Sunday, January 20, 2008

Mahathir dihormati di gelanggang lawan

APABILA umum melihat klip video perbualan lelaki mengenai pelantikan hakim-hakim, ramai terkejut mendengar nama-nama besar dikaitkan dengan urusan yang dikelaskan sebagai rahsia rasmi negara.

Untuk kesekian kalinya, nama bekas Perdana Menteri keempat, Tun Dr. Mahathir Mohamad dikaitkan dengan kontroversi yang hampir menumbangkan badan kehakiman negara.
Tindakan pantas kerajaan menangani isu klip video itu melegakan banyak pihak. Apabila Suruhanjaya Siasatan Diraja dibentuk, ramai yang tidak sabar melihat siapakah orang kenamaan akan dipanggil menjadi saksi.

Tiba 14 Januari 2008, hari pertama prosiding siasatan suruhanjaya yang berlangsung di bilik Mahkamah Tinggi, Aras 3, Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Jalan Duta, orang medialah yang paling sibuk.
Begitu juga dengan ahli-ahli Badan Peguam Malaysia, malah Presiden Majlis Peguam, Ambiga Sreenevasan turun padang membuat persiapan membantu siasatan suruhanjaya itu.

Kelibat orang awam yang mahu berbaris untuk mengambil pas mengikuti prosiding itu, boleh dibilang dengan jari, rata-rata yang memegang pas orang awam terdiri daripada peguam.
Apabila tersiar nama 16 saksi, ruang legar mahkamah itu mula dibanjiri pelbagai bentuk dan rupa orang kebanyakan yang mahu mendengar keterangan saksi VIP.

Dr. Mahathir, Anwar Ibrahim, Tengku Adnan Tengku Mansor, Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim, Mohd. Eusoff Chin dan Datuk V.K. Lingam mencuri perhatian awam mendengar prosiding itu.

Masuk hari ketiga, nama Dr. Mahathir disebut-sebut sebagai saksi dan barisan orang awam semakin panjang tapi sayangnya pas yang dibekalkan amat terhad dan ramai yang hampa.
Malangnya, bukan orang awam saja yang pulang dengan kehampaan, malah petugas media dan anak lelaki Dr. Mahathir juga hampa kerana orang yang ditunggu-tunggu tidak muncul.

Pada hari keempat, setelah disahkan Dr. Mahathir hadir memberi keterangan, sebelum subuh, ruang legar bilik prosiding dibanjiri, kali ini, barisan orang awam mengatasi barisan wakil media.
Menjangkakan keadaan itu, urusetia suruhanjaya mengatur tempat duduk di galeri awam; kalau hari sebelumnya, bangku panjang diduduki empat orang, hari itu lima orang duduk berhimpit-himpit.

Malah, mereka yang berbadan besar dan gemuk diatur kedudukannya di kerusi-kerusi berasingan yang diletakkan di sebelah bangku panjang supaya tidak mengganggu orang lain.
Apabila prosiding bermula dan nama Dr. Mahathir disebut sebagai saksi pertama pada hari itu, suasana menjadi hening. Ketika beliau muncul, tunduk hormat dan melemparkan senyumannya, suasana bertambah hening.

Barisan peguam dan orang awam duduk dengan tertib dan tidak berbual-bual sesama mereka untuk kali pertama sepanjang empat hari prosiding berlangsung.

Malah, cara peguam bertanya soalan juga amat berbeza dengan hari sebelumnya malah lebih bersopan malah ada peguam yang dilihat gugup ketika menyusun soalan kepada Dr. Mahathir.
Dr. Mahathir yang kelihatan agak lemah, menjawab soalan-soalan dengan tenang tanpa ‘‘kesinisan’’ yang menjadi trademark beliau.

Walaupun peguam nampak tidak berpuashati dengan jawapan yang diberikan, mereka tidak menyoalnya semula bertubi-tubi seperti yang dilakukan ke atas saksi-saksi sebelum ini.
Walaupun Dr. Mahathir menyatakan kesediaan menjawab soalan walaupun tidak relevan atau terkeluar dari topik Suruhanjaya Siasatan Diraja, peguam-peguam mengambil masa 90 minit sahaja untuk menyoalnya hampir 80 soalan kepada Dr. Mahathir.

Seorang peguam pemerhati berkata, beliau tidak hairan dengan keadaan para peguam yang takut-takut untuk menyoal Dr. Mahathir kerana itulah Dr. Mahathir yang dikenalinya.
‘‘Mereka semua akan terima saja apa kata-katanya tanpa banyak soal. Itulah Dr. Mahathir, beliau dihormati walaupun di gelanggang lawan,’’ katanya.

No comments: