PENGUMUMAN perayaan Thaipusam sebagai cuti umum bagi Wilayah Persekutuan termasuk Putrajaya oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menjadikannya negeri keenam selepas Selangor, Pulau Pinang, Perak, Negeri Sembilan dan Johor. Ia sangat signifikan bagi Kuala Lumpur sebagai ibu negara dan Putrajaya sebagai Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan yang menempatkan penjawat awam bagi majikan terbesar di negara ini. Meluaskan cuti umum Thaipusam ke seluruh negara mungkin tidak signifikan dan memerlukan penilaian lebih teliti memandangkan Sabah dan Sarawak selain sebahagian Utara dan Pantai Timur yang mempunyai jumlah kaum India kecil.
Masih ada banyak perayaan keagamaan yang tidak kurang pentingnya, tetapi ia tidak 'dicutiumumkan' seperti Hari Cap Goh Mei dan Hari Kuih Bulan bagi penganut Buddha; Hari Thaiponggol dan Hari Durga Puja bagi penganut Hindu; Hari Easter bagi penganut Kristian; Hari Vaisaki bagi penganut Sikh; Hari San Padro bagi keturunan Portugis dan pelbagai hari keagamaan etnik di Sabah dan Sarawak. Thaipusam dirayakan pada bulan ‘Thai’ bulan ke-10 dalam kalendar Tamil bagi masyarakat India di seluruh dunia untuk menghormati dewa Hindu, Dewa Murugan atau dikenali Dewa Subramania. Di negara ini, sambutan besar-besaran diraikan lebih 1.86 juta penganut Hindu yang membentuk jumlah 7.5 peratus keseluruhan penduduk dengan tumpuan utama di Kuil Sri Subramaniyar, Batu Caves.
Ia bermula dengan perarakan arca Dewa Murugan dan dua isterinya Dewi Valli serta Devi Theivanai di atas pedati perak setinggi tujuh meter dari Kuil Mahamariaman di Jalan Tun HS Lee, Kuala Lumpur ke Kuil Sri Subramaniyar di Batu Caves. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, isu peruntukan cuti umum berlebihan dikhuatiri boleh menjejaskan daya produktiviti negara, hangat diperdebatkan. Pembahas utamanya ialah Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan Persekutuan Majikan Malaysia (MEF). Tahun lalu, Cuepacs memulakan usul paradok untuk mengkaji semula peruntukan cuti umum yang didakwa semakin banyak sedangkan enam bulan sebelumnya iaitu pada Oktober 2006 menyokong usul menambah satu hari cuti umum selang sehari antara Deepavali dan Aidilfitri. Dengan hujah retorik bagi mengubah pandangan negatif masyarakat terhadap kakitangan awam bukanlah satu jawapan bernas bagi menjawab isu kualiti dalam perkhidmatan awam selama ini. Namun sehingga kini, belum ada bukti saintifik mengesahkan jumlah peruntukan cuti umum ada kaitan dengan kualiti dan produktiviti kerja apatah lagi mengaitkan pendapatan perkapita dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sesebuah negara.
Adalah tidak adil bagi membuat perbandingan dengan Singapura yang mempunyai 11 hari cuti umum iaitu kurang tiga hari dari Malaysia, tetapi mempunyai pendapatan perkapita rakyatnya pada 2005 iaitu kira-kira AS$28,000 setahun berbanding rakyat Malaysia, hanya AS$5,000. Di Asia, Korea Selatan, Hong Kong, Jepun dan Taiwan masing-masing mempunyai 15, 17, 19 dan 22 hari cuti umum setahun, namun masih menjadi kuasa ekonomi dan industri.
Di negara maju seperti Perancis dan Jerman memberikan 14 dan 16 hari cuti umum setahun, tetapi status kemajuan mereka tidak terjejas. Masalah sebenar cuti umum di Malaysia bukanlah berpunca kadar peruntukan cuti umum, tetapi kerana tarikh cuti umum yang berubah dan cuti tambahan yang diperlukan bagi selang masa satu hari antara dua hari cuti umum atau antara satu hari cuti umum dan satu hari cuti am.
Bagi cuti umum bersifat keagamaan, masing-masing menggunakan kalendar agama sendiri sama ada kalendar Islam, Cina atau Hindu kecuali Krismas yang menggunakan takwim kalendar Gregorian sama seperti cuti umum bagi Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong, Sultan dan Raja, Hari Tahun Baru, Hari Pekerja, Hari Kebangsaan dan Hari Wilayah Persekutuan. Contohnya pertindihan cuti Hari Pekerja dan Hari Wesak tahun lalu tentunya tidak begitu serius hingga mengehadkan satu hari cuti umum jika berlaku pertindihan antara dua hari cuti perayaan terbesar. Maka cadangan mengehadkannya dua hari cuti umum yang bertindih menjadi satu hari adalah tidak konsisten yang akan menjejaskan matlamat kerajaan membina satu bangsa Malaysia yang terdiri daripada masyarakat majmuk yang berkongsi perayaan melalui konsep ‘Rumah Terbuka’. Sekiranya masih ada usaha untuk mengkaji semula peruntukan cuti tahunan, maka Hari Wilayah Persekutuan, Hari Pekerja dan Hari Tahun Baru mungkin wajar dipertimbangkan. Hari Wilayah Persekutuan adalah hari cuti umum yang baru diwartakan, namun sebagai mewakili imej ibu negara dan Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan serta sebagai pusat bandar, pusat perdagangan dan perindustrian maka cuti rehat itu sedikit mencalarkan dari sudut produktiviti, malah hanya Malaysia mempunyai Hari Wilayah di dunia. Hari Pekerja pada 1 Mei tidak memberikan gambaran tepat mengenai pergerakan perjuangan kaum buruh di Malaysia. Kerajaan Malaysia yang prihatin sehingga kemuncaknya kakitangan perkhidmatan awam hanya bekerja lima hari seminggu tentunya tidak sesukar perjuangan buruh di luar negara untuk menganjurkan mogok, piket, demonstrasi dan rusuhan kesan pertentangan kelas sosial serta krisis industri antara pekerja dan majikan. Mungkin Hari Pekerja boleh diraikan seperti di Jepun hanya sebagai hari penghargaan istimewa tanpa bercuti umum seperti Hari Guru, Hari Wanita, Hari Ibu, Hari Bapa dan Hari Seniman iaitu hari peringatan terbaru diumumkan kerajaan. Sementara Cuti Tahun Baru (setiap 1 Januari) yang lebih kebaratan dan menyumbang kepada masalah sosial tentunya menjejaskan kualiti modal insan sebagai entiti asas dalam pembentukan masyarakat dan sumber manusia dalam industri. Cukup sekadar Cuti Tahun Baru Cina dan Awal Muharam yang bersifat keagamaan tentunya hari cuti umum lebih bermanfaat dan bermakna untuk diraikan. Penulis ialah Perunding Pembangunan Sumber Manusia.
Thursday, January 24, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment