LANGKAH kerajaan mewujudkan Stok Penimbal Kebangsaan dilihat sebagai usaha berterusan pihak berkuasa memastikan bekalan pelbagai barang keperluan mencukupi, manakala harganya terus stabil. Mekanisme itu diwujudkan berikutan masalah kenaikan harga dan kekurangan barang keperluan di pasaran sehingga menjejaskan kehidupan, terutama golongan berpendapatan rendah. Masalah kekurangan minyak masak dan kenaikan berterusan harga petrol di pasaran global, turut meningkatkan harga barang makanan dan keperluan lain. Inisiatif kerajaan itu, bagi menjamin kestabilan harga, kecekapan sistem bekalan dan pengedaran barang pengguna selaras penubuhan Majlis Harga Negara yang diluluskan Kabinet pada 9 Januari lalu. Sebelum melaksana mekanisme stok penimbal yang turut memasukkan minyak dan minyak sawit dalam senarainya, kita berharap kajian terperinci dibuat.
Kita bersetuju dengan pandangan bahawa kejayaan program ini bergantung kepada sejauh mana keupayaan pihak berkuasa memastikan sistem penyimpanan, pengagihan dan penguat kuasa berada pada tahap terbaik. Kebanyakan barang yang akan dijadikan stok seperti beras dan gula serta terbaru diumumkan minyak masak dan petroleum misalnya, memerlukan pembinaan atau gudang penyimpanan. Ini tentunya membabitkan kos besar, siapakah yang menanggung kos itu, kerajaan atau syarikat pengimport/pengeluar seperti Bernas untuk beras dan Petronas, Shell dan ExxonMobil bagi petroleum. Pengalaman Lembaga Padi Negara (LPN) sebelum diambil alih PadiBeras Nasional Berhad (Bernas), pernah mewujudkan stok padi bagi menstabilkan harga perlu dijadikan teladan berikutan beras dan padi yang disimpan gudang LPN di Kedah, rosak dan berkulat. Ini bermakna kaedah menyimpan dan pengagihan barang ke pasaran perlu cekap bagi memastikan barang yang disimpan sentiasa selamat dimakan. Bagi menyimpan bahan petroleum, kawasan simpanan yang luas dan selamat diperlukan dan ia tentunya membabitkan kos tinggi. Bagaimana pula dengan turun naik harga di pasaran seperti yang berlaku kepada petroleum. Sebagai contoh, jika kita membuat simpanan minyak pada harga AS$100 setong, tetapi selepas itu harganya turun kepada AS$80 setong, apakah harga yang bakal dijual kepada pengguna. Jika harganya meningkat kepada AS$120 setong dan kita boleh menggunakan minyak dalam simpanan untuk dijual kepada pengguna pada harga lebih rendah, apakah kita terpaksa membeli pada harga AS$120 setong bagi mengganti stok itu.
Justeru, beberapa pertimbangan perlu diambil kira sebelum dilaksanakan Stok Penimbal Kebangsaan. Sebelum ini stok penimbal hanya digunakan untuk menstabilkan harga getah membabitkan beberapa negara pengeluar getah dunia, tetapi itu pun berakhir dengan kegagalan. Bernas sehingga kini masih gagal melaksanakan stok penimbal berasnya seperti diminta kerajaan bagi menyimpan sejumlah 92,000 tan setiap masa. Kita percaya kekurangan barang keperluan di pasaran bukan akibat bahan tidak mencukupi, tetapi sikap peniaga tamak. Kerajaan memberi subsidi minyak masak hanya untuk golongan berpendapatan rendah, tetapi pengilang juga boleh mendapatkan bahan itu pada harga sama di pasar raya. Begitu juga dengan gas memasak. Restoran mamak kini tidak lagi menggunakan tabung gas besar, sebaliknya memakai tabung gas kecil yang harganya diberi subsidi sedangkan merekalah yang cepat menaikkan harga makanan setiap kali kerajaan menaikkan harga minyak. Punca sebenar kekurangan barang keperluan ini, yang kita percaya turut disebabkan oleh pembelian barang subsidi pada jumlah besar oleh pengilang/peniaga, perlu ditangani sebelum pelaksanaan stok penimbal.
Monday, January 28, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment