Monday, January 14, 2008

Bernas mesti jaga kepercayaan

Mekanisme import beras perlu disusun semula ikut peraturan disediakan

PADA 2002, masalah penyeludupan beras yang dianggarkan mencecah 200,000 tan sepanjang tahun itu menyebabkan Padiberas Nasional Bhd (Bernas) mengalami kerugian terkumpul sebanyak RM27 juta, manakala negara rugi kira-kira 400,000 tan beras bernilai hampir RM240 juta setahun.

Berikutan masalah itu, Kabinet pada tahun sama mengarahkan langkah bersepadu diambil pelbagai agensi untuk membanteras gejala ini, terutama dengan meningkatkan pengawasan di semua pelabuhan dan perairan negara serta mengkaji hukuman lebih tegas terhadap penyeludup.

Bagaimanapun tindakan Bernas membawa masuk 12,500 tan beras dari Vietnam tanpa permit import (AP) hingga menyebabkan lambakan beras itu ditahan di gudang beberapa pelabuhan negara pada Disember 2004 menyebabkan seluruh negara tergamam seketika.

Dalam kejadian itu, Kastam Diraja Malaysia (KDRM) menahan beras bernilai kira-kira RM40 juta di Pelabuhan Pasir Gudang, Johor dan Pelabuhan Kuching, Sarawak. Daripada jumlah itu, 8,000 tan tiba dengan kapal kargo di Pasir Gudang, manakala 4,500 tan lagi melalui Pelabuhan Kuching.

Sebanyak 3,000 tan beras yang ditahan di Kuching dipercayai dibawa masuk secara konvensional, iaitu menggunakan guni, manakala 1,500 tan lagi melalui 60 kontena.

abila tanpa merujuk kepada kerajaan, menaikkan harga beras di pasaran hingga menimbulkan rasa tidak puas hati rakyat, terutama golongan berpendapatan rendah.

Lebih mengaibkan apabila kepemimpinan baru Bernas hanya sekadar mengirim SMS kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Mohd Shafie Apdal untuk memaklumkan keputusan syarikat menaikkan harga beras.

Pada Disember 2007 pula, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) itu sekali lagi mengulangi kesalahan yang dilakukannya tiga tahun lalu apabila melanggar Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 � membawa masuk 35,000 tan beras wangi dari Thailand bernilai lebih RM80 juta juga tanpa AP.

Beras yang ditempah itu terkandas di Pelabuhan Pasir Gudang, Johor dan dalam kapal di Pelabuhan Kota Kinabalu, Sabah serta Pelabuhan Klang, Selangor.

Kejadian kali ini membabitkan 16,000 tan beras untuk kuota 2007, manakala baki 19,000 tan lagi katanya untuk kuota tahun ini yang ditempah lebih awal, walaupun ketika itu Bahagian Kawalselia Padi dan Beras, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani belum menetapkan kadar kuota untuk syarikat berkenaan.

Rentetan kejadian membabitkan Bernas itu sebenarnya salah mengikut akta, pengimport diwajibkan mendapatkan permit sebelum mengimport, bukannya mengemukakan permohonan selepas ia tiba di negara ini dan nyata sekali itulah yang dilakukan Bernas.

Apabila tindakan terkini Bernas itu diajukan kepada Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Tan Sri Muhyiddin Yassin, beliau menjawab ringkas, tetapi dalam maksudnya � 'itu bukan kali pertama', dan tidak salah jika dikatakan pak menteri itu sebenarnya kecewa dengan tindakan Bernas, terutama apabila ia boleh mencalar imej dan kredibiliti kementeriannya.

Hal itu tambah jelas apabila beliau memberi amaran kepada Bernas supaya tidak mengulangi perbuatan sedemikian atau membuat keputusan bertentangan kehendak dan dasar kerajaan, malah turut mencadangkan keseluruhan sistem pengurusan dan pentadbiran Bernas dirombak kerana syarikat itu menampakkan kele-mahan GLC terbabit.

Selepas beberapa kejadian yang 'tidak sepatutnya' oleh Bernas itu, apakah hanya dengan permohonan maaf daripada pihak pengurusan Bernas seperti disampaikan kepada Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Dr Zulkifli Idris sudah cukup untuk menutup kelemahan dan malu syarikat serta kerajaan.

Ketika tampil memberi penjelasan berhubung perkara itu, Bernas mendakwa terpaksa membuat tempahan awal beras kerana bimbang sukar mendapatkan bekalan kerana ketika ini berlaku kekurangan dalam stok beras di pasaran dunia.

Pengurusan syarikat itu memberi alasan, dalam keadaan siapa cepat dia dapat, Bernas terpaksa menempah 16,000 tan beras untuk kuota tahun lalu, manakala 19,000 tan lagi bagi tahun ini untuk menjamin bekalan mencukupi bagi pasaran negara ini, walaupun kuota 2008 belum ditetapkan lagi.

Tentunya dalam hal ini, kerajaan selaku pihak yang bertanggungjawab melantik Bernas sebagai perantara dalam urusan berkaitan industri padi dan beras negara berasa tercabar dengan tindakan Bernas yang membelakangkannya dan sering kali 'pandai-pandai' membuat keputusan sendiri.

Tambah memalukan apabila Badan Pencegah Rasuah (BPR) bertindak menyiasat tindakan Bernas dengan menyoal siasat kakitangan syarikat itu, Bahagian Kawalselia Padi dan Beras dan KDRM.

Kata Pengarah Siasatan BPR, Datuk Shukri Abdul, siasatan menjurus kepada beberapa perkara termasuk mengenal pasti tindakan yang menyalahi syarat dan peraturan pengimportan, selain memeriksa jika ada cerita lain di sebalik apa yang berlaku.

Memetik kata-kata Muhyiddin lagi, "Bernas tidak boleh menganggap kerajaan akan meluluskan apa saja keputusan syarikat itu hanya kerana mereka pengimport beras tunggal yang dilantik kerajaan. Walaupun berstatus GLC, tidak ada perbezaan dari segi layanan kerana yang penting dasar kerajaan dipatuhi, bukan bertindak sewenang-wenangnya."

Jadi, berdasarkan apa yang dilakukan Bernas, rasanya disebabkan itu jugalah pada setiap Perhimpunan Agung Umno akan ada suara lantang perwakilan tidak berpuas hati dengan tindakan GLC yang dikatakan tidak menghormati sokongan dan kepercayaan kerajaan kepada mereka.

Tidak dinafikan, ramai yang kesal dengan kegagalan Bernas mematuhi akta, malah pelbagai pihak turut menyarankan supaya kerajaan mengambil semula Bernas bagi memastikan syarikat itu diurus dengan cekap serta menjamin bekalan beras sentiasa mencukupi kerana soal berkaitan bekalan makanan tidak boleh dipandang ringan.

Sememangnya industri padi dan beras negara perlu dipelihara dengan berkesan. Jika tidak, tentu akan membawa padah terutama apabila berlaku krisis makanan yang boleh mengakibatkan kekurangan bekalan beras.

Lebih-lebih lagi dikatakan masalah itu sudah mula dikesan berlaku pada peringkat pasaran dunia hingga harga komoditi berkenaan meningkat secara mendadak kebelakangan ini.

Bagaimanapun, tentunya dalam apa juga keadaan kerajaan tidak akan membiarkan GLC yang dilantiknya 'mati' dengan mudah tanpa sebarang pembelaan kerana lazimnya syarikat berstatus GLC sentiasa mendapat perhatian kerajaan.

Memang benar kata Muhyiddin, kejadian baru-baru ini tidak akan berlaku jika Bernas lebih terbuka dan sentiasa berhubung dengan kementerian untuk mendapatkan pandangan atau memaklumkan sebarang masalah dihadapi.

Jika KDRM merangka Prosedur Operasi Piawai (SOP) baru untuk dipatuhi semua pihak yang terbabit dalam proses pengimportan beras, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani pula dengan mekanisme bagi melancarkan proses itu, seharusnya Bernas menghormati usaha semua pihak dengan mematuhi syarat dan peraturan ditetapkan.

Perubahan kepemimpinan syarikat bukanlah alasan kukuh yang boleh diterima semua pihak kerana Bernas bukan calang-calang syarikat dan tanggungjawabnya juga penting untuk memastikan 26 juta rakyat negara ini memperoleh bekalan makanan secukupnya setiap masa.

Untuk 2008 ini, seharusnya pengimport tunggal beras yang memperoleh hak eksklusif itu sehingga 11 Januari 2011 wajar bertindak sebaik mungkin untuk memastikan monopoli selama 15 tahun sejak meterai perjanjian dengan kerajaan pada 12 Januari 1996 kekal miliknya.

Apakah sudah tiba masanya, monopoli itu dipecahkan supaya Bernas ada pesaing?

BH 14/01/08

No comments: