Thursday, January 24, 2008
Anjakan paradigma ubah generasi baru Felda
PENUBUHAN Felda atau Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan pada 1 Julai 1956 bertujuan meningkatkan taraf hidup rakyat, khususnya Bumiputera, melalui pembukaan tanah baru dengan tanaman getah dan kelapa sawit. Hakikat langkah itu mencapai banyak kejayaan termasuk membasmikan kemiskinan dengan taraf hidup petani selepas mereka menjadi peneroka Felda, tiada siapa menafikan. Malah, sebahagian peneroka Felda sudah bergelar jutawan, sesuatu yang tidak pernah diimpikan 50 tahun lalu, apabila tanah ladang mereka diambil alih oleh pemaju untuk dibangunkan sebagai bandar baru. Begitupun, peneroka Felda tidak seharusnya berpuas hati dengan kesenangan hidup itu sehingga tidak memikirkan generasi akan datang. Bagi sebahagian besar peneroka Felda, terutama generasi awal, kejayaan itu sudah memadai untuk terus menyara anak cucu di kemudian hari. Namun, itu tidak mencukupi jika masyarakat Felda, yang sebahagian besarnya orang Melayu dan Bumiputera mahu benar-benar berdiri sama tinggi dengan bangsa lain. Mereka perlu melakukan anjakan paradigma seperti disarankan oleh Datuk Seri Najib Razak kelmarin. Masyarakat Felda pada semua peringkat perlu membuat perubahan kerangka minda dengan meningkatkan strategi perniagaan ke tahap global selaras perkembangan pembangunan agensi itu. Timbalan Perdana Menteri berkata, jika 50 tahun lalu Felda memberi tumpuan kepada usaha membuka tanah, ladang dan memberi kehidupan baru kepada peneroka, 50 tahun akan datang memerlukan anjakan bertemakan Felda moden dengan tumpuan terarah pada penjanaan kekayaan. Felda moden atau Felda yang mengalami perubahan pasti akan memberi kesan bukan saja pada generasi pertama, bahkan akan turut dirasai secara berterusan oleh generasi kedua dan ketiga peneroka. Tanpa pembaharuan, masyarakat Felda akan terus berada pada takuk lama, meskipun boleh hidup senang dengan hasil yang agak lumayan apatah lagi dalam keadaan harga sawit dan getah yang memberangsangkan. Masyarakat Felda, terutama generasi kedua dan ketiga tidak boleh lagi cuma mengharapkan ihsan tanah dan hasil kebun keluarga mereka di tanah rancangan. Mereka perlu memikirkan sesuatu ke arah penjanaan kekayaan, apatah lagi kebanyakan generasi ini mendapat pendidikan hingga ke menara gading. Mereka perlu menggunakan kebijaksanaan itu. Jika generasi ayah atau nenek mereka sanggup meneroka hutan tebal, membuka ladang dan membajanya hingga membawa hasil, generasi baru ini perlu menjangkau lebih jauh. Jika tidak, keadaan mereka dan masyarakat Felda akan terus pada takuk lama. Kita berharap generasi Felda sekarang dapat mengubah senario itu, sekali gus meningkatkan imej Felda sebagai agensi pembangunan tanah yang paling berjaya di dunia. Pada peringkat antarabangsa sekarang, Felda sudah mengadakan mesyuarat pertama lembaga pengarah dengan pengeluar utama produk oleokimia Amerika Syarikat, Twin Rivers Technologies. Malah, Felda juga sedang berurusan dengan kerajaan Quebec untuk membina kilang baru di Kanada. Felda juga menerusi anak syarikatnya, Felda Global Ventures Middle East Sdn Bhd dan Felda D'Saji Sdn Bhd, mahu membuka hotel dan restoran di Makkah, Arab Saudi tahun ini membabitkan pelaburan RM110 juta. Ini boleh dijadikan batu loncatan kepada Felda untuk meneroka peluang yang sama pada masa depan, khususnya di Asia Barat, seperti Mesir, Yaman dan Syria yang juga mengimport minyak sawit daripada Felda. Semua itu boleh dicapai dengan usaha bersungguh-sungguh selepas program pendidikan yang diusahakan Felda selama ini membuahkan hasil. Apa yang penting, kesediaan generasi muda peneroka untuk sama-sama membantu mengangkat martabat masyarakat Felda itu sendiri.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment