KEJADIAN beribu-ribu penduduk Gaza memasuki wilayah Mesir beramai-ramai untuk membeli keperluan asas minggu ini selepas tembok sempadan diletupkan selain menunjukkan pincangnya pentadbiran pergerakan Hamas di wilayah itu, turut mendedahkan kegagalan menyeluruh proses damai Palestin-Israel mahupun Arab-Israel selain menyebabkan kata-kata
Presiden Amerika Syarikat, George W Bush, bahawa negara Palestin akan terbentuk pada 2008 hanya muslihat semata-mata. Perbuatan penduduk Gaza memasuki sempadan Mesir menunjukkan mereka semakin hilang sabar menahan tekanan dan pelbagai bentuk penindasan rejim Yahudi ke atas mereka yang tinggal di kawasan disifatkan sebagai penjara terbesar dunia. Keseluruhannya, laporan memberi tumpuan kepada keadaan penduduk Gaza yang membeli pelbagai barangan keperluan asas untuk dibawa pulang kerana tindakan Israel menutup semua lintasan sempadan atas alasan mengambil langkah menghentikan serangan roket pejuang Palestin di wilayah itu ke bandar di selatannya.
Umumnya, semua orang tahu bahawa Israel bertindak sejak enam bulan lalu dengan mengehadkan pergerakan penduduk Gaza kerana wilayah itu ditadbir oleh Hamas, kumpulan yang berikrar menghapuskan rejim zionis itu. Sebaliknya, Israel bekerjasama dengan pergerakan Fatah pimpinan Mahmoud Abbas yang menguasai Tebing Barat.
Malang sekali, dasar bekerjasama dengan Fatah itu turut diikuti oleh kuasa besar Barat, khususnya Amerika sendiri dan negara Eropah yang tidak mengiktiraf kerajaan Hamas. Apakah masyarakat antarabangsa menunggu untuk melihat sejauh mana Israel merealisasikan 'Holocaust Palestin'?
Kini, dasar 'menghukum beramai-rama' yang diamalkan oleh Israel dengan melancarkan operasi terhadap pejuang Palestin hingga mengorbankan orang awam di Gaza, sebenarnya menjadi amalan Washington dan negara Eropah yang terkenal kononnya memperjuangkan hak asasi manusia dan keadilan global.
Bagi penduduk Palestin, Israel perlu diperangi kerana menjajah bumi mereka manakala bagi rejim Zioinis, penduduk Palestin perlu diusir dengan apa cara sekalipun untuk mewujudkan negara Israel sebenar. Oleh itu, Israel melancarkan serangan udara bertalu-talu dan memberi pelbagai alasan mewajarkannya sejak dua tahun lalu menyebabkan 810 warga Palestin maut, 19 daripadanya terbunuh dalam tempoh sehari, minggu lalu.
Amalan ini dikecam oleh wartawan Israel sendiri dari akhbar Haaretz, Gideon Levy yang bertanya: "Adakah pembunuhan setiap hari di Gaza berjaya memperbaiki keadaan keselamatan (bagi Israel). Tidak, itu hanya memburukkan lagi keadaan." Malah, katanya lagi, selagi Bush berada di Asia Barat, Israel tidak akan melakukan pembunuhan tetapi apabila pemimpin Amerika itu pulang, Israel membunuh semula.
Kesimpulan beliau ialah 'pembunuhan berterusan di Gaza tidak akan melemahkan semangat Palestin untuk terus memperjuangkan kebebasan selain tidak mewujudkan keamanan seperti diharapkan Israel. Malah, disebabkan operasi tentera Israel, penggali kubur di Gaza sukar mendapat bekalan simen untuk mengebumikan mayat korban serangan Yahudi.
Laporan lain mengatakan, harga makanan dan keperluan lain juga melonjak termasuk coklat, rokok dan minuman botol serta bekalan harian tidak lagi boleh dijamin ada setiap hari manakala hospital pula melaporkan kekurangan ubat dan alat perubatan. Sektor perindustrian Gaza juga musnah tanpa bahan mentah yang diterima untuk diproses dan dihantar keluar. Selain itu, lebih 100,000 warga Gaza hilang kerja sejak enam bulan lalu.
Hanya tinggal sektor makanan yang masih 'sihat' dan tidak menjadi sasaran sekatan oleh Israel. Itupun boleh dipertikaikan kerana ramai di kalangan 1.5 juta penduduk Gaza menerima bantuan keperluan daripada agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Sekatan di sempadan bermakna loji bekalan kuasa di Gaza terpaksa ditutup kerana tidak menerima bahan api mencukupi untuk meneruskan operasi sekali gus menyebabkan banyak tempat terpaksa bergelap.
Ia memaksa Agensi Bantuan dan Kerja PBB untuk Pelarian Palestin (UNRWA) terpaksa memberi sebahagian minyaknya kepada Hospital Shifa dan Hospital Eropah di Khan Yunis untuk menggerakkan jana kuasa pusat perubatan itu. UNRWA menyatakan, ia juga memerlukan beg untuk menghantar makanan seperti nasi dan kacang bagi 870,000 penduduk Gaza.
Jurucakap Kementerian Luar Israel, Aryeh Mekel, menjawab, Israel akan membenarkan penghantaran 2.2 juta liter bahan api industri bagi loji kuasa itu, 500,000 liter diesel untuk penggunaan janakuasa dan bekalan minyak masak termasuk 50 lori makanan dan ubat. Tetapi, katanya, sekatan ke atas petrol diteruskan.
Semua itu, bagaimanapun, tidak lagi penting bagi tiga keluarga Gaza yang meratapi kematian bayi mereka selepas kediaman mereka terputus bekalan elektrik yang menyekat fungsi peralatan oksigen, Khamis lalu. Tidak syak lagi, penduduk Gaza seolah-olah menjadi tebusan politik kerana masalah mereka berpunca daripada permasalahan politik Palestin dan Israel.
Siapa yang boleh mereka harapkan untuk menyelesaikan masalah ini? Fatah dan Hamas bergaduh kerana berbeza pendirian dan kepentingan. Israel sudah jelas bukan sahabat dan Amerika mahupun Eropah mengikut saja kata rejim Zionis. Bush tidak akan mengambil tindakan ketika Amerika dilanda demam pilihan raya bagi membantu calon Republikan dalam pengundian November depan.
Tidak hairanlah, tanpa mengira lagi bahawa Israel adalah penjajah bumi Palestin, media Barat mewajarkan pembunuhan Husam Zahar, anak pegawai kanan Hamas, Mahmoud Zahar, kerana mangsa adalah anggota pergerakan bersenjata kumpulan berkenaan. Sekalipun negara Islam mendesak masyarakat antarabangsa melakukan sesuatu bagi menghalang Israel di Gaza, keputusan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hanya menyuarakan kebimbangan besar atas perkembangan di sana hanya mengulangi kenyataan lalu sambil mendedahkan sikap sebenar Amerika mahupun Bush mengenai isu Palestin.
Ia menyusuli keputusan Majlis Hak Asasi Manusia PBB mengutuk serangan Israel ke atas Gaza dan Tebing Barat tetapi menunjukkan negara Eropah juga memegang pendirian sama apabila 15 utusannya tidak mengundi atas alasan resolusi berkenaan tidak mengambil kira bedilan roket pejuang Palestin ke Israel manakala Kanada membantah sama sekali langkah itu.
Selain rundingan di PBB, satu lagi rundingan akan diberi tumpuan hari ini membabitkan pertemuan antara pemimpin Palestin di Tebing Barat, Mahmoud Abbas dengan Perdana Menteri Israel, Ehud Olmert mengenai penyelesaian isu Gaza. Perbincangan mereka, bagaimanapun, tidak dijangka membawa apa-apa hasil kerana Mahmoud tidak ada pengaruh ke atas apa yang berlaku di Gaza manakala Olmert yang semakin tidak popular di kalangan rakyatnya, bakal menghadapi tekanan lebih hebat apabila laporan mengenai kegagalan kempen perang di Lubnan disiarkan tidak lama lagi. Pun begitu, kenyataan demi kenyataan yang disiarkan oleh pegawai kanan Olmert memberi petunjuk bahawa Israel akan terus melakukan operasi di Gaza. Menteri Pertahanan, Ehud Barak, misalnya, menyatakan kemungkinan tentera Yahudi kembali ke Gaza, manakala Presiden Shimon Peres pula memberi syarat gencatan senjata hanya boleh dipersetujui apabila pejuang Palestin berhenti melancarkan roket ke Israel.
"Mereka tidak akan menghadapi masalah apabila berhenti menyerang (Israel). Gencatan senjata akan bermula sebaik saja mereka berhenti melancarkan roket," kata Peres. Tentera Israel menganggarkan 250 roket dilancarkan seminggu lalu ke selatan Israel. Pada masa sama, ia tidak menyebut bahawa serangan roket itu tidak menyebabkan kematian sedangkan 30 warga Palestin terbunuh kerana serangan udara askar Yahudi dalam tempoh sama.
Jadi, kenyataan Bush bahawa negara Palestin akan dapat dibentuk tahun ini hanya janji kosong ketika beliau ada masa hingga awal 2008 dengan kempen calon presiden Amerika sedang berlangsung menunjukkan calon berkenaan juga menuntut masyarakat antarabangsa menghormati hak Israel. Calon presiden Demokrat, Barack Obama dalam suratnya kepada Majlis Keselamatan PBB berbunyi: "Kita bimbang mengenai kesan sekatan sempadan ke atas keluarga Palestin. Bagaimanapun, kita perlu memahami mengapa Israel terpaksa melakukannya. Israel berhak mengambil tindakan bagi meminimumkan impak ke atas orang awam. "Majlis Keselamatan wajar sebulat suara mengancam serangan roket (ke atas Israel). Jika ia gagal bersetuju dengan langkah ini, saya menggesa anda berdiam diri." Calon presiden Republikan, John McCain pula berkata: "Amerika wajar mengutuk sekeras-kerasnya taktik keganasan Hamas, termasuk serangan roketnya ke atas orang awam Israel. Majlis Keselamatan PBB gagal memikul tanggungjawab dalam menangani keadaan kemanusiaan di Gaza jika tidak mengambil kira keselamatan Israel."
Israel dibentuk pada 1948 selepas melakukan Holocaust pertama dunia membabitkan penduduk Palestin yang mempunyai takrifan sendiri iaitu Nakba apabila 420 perkampungan Palestin dikosongkan daripada penghuninya dan 700,000 penduduk
Palestin hilang tempat tinggal selepas panik dengan lebih 60 kejadian pembunuhan beramai-ramai di bumi Palestin. Holocaust atau Nakba Palestin akan berusia 60 tahun Mei depan dan penduduk Gaza akan terus-terusan bersendirian memikul beban sejarah dan penindasan Yahudi.
Sunday, January 27, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment