Tuesday, January 15, 2008

Hijrah mahasiswa memimpin perubahan

AZAM tahun baru. Inilah ungkapan yang sering kita perkatakan menjelang tahun baru. Malang bagi mereka yang tidak memikirkan mengenai persoalan azam dan lebih malang lagi ramai juga yang langsung tidak memikirkan persoalan muhasabah menjelang tahun baru. Persoalan azam, cita-cita, impian dan perancangan ini dapat dikatakan mempunyai kaitan dengan masa depan, manakala muhasabah dan penilaian diri ini berkaitan masa lalu. Sewajarnya muhasabah perlu dilakukan setiap individu dalam rangka memasang azam tahun baru dan pastinya dengan muhasabah serta azam ini dapat menginsafkan jiwa yang sedar akan kepentingan hijrah. Dalam konteks mahasiswa, kita perlu sentiasa berazam untuk meningkatkan penguasaan ilmu dan ini pastinya menuntut kita untuk mengamalkan budaya ilmu.

Sentiasalah berdamping dengan ilmuan. Utamakan membaca buku karya ulama, pakar dan tokoh. Setiap detik, setiap saat dimanfaatkan untuk ilmu. Inilah azam kita yang perlu diperbaharui setiap hari dengan harapan hari ini lebih baik daripada semalam. Sebagai mahasiswa, mereka perlu sedar dan insaf akan peranan dan tanggungjawab. Kitalah harapan ibu bapa, guru, universiti, pemimpin negara, ulama, rakyat dan umat keseluruhannya. Bagaimana dengan penguasaan ilmu? Bagaimana pula dengan iman dan takwa kepada Allah? Tiada lain yang perlu lakukan melainkan hijrah. Jika bukan hijrah, apa lagi? Jika bukan sekarang bila? Jika bukan di universiti ini di mana lagi? Jika bukan kita siapa?

Beberapa perkara penting perlu difikirkan mahasiswa ketika bermuhasabah antaranya:
Keutamaan ilmu Kita perlu bijak dan memberi keutamaan kepada penguasaan ilmu. Masa depan yang lebih mencabar menuntut kita untuk lebih peka dan memberi penekanan dalam menguasai ilmu tertentu. Maka perlu kita bermuhasabah setakat manakah penguasaan terhadap ilmu al-Quran. Apakah kita sudah mencuba sedaya upaya untuk memahami isi kandungan al-Quran? Apakah kita sering membuka kitab tafsir dan terjemahan al-Quran?
Bagaimana pula dengan ilmu hadis? Apakah kita sudah menguasai dengan mantap bahasa Melayu, bahasa Arab, bahasa Inggeris dan lain-lain? Bagaimana pula penguasaan kita terhadap ilmu sains dan teknologi?

Pengurusan masa Mahasiswa yang bijak tentunya pandai menguruskan masa dengan sebaik mungkin. Amat malang bagi mahasiswa yang tidak pandai menguruskan masa bahkan membazirkan masa kepada perkara yang tidak bermanfaat. Sewajarnya kita insaf akan kepentingan menguruskan masa dengan efektif. Kita patut sedar berapa banyak kerugian yang menimpa kita seandainya kita membazirkan masa. Oleh itu, kita perlu menyemak kembali apakah kita hadir tepat pada masa ke dewan kuliah? Bagaimana pula dengan waktu tidur dan bangun? Apakah kita menjaga waktu solat?

Pengurusan diri dan ketrampilan Pengurusan diri dan ketrampilan sering diabaikan sebilangan mahasiswa. Kita sepatutnya sentiasa mengurus diri dan berketrampilan sebaik mungkin supaya status sebagai mahasiswa tidak dipertikaikan orang. Kebersihan diri, cara berpakaian dan pergaulan perlu dijaga. Senyuman sentiasa menghiasi bibir. Wajah mesti ceria. Berjalan penuh semangat. Jika diri sendiri gagal diurus, bagaimana mahu mengurus persoalan umat?
Gerak kerja dakwah Tugas dakwah ialah hak milik setiap insan yang mengaku bertakwa. Melihat kepincangan yang berlaku dalam masyarakat, tiada jalan lain untuk membuat perubahan melainkan menerusi dakwah, sama ada dakwah secara individu (fardhiah) mahupun secara berjemaah (amal jamaie). Apakah kita sekadar melihat satu demi satu kepincangan berlaku dalam masyarakat tanpa berbuat sesuatu demi perubahan? Dalam konteks mahasiswa pula, apakah kita sudah membabitkan diri dalam perjuangan gerakan dakwah di kampus?
Hubungan dengan Allah Kita perlu sentiasa bermuhasabah menilai kembali hubungan dengan Allah, Tuhan sekalian alam. Apakah jiwa kita semakin dekat ataupun semakin hari semakin jauh daripadaNya? Apakah kita sudah membersihkan hati daripada dinodai dosa yang mematikan hati sehingga membuatkan kita semakin lari daripada landasan tuhan? Hijrah mahasiswa perlu dimulai dengan muhasabah seterusnya azam untuk melangkah ke tahun baru dengan penuh keinsafan dan meletakkan wawasan ketakwaan sebagai puncak perubahan. Mahasiswa perlu berubah demi perubahan dan pastinya perubahan itu bermula daripada diri sendiri. Dengan muhasabah penuh keimanan dan dengan keazaman penuh perancangan, mahasiswa mampu memimpin perubahan. Ayuh mahasiswa, mari berhijrah!

No comments: