Friday, January 11, 2008

Kaedah holistik cegah jenayah

Terpanggil untuk memberikan pandangan mengenai isu jenayah yang kini semakin membebankan kita semua. Jika dikaji secara ikhlas, kita pasti bersetuju, soal jenayah bukan urusan pihak berkuasa saja, tapi membabitkan semua pihak termasuk kita sendiri dan anggota masyarakat.

Pemasangan CCTV di tempat dan lokasi strategik dan berisiko tinggi memang usaha baik untuk membanteras jenayah tapi ada lagi perkara lebih besar yang harus difikirkan dan dicari jalan penyelesaian. Memadaikah jika tahap pendidikan dan kesediaan individu masih lemah?

Perlukah sistem penguatkuasaan diperketatkan seperti perundangan, dasar serta pelaksanaan perundangan? Perlukah kita bebankan rakyat dengan sistem pemantauan moral yang lebih ketat? Tanggungjawab siapa membanteras jenayah?

Saya berpendapat pencegahan jenayah bermula dengan pendekatan sistem holistik. Bahkan, semakin negara itu maju, maka semakin tinggi kadar jenayah seperti di Barat. Namun, jika sistem kolektif dan sepadu diamalkan, kadar jenayah dapat dikawal.

Pun begitu, jika kita guna pakai perspektif moral dan perundangan ala Durkheim, maka kajian membuktikan kadar jenayah pasti dapat dihindarkan atau sekurang-kurangnya diminimumkan. Keperihalan ini jelas terbukti di sebuah negara jiran yang hingga kini mempunyai tadbir urus hebat berkaitan jenayah dan kesejahteraan sosial akibat sifat kegiatan agensi pelaksanaannya yang berkesan dan sistem perundangan ketat serta ditakuti.

Kini, segala gejala sosial di negara itu terbendung, penagihan dadah di bawah sifar, bahkan tiada langsung dan semakin terserlah tahap integriti dan tadbir urus yang kini menjadi contoh kepada negara maju. Sistem perundangan dan penguatkuasaan berkesan dan didokong sifat anggota masyarakat yang tinggi integritinya dan amalan budaya sihat serta penghayatan nilai moral yang tinggi terhadap kesejahteraan sosial.

Mereka rata-rata kiasu dan mahu yang terbaik dan bukan bersikap 'tak apa' bahkan mengutamakan kebajikan masyarakat sekali gus keamanan negara. Budaya kedamaian dan kesejahteraan abadi memacu pemikiran progresif mereka. Mereka sudah lama berhijrah pemikiran dan kini tidak mempunyai sebarang sindrom mandul minda sama sekali!

Selagi kita ingin menjamin kebahagiaan sosial dan kualiti hidup yang mapan, maka selagi itu, kita sebagai insan cemerlang perlu menganjakkan minda kita ke arah menjadi masyarakat penyayang, kiasu dan asertif. Penghijrahan minda yang jumud dan tidak berani atau terbuka akibat kemelut kesongsangan pemikiran negatif akan sekali gus membantu kegiatan pembanterasan jenayah.

Walaupun CCTV diperlukan segera, pelaksanaan dan kempen kesedaran untuk menyuburkan minda dengan sikap kiasu dan terbuka amat sesuai sekali. Bahkan, tidak mustahil jika budaya mementingkan kebajikan rakyat jelata dimasyarakatkan seperti kita menuntut kelahiran sebuah masyarakat penyayang, bersatu padu serta saling toleran dan demokratik dalam Wawasan 2020.

Marilah kita membudayakan sikap kiasu dan sifat penyayang, bukan sebaliknya. Budaya moral dalam konteks mengutamakan kesejahteraan sosial menjadi benteng pertahanan utama daripada arus gejala jenayah yang tiada kesudahannya, selagi pendekatan mencemerlangkan modal insan menjadi Misi Nasional belum tercapai sepenuhnya.

Tindakan kolektif dan diri sendiri menerusi institusi keluarga yang ampuh menjadi kubu kuat terhadap gejala jenayah. Malah, jika tidak dibendung, ia boleh merosakkan kestabilan ekonomi dan menggugatkan kedamaian abadi kita sebagai rakyat Malaysia, sekali gus menakutkan pelancong untuk berkunjung ke negara ini. Jadi, siapa akan rugi? Sempena sambutan Maal Hijrah semalam, marilah kita bersama-sama tanya diri sendiri: Sudahkah kita berhijrah minda?

PROF MADYA MOHAMAD MD YUSOFF, Pusat Pengajian Komunikasi USM, Pulau Pinang.

No comments: