dalam hal seperti ini memanglah tidak ada undang-undang yang terbabit melainkan jika berlaku kemalangan kereta dan pemandu yang cuai itu boleh disabitkan. Di dalam konteks yang biasa di mana anak berjalan kaki ke sekolah atau berbasikal lalu berlaku kemalangan. Ini juga dapat dihindari jika anak dididik untuk mementingkan ciri keselamatan.
Contohnya, jika berjalan kaki jangan berjalan seorang diri. Sekurang-kurangnya mesti tiga empat orang. Berjalan pula jangan mengikut jalan pintas yang sunyi, sentiasa gunakan jalan ramai orang. Bila berbasikal, biar ada kawan, tetapi jangan pula bawa bersaing-saing. Jika menaiki bas atau van pula, pastikan pemandu seorang yang bertanggungjawab mengambil anak di depan pagar sekolah dan bukannya di hujung lorong dan menghantar pula di depan rumah dan menunggu hingga anak masuk ke rumah. Ini serba sedikit 'tip' yang boleh dipakai untuk memastikan keselamatan anak terjamin.
Paling penting, sikap ibu bapa mesti meletakkan kebajikan anak sebagai keutamaan. Kadangkala, jika diamati, di dalam 'kesibukan' kita, kita meletakkan 'convenience' atau kesenangan kita terdahulu. Ini patut dielakkan. Definisi kecuaian sehingga ibu bapa boleh dikenakan tindakan di bawah akta kanak-kanak ini? Secara khusus agak sukar kerana peruntukan yang disebut tidak pernah dikenakan di mahkamah jadi garis pengukur tidak dapat dibuat sebagai satu anggaran.
Contohnya, maksud 'penjagaan yang sepatutnya' mengikut undang-undang. Apa itu sebenarnya hanya boleh diselesaikan dan ditentukan di mahkamah apabila ada kes yang dihadapkan, maka mahkamah terpaksa menentukan bahawa sesuatu keadaan itu boleh dikatakan satu pengabaian ataupun tidak.
Bagi pihak berkuasa tindakan sukar diambil kerana ada konflik antara menjalankan tugas dengan simpati dengan apa yang berlaku. Konflik ini menyebabkan hak kanak-kanak dinafikan dan objektif mewujudkan akta ini bagi pemeliharaan, perlindungan dan pemulihan kanak-kanak di negara ini tidak akan tercapai. Bagaimanapun, saya suka memberi senario yang mana boleh dikatakan cuai atau sebaliknya.
Contohnya, adakah ibu bapa meninggalkan anak dalam kereta ketika keluar membeli barang atau tidak memegang tangan anak ketika berjalan dengannya di jalan raya atau ketika membeli-belah juga dikira pengabaian. Bagaimana pula dengan ibu bapa meninggalkan kanak-kanak di rumah seorang diri atau tanpa diawasi orang dewasa begitu juga kes meninggalkan anak dalam rumah dan menguncinya dari luar, adakah ia satu kesalahan, terutama apabila berlaku tragedi seperti kebakaran. Kebiasaannya, apabila timbul kes seperti ini kita sudah lupa kepada kes kecuaian yang dilakukan ibu bapa kerana secara spontan kita menyatakan simpati dan menghulur bantuan. Kita akan mengatakan 'takdir' dan pasrah dengan kehendak Allah sedangkan apa yang berlaku kerana kecuaian ibu bapa menjalankan tanggungjawab mereka.
Persoalannya, sampai bila kita akan terus membiarkan ibu bapa yang cuai ini terlepas begitu saja. Adakah kejam jika kita mendakwa mereka ini? Bagaimana pula nasib anak yang lain apabila ibu bapa mereka didakwa? Kegagalan mengambil tindakan juga bermakna peruntukan undang-undang sedia ada tidak akan dilaksana atau dikuatkuasakan sepenuhnya.
Saya khuatir, jika tidak dikuatkuasakan ibu bapa akan terus mengabaikan kebajikan anak sama ada disedari atau tidak. Saya percaya jika ada yang dikenakan tindakan ini, ia akan menjadi pengajaran kepada semua dan dapat meningkatkan kesedaran mengenai masalah pengabaian anak. Namun, perlu ditegaskan bahawa hukuman saja tidak berkesan jika masyarakat tidak mencegah pemasalahan ini daripada terus berlaku.
Pada masa sama, mahu ditegaskan saya juga kurang setuju jika kita mengenakan tindakan ke atas mereka yang bersedih atas kehilangan anak masing-masing. Kita kena ingat bahawa Akta Kanak-kanak 2001 diwujudkan bukan hanya untuk menghukum mereka yang bersalah, tetapi mendidik masyarakat mencegah kejadian tidak diingini berlaku terhadap kanak-kanak. Saya percaya sebagai ibu bapa sudah tentu mahu yang terbaik untuk anak, tetapi kadang-kadang sesuatu berlaku tanpa diduga yang dilihat sebagai pengabaian atau kelalaian pada pihak ibu bapa sendiri.
Bagaimana dalam kes kehilangan seperti yang berlaku ke atas adik Nurin dan Sharlinie. Bolehkan kita katakan ibu bapa mereka cuai?
Dalam kes kehilangan ini sukar sedikit menentukan sama ada ibu bapa itu cuai atau tidak. Pihak berkuasa perlu meneliti kes sebelum mengambil tindakan lanjut. Dalam Akta Kanak-Kanak 2001 � Seksyen 31 (1) menyatakan mana-mana orang, atau orang yang mempunyai pemeliharaan seseorang kanak-kanak � (a) yang menganiayai, mengabaikan, membuang atau mendedahkan kanak-kanak itu dengan cara yang mungkin akan menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal atau emosi atau yang menyebabkan atau membenarkannya dianiayai, diabaikan, dibuang atau didedahkan sedemikian; atau (b) yang menganiayai dari segi seks kanak-kanak itu atau yang menyebabkan atau membenarkannya dianiayai sedemikian, apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.
Namun, pada saya kita kena lihat latar belakang kes. Contohnya, jika kanak-kanak hilang kerana keluar berseorangan ke pasar malam tanpa pengetahuan ibu bapa, ini tidak boleh dikatakan ibu bapa cuai kerana selama ini ibu bapanya tidak membenarkan anaknya keluar berseorangan. Ia berbeza dengan kes yang mana ibu bapa selalu meninggalkan anak dan tidak mengawasi anak serta membenarkan anak keluar berseorangan, maka mereka boleh dikatakan cuai. Ini yang saya katakan tadi kita kena tengok kepada kes yang menimpa kanak-kanak itu. Setakat ini belum ada tindakan diambil terhadap ibu bapa.
Adakah ini disebabkan tidak ada peruntukan undang-undang atau kelemahan pihak berkuasa?
Akta Kanak-Kanak 2001 adalah menyeluruh, tetapi ia tidak menjamin perlindungan kanak-kanak secara optimum. Seperti saya katakan sukar pihak berkuasa menjalankan tugas, walaupun peruntukan sudah ada. Saya fikir mungkin kita kena juga mengambil tindakan sebagai pengajaran supaya pada masa depan kejadian dan kelalaian yang sama tidak berulang. Saya tahu bagi kes cuai dan abai ini, pihak berkuasa masih teragak-agak mengambil tindakan. Namun, kena ingat undang-undang tidak memilih siapa yang akan dikenakan tindakan. Jika benar ibu bapa cuai, mengabai atau menganiaya, mereka juga patut dikenakan tindakan mengikut undang-undang sedia ada.
Friday, January 25, 2008
Tuntutan pembaharuan sektor binaan
Ketika ini tiada dasar jelas mengenai masa depan belia yang menamatkan latihan di institusi latihan kemahiran awam. Majikan bebas mengambil sesiapa saja sebagai pekerja. Tentu sekali tanpa dasar jelas, pekerja asing yang menjadi pilihan utama kontraktor dan ini memberi gambaran seolah-olah sijil kemahiran yang dimiliki tidak mampu memberi jaminan kepada masa depan mereka. Justeru, usaha menggalakkan kontraktor supaya mengutamakan pekerja tempatan nampaknya gagal untuk mengubah ketagihan mereka daripada menggunakan khidmat pekerja asing. Ia harus diperkukuhkan dengan satu ketetapan yang jelas dan tegas. Seterusnya, prosedur keselamatan di tempat kerja juga harus ditingkatkan. Sering kali sektor binaan dikaitkan dengan suasana kerja yang bahaya. Apa lagi, berdasarkan laporan, pada 2004 saja, binaan adalah sektor ketiga dari segi peratus kematian dan kemalangan di tempat kerja berbanding sektor lain.
Justeru, usaha mewujudkan suasana kerja yang bukan saja selesa, bahkan selamat adalah satu kemestian untuk difikirkan sekiranya imej yang negatif ini ingin dikikis di minda belia. Penguatkuasaan yang tegas dari segi prosedur keselamatan di tapak bina mampu mengubah persepsi negatif ini. Ganjaran setimpal dengan bentuk kerja yang dilakukan bersesuaian dengan taraf mereka sebagai warga negara Malaysia, tentunya mampu mengubah persepsi negatif yang sering bermain di minda mereka dan menjanjikan kerja yang seronok walaupun kadangkala mereka terpaksa melakukan kerja sukar. Tentu sekali tidak wajar untuk disamakan komitmen belia tempatan dengan pekerja asing. Kedatangan pekerja asing ke negara kita semata-mata kerana tuntutan hidup mereka. Kerana itulah mereka sentiasa sanggup melakukan apa saja, walaupun dibayar dengan kadar yang rendah. Berlainan pula dengan belia tempatan, yang mana, mereka harus membina masa depan di tanah air mereka sendiri. Realiti keperluan hidup yang semakin hari semakin kritikal, seperti kediaman, kenderaan serta keinginan untuk hidup berkeluarga memerlukan persediaan yang rapi.
Justeru, ganjaran yang setimpal akan menimbulkan rasa seronok dan ini mendorong mereka untuk memilih sektor binaan ini sebagai sumber pencarian hidup. Ini dilengkapkan lagi dengan menyediakan program untuk menyuntik perasaan bangga dengan pembabitan kerja dalam sektor binaan. Kita berkeyakinan sekiranya langkah ini dimasukkan dalam perancangan jangka panjang dalam usaha mewujudkan tenaga kerja mahir tempatan secara berperingkat seperti yang dirancangkan kerajaan, sindrom 3D yang menjadi persepsi umum belia tempatan mampu diubah menjadi 3S - selesa, selamat dan seronok. Seterusnya, dengan beberapa polisi dan dasar tertentu, kecenderungan kebanyakan majikan untuk terlalu memberi keutamaan kepada pekerja asing turut berubah, walaupun ia berlaku peringkat demi peringkat. Dengan itu, negara bukan saja dapat mengelakkan kehilangan pendapatan berbilion ringgit setahun, tetapi juga mengelakkan berlaku pembaziran sumber tenaga berikutan belia terlatih tempatan tidak dimanfaatkan. Justeru, bagi memastikan belia terlatih lulusan Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA) berada di pasaran pekerjaan, cadangan berikut diharap mampu mengimbangi kebergantungan kepada pekerja asing secara berterusan, iaitu: l Mewujudkan dasar supaya semua majikan dimestikan mengambil pekerja binaan yang memiliki sijil kemahiran dari mana-mana ILKA yang disediakan kerajaan. l Kerajaan hendaklah menubuhkan pusat tenaga kerja mahir tempatan. Semua lulusan ILKA hendaklah didaftarkan sebaik saja menamatkan latihan. Ia berfungsi sebagai bank pekerja mahir tempatan. Majikan yang memerlukan pekerja mesti mendapatkan tenaga kerja di pusat ini sebelum diberi keizinan mengambil pekerja dari sumber lain. Fungsinya sama dengan Pusat Pertukaran Pekerja Asing (CLAB) di bawah Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB). Bezanya, CLAB adalah pusat pertukaran pekerja asing, manakala pusat ini khususnya untuk pertukaran pekerja mahir tempatan lulusan ILKA. l Membuat penyelarasan ke atas semua ILKA yang menyediakan latihan berkaitan sektor binaan supaya fungsinya lebih bersepadu. Jawatankuasa penyelarasan peringkat kebangsaan dibentuk bagi memantau bilangan pekerja mahir yang mampu dilahirkan. Sasaran bilangan pekerja mahir yang perlu di sediakan oleh setiap ILKA haruslah bersesuaian dengan bilangan yang diperlukan negara. Untuk itu kajian berapakah keperluan sebenar tenaga kerja untuk sektor binaan, sekiranya belum ada, wajar dilaksanakan. l Hubungan di antara ILKA dan industri juga harus diperkemaskan bagi memastikan lulusan yang dikeluarkan itu memenuhi kriteria yang diperlukan oleh pihak industri. Pengurusan ILKA harus dari semasa ke semasa menjemput kontraktor untuk membuat penilaian ke atas program yang dilaksanakan. l Kerajaan, melalui CIDB dan Pusat Khidmat Kontraktor (PKK) perlu meletakkan syarat tambahan kepada mana-mana kontraktor yang memperoleh tender kerajaan supaya menyenaraikan pekerja tempatan yang dilatih di ILKA sebelum urusan memberi atau membaharui lesen dibuat. Ini bagi memastikan pelatih merasakan sijil latihan yang diperoleh mempunyai nilai di pasaran pekerjaan. l Wajibkan latihan industri dalam kurikulum pengajaran. Pelatih dikehendaki melalui proses latihan industri sebelum sijil tamat latihan dikeluarkan kepada mereka. Kerajaan hendaklah mengarahkan kontraktor yang melaksanakan projek kerajaan menerima pelatih ini untuk mendapatkan pengalaman. l Bagi menarik belia menceburkan diri dalam industri binaan, pelatih yang menamatkan latihan dengan jayanya dan didapati berkemampuan hendaklah diberi dorongan untuk memperoleh lesen binaan sendiri sebagai satu jalan melahirkan usahawan di sektor binaan. l Sistem pendidikan dalam bidang pembinaan hendaklah dimulakan lebih awal. Pelajar didedahkan dengan prospek dan masa depan dalam industri binaan. Subjek mata pelajaran vokasional yang ditawarkan di sekolah boleh dijadikan landasan dan diperkasakan fungsinya. l Laluan kerjaya perlu dirangka bagi membolehkan pelatih memahami dengan lebih jelas hala tuju mereka sebaik saja menamatkan latihan kemahiran. l Kerajaan hendaklah memberi insentif tertentu kepada kontraktor yang memberi lebih keutamaan kepada tenaga kerja tempatan dalam pelaksanaan projek mereka. l Penghulu dan pemimpin masyarakat seperti Jawatankuasa Kemajuan Kampung (JKK) juga harus berperanan dalam mengumpul data bilangan belia lepasan di lokasi masing-masing. Ini perlu bagi mengelakkan lepasan sekolah ini hilang begitu saja tanpa usaha memberi nilai tambah terutama mereka yang tahap akademik kurang cemerlang. Sektor binaan negara masih mempunyai banyak peluang pekerjaan untuk diisi oleh belia tempatan bagi mengimbangi lambakan pekerja asing dan sekali gus menjimatkan pengaliran wang Malaysia ke luar negara. Perubahan sikap menjadi penentu dan ia mestilah datang dari semua pihak terbabit. Kontraktor juga harus berperanan memikirkan bagaimana mereka boleh membantu menjayakan hasrat kerajaan untuk mengurangkan pekerja asing secara berperingkat. Usaha berterusan harus difikirkan agar kebergantungan kepada tenaga kerja asing ini dapat dikurangkan kalau pun tidak mencapai angka sifar. Jalan keluar bagaimana untuk menarik minat belia ke sektor binaan perlu diteliti lebih mendalam.
Bahaya kemiskinan terhadap kedaulatan negara
Benarlah seperti kata ulama tersohor Sheikh Yusof Al-Qaradawi bahawa kemiskinan mendatangkan bahaya besar seperti membuatkan manusia hilang pertimbangan moral dan mencemari kemurnian hubungan antara anggota keluarga, mengancam keamanan, kesejahteraan dan kestabilan masyarakat, berbahaya terhadap kedaulatan, kebebasan dan kemerdekaan satu bangsa, bahaya terhadap kesihatan orang awam mendapatkan makanan yang berkhasiat, hidup dalam udara yang tercemar, kegundahan dan kemarahan.
Islam memandang keadaan kemiskinan akan menjadikan hidup lebih parah dan akhirnya timbul pelbagai gejala sosial dari sudut akidah, jasmani, pemikiran, keluarga, masyarakat dan seterusnya kepada negara. Ia akan mengundang padah kepada akidah umat Islam sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w maksudnya: “Kemiskinan itu hampir-hampir membawa kepada kekufuran.” (Hadis Riwayat Abu Nu’aim daripada Anas).
Bahkan Rasulullah s.a.w juga memohon perlindungan Allah daripada kejahatan yang dibawa oleh kemiskinan kerana ia akan diiringi dengan kekufuran. Dalam doanya yang berbunyi maksudnya: “Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada kemiskinan dan kekufuran”. (Riwayat Abu Daud).
Namun begitu umat Islam tidak harus menyerahkan kepada takdir semata-mata atau berpeluk tubuh tanpa diiringi dengan usaha yang padu serta bijak dalam mencatur cabaran pada masa kini. Perbuatan tersebut hanya mengundang lebih banyak sifat malas dan mengharapkan bantuan tanpa perlu berusaha semata-mata.
Apabila minda telah dijajah dengan mentaliti bantuan maka ia akan menjerat diri sendiri dan sanggup menggadaikan maruah keluarga dan negara.
Status orang miskin dan berpendapatan rendah merupakan satu hubungan yang berkait rapat dengan status tahap keimanan seseorang yang bertakwa. Oleh itu mereka yang meminggirkan golongan ini menjadi ukuran sikap sebagai seorang yang bakhil dan tidak dianggap mulia di sisi Allah s.w.t.
Oleh sebab itu ajaran Islam telah menitikberatkan konsep mengutamakan bantuan kepada fakir miskin dengan membantu mereka sebagai sebahagian daripada amalan mulia dan dijamin oleh Allah s.w.t dengan pelbagai ganjaran pahala.
Begitu juga Rasulullah s.a.w pernah bersabda daripada Abu Hurairah r.a. maksudnya: “Sedekah tidak akan mengurangkan harta seseorang. Sesiapa yang bersikap pemaaf Allah akan menambahkan kemuliaan baginya. Dan sesiapa yang bersikap tawadhuk kepada Allah maka Allah akan menaikkan darjatnya”. (Sahih Muslim)
Daripada kebanyakan negara yang terbabit menjadi mangsa ke dalam kancah peperangan adalah di kalangan negara dunia ketiga atau kelompok negara miskin.
Persoalannya apakah yang ada pada mereka sehingga terpaksa menjadi mangsa keadaan atau ia dianggap sebahagian daripada ujian Allah s.w.t.? Mengapa pula negara-negara kaya sering menjadi pencetus peperangan dan bersifat penjajah pada zaman moden ini?
Apakah tiada ruang walau sedikit pun untuk menegakkan kedaulatan negara tanpa dijajah?
Adalah mustahil untuk menerima kenyataan bahawa negara-negara terbabit tiada sumber ekonomi di bumi mereka sehingga terpaksa menagih simpati dunia, menjadi korban peperangan, merayu mendapatkan makanan dan bantuan perubatan serta pelbagai reaksi yang memeritkan sepanjang masa.
Akibatnya kadar keciciran dalam pendidikan dan penyakit buta huruf semakin bertambah manakala pergaduhan etnik seakan-akan tiada tanda-tanda penamatnya.
Istilah perdamaian hanya menjadi sebahagian daripada impian dan harapan mereka yang tidak tahu bilakah ia akan muncul. Selagi tanah air bermandikan darah dan kemiskinan terus bermaharajalela maka amat sukar untuk mewujudkan bangsa yang bertamadun apatah lagi untuk menerajui dunia dalam pelbagai lapangan.
Dalam banyak pendekatan membasmi kemiskinan maka strategi melalui peningkatan sumber pendapatan dan mengurangkan bebanan perbelanjaan rakyat dilihat sebagai pendekatan yang sangat relevan.
Soalnya daripada manakah sumber modal boleh memberi bantuan kepada golongan miskin? Apakah dengan menambah kadar subsidi membantu meningkatkan pendapatan isi rumah miskin sehinggakan kadang-kadang ia telah disalahgunakan? Atau dengan memastikan minda mereka dibebaskan menerusi ilmu pengetahuan, mengukuhkan keimanan dan bersatu melahirkan sebuah negara yang aman damai?
Justeru, usaha membasmi kemiskinan sama ada melalui ikrar pemerintah, menyalurkan bantuan atau dasar pemberian subsidi maka yang lebih utama ialah anjakan minda rakyatnya yang mahukan kemajuan.
Tidak kira sama ada golongan kaya atau miskin, kita semua adalah penyumbang dan pemain sebenar dalam memperkasakan modal insan. Membiarkan kemiskinan terus berleluasa samalah seperti membuka pintu kepada penjajah untuk meragut kedaulatan negara.
- RAHISAM RAMLI ialah Pensyarah Fakulti Pengajian Islam, Kolej Teknologi Islam Antarabangsa Melaka (KTIAM).
Thursday, January 24, 2008
Murad mantapkan sistem pendidikan negara
Sebagai pegawai kanan pengurusan tertinggi Kementerian Pelajaran pada masa itu, Murad memainkan peranan cukup berat memastikan kejayaan pelbagai projek dan juga usaha merealisasikan aspirasi pendidikan negara berpandukan Laporan Razak. Antara fokus paling kritikal ialah usaha pemantapan sistem pendidikan dan kurikulum kebangsaan pada era pasca merdeka masih ‘hijau’ tetapi nyata mendapat sepenuh komitmen daripada Murad bersama jentera pentadbirannya. Bagi menangani segala proses pembangunan terbabit dengan berkesan, beliau adalah antara pendukung utama inisiatif menghantar pegawai pendidikan menjalani latihan serta memperoleh pendedahan kemahiran dan kepakaran di luar negara untuk faedah jangka panjang.
Langkah memantapkan pelaksanaan pendidikan menengah turut menjadi misi penting yang secara langsung menuntut pengisian lebih ramai tenaga pengajar terlatih di sekolah berkenaan. Berikutan keperluan itu, maktab perguruan diperbesar dan pengambilan calon guru ditingkatkan. Bukan itu saja, peningkatan keperluan lebih banyak bilik darjah dan sekolah di seluruh negara meliputi kedua-dua kawasan bandar dan luar bandar bagi menampung perkembangan arena pendidikan nasional, membawa kepada kepesatan pembangunan infrastruktur berkaitan. Rakan seangkatan Murad yang juga menyusul sebagai Ketua Pengarah Pelajaran keempat, Tan Sri Dr Abdul Rahman Arshad, ketika dihubungi Berita Harian, semalam, berkata: “Semua agenda itu memerlukan perancangan rapi dan strategi pelaksanaan yang berkesan. Allahyarham bukan saja mencurahkan 100 peratus komitmen, malah memiliki penghayatan serta kecintaan mendalam terhadap tanggungjawab berkenaan.
“Beliau seorang yang cekap, mempunyai visi serta pandai ‘mengambil hati’ kakitangan bawahannya untuk sama-sama bergembleng tenaga, bekerja keras dan berjuang membangunkan bidang pendidikan negara.” Hakikatnya sejak menyertai perkhidmatan pendidikan pada 1957, ketokohan Murad dalam bidang pendidikan terus terserlah. Bermula dengan tugas sebagai guru di Kolej Sultan Abdul Hamid, Jitra, Kedah, beliau kemudian dilantik ke jawatan Pengetua Sekolah Tuanku Abdul Rahman, Ipoh, pada 1960. Pada 1962, Murad mengikuti pengajian Diploma Pendidikan dan Pentadbiran di University of Reading, United Kingdom, di bawah tajaan Skim Kerjasama Teknikal Rancangan Colombo. Apabila kembali, beliau dilantik sebagai Pengarah Pelajaran Pahang dari Ogos 1963 hingga 1964, sebelum menjadi Pengarah Pelajaran Kelantan sehingga 1967. Ketika di Kelantan, Murad melaksanakan usaha pengambilalihan sekolah agama rakyat dan menjadikannya sekolah kebangsaan. Selepas menyandang beberapa jawatan kepemimpinan lain di kementerian itu, beliau menduduki kerusi Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran pada Julai 1972. Empat tahun kemudian, Murad dilantik sebagai Ketua Pengarah Pelajaran ketiga. Sepanjang tempoh perkhidmatannya, keupayaan dan ketokohan Murad cukup terserlah, sekali gus sering diberi kepercayaan untuk memikul pelbagai tugasan berat. Antaranya, beliau mengambil langkah berani melancarkan ‘Operasi Sedar’ untuk mengatasi keciciran murid di luar bandar akibat kemiskinan tegar pada 1969. Hasil kajian itu yang dikenali sebagai ‘Laporan Murad’ disifatkan sebagai pembuka mata yang berjaya mengenal pasti punca serta langkah menangani masalah keciciran murid di luar bandar. Malah, laporan pada 1973 itu turut membawa kepada pelaksanaan Skim Pinjaman Buku Teks mulai 1975 serta projek Amalan Makanan dan Pemakanan (1976), pemberian biasiswa atau dermasiswa dan juga Rancangan Sekolah Bercantum. Selain itu, Murad adalah antara yang bertanggungjawab merangka serta melaksanakan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) pada 1971, di samping terbabit dalam usaha kerajaan menubuhkan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada Mei 1983. Komitmen dan kecintaan Murad terhadap bidang pendidikan negara tidak terbatas dalam tempoh perkhidmatan saja. Selepas bersara pada 10 April 1985, beliau terus berkecimpung secara aktif dengan memegang pelbagai jawatan tertinggi di organisasi awam dan swasta. Antara lain, beliau dilantik sebagai Pengerusi Taylor’s College Sdn Bhd pada 1985, Pengerusi Perbadanan Pembangunan Bandar (1985), Pengerusi Lembaga Penyelidikan dan Pembangunan Perhutanan Malaysia (1985), Pengerusi International College of Music (1995) serta Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Pendidikan Sultan Idris (2000). Pengalaman luas dimiliki menyebabkan Murad sering menjadi pilihan rujukan kerajaan dalam menangani pelbagai isu penting berkaitan pendidikan, termasuk pernah dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Suruhanjaya Diraja Inkuiri Keselamatan Sekolah serta Pengerusi Jawatankuasa Khas bagi mengkaji isu pendidikan Islam dan juga fungsi sekolah agama rakyat. Ketokohan Murad ternyata mendapat pengiktirafan bukan saja di dalam, bahkan di luar negara. Sebagai bukti, beliau menerima Ijazah Doktor Kehormat (Persuratan) daripada University of Reading pada 1990, disusuli Ijazah Doktor Kehormat (Pendidikan) daripada Universiti Sains Malaysia (1992), Universiti Pendidikan Sultan Idris (1999) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (2000). Beliau juga menjadi penerima sulung Anugerah Khas Menteri Pelajaran Untuk Kepemimpinan Pendidikan yang disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, sempena sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2004. Anugerah julung kali itu adalah pengiktirafan tertinggi Kementerian Pelajaran khusus kepada pengurus dan pentadbir pendidikan. Selepas kira-kira 50 tahun mengharungi segala pengalaman pahit manis dunia pendidikan, tokoh cukup disegani ini menghembuskan nafas terakhirnya di Pusat Perubatan Gleneagles Intan, Jalan Ampang, Kuala Lumpur, pada jam 9.15 malam kelmarin. Beliau dimasukkan ke wad sejak dua minggu lalu akibat jangkitan paru-paru. Pemergian beliau pastinya kehilangan besar kepada pendidikan negara.
Ucapan takziah kepada keluarga beliau dan semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat. Al-Fatihah.
Anjakan paradigma ubah generasi baru Felda
Cuti umum bukan penentu naik turun produktiviti
Masih ada banyak perayaan keagamaan yang tidak kurang pentingnya, tetapi ia tidak 'dicutiumumkan' seperti Hari Cap Goh Mei dan Hari Kuih Bulan bagi penganut Buddha; Hari Thaiponggol dan Hari Durga Puja bagi penganut Hindu; Hari Easter bagi penganut Kristian; Hari Vaisaki bagi penganut Sikh; Hari San Padro bagi keturunan Portugis dan pelbagai hari keagamaan etnik di Sabah dan Sarawak. Thaipusam dirayakan pada bulan ‘Thai’ bulan ke-10 dalam kalendar Tamil bagi masyarakat India di seluruh dunia untuk menghormati dewa Hindu, Dewa Murugan atau dikenali Dewa Subramania. Di negara ini, sambutan besar-besaran diraikan lebih 1.86 juta penganut Hindu yang membentuk jumlah 7.5 peratus keseluruhan penduduk dengan tumpuan utama di Kuil Sri Subramaniyar, Batu Caves.
Ia bermula dengan perarakan arca Dewa Murugan dan dua isterinya Dewi Valli serta Devi Theivanai di atas pedati perak setinggi tujuh meter dari Kuil Mahamariaman di Jalan Tun HS Lee, Kuala Lumpur ke Kuil Sri Subramaniyar di Batu Caves. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, isu peruntukan cuti umum berlebihan dikhuatiri boleh menjejaskan daya produktiviti negara, hangat diperdebatkan. Pembahas utamanya ialah Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan Persekutuan Majikan Malaysia (MEF). Tahun lalu, Cuepacs memulakan usul paradok untuk mengkaji semula peruntukan cuti umum yang didakwa semakin banyak sedangkan enam bulan sebelumnya iaitu pada Oktober 2006 menyokong usul menambah satu hari cuti umum selang sehari antara Deepavali dan Aidilfitri. Dengan hujah retorik bagi mengubah pandangan negatif masyarakat terhadap kakitangan awam bukanlah satu jawapan bernas bagi menjawab isu kualiti dalam perkhidmatan awam selama ini. Namun sehingga kini, belum ada bukti saintifik mengesahkan jumlah peruntukan cuti umum ada kaitan dengan kualiti dan produktiviti kerja apatah lagi mengaitkan pendapatan perkapita dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sesebuah negara.
Adalah tidak adil bagi membuat perbandingan dengan Singapura yang mempunyai 11 hari cuti umum iaitu kurang tiga hari dari Malaysia, tetapi mempunyai pendapatan perkapita rakyatnya pada 2005 iaitu kira-kira AS$28,000 setahun berbanding rakyat Malaysia, hanya AS$5,000. Di Asia, Korea Selatan, Hong Kong, Jepun dan Taiwan masing-masing mempunyai 15, 17, 19 dan 22 hari cuti umum setahun, namun masih menjadi kuasa ekonomi dan industri.
Di negara maju seperti Perancis dan Jerman memberikan 14 dan 16 hari cuti umum setahun, tetapi status kemajuan mereka tidak terjejas. Masalah sebenar cuti umum di Malaysia bukanlah berpunca kadar peruntukan cuti umum, tetapi kerana tarikh cuti umum yang berubah dan cuti tambahan yang diperlukan bagi selang masa satu hari antara dua hari cuti umum atau antara satu hari cuti umum dan satu hari cuti am.
Bagi cuti umum bersifat keagamaan, masing-masing menggunakan kalendar agama sendiri sama ada kalendar Islam, Cina atau Hindu kecuali Krismas yang menggunakan takwim kalendar Gregorian sama seperti cuti umum bagi Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong, Sultan dan Raja, Hari Tahun Baru, Hari Pekerja, Hari Kebangsaan dan Hari Wilayah Persekutuan. Contohnya pertindihan cuti Hari Pekerja dan Hari Wesak tahun lalu tentunya tidak begitu serius hingga mengehadkan satu hari cuti umum jika berlaku pertindihan antara dua hari cuti perayaan terbesar. Maka cadangan mengehadkannya dua hari cuti umum yang bertindih menjadi satu hari adalah tidak konsisten yang akan menjejaskan matlamat kerajaan membina satu bangsa Malaysia yang terdiri daripada masyarakat majmuk yang berkongsi perayaan melalui konsep ‘Rumah Terbuka’. Sekiranya masih ada usaha untuk mengkaji semula peruntukan cuti tahunan, maka Hari Wilayah Persekutuan, Hari Pekerja dan Hari Tahun Baru mungkin wajar dipertimbangkan. Hari Wilayah Persekutuan adalah hari cuti umum yang baru diwartakan, namun sebagai mewakili imej ibu negara dan Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan serta sebagai pusat bandar, pusat perdagangan dan perindustrian maka cuti rehat itu sedikit mencalarkan dari sudut produktiviti, malah hanya Malaysia mempunyai Hari Wilayah di dunia. Hari Pekerja pada 1 Mei tidak memberikan gambaran tepat mengenai pergerakan perjuangan kaum buruh di Malaysia. Kerajaan Malaysia yang prihatin sehingga kemuncaknya kakitangan perkhidmatan awam hanya bekerja lima hari seminggu tentunya tidak sesukar perjuangan buruh di luar negara untuk menganjurkan mogok, piket, demonstrasi dan rusuhan kesan pertentangan kelas sosial serta krisis industri antara pekerja dan majikan. Mungkin Hari Pekerja boleh diraikan seperti di Jepun hanya sebagai hari penghargaan istimewa tanpa bercuti umum seperti Hari Guru, Hari Wanita, Hari Ibu, Hari Bapa dan Hari Seniman iaitu hari peringatan terbaru diumumkan kerajaan. Sementara Cuti Tahun Baru (setiap 1 Januari) yang lebih kebaratan dan menyumbang kepada masalah sosial tentunya menjejaskan kualiti modal insan sebagai entiti asas dalam pembentukan masyarakat dan sumber manusia dalam industri. Cukup sekadar Cuti Tahun Baru Cina dan Awal Muharam yang bersifat keagamaan tentunya hari cuti umum lebih bermanfaat dan bermakna untuk diraikan. Penulis ialah Perunding Pembangunan Sumber Manusia.
Sunday, January 20, 2008
Mahathir dihormati di gelanggang lawan
Untuk kesekian kalinya, nama bekas Perdana Menteri keempat, Tun Dr. Mahathir Mohamad dikaitkan dengan kontroversi yang hampir menumbangkan badan kehakiman negara.
Tindakan pantas kerajaan menangani isu klip video itu melegakan banyak pihak. Apabila Suruhanjaya Siasatan Diraja dibentuk, ramai yang tidak sabar melihat siapakah orang kenamaan akan dipanggil menjadi saksi.
Tiba 14 Januari 2008, hari pertama prosiding siasatan suruhanjaya yang berlangsung di bilik Mahkamah Tinggi, Aras 3, Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Jalan Duta, orang medialah yang paling sibuk.
Begitu juga dengan ahli-ahli Badan Peguam Malaysia, malah Presiden Majlis Peguam, Ambiga Sreenevasan turun padang membuat persiapan membantu siasatan suruhanjaya itu.
Kelibat orang awam yang mahu berbaris untuk mengambil pas mengikuti prosiding itu, boleh dibilang dengan jari, rata-rata yang memegang pas orang awam terdiri daripada peguam.
Apabila tersiar nama 16 saksi, ruang legar mahkamah itu mula dibanjiri pelbagai bentuk dan rupa orang kebanyakan yang mahu mendengar keterangan saksi VIP.
Dr. Mahathir, Anwar Ibrahim, Tengku Adnan Tengku Mansor, Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim, Mohd. Eusoff Chin dan Datuk V.K. Lingam mencuri perhatian awam mendengar prosiding itu.
Masuk hari ketiga, nama Dr. Mahathir disebut-sebut sebagai saksi dan barisan orang awam semakin panjang tapi sayangnya pas yang dibekalkan amat terhad dan ramai yang hampa.
Malangnya, bukan orang awam saja yang pulang dengan kehampaan, malah petugas media dan anak lelaki Dr. Mahathir juga hampa kerana orang yang ditunggu-tunggu tidak muncul.
Pada hari keempat, setelah disahkan Dr. Mahathir hadir memberi keterangan, sebelum subuh, ruang legar bilik prosiding dibanjiri, kali ini, barisan orang awam mengatasi barisan wakil media.
Menjangkakan keadaan itu, urusetia suruhanjaya mengatur tempat duduk di galeri awam; kalau hari sebelumnya, bangku panjang diduduki empat orang, hari itu lima orang duduk berhimpit-himpit.
Malah, mereka yang berbadan besar dan gemuk diatur kedudukannya di kerusi-kerusi berasingan yang diletakkan di sebelah bangku panjang supaya tidak mengganggu orang lain.
Apabila prosiding bermula dan nama Dr. Mahathir disebut sebagai saksi pertama pada hari itu, suasana menjadi hening. Ketika beliau muncul, tunduk hormat dan melemparkan senyumannya, suasana bertambah hening.
Barisan peguam dan orang awam duduk dengan tertib dan tidak berbual-bual sesama mereka untuk kali pertama sepanjang empat hari prosiding berlangsung.
Malah, cara peguam bertanya soalan juga amat berbeza dengan hari sebelumnya malah lebih bersopan malah ada peguam yang dilihat gugup ketika menyusun soalan kepada Dr. Mahathir.
Dr. Mahathir yang kelihatan agak lemah, menjawab soalan-soalan dengan tenang tanpa ‘‘kesinisan’’ yang menjadi trademark beliau.
Walaupun peguam nampak tidak berpuashati dengan jawapan yang diberikan, mereka tidak menyoalnya semula bertubi-tubi seperti yang dilakukan ke atas saksi-saksi sebelum ini.
Walaupun Dr. Mahathir menyatakan kesediaan menjawab soalan walaupun tidak relevan atau terkeluar dari topik Suruhanjaya Siasatan Diraja, peguam-peguam mengambil masa 90 minit sahaja untuk menyoalnya hampir 80 soalan kepada Dr. Mahathir.
Seorang peguam pemerhati berkata, beliau tidak hairan dengan keadaan para peguam yang takut-takut untuk menyoal Dr. Mahathir kerana itulah Dr. Mahathir yang dikenalinya.
‘‘Mereka semua akan terima saja apa kata-katanya tanpa banyak soal. Itulah Dr. Mahathir, beliau dihormati walaupun di gelanggang lawan,’’ katanya.
Jangan gigi tergigit lidah berkali-kali
Demikianlah yang berlaku apabila sebilangan wartawan Indonesia menyiarkan pelbagai kritik terhadap Malaysia, terutama berkaitan para pekerja Indonesia di Malaysia. Juga mengenai lagu Rasa Sayang dan perusahaan batik.
Secara kebetulan baru-baru ini semasa lawatan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono dan rombongannya, wartawan Malaysia dan Indonesia – Tan Sri Samad Ismail dan Bapak Rosihan Anwar menerima anugerah Tokoh Wartawan Dunia Melayu-Indonesia.
Kedua-duanya berumur lebih 83 tahun dan telah mengalami segala yang berlaku di antara kedua-dua negara. Namun, kedua-duanya memelihara hubungan akrab walaupun berlaku, antara lainnya, konfrontasi.
Satu contoh ialah makalah khas Bapak Rosihan dalam akhbar Kompas, Jakarta pada Sabtu 12 Ogos 1987 bertajuk Selamat Haji Samad.
Berikut sedutan darinya:
‘‘Haji Samad seorang wartawan terkemuka, cendekiawan dengan fikiran kritis, nasionalis sejati, pejuang bangsa Malaysia dan kesusasteraan Melayu, penulis kreatif, pendiri beberapa perhimpunan pengarang dan parti politik. Di atas segala-galanya, beliau seorang Melayu yang perjuangan kompleksnya tidak dapat dilupakan dalam sejarah perkembangan intelektual negeri.
Selain wartawan, dia juga sasterawan, banyak menulis cerita pendek (cerpen) di zaman pendudukan Jepang dalam majalah Semangat Asia (1943). Tahun 1950 ia salah seorang pendiri Angkatan Sasterawan 50 (Asas 50), yang salah satu tujuannya berbunyi. “mengadakan pembaharuan dalam sastera dengan tidak membunuh yang lama.”
Samad sejak masa muda menjadi langganan penjara. Sehabis Perang Dunia ke-2, tahun 1945, dia dipenjara oleh Inggeris selama enam bulan, kerana dituduh sebagai kolaborator Jepang. Memang ia wartawan Berita Malai tahun 1943, tapi bukan antik Jepang.
Pada tahun 1951-53 Samad ditahan lagi di penjara St. John Island bersama Devan Nair (yang tahun 1981 menjadi Presiden Republik Singapura).
Menawarkan
Tahun 1958 ia pindah ke Kuala Lumpur dan menjadi pemimpin redaksi Berita Harian dari kelompok Straits Times. Samad teman baik Adam Malik dan kerana itu pada pertengahan tahun 1950-an, saya biasa melihat dia berjalan-jalan di depan kantor Antara di Jakarta.
Saya bertemu lagi dengan Samad di Kuala Lumpur tahun 1967 dan waktu itu dia menawarkan kepada saya untuk menjadi koresponden Berita Harian. “Tulis apa saja, Mad?” dan dia menjawab: “Ya, tulis tentang bintang filem dan wayanglah.”
Jelas, dia mahu membantu saya, kerana saya waktu itu wartawan freelance. Seperti juga pada tahun 1976, setelah saya kehilangan harian Pedoman, dia minta saya menjadi koresponden New Straits Times.
Pada tanggal 22 Jun 1997, tidak lama setelah menghadiri sebuah konferansi para wartawan ASEAN di Jakarta, Samad managing editor New Straits Times, ditahan di bawah kuasa Internal Security Act dan mendekam lima tahun dalam penjara.
Setelah Samad dibebas dari tahanan oleh pemerintah PM Mahathir, beliau diundang menjabat (menjawat jawatan) sebagai penasihat editorial kelompok New Straits Times. Posisi itu masih dipegangnya sekarang. Dia telah dibersihkan dari semua tuduhan yang dilancarkan terhadap dirinya selama dalam tahanan.
Dia juga aktif dalam persiapan mendirikan stesen television swasta TV3 yang ternyata siarannya mendapat sambutan bagus tidak saja di Malaysia, tetapi juga di Medan dan Sumatera Utara umumnya,” demikian sedutan dari makalah Rosihan mengenai Samad kira-kira 20 tahun lalu. Ia menjelaskan hubungan akrab antara dua wartawan ulung Malaysia dan Indonesia. Tawaran kerja dibuat dengan ikhlas bila berlaku hal.
Rosihan juga menulis buku berjudul Sebelum Prahara: Pergolakan politik Indonesia 1961-1965, iaitu hingga berlaku peristiwa 30 September 1965 yang kemudian membawa kepada kejatuhan Parti Komunis Indonesia.
Antara lain disebut sambil lalu mengenai “wartawan melarat” dan “pelacuran jurnalistik.”
Sebuah makalah lain di Indonesia menyebut mengenai tebar pesona (spreading out charm) dan perlunya tebar karya nyata.
Ia juga perlu bagi para wartawan Malaysia dan Indonesia demi memelihara hubungan yang berasal dari satu rumpun dan tidaklah gigi tergigit lidah hingga berkali-kali.
* Penulis ialah konsultan kanan ISIS Malaysia. Pandangan penulis adalah pendapat peribadi dan tidak ada kena-mengena dengan ISIS.
Tuesday, January 15, 2008
Program realiti mesti sesuai dengan budaya tempatan
Sungguhpun konsep program realiti telah wujud lebih awal tetapi ia tidak begitu popular dan mungkin masyarakat Malaysia ketika itu masih belum bersedia untuk menerima pakai konsep sedemikian.
Mungkin juga kerana gabungan kemajuan dalam teknologi komunikasi hari ini telah banyak mengubah gaya hidup dengan manfaatkan kemudahan yang boleh dikatakan tidak wujud sebelum ini.
Cara tontonan juga telah banyak berubah. Penonton bukan hanya mahu menonton tetapi terlibat sama dengan sesuatu program secara tidak langsung. Ia tidak lagi seperti gelagat tontonan dua atau tiga dekad yang lalu.
Antara program realiti yang paling mendapat tempat di Malaysia ialah program pertandingan nyanyian.
Format lama pertandingan nyanyian menemui sentuhan baru apabila ia disepadukan dengan format realiti dan diadun bersama kehidupan peserta yang bertanding.
Kuasa penonton juga dilibatkan dengan memperkenalkan undian melalui sistem khidmat pesanan ringkas (SMS). Sifat yang ada pada SMS telah menjadikannya sebagai pilihan komunikasi yang pantas dan mudah. Kuasa yang ada pada SMS telah digunakan bagi menyokong format program realiti yang sebegini.
Pendekatan format realiti sudah menjadi suatu kemestian di semua stesen televisyen di dalam mahupun luar negara pada masa ini. Bentuk rancangannya yang bersahaja dan tidak terikat membuatkan khalayak penonton tertanya-tanya untuk mengetahui jawapan kesudahan cerita berkenaan. Ia dapat menggalakkan khalayak penonton berfikir dan seterusnya mengajak penonton menyelami konflik yang wujud dalam sesuatu cerita itu melalui watak yang diwujudkan.
Tidak hanya tertumpu pada program hiburan sahaja tetapi program lain juga turut terpanggil untuk mengambil langkah serupa. Program-program berbentuk kebajikan dan khidmat masyarakat juga menggunakan pendekatan tersebut bagi menimbulkan variasi tontonan.
Tidak ketinggalan program Akademi al-Quran yang berbentuk pendidikan dalam usaha untuk melahirkan qari dan qariah terbaik di seluruh negara. Ini satu usaha yang harus diberikan pujian. Sesungguhnya tidak menjadi suatu kesalahan mutlak untuk menerbitkan program realiti, asalkan ia sesuai dengan kehendak budaya masyarakat setempat dan tidak melanggar batasan syariat serta memberi nilai dan manfaat terhadap pertumbuhan jiwa yang sihat dan kualiti hidup yang mantap.
Ternyata peranan yang dimainkan oleh media massa sangat penting dalam kehidupan seharian manusia. Media bukan sahaja setakat menghibur, tetapi juga menyediakan masyarakat dengan aliran maklumat yang terpenting seperti sistem politik, institusi ekonomi, paparan isu semasa, gaya hidup dan lain-lain.
Oleh sebab masyarakat masa kini sangat bergantung kepada media, maka sepatutnya media dijadikan objek penelitian serius dalam membicarakan sumbangannya ke arah kebaikan. Adalah menjadi tanggungjawab semua pihak untuk memastikan golongan masyarakat mendapat manfaat terhadap sesuatu program realiti. Jadikanlah segala teguran dan nasihat yang diterima pada hari ini untuk menjadikan kita lebih baik pada hari esok.
Apa yang pasti, program realiti ini adalah penting dalam mewarnai industri penyiaran tanah air. Tidak akan berkembang sesuatu industri itu jika ia takut untuk melakukan perubahan yang bersesuaian dengan cita rasa semasa. Tetapi haruslah memastikan ia berada di landasan yang betul agar tidak mengundang permasalahan. Tidak kira apa pun bentuk program yang difikirkan perlu oleh stesen-stesen televisyen tempatan, kajian yang menyeluruh perlu dilakukan bagi mengimbangi sumbangan ke arah kebaikan sebelum ia dipaparkan di mata umum.
Ini disokong dengan pendapat bahawa karya kreatif tidak akan bertambah nilai kreatifnya sekira terdapat penyekatan yang mengehadkannya. Asalkan ia dapat disesuaikan dengan masyarakat setempat, mesej yang jelas, harmoni dan tidak keterlaluan iaitu masih lagi sensitif terhadap isu sekeliling tanpa kekeliruan. Ini sudah cukup untuk melengkapkan pakej yang bernama industri penyiaran.
Pendidikan awal anak hadhari
Ibu bapa juga berkewajipan mendidik, membimbing dan memastikan anak-anak mendapat pendidikan yang sempurna dan berterusan.
Namun begitu, dalam dunia moden dan serba global ini menjadikan ibu bapa semakin kekurangan masa kerana sibuk dengan pelbagai komitmen lain, yang menjadikan amanah pendidikan anak-anak terpaksa dikongsi bersama para guru di sekolah atau pusat jagaan.
Oleh demikian, pendidikan kanak-kanak masa kini lebih bersifat dua hala iaitu di rumah dan di sekolah. Manakala bagi kanak-kanak kecil seperti bayi dan yang berumur bawah enam tahun, maka pusat jagaan, taska, taski, pusat transit dan sebagainya menjadi rumah kedua mereka.
Keadaan ini mewujudkan integrasi rumah dan institusi pendidikan sebagai teras dalam pembinaan watak, personaliti, mentaliti dan fizikal anak-anak sejak kecil sehinggalah mereka menjejakkan kaki ke menara gading.
Hakikatnya pengukuhan serta pemantapan pendidikan awal kanak-kanak perlu diberikan keutamaan dan langkah kerajaan negeri Terengganu menganjurkan Tadika Hadhari yang ditubuhkan di seluruh negeri tersebut adalah langkah bijak ke arah memperkasa usaha melahirkan generasi baru yang berilmu dan hebat sejak di usia kecil lagi.
Kecemerlangan terbesar model Tadika Hadhari berkenaan ialah berjaya melahirkan generasi baru modal insan cilik yang mampu menghafaz muqaddam iaitu sebanyak 23 surah lazim seawal usia tiga hingga empat tahun sahaja. Keistimewaan dan kebolehan ini adalah sesuatu yang agak mustahil suatu ketika dahulu dan kini kita telah berjaya merealisasikannya.
Ini adalah kerana asas dan pendidikan al-Quran sewajarnya didedah, diterap dan ditanam seawal mungkin di dalam sistem pendidikan awal kanak-kanak memandangkan melalui medium al-Quran, mereka dapat berkomunikasi dan berinteraksi secara langsung dengan korpus sains, sosial, ekonomi dan teknologi melihat kepada ayat dan petunjuk yang terkandung di dalamnya.
Program seperti ini juga adalah inisiatif terancang untuk melahirkan generasi ulul albab yang bersifat quranik, eksiklopedik dan ijtihadik yang membawa kepada pembinaan sebuah masyarakat yang berilmu, inovatif dan kreatif yang merupakan komponen utama barisan warga berfikiran kritis, terbuka dan minda kelas pertama.
Melihat kepada kejayaan dan penghijrahan minda ini, maka adalah amat wajar sekiranya program Taska Hadhari ini diperluaskan ke negeri-negeri lain agar manfaat, keunikan dan keistimewaan program ini turut dinikmati oleh kanak-kanak lain serta dapat dikembangkan lagi kepada masyarakat dengan inisiatif, pembaharuan dan kehendak negeri masing-masing.
Menjiwai nasionalisme Tun Razak
Jasanya menyediakan tapak pembentukan sebuah bangsa Malaysia tetap sentiasa diingati walaupun hayat kepimpinannya bertahan enam tahun sahaja bermula dari 1970. Sudah ditakdirkan Tuhan, beliau pergi sebelum sempat melihat hasil usaha pembinaan semula masyarakat dan ekonomi yang mula dipeloporinya.
Belajar daripada peristiwa berdarah 13 Mei 1969, beliau bersama kepimpinannya yakin bahawa semangat nasionalisme kepada sebuah negara bangsa bernama Malaysia mestilah berteraskan sistem nilai tempatan.
Ini sebagai syarat penting bagi mewujudkan sebuah bangsa Malaysia berbilang kaum yang bersatu padu berkongsi fahaman dan cara hidup yang sama.
Gelaran Bapa Pembangunan bukan sekadar menghargai jasa Tun Razak dalam pembangunan ekonomi malah turut melangkaui pembangunan sosial. Langkah pertama yang dilakukan oleh ‘jurutera’ sosial ini ialah menjadikan Rukun Negara sebagai ejen sosialisasi pembentukan semangat bangsa Malaysia seawal peringkat bangku sekolah lagi.
Ini disusuli dengan dasar-dasar kebangsaan berkaitan bahasa, pendidikan dan kebudayaan. Tujuannya tidak lain tidak bukan mahu melihat bangsa yang progresif, maju dan dalam masa yang sama memiliki jati diri dan identiti nasional tersendiri.
Dalam perkembangan politik tanah air, terbinanya Barisan Nasional (BN) adalah bukti pemikiran jauh beliau mahu merapatkan lagi interaksi kaum melalui medium politik.
Turut memberi impak yang bukan sedikit ialah pembinaan semula ekonomi mega menerusi Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan rancangan Felda. Sungguhpun, sasaran 30 peratus dalam DEB gagal diraih kerana ketirisan di tangan sebahagian pihak pelaksana dasar tetapi secara umumnya bangsa Melayu telah mengalami peningkatan mobiliti sosial yang besar dalam tempoh singkat. Bilangan golongan kelas menengah Melayu bertambah.
Oleh itu, tentulah mengecewakan jika ada kalangan golongan korporat dan profesional Melayu hari ini menafikan peranan dasar tersebut. Pendirian ahli perniagaan bumiputera terkaya, Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary yang telah dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hijrah 1429 wajar dicontohi.
Beliau model korporat Melayu yang tetap mengenang budi apabila mengakui dirinya adalah ‘anak’ kelahiran DEB melalui bantuan Mara dan UDA.
Hakikatnya, segala sumbangan bakti Tun Razak yang berjiwa nasionalis ini menuntut setiap daripada kita melakukan muhasabah diri. Sejauh mana kita benar-benar ikhlas meneruskan kesungguhan pelaksanaan Dasar Bahasa Kebangsaan, Dasar Pendidikan Kebangsaan serta Dasar Kebudayaan Kebangsaan?
Adakah wajar dasar-dasar kebangsaan tersebut sewenang-wenangnya dibiar tewas dalam landaan pengaruh liberalisasi dan globalisasi?
Legasi yang ditinggalkan Tun Razak dalam hal berkaitan pengukuhan negara bangsa sentiasa relevan dan mesti dijiwai oleh pemimpin dan rakyat Malaysia.
Ajar anak berjimat
Rungutan ini lebih selalu kedengaran dalam kalangan kanak-kanak yang tinggal di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur. Jika RM2 sehari diberikan kepada setiap anak-anak ini, ia mungkin sekadar habis untuk membeli makanan di kantin sekolah pada waktu rehat. Itu tidak termasuk bayaran untuk tambang bas awam bagi kanak-kanak yang tidak menaiki bas sekolah.
Pada zaman serba canggih dengan teknologi maklumat ini, ramai kanak-kanak yang memerlukan duit tambahan membayar perkhidmatan melayari Internet di kafe siber.
Diakui bahawa pada zaman sekarang tidak seperti 20 atau 30 tahun lepas, semua harga barangan atau perkhidmatan telah berlipat kali ganda lebih tinggi. Kalau dahulu, kantin sekolah menjual sepinggan nasi lemak pada harga sekadar 20 sen hingga 50 sen dan kadang-kadang dengan harga tersebut turut disertakan dengan sekeping telur goreng atau kuih.
Hari ini, jangankan telur, timun dan ikan bilis pun tidak disajikan bersama dalam sepinggan nasi lemak kosong berharga RM 1.50 di sesetengah kantin sekolah! Kalau dahulu, tambang bas untuk kanak-kanak mungkin sekadar 10 sen hingga 50 sen, di mana mereka diberi diskaun khas kerana masih bersekolah. Sekarang ada syarikat bas yang tidak membezakan harga penumpang sama ada orang awam atau kanak-kanak sekolah, semuanya sama rata.
Begitu juga harga sebuah buku latihan yang dijual di sekolah yang harganya lebih daripada RM1 berbanding 25 sen hingga 40 sen dijual pada sedekad yang lalu. Ada sekolah yang menjual pada harga yang agak tinggi, hanya kerana buku latihan tersebut mempunyai cap sekolah atau cap Pejabat Pendidikan Daerah masing-masing.
Ini adalah contoh yang sejajar dengan perkembangan taraf sosioekonomi masyarakat Malaysia yang semakin meningkat dan ‘kuasa beli’ yang semakin besar dimiliki oleh segenap anggota masyarakat. Hal ini tidak dapat disekat, bahkan tidak boleh dinafikan akan hak pihak-pihak terbabit untuk menetapkan harga perkhidmatan atau produk yang disediakan.
Mereka juga berhadapan dengan kenaikan harga bahan mentah, kos sewa, kos perkhidmatan, dan cukai yang juga semakin meningkat saban hari. Cumanya, apa yang perlu kita fikirkan adalah untuk membantu anak-anak dalam masalah ‘duit belanja sekolah’ yang semakin menjerat dan tidak mencukupi sebegini?
Anak-anak tidak seharusnya dibebankan dengan masalah sebegini kerana mereka perlu fokus kepada usaha mentelaah pelajaran di sekolah dan seterusnya mendapatkan keputusan peperiksaan yang bagus.
Bagi ibu bapa yang berpendapatan tinggi, tuntutan anak-anak terhadap tambahan wang saku sehari-harian bukanlah masalah besar, bahkan elaun saku untuk tempoh setahun pun mereka boleh berikan dalam satu-satu masa tanpa berfikir panjang.
Namun, bagi ibu bapa yang berpendapatan sederhana dan rendah, ditambah lagi golongan yang memiliki anak yang ramai dan bersekolah, tuntutan wang saku tambahan oleh anak-anak ini benar-benar meletakkan mereka dalam dilema.
Sebenarnya, ada banyak kaedah yang boleh dipraktikkan oleh ibu bapa dalam mendepani permasalahan sebegini. Ibu bapa perlu mewujudkan situasi ‘menang-menang’, di mana mereka masih dapat memenuhi tuntutan perbelanjaan bulanan mereka dan memenuhi keperluan anak-anak.
Antaranya adalah mengajar anak-anak untuk faham dan mengamalkan budaya berjimat cermat dan tidak bermewah-mewah. Anak-anak perlu dididik supaya tidak terikut-ikut gaya berbelanja besar oleh rakan-rakan yang berada dan seakan-akan mampu memiliki ‘seisi dunia’.
Ada sesetengah ibu bapa yang mengamalkan kaedah di mana anak-anak turut diberitahu tentang jumlah pendapatan ibu bapa dan perbelanjaan bulanan seisi rumah yang perlu dilangsaikan. Misalnya memberitahu anak-anak agihan wang untuk makanan, bayaran bil-bil air, elektrik dan telefon, bayaran sewa rumah dan kereta, sehinggalah kepada agihan untuk tabungan kecemasan keluarga.
Dengan cara ini, baru anak-anak faham hakikat bahawa ibu bapa tidaklah sebenarnya lokek untuk memberikan mereka duit saku tambahan, tetapi ada keperluan kewangan yang lebih penting pada aspek-aspek yang lain.
Perbelanjaan
Anak-anak perlu dilatih untuk mengetahui ‘aliran tunai’ duit perbelanjaan mereka. Caranya mudah iaitu dengan mengajar mereka untuk mempunyai ‘buku akaun’ sendiri yang mencatatkan berapa banyak duit yang mereka terima dan berapa banyak pula duit yang mereka belanjakan sehari-harian.
Dengan cara ini, anak-anak faham jika duit keluar itu lebih banyak daripada duit masuk, ini menunjukkan bahawa mereka mungkin perlu menyingkirkan apa-apa pembelian barangan yang tidak patut dan merugikan.
Kaedah ini juga melatih anak-anak supaya jangan ‘muflis’ yang bermaksud bahawa mereka perlu ada wang simpanan untuk tujuan kecemasan dan keperluan terdesak pada masa hadapan.
Seterusnya, anak-anak boleh dididik dengan konsep ‘sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit.’ Ini adalah sesuai bagi anak-anak yang mungkin mahukan sesuatu seperti membeli basikal, buku rujukan, atau pergi ke kafe siber untuk melayari Internet, di mana mereka perlu menyimpan duit secukupnya hasil lebihan duit saku sehari-harian untuk memiliki apa yang dihajatinya.
Konsep ini juga selaras dengan amalan menabung sama ada menyimpan duit dalam tabung di rumah, atau dalam institusi perbankan atau institusi amanah saham yang ternyata lebih selamat. Lebih-lebih lagi sejak tahun 2004, Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) telah diwujudkan bagi menggalakkan tabungan untuk pembiayaan pengajian anak-anak di menara gading merupakan platform terbaik untuk anak-anak membuat tabungan.
Anak-anak sebaiknya dibiasakan untuk membawa bekal makanan sendiri dari rumah yang lebih terjamin kebersihan dan keseimbangan gizi dan khasiatnya. Dalam hal menggunakan buku-buku latihan, wajar mereka diasuh untuk menggunakan semula buku-buku latihan lama yang masih boleh digunakan agar ia tidak dibuang dengan sia-sia.
Selain itu, ibu bapa perlu mendidik anak-anak akan ajaran agama yang melarang seseorang untuk membazir, kerana membazir itu adalah amalan kesukaan syaitan. Apabila anak-anak dapat diasuh mentaliti dan tindakan mereka untuk berjimat cermat dan menghargai setiap sen yang dimiliki, maka diyakini bahawa mereka dapat membentuk peribadi berhemah dalam berbelanja dan mengusir jauh akan tabiat boros dan ‘biar papa, asal bergaya’.
* KHAIRUNNEEZAM MOHD. NOOR ialah Pensyarah Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan,
Universiti Sains Islam Malaysia.
Hijrah mahasiswa memimpin perubahan
Sentiasalah berdamping dengan ilmuan. Utamakan membaca buku karya ulama, pakar dan tokoh. Setiap detik, setiap saat dimanfaatkan untuk ilmu. Inilah azam kita yang perlu diperbaharui setiap hari dengan harapan hari ini lebih baik daripada semalam. Sebagai mahasiswa, mereka perlu sedar dan insaf akan peranan dan tanggungjawab. Kitalah harapan ibu bapa, guru, universiti, pemimpin negara, ulama, rakyat dan umat keseluruhannya. Bagaimana dengan penguasaan ilmu? Bagaimana pula dengan iman dan takwa kepada Allah? Tiada lain yang perlu lakukan melainkan hijrah. Jika bukan hijrah, apa lagi? Jika bukan sekarang bila? Jika bukan di universiti ini di mana lagi? Jika bukan kita siapa?
Beberapa perkara penting perlu difikirkan mahasiswa ketika bermuhasabah antaranya:
Keutamaan ilmu Kita perlu bijak dan memberi keutamaan kepada penguasaan ilmu. Masa depan yang lebih mencabar menuntut kita untuk lebih peka dan memberi penekanan dalam menguasai ilmu tertentu. Maka perlu kita bermuhasabah setakat manakah penguasaan terhadap ilmu al-Quran. Apakah kita sudah mencuba sedaya upaya untuk memahami isi kandungan al-Quran? Apakah kita sering membuka kitab tafsir dan terjemahan al-Quran?
Bagaimana pula dengan ilmu hadis? Apakah kita sudah menguasai dengan mantap bahasa Melayu, bahasa Arab, bahasa Inggeris dan lain-lain? Bagaimana pula penguasaan kita terhadap ilmu sains dan teknologi?
Pengurusan masa Mahasiswa yang bijak tentunya pandai menguruskan masa dengan sebaik mungkin. Amat malang bagi mahasiswa yang tidak pandai menguruskan masa bahkan membazirkan masa kepada perkara yang tidak bermanfaat. Sewajarnya kita insaf akan kepentingan menguruskan masa dengan efektif. Kita patut sedar berapa banyak kerugian yang menimpa kita seandainya kita membazirkan masa. Oleh itu, kita perlu menyemak kembali apakah kita hadir tepat pada masa ke dewan kuliah? Bagaimana pula dengan waktu tidur dan bangun? Apakah kita menjaga waktu solat?
Pengurusan diri dan ketrampilan Pengurusan diri dan ketrampilan sering diabaikan sebilangan mahasiswa. Kita sepatutnya sentiasa mengurus diri dan berketrampilan sebaik mungkin supaya status sebagai mahasiswa tidak dipertikaikan orang. Kebersihan diri, cara berpakaian dan pergaulan perlu dijaga. Senyuman sentiasa menghiasi bibir. Wajah mesti ceria. Berjalan penuh semangat. Jika diri sendiri gagal diurus, bagaimana mahu mengurus persoalan umat?
Gerak kerja dakwah Tugas dakwah ialah hak milik setiap insan yang mengaku bertakwa. Melihat kepincangan yang berlaku dalam masyarakat, tiada jalan lain untuk membuat perubahan melainkan menerusi dakwah, sama ada dakwah secara individu (fardhiah) mahupun secara berjemaah (amal jamaie). Apakah kita sekadar melihat satu demi satu kepincangan berlaku dalam masyarakat tanpa berbuat sesuatu demi perubahan? Dalam konteks mahasiswa pula, apakah kita sudah membabitkan diri dalam perjuangan gerakan dakwah di kampus?
Hubungan dengan Allah Kita perlu sentiasa bermuhasabah menilai kembali hubungan dengan Allah, Tuhan sekalian alam. Apakah jiwa kita semakin dekat ataupun semakin hari semakin jauh daripadaNya? Apakah kita sudah membersihkan hati daripada dinodai dosa yang mematikan hati sehingga membuatkan kita semakin lari daripada landasan tuhan? Hijrah mahasiswa perlu dimulai dengan muhasabah seterusnya azam untuk melangkah ke tahun baru dengan penuh keinsafan dan meletakkan wawasan ketakwaan sebagai puncak perubahan. Mahasiswa perlu berubah demi perubahan dan pastinya perubahan itu bermula daripada diri sendiri. Dengan muhasabah penuh keimanan dan dengan keazaman penuh perancangan, mahasiswa mampu memimpin perubahan. Ayuh mahasiswa, mari berhijrah!
Monday, January 14, 2008
Hubungan rumpun Melayu terus berkekalan
Analisis Lawatan Kerja Presiden Dr H Susilo Bambang Yudhoyono
LEBIH 50 wartawan Malaysia dan Indonesia menunggu dengan sabar kehadiran dua pemimpin tertinggi mereka, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Dr H Susilo Bambang Yudhoyono, untuk mengadakan sidang akhbar bersama di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya, Jumaat lalu.
Sidang yang diharap dapat merapatkan kembali tali persahabatan antara rakyat yang sedikit terungkai dengan pelbagai isu yang tercetus sejak dua tahun terakhir ini.
Dua jam kemudian, kedua-dua pemimpin tertinggi itu bersama delegasi masing-masing yang terbabit dalam mesyuarat rundingan dua hala, muncul sebagai satu pasukan mantap untuk memastikan hubungan sebagai rumpun Melayu yang wujud sejak zaman Seri Wijaya dan Majapahit akan terus berkekalan.
"Saya mengaku bahawa hubungan Malaysia dan Indonesia bukan hanya selepas masing-masing merdeka, tetapi jauh sebelum merdeka lagi hubungan sudah wujud. Interaksi budaya dan penduduk begitu hebat. Orang Indonesia (sudah lama) datang ke Malaysia.
"Keturunan Minang, Jawa membawa bersama lagu, tarian, muzik, adat istiadat dan masakan, semua dianggap sesuatu yang menjadi kebiasaan kepada Malaysia. Begitulah betapa akrabnya kedua-dua bangsa," kata Abdullah membuka bicara.
"Kita sudah melakukan 'review' (kajian semula) atas kerjasama yang kita laksanakan selama ini terutama untuk mengetahui kemajuan selepas bertemu di Bukit Tinggi, Indonesia pada 2006. Kita juga membahas secara sungguh-sungguh untuk lebih mempererat persahabatan dan perhubungan baik kedua bangsa.
"Dan dalam pertemuan kali ini juga kita membahas untuk perluasan kerjasama yang lebih bersifat strategik pada tahun tahun akan datang," kata Presiden Indonesia itu pula.
Amanat dan penjelasan yang diberikan kedua-dua pemimpin itu amat jelas kepada wartawan Malaysia dan Indonesia yang hadir dan menjadi saluran terpenting dalam merapatkan hubungan antara kerajaan dan rakyat kedua-dua negara.
Satu daripada punca kepada polemik hubungan dua hala bagi dua negara serumpun ialah laporan media kedua-dua negara yang menyuarakan perasaan tidak puas hati dengan beberapa isu yang timbul.
Kemelut politik yang dialami Indonesia selepas krisis terbabit yang menyaksikan berlaku beberapa kali perubahan pucuk pimpinan, membuatkan majoriti rakyat Indonesia menderita di negara sendiri dan tidak teragak-agak untuk mencari rezeki di rantau orang.
Malaysia, yang mengalami pemulihan ekonomi lebih pantas adalah antara negara yang membuka pintu luas kepada pekerja asing terutama dalam sektor pembinaan, perladangan dan pembantu rumah. Kemasukan pekerja Indonesia yang awalnya banyak membantu Malaysia, tetapi akhirnya menjadi beban kepada kerajaan berikutan kebanjiran mereka yang masuk secara haram.
Operasi menangkap dan penghantaran pulang pendatang tanpa izin memang mendapat perhatian media kedua-dua negara, apa lagi apabila timbul banyak kes membabitkan layanan tidak adil dan 'kejam' segelintir majikan Malaysia ke atas pekerja Indonesia mendapat publisiti meluas.
Ketika media Malaysia melaporkan mengenai suasana 'kebimbangan' rakyat Malaysia mengenai pelbagai masalah sosial dan jenayah dicetuskan pendatang tanpa izin Indonesia, media Indonesia pula melaporkan mengenai layanan tidak adil penduduk di sini ke atas rakyat Indonesia.
Perasaan tidak puas hati pantas menjalar, media Malaysia dan Indonesia menjadi instrumen terpenting dalam menyebarkan perasaan negatif ini kepada rakyat masing-masing. Daripada sekadar isu pekerja dan pendatang tanpa izin Indonesia ke Malaysia, ia melarat kepada pelbagai isu lain.
Antaranya tuduhan Indonesia bahawa Malaysia menciplak beberapa lagu serta budaya republik itu dan mempromosinya sebagai adat dan budaya negara di gelanggang pelancongan. Isu lain, perebutan sempadan, layanan tidak menyenangkan pihak berkuasa Malaysia ke atas beberapa rakyat Indonesia, menjadi paparan utama media di republik itu.
Di Malaysia, di sebalik beberapa kes negatif membabitkan rakyat Indonesia dan kejadian jerebu disebabkan pembakaran terbuka di Kalimantan dan Sulawesi, media negara ini mengambil kira kehadiran jutaan rakyat Indonesia di sini memberi ruangan dan mewujudkan kerjasama dengan media massa republik itu.
Berita Harian adalah satu daripada akhbar yang mewujudkan kerjasama dengan akhbar Republika, melakukan pertukaran berita membabitkan satu muka surat penuh di akhbar masing-masing.
Menjawab soalan wartawan Indonesia mengenai fungsi media massa dalam usaha untuk memulihkan hubungan dua hala ini, Abdullah menegaskan beliau setuju sekiranya wakil media kedua-dua negara dapat mengadakan pertemuan lebih kerap bagi memastikan maklumat yang diperoleh tepat, bagi mengelak berlaku salah tafsir.
"Kita (perlu) mengaku ada persamaan dan perbezaan (dalam corak laporan media Malaysia dan Indonesia) kerana kedua-duanya beroperasi dalam suasana politik dan sosial yang berlainan. Dasar (kita) juga berlainan.
"Kita tidak mahu kerana wujud perbezaan ini timbul pula masalah kepada hubungan Malaysia dan Indonesia, serta menggugat hubungan rakyat kedua-dua negara," katanya.
Bagi memantapkan hubungan ini, beliau mencadangkan wakil media kedua-dua negara mengadakan pertemuan tiga bulan sekali bagi membolehkan mereka berbincang mengenai isu yang timbul mengenai hubungan dua hala atau sebarang isu yang boleh mencetus keadaan tidak menyenangkan di kalangan rakyat.
"Melalui cara ini kita akan dapat pastikan maklumat diperoleh betul dan tidak berlaku salah tafsir atau wujud sensasi yang tidak diperlukan. Dengan itu, ia tidak akan membawa sebarang reaksi yang mungkin negatif kepada hubungan baik Malaysia dan Indonesia," kata Perdana Menteri.
Susilo yang melawat Nirmala Bonat, pekerja Indonesia yang didera majikannya kelmarin, mengaku bahawa kes terbabit sudah dibicarakan dengan baik dan yakin keadilan akan dicapai dengan baik.
"Saya menyeru kepada pekerja Indonesia supaya mematuhi hukum (undang-undang) di Malaysia. Kita mendapat khabar mereka bekerja dengan baik, dalam mesyuarat (semalam) ada 17 kes yang dibawa Perdana Menteri (Malaysia), lengkap dengan catatan. Ini satu kemajuan dan kita boleh cegah salah faham yang mungkin berlaku," kata Susilo.
Melihat kedua-dua pemimpin Malaysia dan Indonesia begitu bersungguh-sungguh untuk meleraikan pelbagai isu yang jika tidak dibendung boleh menggugat hubungan negara serumpun yang sudah wujud sejak zaman berzaman, rakyat kedua-dua negara
BH 14/01/08